Di sebalik beberapa perbezaan pendapat mengenai tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w, di Malaysia sambutan kelahiran Rasulullah s.a.w atau dipanggil Maulidur Rasul diadakan pada 12 Rabiul Awal. Hari tersebut merupakan cuti umum dan sambutan Peringkat Kebangsaan selalunya bermula dengan perarakan umat Islam mengikut kumpulan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelajar sekolah dan university serta NGO. Mereka membawa pelbagai sepanduk dan hiasan sambil berselawat, sama ada semangat dalam menzahirkan rasa kecintaan kepada Rasulullah s.a.w atau hendak memenangi pertandingan pasukan perarakan terbaik.
Bulan Rabiul Awal bermaksud bulan bermulanya musim bunga dan tanaman iaitu pokok dan bunga. Mungkin kini sudah kurang kedengaran suara-suara yang menegah diadakan program Maulidur Rasulullah s.a.w atas alasan bid’ah. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan sempena sambutan bulan ini. Apakah sekadar berselawat beramai-ramai, kemudian mengisi mulut ? Upgrade sikit ada ceramah, forum serta seminar mengenai Rasulullah s.a.w. Yang penting pengisian majlis tersebut tidak dicemari dengan maksiat serta pembaziran.
Ketika mewakili Jabatanku mengikuti perarakan Maulidur Rasul di Putrajaya baru-baru ini, teringat aku untuk menyingkap semula kisah-kisah kelahiran dan awal kehidupan Rasulullah s.a.w yang memaparkan seribu satu petanda awal betapa Baginda merupakan insan agong, mulia lagi istimewa yang dilahirkan serta diutuskan untuk memberikan rahmat kepada sekalian alam menerusi risalah Islam.
Rasulullah s.a.w lahir dirumah datuknya Abdul Muthalib bin Hasyim berhampiran Kaabah. Rumah serta tapak rumah kelahiran Rasulullah s.a.w kini telahpun tiada bagi memberikan laluan kepada pembesaran kawasan Masjidil Haram. Bagaimana nama Muhammad diberikan kepada baginda ? Terdapat pelbagai kisah dan riwayat, namun sudah tentunya daripada Allah s.w.t sebagaimana juga nama nabi-nabi lain sebelumnya sehingga tercatat dalam Al-Quran.
Kalau diikutkan, tarikh 20 April tahun 571M memang jatuh pada hari Isnin. Tetapi sama ada tarkh tersebut bersamaan dengan 9 Rabiul Awal atau 12 Rabiul Awal, itu yang antara menjadi perbezaan pendapat tentang tarikh kelahiran Rasulullah mengikut kiraan Hijrah. Jika hari Isnin, bertepatan dengan maksud hadith Rasulullah yang bermaksud, ‘Hari Isnin merupakan hari aku dilahirkan, hari aku diutuskan menjadi Rasul dan hari al-Quran diturunkan kepadaku’ ( H.R Muslim )
Sebelum Kelahiran
Kelebihan luar biasa Rasulullah s.a.w dapat dilihat sejak sebelum kelahirannya. Antaranya kehancuran tentera bergajah oleh sekumpulan burung Ababil ketika hendak menyerang Mekah sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Fiil.
Wajah Ibu Bapa Bercahaya
Ayahanda Rasulullah s.a.w, , Abdullah bin Abdul Muthalib telah Allah s.w.t berikan tanda di dahinya cahaya sejak dari usia kecil lagi. Hinggakan menjadi tanda pengenalan apabila beliau kemana sahaja terutama waktu malam.
Malah keadaan ini digilai oleh ramai wanita. Sehinggalah beliau berkahwin dengan Aminah, cahaya tersebut berpindah kepada Aminah apabila benih yang menanggung cahaya tadi berpindah ke jasad isterinya.
Perkhabaran Malaikat
Ayahanda Rasulullah s.a.w meninggal sewaktu bondanya mengandungkan baginda baru dua bulan. Bonda Rasulullah s.a.w dikatakan tidak perasan akan kehamilan hinggalah bulan ke-9 lantaran tidak ada tanda atau kesan ketara. Itupun hanya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur.
Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia. Aminah semasa mengandungkan Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa sakit dan susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain.
Semasa Kelahiran
Banyak juga diceritakan dalam kitab berzanzi, qasidah malahan lirik nyanyan nasyid perihal dunia ketika Rasulullah s.a.w dilahirkan. Semasa Rasulullah s.a.w dilahirkan, bondanya Siti Aminah menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda.
Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti meluncurnya anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.
Bersih Elok Tanpa Darah
Waktu lahir, Rasulullah s.a.w tidak seperti kelahiran anak-anak lain yang kebiasannnya emaknya merasa sakit dan keluar darah. Baginda s.a.w lahir dalam keadaan bersih dan elok sahaja, tidak menangis malahan tersenyum. Baginda Rasulullah s.a.w juga dilahirkan dalam keadaan sudah bersunat dan tali pusatnya juga telah siap diputuskan.
Ada juga yang mengisahkan pada malam tersebut, Hawa ( isteri Nabi Adam a.s ), Aisyah ( isteri Fir’aun yang beriman ), Siti Maryam dan Siti Hajar turun menemani Aminah ketika melahirkan Rasulullah s.a.w.
Hari Penuh Keajaiban
Berbagai keajaiban di luar jangka telah terjadi pada hari kelahiran Nabi s.a.w dimana gereja-gereja batu di sekitar Wadi Sanrah roboh ranap setelah di landa gempa bumi, Tasik Sava ( dimanakah lokasinya ? ) yang dianggap suci ( sebagai pusat sembahyang yang dibanggakan ) menjadi kering dan tenggelam ke dalam tanah ditelan bumi. Malah turut diriwayatkan bahawa pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w, berhala-berhala yang terdapat di Mekah dan sekitar Kaabah mengalami kerosakan dan kemusnahan.
Manakala api di negara Parsi yang sebelum ini tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah terpadam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
Satu gempa dan goncangan telah berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak seribu, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan penyebab kemusnahan keegoan kekuasaan dan tanda-tanda kejatuhan serta runtuhnya kerajaan tersebut.
Selepas Kelahiran
Kampung Bani Sa’d yang sedang mengalami kemarau yang sangat teruk sehingga kering tandus, kembali menghijau setelah Halimatus Sa’diah mengasuh dan menyusukan Rasulullah s.a.w. Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak serta kehijauan rumput tumbuh dan tanah meyubur. Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.
Malaikat Membelah Dada
Ketika berusia empat tahun, sedang Baginda s.a.w bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mendekati baginda lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.
Hal ini diterangkan dalam Surah Insyirah Ayat 1 yang bermaksud, “Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu ( wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?” ( Ayat 1 )
Setelah kematian Abu Muthalib, Rasulullah s.a.w dipelihara pula oleh Abu Talib. Ketika Abu Talib bermusafir berdagang ke Syam, Rasulullah mengikuti beliau walaupun baru berusia 9 tahun. Di sana mereka bertemu dengan seorang rahib bernama Bukhara, ketika sedang bersama menghadap makanan.
Apabila Bukhara melihat dan merenung Rasulullah s.a.w, lantas bertanya kepasda Abu Talib apakah hubungan beliau dengan ‘budak’ itu. Bukhara enggan percaya apabila Abu Talib mengatakan anaknya sambil mengatakan tidak patut ayah ‘budak’ itu masih hidup. Lantas Abu Talib mengakui dan mengatakan bapa ‘budak itu meninggal ketika ibunya mengandungkannya. Bukhara kemudian meminta Abu Talib membawa pulang Rasulullah, berwaspada dengan Yahudi dan berpesan, ‘Demi tuhan, kalau mereka melihatnya di sini, akan berlaku perekara buruk kepadanyaa. Sesungguhnya akan berlaku kepada anak saudaramu ini perkara besar’.
Banyak lagi kisah keistimewaan seterusnya seperti terpelihara daripada menyembah berhala, terpelihara daripada kebiasaan adat Arab Quraisy yang boleh mencacatkaan peribadinya ( sehingga tertidur dalam majlis nyanyian dan tarian ), keuntungan dalam berdagang dengan harta Siti Khadijah serta bagaimana kecerdikan Rasulullah s.a.w menyelesaikaan pertikaian dalam membangunkan semula Kaabah sehingga di gelar ‘Al-Amin’.
Beberapa Hikmah
Kematian ibu bapa sejak awal kemudian disusuli dengan datuknya Abdul Muthalib mengandungi hikmah bahawa dakwah Rasulullah s.a.w bukanlah hasil didikan, asuhan atau pengaruh daripada mereka yang dianggap bangsawan Mekah ketika itu.
Peristiwa pembedahan ketika berusiaa 4 tahun ( kali kedua ketika peristiwa Israk Mikraj ) menunjukkan persiapan terhadap diri Rasulullah s.a.w oleh Allah s.w.t sebagai sebahagian daripada pemeliharaan Allah terhadap Rasulullah s.a.w.
Perubahan perkampungan Bani Sa’d setelah Rasulullah s.a.w diasuh dan disusukana oleh Halimah As-Sa’diah menunjukkan berkat kehadiran Rasulullah s.a.w. Ini juga menunjukkan bahawa antara punca kedataangan rahmat dan keberkatan itu ialah dengan adanya orang-orang yang soleh di kalangan kita.
Bukhara yang banyak membaca kitab-kitab dahulu dan ulama ahli kitab telah mengetahui kehadiran Rasulullah walaupun masih kanak-kanak sebagaimana tanda yang diketahuinya. Memang kahadiran Rasulullah s.a.w sebenarnya dinanti-nantikan oleh orang Yahudi dan Nasrani kerana telah diceritakan dalam Kitab Taurat dan Injil satu persatu tentang tanda kedatangannya.
Kesimpulan
Aku kira banyak lagi kisah dan pengajaran yang dicatatkan dalam buku-buku sirah Rasulullah s.a.w. Kalau hendak mengharapkan pengkisahan daripada ceramah Maulidur Rasul yang barangkali sejama dua, mungkin agak sukar.
Namun mengingati Rasululah s.a.w tidaklah bermusim hanya ketika Bulan Maulud, tetapi hendaklah sepanjang masa. Berselawat ke atasnya sepanjang masa serta menghayati perjuangan, keperibadian dan sunahnya juga sepanjang masa, dulu kini dan selamanya.
Tentera AS tersilap tembak jet sendiri
54 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment