Menyusuri Perairan Pulau Pangkor

Aku berkesempatan kembali semula ke Pulau Pangkor Perak kerana mengikuti program Jabatanku pada April 2015 yang lalu. Kali terakhir aku ke sana ialah pada tahun 2013 dan menginap di tempat yang sama. Tetapi sekejap sahaja ketika itu, malah tidak sempat pun mencecah air walaupun berada di pulau. Sebelum itu pernah mengelilingi pulau ini tahun 2010.

Berbeza pada kali ini, aku berkesempatan menyusuri sebahagian perairan Pulau Pangkor. Nak kata Island hooping pun tidak sebab cuma lihat dari jauh pulau-pulau yang terdapat di sekitar Pulau Pangkor. Tapi kali ini berpeluang untuk snorkeling.

Pulau Marina
Sebagaimana biasa naik feri menerusi Jetty Pulau Marina, lebih dekat dan lebih cepat sampai.Pulau Marina merupakan pulau buatan manusia yang pertama di Malaysia. Ia dimajukan oleh Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd dengan keluasan sebanyak 316 ekar.

Namun aku perasan, perkembangannya semakin menurun. Dulu macam banyak kedai-kedai dibuka sebaik menyeberangi satu-satunya jambatan, tetapi sekarang nampak banyak yang dah tutup.

Pernah sebelum ini aku mengikuti program Jabatanku di salah sebuah resort di atau Pulau Marina ini. Salah satu malam tu, makan di restoren steamboat. Nampak dah tutup restoren tu.

Pulau Pangkor
Dari jeti, perjalanan cuma mengambil masa kekira 10 minit sahaja. Tidak perlu risau sama ada dapat naik feri atau tidak, atau memikirkan sama ada feri akan penuh atau tidak.

Menurut petugas di jeti, selalunya memang boleh memuatkan penumpang yang menunggu pada satu-satu masa. Mungkin disebabkan kekerapan jadual feri tiba dan berlepas semula ke Pulau Pangkor.

Feri besar seperti seperti di Langkawi, namun takdela TV sebagaimana Langkawi. Kalau ade pun tak sempat start cerita sudah sampai.

Jeti Di Pulau Pangkor
Jet ini kiranya terletak di Pekan Pangkor. Sebagai jeti, beberapa kemudahan disediakan di sini seperti surau, tandas serta restoren.

Ia juga bersambung dengan deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai keperluan penduduk tempatan serta pengunjung pulau.

Yang paling penting ia merupakan hentian bagi perkhidmatan pengangkutan pulau seperti taxi dan van.

Aku kira tidak perlu sangat sewa kereta di sini, kecuali memang seharian nak round pulau.

Anjungan Beach Resort & SPA Teluk Nipah
Sekali lagi menginap di sini. Memang menarik kawasannya berbanding kebanyakan resort lain di Pulau Pangkor yang nampak ‘crowded’ atau padat.

Suasananya tenang dan cantik susunan bangunan dengan kolam berbentuk perahu di tengah-tengah bangunan resort.

Bilik-bilik di Anjungan Resort & Spa mempunyai balkoni peribadi dengan pemandangan kolam renang atau taman. Setiap bilik dilengkapi dengan TV satelit, bar mini dan kemudahan membuat teh atau kopi.

Pernah datang sebelum ini, bilik untuk mesyuarat atau berbengkel tidaklah besar mana. Mungkin sekadar muat sekitar 30 orang saja.

Teluk Nipah
Terletak berhadapan dengan Anjungan Beach Resort & Spa, jalan kaki sahaja. Ia juga merupakan antara tempat perkelahan yang popular di Pulau Pangkor. Dari tepi pantai sudah nampak Pulau Giam yang popular dengan kawasan snorkeling.

Pemandangan lautnya sangat cantik. Pantainya agak landai, pasir yang putih halus serta air yang jernih menjadikan ia sesuai untuk berkelah dan bermandi manda. Pelbagai aktiviti atau permainan sukanair disediakan seperti banana boat, jet ski, berkayak dan memancing.

Sepanjang pantai Teluk Nipah tu banyak agensi yang menawarkan pakej yang hampir sama dengan harga yang hampir sama sahaja. Pilih sahaja mana yang berbaloi.

Teluk Nipah mempunyai kemudahan awam dan juga menawarkan banyak tempat penginapan lain. Cumanya seperti yang aku kata tadi, agak crowded. Nak makan serta membeli keperluan harian takde masalah.

Banyak kedai-kedai disediakan di sini. Set-set seafood menjadi hidangan yang aku kira popular di sini.

Suasana ketika matahari hampir terbenam sangat menarik. Bersedialah dengan kamera anda bagi merakam suasana yang mungkin sukar didapati di tempat-tempat lain.


Island Hooping
Kalau ikutkan Island Hopping ni menyusuri dan singgah dari pulau ke pulau. Tapi pula apalah sangat, cuma tengok dari bot sahaja. Bukan boleh disinggah lantaran sama ada pulau tidak berpenghuni atau pulau-pulau persendirian.

Sekadar menyusuri perairan Pulau Pangkor dan melihat keindahan semulajadi ciptaan Illahi dengan bot yang memuatkan sekitar 15 orang dewasa. Pemandu kami agak muda usianya, macam nak merempit dipandunya boat yang kami naikki.

Namun tidak perlu risau, jaket keselamatan dibekalkan setiap sorang.

Pelbagai Rupabentuk Batu
Dengan bot juga dibawa mengunjungi pelbagai batu-bata dengan pelbagai bentuk yang dikatakan semulajadi. Semestinya ciptaan Allah s.w.t.

Antaranya berbentuk ikan paus, buah epal, kepala ular dan kepaa buaya dan tangan manusia.

Setidak-tidaknya menjadi bahan cerita atau tarikan pengunjung.

Dua pokok di atas batu dalam gambar di atas dipanggil 'Pokok Cinta' lantaran bertahun-tahun hidup tetapi ketinggiannya sama setakat itu sahaja. Kira macam sehidup semati.

Pulau Pangkor Laut
Ia merupakan pulau kecil tetapi kedua terbesar di gugusan sembila buah pulau di Pulau Pangkor, dimiliki oleh Syarikat konglomerat negara yang besar iaitu YTL. Pulau ini mempunyai pelbagai keistimewaan seperti pantai yang ‘crystal clear water’ yang dinamakan Telok Emerald, Pantai Coral dan Teluk Royal. Namun kena menginap di resort mewah yang disediakan di Pulau ini.

Resort yang disediakan memang esklusif dan bertaraf dunia. Dikatakan pernah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa kerana keindahan dan suasana semulajadinya.

Terdapat penginapan diperbuat daripada kayu esklusif yang disediakan di atas air kata pemandu bot kami, biasa dikunjungi oleh mat saleh serta untuk pasangan berbulan madu. Kelihatan memang unik entah beraga reganya. Kata pemandu bot, sekitar RM 800-1200 semalam !!!

Pulau Giam
Merupakan pulau terakhir. Dikatakan terkenal dengan pantai yang landai, pasir yang putih dan halus serta warna air laut yang kebiru-biruan. Tetapi tidak nampak sangat pun, mungkin sebab air pasang.

Dikatakan oleh pemandu bot kami, setia tahun dalam 3-4 hari air akan surut dan pulau ini didatangi dari Pantai Nipah dengan berjalan kaki sahaja, iaitu ketika Tahun Baru Cina.

Snorkeling @ Pulau Giam
Pertama kami terjun masuk, tak nampak apa-apa di dasar laut sama ada ikan mahupun batu karang. Apakah sebab dalam sangat atau cahaya matahari yang terlindung lagi.

Ketika itu orang agak ramai, mungkin itu yang mengeruhkan air dan dasar laut. Ataupun minyak boat berbau menyebabkan ikan lari ?

Lepas naik semula boat melihat suasana, aku turun semula menuju ke tepi pantai yang berbatu. Di sana barulah kelihatan ikan dan mungkin juga batu karang. Banyak juga ikan yang berwarna warni, cuma airnya yang tetap keroh, menghalang pemandangan yang menarik.

Pendek cerita jauh ketinggalan berbanding Pulau Perhentian, apatah lagi Mabul Kapalai.

Mengenang Pejuang Rosli Dhoby

Mungkin kalangan generasi X dan Y kenal atau pernah mendengar nama Rosli Dhoby. Kalau tidak, sama ada dia tidak pernah pergi sekolah atau tidur semasa cikgunya mengajar sejarah dalam kelas.

Apabila aku bertanyakan beberapa pemandu teksi Cina yang sudah berumur di Jeti Sibu, masing-masing tidak tahu dimana lokasi Makam Pahlawan Sibu yang menempatkan kubur Rosli Dhoby. Waduh ..

Pertama kali ke Sibu pada Jun 2014, aku tidak mendapat maklumat bahawa kubor Rosli Dhoby terletak di Sibu. Malah rupanya beliau dilahirkan di Kg Pulo, Sibu, Sarawak pada tahun 1932.

Tidak terfikir di bumi yang ketika itu mungkin tiada pengajian pondok, sekolah agama atau tokoh agama, muncul anak muda yang berjiwa agama bangkit menentang penjajahan British di atas wadah Islam.

Sebenarnya beliau tidak bergerak sendirian. Sebelum itu bersama rakan-rakan lain beliau dikatakan menubuhkan Pergerakan Pemuda Rukan 13 yang menjadikan ibadah solat sebagai teras utama dalam perjuangannya. Pada 1946 ketika keluarga Raja Brooke yang memerintah Sarawak menyerahkan kuasa kepada British, berlaku kebangkitan rakyat menentang kemasukan Brirish ke Sarawak. Bibit kebencian Rosli Dhoby terhadap penjajah mulai menebal.

Menerusi rakan pergerakannya yang juga seorang peguam, Awang Rambli Hamit beliau dengan beraninya menulis surat amaran kepada Gabenor Sir Duncan Stewart supaya tidak datang ke Sarawak. Surat amaran tersebut tentu sekali tidak pedulikan.

3 Disember 1949, dengan laungan Allahu Akbar, Rosli Dhoby yang berusia 16 tahun itu meluru ke arah Gabenor British Gabenor Sir Duncan Stewart, membenamkan sepuas-puasnya senjata badik dalam genggamannya ke perut Gabenor itu hingga rebah ke bumi. Bayangkan di usia semuda itu sudah sanggup berkorban nyawa demi kemerdekaan negerinya daripada penjajahan British.

Semua terkejut. Orang ramai bertempiaran lari. Tentera pengiring Gabenor yang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga kemudiannya berjaya menangkap Rosli Dhoby. Gabenor yang parah itu dibawa ke Singapura untuk dirawat. Tetapi mati tiga hari kemudiannya.

Rosli bersama tiga rakannya, beliau ditahan di Penjara Kuching. Kesempatan dalam tahanan beliau mengutus surat kepada ibu bapanya menasihatkan mereka agar bersabar dan berdoa untuk keselamatan dirinya dan rakan di dalam tahanan. Dia juga berpesan agar diadakan solat hajat moga diberi bantuan dari Allah.

Selepas beberapa bulan dalam Penjara Pusat Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Itupun setelah surat beranak yang membuktikan Rosli itu baru berusia 16 tahun dan tidak boleh dihukum mati kerana masih juvana telah dikhianati British dengan mengubahnya supaya melebihi 18 tahun bagi melayakkannya dijatuhkan hukuman mati.

Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Mereka semua dikatakan dikebumikan di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara kerana pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan penjajah. Gerakan anti penjajah kemudiannya lenyap setelah kematian mereka ber-empat.

Selepas kejadian pembunuhan dan semasa perbicaraan, seluruh kampung Melayu di sekitar Kg Pulo, Sibu dan saudara mara yang berkaitan dengan Rosli Dhoby dirundung ketakutan. Polis penjajah berada di rumah-rumah yang tertuduh dan berkawal di setiap jalan di Kg Pulo dan jalan-jalan masuk.

Penjajah sememangnya mahu menghapuskan Rosli Dhoby dan keluarganya. Mereka mencari dan menyiasat dari rumah-ke rumah orang-orang yang berkaitan dengan ahli Pergerakan Rukun 13. Ramai ahli keluarga tertuduh berhijrah ke luar Sibu dan Malaysia atas tekanan.

Sebelum dijatuhkan hukuman mati, Rosli dikatakan sempat mewasiatkan kepada keluarganya menerusi surat terakhirnya supaya sentiasa bersabar, berilah didikan agama kepada anak anak dan jangan lupa perbanyakkan kebajikan dan jangan tinggalkan solat untuk bekalan di hari baqa’.

Selepas dijatuh hukuman mati, mayatnya tak dibenarkan dilihat ahli keluarga. Jasadnya terus berada di Penjara Kuching walau negara sudah merdeka. Dia masih tak dihargai sebagai pejuang. Selepas berbagai desakan, kerajaan membenarkan pusara nya bersama tiga rakan yang lain dipindahkan ke Sibu. Pemindahan itupun dikatakan kerana kerja-kerja pembinaan semula Penjara Kuching.

Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak, berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.

Tetapi ada kejadian aneh berlaku yang menjawab teka teki selama lebih 40 tahun. Pusara Rosli kosong, tiada tulang rangka, gigi, maupun rambut. Berbeza dengan 3 sahabatnya yang ditemui tulang rangka, gigi dan rambut.

Ini seolah-olah membenarlah cerita yang mendakwa, isteri kepada Gabenor yang mati dibunuh sangat berhajat untuk menatap wajah pemuda yang berani membunuh suaminya itu. Rosli dikatakan tidak digantung, tetapi dibawa ke England untuk diperlihatkan kepada isteri Gabenor. Di sana kemungkinan dia disiksa, dibunuh, dicincang atau dicampak ke laut. Waullahu alam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Menurut catatan pada batu nesan di Makam Pahlawan tu pulak, tarikh kematian mereka adalah berbeza. Rosli dan Morshidi Sidek dijatuhkan hukuman mati pada 2 Mac 1950, manakala peguam dan juga mentor beliau Awang Ramli dan Bujang Suntong dijatuhi hukuman pada 23 Mac 1950.

Al-Fatehah untuk Allahyarham Rosli Dhobi, Allahyarham Awang Rambli Amit, Allahyarham Bujang Suntong dan Morshidi Sidek. Mudah mudahan mereka termasuk di kalangan para syuhada yang mati kerana memperjuangkan Islam.

Polemik Hudud Melanda Lagi

Setelah beberapa ketika senyap, polemik hudud melanda lagi. Bagi orang awam mungkin mengejutkan, tetapi bagi perancang itulah sebagaimana diatur. Melandanya kebetulan dengan saat kegawatan rakyat dalam menghadapi GST serta kenyataan ex-PM, Tun Mahathir pedas-pedas terhadap PM sekarang dan kepimpinannya.

Setelah pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang DUN Kelanan pada 19 Mac 2015 yang lalu. Bila sebenarnya pindaan tersebut yang yang dimaksudkan sebagai Hudud hendak dibentangkan di Parlimen. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan telah menghantar permohonan agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud itu di bawa ke Parlimen kali ini.

Difahamkan, sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan. Kenapa perlu dibentang juga di parlimen sedangkan ianya hanya untuk negeri Kelantan. Bukan setakat negeri Kelantan, tetapi umat Islam Kelantan sahaja. Tidak cukupkah setakat di Dun Kelantan sahaja. Mengapa pula dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ?

Polemik
Sultan Kelantan pun sudah memberi perkenan dan semua ahli DUN pun setuju, termasuk dari UMNO dan PKR. Apakah ahli DUN takut nak bantah, takut dicop derhaka kepada Sultan ? Kepimpinan BN dan PKR di pusat pula merestui tindakan ADUNnya, walaupun kemudian bersikap lain sedikit. DAP yang menjadi rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat ( PR ) bersama PAS dan PKR terus memberikan tekanan, khususnya pimpinan pusatnya. Presiden Pas dituduh main tikam belakang dan tidak membincangkan tentang pelaksanaan Hudud dalam mesyuarat bersama, apatah lagi memohon restu.

Pimpinan DAP Pusat kata akan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, tetapi tidak dengan PAS. Mereka juga ugut PAS supaya keluar dari PR. PAS pulak kata akanterus dalam PR dan DAPlah yang patut keluar PR jika tidak setuju. Berani ke DAP keluar dari PR ? Mereka akan kehilangan Pulau Pinang. PAS awal-awal dah kata rela hilang semua kerusi demi sebuah pemerintahan yang diberkati Allah s.w.t.

PKR yang 'kehilangan' Datuk Seri Anwar Ibrahim pula macam jadi serba salah. Jalan selamat maka dikatalah, belum sesuai dilaksanakan pada masa ini. Apakah tidak sesuai lagi bagi umat Islam di Kelantan sedangkan mereka telah bersedia ?

UMNO seperti mahu menunjukkan sikap positif untuk menyokong tindakan PAS, mungkin bagi memastikan PR terus berpecah danmudah bagi mengekalkan popularity dan pemerintahan seterusnya. Namun MCA awal-awal lagi mengancam akan keluar dari BN jika UMNO bersetuju. PAS Selangor kata belum bersedia, ikut dialah. Cuma yang tidak sedapnya ex-MB Perak siap menandatangani dekarasi tidak akan melaksana hudud sekiranya PR memerintah di Perak. Walau apapun alasannya, mulai hilang respect aku kepadanya selama ini.

Asap Tebal Politik
Yang menjadi sukar atau halangan sebenarnya ialah kepulan asap tebal politik yang melindungi dan mengkelabui persepsi, pengakuan dan tindakan. Ada pengundi yang hendak dijaga, ada pengauan yang hendak dipertahankan dan ada janji yang hendak dikota. Polemik hudud sepatutnya ia dibicarakan secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan berautoriti.

Namun disebalik persoalan, bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Hudud, sekurang-kurangnya polemik ini meningkat dan mempromosikan lagi pemahaman masyarakat terhadap intipati serta kandungan hukum Hudud itu sendiri.

Tetapi masalahnya sampai bila ? Atau sampai bila-bila lantaran kata Pak Menteri Pelancongan, hanya orang bodoh sahaja yang membicarakannya, sedangkan ianya tidak akan dapat direalisasikan atas halangan prosedur, undang-undang dan perlembagaan semasa.

Atas faktor ini juga ada ahli DAP yang menyelar pimpinan DAP Pusat. Biarkan ianya dibentang secara gentlemen di Parlimen. Kalau tak setuju, undi sahaja tidak setuju, daripada berpolemik sehingga menggugat PR !!!

Keadilan
Bagi orang-orang Islam, pelaksanaannya adalah tuntutan akidah. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk melaksanakan undang-undang Islam. Apatah lagi penganut Islam adalah majoriti dan Islam menjadi Agama Rasmi negara.

Tidak bolehke kefahaman atas dasar sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi serta bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat menjadi penentu kepada kefahaman dan keharmonian beragama di Malaysia.

Hudud hanya terlibat kepada umat Islam, sebagaimana wajibnya solat bagi umat Islam. Jika ini dikatakan tidak adil kepada penganut agama lain, apakah nak dikatakan tidak adil kepada penganut bukan Islam lantaran mereka tidak solat zakat, puasa dan haji ?