Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Majlis Konvokesyen Darul Quran Ke-28

Pada 8 Ogos 2009, berlangsung majlis Konvokesyen Darul Quran Kuala Kubu Baru Kali Ke-28. Sesi untuk penerimaan Sijil Tahfidz dilakukan di sebelah petang, manakala penerima Diploma sebelah pagi. Aku dan isteri hadir bagi meraikan anak ke-3 kami, Kak Di. Alhamdulillah Kak Di menerima sijil dengan pangkat Mumtaz ( Cemerlang ) dari kalangan 18 pelajar Mumtaz.

Aku kira tak ramai yang hadir pada petang itu, mungkin yang ramainya waktu pagi. Dewan tempat majis berlangsung pun separuh penoh. Aku tiba lewat sebab memang lewat bertolak, ditambah dengan sangkut dalam kesesakan jalan raya di Pekan Rawang.

Berbanding dengan anak-anakku yang lain, rasanya macam Kak Di yang selalu aku hadiri konvokesyennya. Bukan konvo, tetapi majlis penyampaian / penerimaan anugerahnya di SAMBEST sebelum inipun di buat secara grand, seolah-olah Majlis Konvokesyen. Kak Yong anak bungsu ku paling kurang, mungkin sebab jauh di Pekan sana dulu.

Aku teringat beberapa kata-kata Ketua Pengarah JAKIM dalam ucapan perasmiannya. Walaupun ucapannya ringkas, tapi ku kira cukup berkesan, iaitu meminta para graduan terus menghayati al-quran, istiqamah dalam hafazan dan menjadi payung kepada rakyat Malaysia dalam setiap bidang profesional yang diceburi nanti. Aku agak terkilan juga apabila diumumkan pelajar terbaik hanya menerima RM500 serta sijil penghargaan, rendah sangat. Pelajar terbaik SAMBEST masa zaman Kak Di pun lebih mahal RMnya ...

Lepas majlis sempat round-round ke tapak gerai jualan yang diadakan sempena majlis konvokesyen pada hati itu. Pelbagai jualan, permainan serta pameran diadakan. Mungkin ini biasa diadakan untuk mana-mana institusi. Ada pertandingan bolasepak, aganya orang Kuala Kubu Baru memang menanti-nantikannya. Malam pulak ada konsert nasyid percuma olah Saff-One serta Fareast.

Sijil yang diterima sekadar pengiktirafan, lepas ini sambung belajar semula di UIA Petaling Jaya tu. Kak Di sebenarnya tidak sihat hari itu, lepas aje majlis berakhir, terus ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk buat pemeriksaan lantaran dikhuatiti dijangkiti selsema yang sedang menular dan hebat diperkatakan sekarang. Tapi setakat ini cuma demam biasa saja. Doktor tak dapat nak beri cuti sebab 'buku cuti sakit sudah habis'.

Klik untuk lagi gambar.


Share:

Sepetang Di Pantai Cahaya Bulan

Pada petang Jumaat 7 Ogos 2009, aku berkesempatan jalan-jalan tepi pantai yang dikira tersohor di bumi Kelantan Darul Naim, iaitu Pantai Cahaya Bulan atau PCB. Suatu ketika dulu dipanggil sebagai Pantai Cinta Berahi. Semasa PAS memerintah Kelantan, ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan untuk memberikan imej lebih baik katanya, PCB jugak.

Pantai Cahaya Bulan terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Dinamakan Pantai Cinta Berahi dahulu dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia Ke II, yang menderita kerana cintanya tidak berbalas.

Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.Tapi aku dapati pantainya tidaklah secantik mana. Tidak seperti yang aku bayangkan sebelumnya, walaupun banyak resort berhampiran. Pemandangan pantai ini sepatunya menarik kerana terdapat deretan Pokok Ru dan Pokok Kelapa di sepanjang pantai, tapi entahlah ...

Terdapat beberapa kelompok keluarga berkelah ketika itu. Tapi tak ramai yang mandi-manda. Kalau mandi pun macam budak-budak dengan memakai pelampong lengan. Ada juga orang menunggang kuda serta memancing. Selainnya hanya main pasir dan bersiar-siar ambik gambar. Di beberapa kawasan terdapat batu-batu besar seolah-olah hadangan bagi mengelakkan pantai daripada terus terhakisi.

Di suatu tempat, berdekatan dengan menara tinjau, ada sederet gerai-gerai menjual pelbagai makanan laut. Tetapi petangtu aku berkesempatan tengok orang jual ubat yang di selang selikan dengan pertunjukan ular. Ramai juga orang dan menjadi tumpuan pulak pada petang itu. Persembahan ular mungkin sebagai daya tarikan, tapi ubat-ubatan yang dijual tu sejauhmana keberkesanannya. Tapi ramai juga orang membelinya. Mungkin sekadar memberikan penghargaan atas persembahan ular yang menjadi sedikit hiburan petang tersebut.


Share:

Pesta Buku Selangor 2009

Last weekend, aku berkesempatan singgah ke Pesta Buku Selangor 2009 di Kompleks PKNS, Shah Alam. Seperti yang ku jangkakan, tiada apa yang ku kira menarik jika dibandingkan dengan Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur, sama ada daripada segi skop jualan, pengisian dan jumlah kehadiran. Pesta Buku ini berlangsung dari 24 Julai hingga 3 Ogos 2009.

Namun aku berkesempatan semeja makan tengahari dan berborak dengan salah seorang peniaga yang turut serta dalam pesta buku ini. Beliau telah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri penerbitan buku menganggap Pesta Buku adalah peluang mempromosi dan mendapatkan jualan. Ini termasuklah peluang menghabiskan stok lama yang masih belum terjual dengan menjualnya pada harga yang murah.

Entah kenapa rungut beliau, buku yang telah berusia dua tahun telah dianggap lama oleh orang ramai. Sedangkan daripada segi kandungan dan kualiti cetakan sepatutnya masih lagi relevan. Walaupun kadar membaca di Malaysia masih rendah, namun persaingan dalam industri buku memang ada. Ramai yang suka baca novel dan buku cerita ringan-ringan.

Sepanjang 11 hari Pesta buku, setiap lot tapak gerai disewa dengan harga RM 1,700. Wau !!! terkejut aku. Boleh dapat ke pulangan ? Dia kata OK. Satu lot tu rasanya cuma 10 kaki X 10 kaki aje. Maknanya satu hari kena untung jualan RM 170. Berbanding dengan tahun lepas, kadar yang sama untuk 10 hari, tetapi kali ini ada extra satu hari percuma dan tamat pada hari Isnin supaya mengelakkan gerai mula tutup ketika orang ramai datang pada petang hari terakhir iaitu hari Ahad. Namun kadar ini lebih murah berbanding kalau dalam Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur yang kadar sewanya RM 3,200 !!!.

Aku dapat merasakan cabaran beliau dalam industri buku ini apabila beliau membandingkan dengan jualan kedai makan. Semua orang pergi makan di kedai, tapi tidak semua orang cari buku untuk membaca. Dalam pesta buku ini, aku sekadar membeli beberapa buku untuk memenuhi koleksi keluarga.

Namun sempat juga mengikuti sejenak ceramah oleh penulis buku Travelog Haji yang telah ku beli sebelum ini iaitu Prof Mohd Kamil. Nampak begitu bersemangat beiau menceritakan kesah serta pengalaman haji beliau dalam buku yang ku anggap, tiadalah menarik sangat akan kandungannya.

Share:

Kursus Haji Intensif Di Masjid Negara 25-26 Julai 09

Pada 25 & 26 Julai 2009, aku mengikuti Kursus Haji Intensif anjuran Tabung Haji di Masjid Negara. Dalam topik mengerjakan haji, nampaknya lebih kepada ulangan, tetapi menjurus kepada perkara penting sahaja.

Namun apa yang juga ditekankan sangat ialah kekuatan mental dan fizikal. Ibadah haji sebenarnya lebih kepada perbuatan atau amali. Bacaan serta doa tu adalah sunat tapi perlu diamalkan bagi mengisi masa mengiringi perbuatan tersebut. Berbeza dengan mengerjakan haji zaman dulu-dulu yang 'lapang' dan orang yang tidak ramai, berbanding kini sehingga main jutaan orang walaupun infrastruktur di Mekah banyak yang telah dan sedang dipertingkatkan.

Penceramah pertama sebijik gaya dan suara macam Ustaz Dato Ismail Kamus. Cuma berbeza usia. Tapi tiada kaitan sedara mara atau apa-apa, kecuali negeri kelahiran yang sama iaitu. Menarik tetapi kurang merujuk kepada nota yang disediakan yang nampaknya lebih tersusun. Nasib baik dapat salinan softcopy slide berkenaan. Boleh print dan jadik bahan rujukan semula nanti.

Penceramah ada memberi ingatan bahawa kita di sana adalah sebagaimana kita di Malaysia, sebelum pergi haji. Jangan ingat di sana baru nak rajin baca Al-Quran, solat sunat, banyak zikir, dan sering solat berjamaah. Sedangkan di sini, kita jarang-jarang baca Al-Quran, solat sunat, zikir dan solat berjemaah. Namun penceramah mengingatkan untuk kita membuat persediaan sendiri jika hendaklah mencapai target tertentu seperti khatam al-Quran dan sebanyak mana umrah yang terlarat. Doa-doa yang hendak dibaca tu, rajin-rajin diulangi supaya kalau tidak hafal pun, mudah nak ingat semula jika berpandukan buku. Di sana tidak banyak masa nak bertanyakan itu dan ini. Sekali dua tu bolehlah orang lain nak layan. Tapi kalau sudah berkali-kali ... sendiri mahu ingat le !!!

Selepas waktu makan tengahari hari pertama, latihan praktikal untuk tawaf, saie dan melontar diadakan di luar dewan kuliah. Kami jadi tontonan oleh orang luar yang keluar masuk masjid ketika itu. Mungkin ada yang kehairanan terutamanya mat salleh yang ziarah Masjid Negara.

Ibadat Haji memerlukan kekuatan fizikal. Jika dilihat kepada jarak pergerakan dari satu tempat ke satu tempat lain, agak jauh juga terpaksa berjalan. Malahan untuk melengkapkan saie sahaja, iaitu perjalanan ulang alik dari Safa ke Marwah sahaja sudah 420m X 7 = hampir 3 kilometer. Tawaf kalau dapat dekat Kaabah takpelah, 7 pusingan kurang jarak perjalanan. Tetapi kalau makin jauh dari kaabah, semakin berganda jarak perjalan berjalan kaki.

Penerbangan pertama tahun ini dari Malaysia di jangka sebulan lepas Raya iaitu 22 Oktober 2009. Ketika itu sekolah belum cuti tapi PMR sudah habis. Penerbangan balik pula bermula pada 4 Disember. So aku kena ambik cuti haji kira-kira 45 hari.

Bergantung kepada cara mengerjakan Haji, aku kira dan selalunya jemaah dari Malaysia akan mengerjakan Haji Tamattut'. Maknanya pergi awal ziarah ke Madinah melawat Rasulullah dan kemudian masuk Mekah buat umrah sementara Haji bermula.

Di penghujung program diadakan ujian kefahaman. Ada 25 soalan untuk dijawab dalam masa 20 minit. Ku kira senang aje, tapi apabila diumumkan, markah aku termasuk dalam kategori 80 hingga 90. Maknanya salah 3, 4 atau 5. Apa yang salah ? Malangnya kertas jawapan tidak diberikan semula. Patutnya penganjur berikan kejap supaya dapat kita tahu di mana yang silap dan tidak kita fahami.

Selain diberikan makan minum dan gerai jualan peralatan haji, aku dan isteri turut mengambil kesempatan untuk ambik gambar sebagai keperluan untuk Visa sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak Tabung Haji.

Dalam kursus ini aku diketemukan Allah semula dengan room-mate aku semasa belajar di kelas matrikulasi SMS Melaka dan di tahun 2 ngaji di UKM dulu. Namanya Saimin Basir yang kini bertugas di Felcra KL dan tinggal di Wangsa Maju.
Share:

Acara Jom Makan Buah Dan Taman Warisan Pertanian Putrajaya

Salah satu daripada tempat yang menarik untuk dikunjungi sekiranya datang ke Putrajaya ialah Taman Warisan Pertanian. Taman ini terletak berhadapan dengan Pejabat Pelajaran Putrajaya serta kompleks sekolah di Precint 16, Putrajaya. Taman Warisan Pertanian ini dikatakan memberi tumpuan kepada produk pertanian yang boleh dikomersialkan, seperti pokok getah, kelapa sawit, kopi, koko, buah-buahan lain, serta tumbuhan herba.Taman ini turut menawarkan pelbagai jenis produk agro untuk dijual, selain mengadakan pameran dan aktiviti agro untuk pengunjung sepanjang tahun.

Pada 25 Julai yang lalu aku sempat singgah di sana yang kebetulan ada kempen dan pameran ‘Jom makan Buah-Buahan’. Acara Jom Makan Buah 2009 ini diadakan antara 25 hingga 27 Julai 2009, anjuran bersama pihak taman warisan Pertanian dengan FAMA. Menarik juga. Di samping terdapat pelbagai jualan buah-buahan pada kadar yang murah, juga ada jualan benih dan anak pokok buah-buahan. Konsepnya ambik seberapa banyak then timbang dan bayar. Sama macam kat 'pasar aje ?


Namun harga yang ditawarkan ku kira adalah lebih rendah berbanding dengan harga pasaran dan penetapan harga dilakukan / dikawal oleh pihak FAMA. Buah-buah segar yang dijual dikatakan didatangkan khas dari Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perak dan Selangor. Tujuan program adalah untuk membantu usahawan mengenengahkan dan mempromosikan serta memasarkan buah-buahan tempatan di bawah pihak FAMA selain dari menjadi daya tarikan kepada pengunjung ke Taman Warisan Pertanian

Tapi yang membuatkan taman ini sentiasa di kunjungi ialah kerana di sini menyediakan gerai pelbagai jualan makanan yang aku kira agak murah berbanding beberapa tempat lain di Putrajaya. Umpamanya di sini boleh dapat rasa Sate Kajang Hj Samuri, selain sup daging kuey tiaw serta cendol yang sedap. Ada pelbagai pilihan tempat untuk makan, sama ada di tempat berbumbung atau di celahan pokok-pokok buah-buahan seperti ciku, mangga, kedondong dan belimbing.

Dalam beberapa kunjungan aku dapati, orang sentiasa ramai di sini. Nak masuk tempat lawatan taman atau kebun di sini rasanya aku kurang minat sebab pokok tersebut memang sudah biasa dikenali dan banyak didapati di kampung-kampung. tapi sering kedapatan rombongan bebudak sekolah masuk ke sini. Agaknya budak sekolah bandar kot, yang tak kenal camana pokok pisang, nenas, kopi, koko dan sebagainya.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.