Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Al-Fatehah Untuk Almarhum Dr Fathi Yakan

Berbanding dengan kematian Micheal Jackson, kematian Ustaz Dr Fathi Yakan tidak banyak diperkatakan. Biasalah dalam zaman ini. Selebriti dari kalangan artis, penyanyi, pelakon, pemuzik serta ahli sokan sering menjadi bahan berita ’bernilai’ berbanding dengan seorang tokoh agama. Akupun hanya baru tahu lewat beberapa hari dari hari kematiannya. Mungkin tidak banyak didengari keadaannya, namun kematiannya agak mengejutkan. Sekurang-kurangnya aku dapat tahu perginya seorang pendakwah tersohor menemui Allah.

Apabila menyebut nama Fathi Yakan, terus aku teringatkan kepada salah satu bukunya yang termasyur dari kalangan berpuloh-puloh buku karangannya, iaitu Apa Ertinya Saya Menganut Islam ? Buku itu amat menarik dan mudah difaham. Dikatakan buku ini menjadi teks perbincangan usrah oleh pelbagai pihak dan peringkat umur.

Syeikh Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk, dikatakan penyakit angin ahmar (stroke). Akhir hayatnya, beliau sangat bergantung kepada alat bantuan hayat Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun Sabtu 13 Jun 2009, jam 4.45 petang. Beliau telah meninggal dunia di Hospital Hotel Dieu, Lubnan.

Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar kelmarin. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan ribuan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal ( tempat jenazah disembahyangkan ). Ramai wakil dan pimpinan gerakan Islam seperti Hamas, Jihad Islami, Hizbullah serta ulama seluruh dunia telah hadir.

Lubnan atau lebih tepat lagi Tripoli pasti menangisi pemergian tokoh ini. Di sinilah tempat beliau dilahirkan pada tanggal 9 Februari 1933. Beliau mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan kemudian mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau merupakan pengasan dan telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam Cawangan Ikwanul Muslimin di Lubnan sehinggalah pada tahun 1992.

Pada peringkat awal, beliau kurang bersetuju dengan penglibatan gerakan Islam menyertai demokrasi dan terlibat dalam pilihanraya. Namun setelah melihat suasana yang tidak berubah dan tindakan merubah kerajaan daripada luar tidak berjaya, beliau telah mula menerima pilihanraya sebagai salah satu cara untuk meletakkan Islam di tempat berkuasa.

Pada tahun 1992 beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Pada tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Lebih daripada 35 buah buku telah beliau hasilkan, tidak termasuk yang telah diterjemah kepada bahasa lain. Beliau turut memantau laman web dakwah.net. Beliau meninggalkan seorang isteri bernama Dr Mona Haddad Yakan dan mempunyai 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Almarhum bersama isterinya, menubuhkan Universiti Jinan di Utara Lubnan. Universiti ini menerima ramai pelajar dalam pelbagai bidang termasuk dari Malaysia. Almarhum dikatakan rapat dengan Almarhum Ustaz Fadzil Nor sehingga menyebabkan pelajar Kolej Islam Darul Ulum Kedah memperolehi potongan istimewa sekiranya melanjutkan pelajaran di Universiti Jinan.

Almarhum pernah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dan menjadi tetamu khas PAS. Malah sepatutnya beliau sekali lagi menjadi tetamu PAS di Muktamar yang diadakan di Ipoh, Perak pada tahun 2008. Walaupun semua persiapan telah di buat termasuk tempahan tikat kapalterbang, namun di saat akhir saya sendiri menerima panggilan telefon dari beliau yang menyatakan keuzuran untuk bersama di Muktamar PAS.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatehah.

Share:

0 Komen:

Blog Tazkirah

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.

Harian Metro

The Star Online

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

kata2