Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikan pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, pahit, indah, muram, genting & gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Menjamu Mata Di Bukit Keluang

3 Februari 2019 : Photobooth baru sebagai tarikan pengunjung ke Bukit Keluang, Besut.

Singgah di Pasat Siti Khadijah, Kota Bharu

4 Februari 2017 : Kenangan Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Masjid Selat Melaka

Destinasi wajib kunjungi jika ke Melaka sambil rehat dan solat ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Mengimbau Awal Kelahiran Rasulullah s.a.w

Di sebalik beberapa perbezaan pendapat mengenai tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w, di Malaysia sambutan kelahiran Rasulullah s.a.w atau dipanggil Maulidur Rasul diadakan pada 12 Rabiul Awal. Hari tersebut merupakan cuti umum dan sambutan Peringkat Kebangsaan selalunya bermula dengan perarakan umat Islam mengikut kumpulan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelajar sekolah dan university serta NGO. Mereka membawa pelbagai sepanduk dan hiasan sambil berselawat, sama ada semangat dalam menzahirkan rasa kecintaan kepada Rasulullah s.a.w atau hendak memenangi pertandingan pasukan perarakan terbaik.

Bulan Rabiul Awal bermaksud bulan bermulanya musim bunga dan tanaman iaitu pokok dan bunga. Mungkin kini sudah kurang kedengaran suara-suara yang menegah diadakan program Maulidur Rasulullah s.a.w atas alasan bid’ah. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan sempena sambutan bulan ini. Apakah sekadar berselawat beramai-ramai, kemudian mengisi mulut ? Upgrade sikit ada ceramah, forum serta seminar mengenai Rasulullah s.a.w. Yang penting pengisian majlis tersebut tidak dicemari dengan maksiat serta pembaziran.

Ketika mewakili Jabatanku mengikuti perarakan Maulidur Rasul di Putrajaya baru-baru ini, teringat aku untuk menyingkap semula kisah-kisah kelahiran dan awal kehidupan Rasulullah s.a.w yang memaparkan seribu satu petanda awal betapa Baginda merupakan insan agong, mulia lagi istimewa yang dilahirkan serta diutuskan untuk memberikan rahmat kepada sekalian alam menerusi risalah Islam.

Rasulullah s.a.w lahir dirumah datuknya Abdul Muthalib bin Hasyim berhampiran Kaabah. Rumah serta tapak rumah kelahiran Rasulullah s.a.w kini telahpun tiada bagi memberikan laluan kepada pembesaran kawasan Masjidil Haram. Bagaimana nama Muhammad diberikan kepada baginda ? Terdapat pelbagai kisah dan riwayat, namun sudah tentunya daripada Allah s.w.t sebagaimana juga nama nabi-nabi lain sebelumnya sehingga tercatat dalam Al-Quran.

Kalau diikutkan, tarikh 20 April tahun 571M memang jatuh pada hari Isnin. Tetapi sama ada tarkh tersebut bersamaan dengan 9 Rabiul Awal atau 12 Rabiul Awal, itu yang antara menjadi perbezaan pendapat tentang tarikh kelahiran Rasulullah mengikut kiraan Hijrah. Jika hari Isnin, bertepatan dengan maksud hadith Rasulullah yang bermaksud, ‘Hari Isnin merupakan hari aku dilahirkan, hari aku diutuskan menjadi Rasul dan hari al-Quran diturunkan kepadaku’ ( H.R Muslim )

Sebelum Kelahiran
Kelebihan luar biasa Rasulullah s.a.w dapat dilihat sejak sebelum kelahirannya. Antaranya kehancuran tentera bergajah oleh sekumpulan burung Ababil ketika hendak menyerang Mekah sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Fiil.

Wajah Ibu Bapa Bercahaya
Ayahanda Rasulullah s.a.w, , Abdullah bin Abdul Muthalib telah Allah s.w.t berikan tanda di dahinya cahaya sejak dari usia kecil lagi. Hinggakan menjadi tanda pengenalan apabila beliau kemana sahaja terutama waktu malam.

Malah keadaan ini digilai oleh ramai wanita. Sehinggalah beliau berkahwin dengan Aminah, cahaya tersebut berpindah kepada Aminah apabila benih yang menanggung cahaya tadi berpindah ke jasad isterinya.

Perkhabaran Malaikat
Ayahanda Rasulullah s.a.w meninggal sewaktu bondanya mengandungkan baginda baru dua bulan. Bonda Rasulullah s.a.w dikatakan tidak perasan akan kehamilan hinggalah bulan ke-9 lantaran tidak ada tanda atau kesan ketara. Itupun hanya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur.

Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia. Aminah semasa mengandungkan Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa sakit dan susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain.

Semasa Kelahiran
Banyak juga diceritakan dalam kitab berzanzi, qasidah malahan lirik nyanyan nasyid perihal dunia ketika Rasulullah s.a.w dilahirkan. Semasa Rasulullah s.a.w dilahirkan, bondanya Siti Aminah menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda.

Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti meluncurnya anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

Bersih Elok Tanpa Darah
Waktu lahir, Rasulullah s.a.w tidak seperti kelahiran anak-anak lain yang kebiasannnya emaknya merasa sakit dan keluar darah. Baginda s.a.w lahir dalam keadaan bersih dan elok sahaja, tidak menangis malahan tersenyum. Baginda Rasulullah s.a.w juga dilahirkan dalam keadaan sudah bersunat dan tali pusatnya juga telah siap diputuskan.

Ada juga yang mengisahkan pada malam tersebut, Hawa ( isteri Nabi Adam a.s ), Aisyah ( isteri Fir’aun yang beriman ), Siti Maryam dan Siti Hajar turun menemani Aminah ketika melahirkan Rasulullah s.a.w.

Hari Penuh Keajaiban
Berbagai keajaiban di luar jangka telah terjadi pada hari kelahiran Nabi s.a.w dimana gereja-gereja batu di sekitar Wadi Sanrah roboh ranap setelah di landa gempa bumi, Tasik Sava ( dimanakah lokasinya ? ) yang dianggap suci ( sebagai pusat sembahyang yang dibanggakan ) menjadi kering dan tenggelam ke dalam tanah ditelan bumi. Malah turut diriwayatkan bahawa pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w, berhala-berhala yang terdapat di Mekah dan sekitar Kaabah mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Manakala api di negara Parsi yang sebelum ini tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah terpadam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

Satu gempa dan goncangan telah berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak seribu, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan penyebab kemusnahan keegoan kekuasaan dan tanda-tanda kejatuhan serta runtuhnya kerajaan tersebut.

Selepas Kelahiran
Kampung Bani Sa’d yang sedang mengalami kemarau yang sangat teruk sehingga kering tandus, kembali menghijau setelah Halimatus Sa’diah mengasuh dan menyusukan Rasulullah s.a.w. Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak serta kehijauan rumput tumbuh dan tanah meyubur. Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Malaikat Membelah Dada
Ketika berusia empat tahun, sedang Baginda s.a.w bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mendekati baginda lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.

Hal ini diterangkan dalam Surah Insyirah Ayat 1 yang bermaksud, “Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu ( wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?” ( Ayat 1 )

Setelah kematian Abu Muthalib, Rasulullah s.a.w dipelihara pula oleh Abu Talib. Ketika Abu Talib bermusafir berdagang ke Syam, Rasulullah mengikuti beliau walaupun baru berusia 9 tahun. Di sana mereka bertemu dengan seorang rahib bernama Bukhara, ketika sedang bersama menghadap makanan.

Apabila Bukhara melihat dan merenung Rasulullah s.a.w, lantas bertanya kepasda Abu Talib apakah hubungan beliau dengan ‘budak’ itu. Bukhara enggan percaya apabila Abu Talib mengatakan anaknya sambil mengatakan tidak patut ayah ‘budak’ itu masih hidup. Lantas Abu Talib mengakui dan mengatakan bapa ‘budak itu meninggal ketika ibunya mengandungkannya. Bukhara kemudian meminta Abu Talib membawa pulang Rasulullah, berwaspada dengan Yahudi dan berpesan, ‘Demi tuhan, kalau mereka melihatnya di sini, akan berlaku perekara buruk kepadanyaa. Sesungguhnya akan berlaku kepada anak saudaramu ini perkara besar’.

Banyak lagi kisah keistimewaan seterusnya seperti terpelihara daripada menyembah berhala, terpelihara daripada kebiasaan adat Arab Quraisy yang boleh mencacatkaan peribadinya ( sehingga tertidur dalam majlis nyanyian dan tarian ), keuntungan dalam berdagang dengan harta Siti Khadijah serta bagaimana kecerdikan Rasulullah s.a.w menyelesaikaan pertikaian dalam membangunkan semula Kaabah sehingga di gelar ‘Al-Amin’.

Beberapa Hikmah
Kematian ibu bapa sejak awal kemudian disusuli dengan datuknya Abdul Muthalib mengandungi hikmah bahawa dakwah Rasulullah s.a.w bukanlah hasil didikan, asuhan atau pengaruh daripada mereka yang dianggap bangsawan Mekah ketika itu.

Peristiwa pembedahan ketika berusiaa 4 tahun ( kali kedua ketika peristiwa Israk Mikraj ) menunjukkan persiapan terhadap diri Rasulullah s.a.w oleh Allah s.w.t sebagai sebahagian daripada pemeliharaan Allah terhadap Rasulullah s.a.w.

Perubahan perkampungan Bani Sa’d setelah Rasulullah s.a.w diasuh dan disusukana oleh Halimah As-Sa’diah menunjukkan berkat kehadiran Rasulullah s.a.w. Ini juga menunjukkan bahawa antara punca kedataangan rahmat dan keberkatan itu ialah dengan adanya orang-orang yang soleh di kalangan kita.

Bukhara yang banyak membaca kitab-kitab dahulu dan ulama ahli kitab telah mengetahui kehadiran Rasulullah walaupun masih kanak-kanak sebagaimana tanda yang diketahuinya. Memang kahadiran Rasulullah s.a.w sebenarnya dinanti-nantikan oleh orang Yahudi dan Nasrani kerana telah diceritakan dalam Kitab Taurat dan Injil satu persatu tentang tanda kedatangannya.

Kesimpulan
Aku kira banyak lagi kisah dan pengajaran yang dicatatkan dalam buku-buku sirah Rasulullah s.a.w. Kalau hendak mengharapkan pengkisahan daripada ceramah Maulidur Rasul yang barangkali sejama dua, mungkin agak sukar.

Namun mengingati Rasululah s.a.w tidaklah bermusim hanya ketika Bulan Maulud, tetapi hendaklah sepanjang masa. Berselawat ke atasnya sepanjang masa serta menghayati perjuangan, keperibadian dan sunahnya juga sepanjang masa, dulu kini dan selamanya.
Share:

Tafsir Surah Ke 113 : Al-Falaq ( Waktu Suboh )

Surat Al-Falaq terdiri daripada 5 ayat dan termasuk dalam golongan Surah Makkiyah ( diturunkan sebelum Hijrah Rasulullah s.a.w ). Surah ini diturunkan bersama dengan Surah An-Nas ( Surah Ke-114 ) dan keduanya disebut sebagai Surah Mu’awwidzatain yang mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai amalan bagi setiap Muslim.

Terjemahannya

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1
 وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِفِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3
(وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,
2. dari kejahatan makhluk-Nya,
3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,
4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,
5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.
Sebab-Sebab Turun ( Asbabun Nuzul )
Ibnu Abbas menyatakan suatau hari Rasulullah s.a.w mengalami sakit tenat. Lalu dua malaikat datang kepadanya. Satu duduk berjampiran kepala dan sati lagi di sii kakinya. Malaikat yang berada di sisi kaki berkata, “Apa yang engkau nampak”, Jawab Malaikat yang berada di kepala, “Guna-guna”. Bertanya lagi, “Apa itu guna-guna ?”,

Lalu di jawab, “Guna-guna itu adalah sihir”. Lalu ditanya lagi, “Sihir siapa ?, dijawabnya “Sihir kepunyaan Labid bin A’sim al-Yahudi. Ditanya lagi, “Di mana ia ? “. Dijawab pula, “Di perigi keluarga fulan, di bawah batu, dalam perigi itu. Pergi ke sana dan perintahkan mereka bagi menimba keluar airnya dan angkat batunya serta ambil gulungan itu, lalu di bakar”.

Keesokan harinya Rasulullah s.a.w mengutus Ammar bin Yasir dengan beberapa orang pergi ke perigi itu. Apabila sampai, mereka didapati airnya merah seperti air inai. Mereka pun menimba keluar airnya, kemudian mengangkat batunya serta mengambil gulungan di bawah batu. Terdapat 11 simpulan benang. Lalu diturunkan ayat dari dua surat, iaitu an-Nas dan al-Falaq. dan setiap kali ayat dibaca, satu demi satu simpulan benang itu terbuka.

Tafsir Ayat Pertama

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,

Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk meminta perlindungan kepada-Nya sebagaimana pada awal Surah al-Falaq dan an-Nas. Perintah untuk Rasulullah s.a.w berarti juga perintah untuk umatnya.

Yang Menguasai suboh adalah Allah. Allah tempat kita berlindung. Kita diperintahkan untuk berlindung dengan Allah agar terlepas daripada sebarang bahaya di hadapan kita yang kita sendiri mungkin tidak tahu dan tidak menyangka bermula sebaik waktu suboh iaitu masa pergantian siang dan malam. Allah juga yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

Memohon perlindungan daripada Allah merupakan suatu ibadah. Memohon perlindungan kepada selain Allah boleh menjerumuskan diri kepada perbuatan syirik.

Tafsir Ayat Kedua

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

2. dari kejahatan makhluk-Nya,

Berlindung daripada kejahatan atau musibah daripada seluruh mahluk ciptaan Allah, termasuklah seperti manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, lautan yang luas, gempa bumi, hujan, taufan dan tsunami. Maksud ayat ini juga termasuk meminta perlindungan pada diri sendiri, iaitu nafsu daripada menguasai diri.

Tafsir Ayat Ketiga

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,

Keadaan malam yang gelap memang menakutkan lantaran di sebalik kegelapan, kemungkinan ada sesuatu yang tidak menyenangkan, tidak diingini dan tidak diduga boleh berlaku. Malam harilah syaitan, manusia dan haiwan suka berbuat kerosakan. Pencuri dan perompak giat beroperasi malam hari. Keghairahan nafsu yang timbul dalam kegelapan semasa seseorang itu kesunyian di tengah malam, sehingga sanggup keluar ke tempat maksiat dan mencari hiburan seperti di Kelab-Kelab Malam atau perjudian.

Binatang berbisa pun seperti ular, kala jengking dan lipan sering keluar waktu malam. Sedang kita nyenyak tidur malam hari, siapalah yang memelihara kita daripada sebarang mara bahaya, kalau tidak Allah ? Kepada Allah sahajalah kita meminta perlindungan dari sebarang kejahatan malam hari.

Tafsir Ayat Keempat

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,

Walaupun disebutkan diri memohon perlindungan daripada tukang sihir wanita, namun banyak tafsir menyebutkan bahawa ianya juga mencakupi tukang sihir lelaki. Hanya pada ketika dulu, umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita.

Perbuatan menghembus kepada buhul atau simpulan tali adalah tindakan kebiasaan bagi tukang sihir dalam membaca jampi mentera. Maksud di sini ialah mohon berlindung daripada terkena sihir.

Tafsir Ayat Kelima

مِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.

Allah menutup surat ini dengan hasad, sebagai peringatan bahayanya perkara ini. Hasad dengki mula berlaku di langit apabila iblis dengki terhadap penciptaan Nabi Adam. Manakala akibat dengki juga dosa yang mula dibuat atas bumi, iaitu dengki Qabil terhadap Habil.

Hasad adalah berangan-angan hilangnya nikmat baik yang ada pada orang lain agar pindah kepada diri kita. Dengki adalah suatu perbuatan jahat, dendam seorang terhadap orang lain yang menerima nikmat Allah. Ini diiringi dengan keinginan kuat untuk menghapuskan nikmat yang diterima oleh orang itu, dengan melakukan kejahatan terhadap orang yang didengkinya, yang mungkin dilakukan juga dengan tindakan secara fizikal.

Sebagai jalan keluarnya,
a. Bertawakkal pada Allah, iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan.

b. Membaca wirid-wirid atau zikir-zikir yang dapat membentengi dan menjaga dari segala macam kejahatan. Ini yang banyak dilupakan manusia, sama ada waktu pagi, petang dan hendak tidur sedangkan zikir tersebut mudah dihafal atau dibaca.
 

Hubungan Surah al-Falaq dengan Surah an-Nas

Surah al-Falaq dan Surah an-Nas, sama-sama mengajarkan kepada manusia hanya kepada Allah untuk menyerahkan perlindungan diri dari segala kejahatan. 


Surah al-Falaq memerintahkan kita untuk memohon perlindungan dari segala bentuk kejahatan, sedang Surah an-Nas memerintahkan untuk memohon perlindungan secara spesifiknya daripada jin dan manusia.

Fadhilat
a. Surah Pendinding ( Perlindungan )
Gabungan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas yang dipanggil surah Mu’awwidzatain merupakan pendinding terbaik. Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ingatkanlah dan perhatikanlah, aku ajarkan kalian tentang meminta perlindungan yang paling ampuh”. Ibu Abbas menjawab, “Baik Ya Rasulullah”. Baginda berkata iaitu “Qul’audzu birabbilfalak dan Qul’audzu birabbin Nas”. ( H.R Ahmad )

b. Membacanya Selepas Solat
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku, “Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas merupakan 3 surah yang digunakan untuk memohon perlindungan denganNya. Sesungguhnya tidak dipohon perlindungan ( kepada Allah s.w.t dengan tanpa melalui perantaraan ) seperti ketiga-tiga surah ini, Bacalah surah-surah al-Muawwizat ini setiap kali selepas solat 5 waktu”, lalu Rasulullah s.a.w pun menyebutkan surah-surah al-Mu’awwizat itu ( H.R Ahmad, Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )

c. Baca Sebelum Tidur
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila menuju ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengumpulkan kedua tapak tangannya, kemudian menghembuskan kepada keduanya lalu membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah An-Nas, dan menyapu kedua belah tangannya itu ke kepala, muka dan bahagian depan tubuhnya. Hal ini dilakukannya sebanyak tiga kali.

d. Penawar Gigitan Serangga
Sayyidiah’ Ali r.a. menerangkan bahawa pernah Rasulullah s.a.w. digigit kala, kemudian baginda mengambil air garam. Dibacakan Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu disapukan pada anggota badan yang digigit kala tadi.

Rumusan
Allah memerintahkan kepada kita untuk berlindung kepada-Nya dari malam apabila gelap gelita, dari sihir yang ditiupkan pada buhul-buhul dan dari orang yang hasad apabila dia hasad. Ini adalah kerana ketiga-tiga hal ini adalah perkara yang samar.

Banyak kejadian pada malam hari yang samar yang dapat memberikan bahaya kepada kita. Begitu juga sihir adalah suatu hal yang samar, jarang kita ketahui. Begitu juga hasad dari orang lain, itu adalah hal yang samar. Ketiga-tiga kejahatan ini masuk pada keumuman ayat kedua.

Sumber Rujukan
1. Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran Juz Ke-30, Sayyid Qutb, Perniagaan Jahabersa, 2010, ms 479-504
2. Tafsir Al-Azhar Juzu’ 30, Prof Dr Hamka, Yayasan Latimonjong, 1984, ms 281-292
3. Asbabun Nuzul, Zulkifli Yusoff & Muhammad Mukhlis, PTS, 2012, 872-873
4. 13 Kejaiban Amalan Surah-Surah Pilihan, Fadzli Nuruddin Mohamad, Pustaka Ilmuan, 2010, ms 89-94
5. Amalan Sunnah Selepas Solat & Kelebihannya, Muhammad Subki & Mohd Rifqi, Telaga Biru, 2012, ms 126-127



Nota : Sekadar perkongsian, merupakan teks persediaan untukku dalam pengisian Usrah Penduduk P14B
Share:

HKL112 : Apa Selepas ini ?

Perhimpunan yang menghimpunkan pulohan ribu orang ramai yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 anjuran parti pembangkang telah mencatatkan satu sejarah tersendiri. Ia merupakan perhimpunan atau demontrasi pertama yang diadakan setelah akta yang berkaitan dengannya diluluskan parlimen. Target asalnya dikatakan untuk mengumpulkan seramai 1 juta orang sebagaimana tagline perhimpunan.

Media massa khususnya yang berbahasa Malaysia tidak banyak berikan liputan positif, selain mempersoalkan serta membesar-besarkan 3 syarat yang tidak dipenuhi oleh penganjur berbanding dengan 27 syarat lain seperti kehadiran kanak-kanak bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.

Sebaliknya PM mendapat pujian kerana program transformasinya berjaya menjadikan demontrasi yang sebelum ini dikatakan ganas, boleh dilakukan secara aman di suatu kawasan terbuka. Melihat pulohan ribu orang yang membanjiri stadium tersebut, lalu tertanya-tanya aku, apakah selepas perhimpunan ini ? Selama mana PRU13 tidak diadakan, apakah ada perhimpunan seumpamanya lagi ?

Perhimpunan Aman
Tidak dapat dinafikan bahawa perhimpunan seramai itu telah berlangsung dengan aman. Mungkin sebab kali ini mendapat kerjasama pihak polis, berbanding dalam perhimpunan Bersih serta yang seumpamanya sebelum ini yang dikatakan penuh provokasi dan tindakan tegas pihak polis.

Walaupun kebenaran berhimpun ini mungkin dilihat sebagai satu strategi ‘testing power’ daripada pemerintah terhadap akta perhimpunan awam yang diluluskan di Parlimen tahun lepas, namun ia juga menunjukkan pembangkang pun sebenarnya menghormati undang-undang dan tidak bertindak ganas.

Lautan Peserta
Daripada segi logik, memang mustahil Stadium Merdeka boleh memuatkan 1 juta orang. Kapasiti tempat duduk sahaja sekitar 40 ribu, dicampur dengan yang memenuhi ruang padang, mungkin jumlahnya sekitar 70-80 ribu sahaja.

Melalui rakaman CCTV, pihak polis mendakwa penganjur melanggar salah satu syarat yang ditetapkan iaitu peserta perhimpunan tidak melebihi 30,000 orang. Penganjur pula mendakwa lebih 100,000.

Walau apapun anggaran bilangan peserta yang hendak disahkan, kehadiran peserta berdasarkan gambar-gambar sekitar perhimpunan, ianya memang suatu yang menakjubkan.

Agaknya macamana pihak polis nak mengemukakan bukti bahawa jumlah kehadiran melebihi 30,000 orang apabila hendak mengenakan denda kepada penganjur yang dikatakan melanggari syarat permit perhimpunan yang diberikan ?

Liputan Media
Malam selepas perhimpunan aku cuba tengok bagaimana liputan TV mengenai perhimpunan. Astro Awani berani memaparkan lautan manusia semasa perhimpunan. Yang dikira agak memalukan ialah apabila ada media pemerintah telah menamakan perhimpunan ini ‘Himpunan Shamsidar’. Orang buta pun nak tergelak !!!

Liputan media pemerintah dalam isu ini aku kira mencetuskan lagi rasa meluat di kalangan peserta dan pemerhati. Meluat apabila hanya dipaparkan isu dan sudut lain untuk memainkan kempen negatif terhadap perhimpunan ini.

Kesesakan jalan raya, peniaga tidak menerima pengunjung serta lambakan 6 tan sampah. Malah dipaparkan peserta dibayar untuk hadir. Apakah benar mereka dibayar sehingga RM150 seorang untuk hadir sebagaimana ada didakwa dalam media ? Mungkin benar daripada ramai-ramai peserta, ada yang begitu. Tetapi entah-entah ada yang dibayar RM150 untuk buat kenyataan yang dia dibayar untuk hadir.

Tujuan perhimpunan
Mungkin ada yang tertanya-tanya. Mengapa perhimpunan tersebut diadakan ? Pembangkang yang turut diserta oleh pelbagai kaum Melayu Cina India malah bumiputera Sabah Sarawak bersama pemimpin komponennya berkumpul hendak menunjukkan kekuatan serta pengaruhnya kepada parti pemerintah ?

Jelasnya perhimpunan ini adalah satu kempen anti BN dengan maksud menjatuhkan pemerintahan BN menerusi PRU. Selain peserta dihidangkan dengan ucapan yang berlegar sekitar kegagalan dan kelemahan pemimpin BN, deklarasi Deklarasi HKR telah diumumkan sebagaimana berikut :-

Bahawasanya, muafakat asas Kebangkitan Rakyat hari ini meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Himpunan Kebangkitan Rakyat beriltizam untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Maka kami, yang berhimpun di sini, mewakili anak semua kaum pada petang ini, dengan penuh iltizam, dan berteraskan falsafah bahawa tidak ada warga dari mana-mana bangsa, agama, jantina mahupun fahaman politik akan disisih atau diabaikan dari sudut sosial dan ekonomi, mengajukan tuntutan-tuntutan berikut:

Pertama : Kami menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus yang merangkumi media yang bebas;

Kedua : Kami menuntut prestasi, wibawa dan reputasi FELDA diselamatkan demi menjaminkan kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka;

Ketiga : Kami menuntut Sabah dan Sarawak diiktiraf adil-setara dengan Semenanjung Malaysia;

Keempat : Kami menuntut 20% daripada hasil royalti minyak dikembalikan kepada negeri yang menjadi pengeluar petroleum;

Kelima : Kami menuntut kerajaan mengiktiraf dan meningkatkan profesionalisme, menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan;

Keenam : Kami menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan;

Ketujuh : Kami menuntut agar bahasa kebangsaan dimartabatkan dan bahasa ibunda kembali dijulang dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidikan Negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia;

Kelapan : Kami menuntut pembebasan semua tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan;

Kesembilan : Kami menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan; dan

Kesepuluh : Kami menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia

Dengan ini, kami yang berhimpun disini, pada petang ini, sesungguhnya berikrar dan bersetia untuk meneruskan perjuangan sehingga kesemua tuntutan-tuntutan kami didengar dan dipenuhi.


Masih relevankah tuntutan tersebut. Kelihatan tiada yang istimewa, sekadar ulangan tuntutan sebelum ini. Media massa pemerintah cuba mengekploitasi keadaan ini dengan kononnya ramai peserta khususnya ahli PAS ( macamana mereka tahu itu ahli PAS ? ) keluar stadium ketika pemimpin DAP bersemangat memberikan ucapan.

Mengapa Stadium Merdeka ?
Di Stadium Merdeka laungan keramat ‘merdeka’ pernah dilaungkan oleh Perdana Menteri Pertama. Merdeka daripada penjajahan British.

Stadium Merdeka dijadikan simbol usaha ‘memerdekakan’ semula rakyat, merdeka daripada pemerintahan BN yang disifatkan sebagai menindas.

Ini dapat dilihat daripada deklarasi serta adanya poster kempen menyelamatkan Felda, isu Lynas serta tuntutan royalti petroleum daripada negeri Kelantan dan Terengganu.

Apa selepas ini ?
Pembangkang telah berkali-kali membuktikan sokongan besar yang mereka perolehi, selepas beberapa perhimpunan dan protes diadakan sejak penghujung 2007, meliputi isu pilihan raya bersih dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Bagaimana ‘perasaan’ parti kerajaan ? Tidakkah angka kehadiran menjadi tanda atau mesej betapa parti pembangkang sekarang memang mendapat sokongan besar ? Apakah keramaian tersebut masih belum mampu mengugat kedudukan BN dalam PRU akan datang ? Atau sekurang-kurangnya parti pemerintah terpaksa menukar strategi ?


Agenda protes yang diperlihatkan mungkin sedikit sebanyak menarik ‘simpati’ atau sokongan daripada orang ramai untuk bersama pembangkang. Namun seharusnya isu-isu yang melibatkan tadbir urus kerajaan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kos sara hidup rakyat perlu diberikan tumpuan.

Ini kerana Pakatan rakyat bukan sebenarnya parti pembangkang, sebaliknya mereka juga adalah parti yang memerintah di Penang, Selangor, Kedah dan Kelantan. Sejauh mana deklarasi tersebut diaplikasikan dalam negeri berkenaan, atau masih hendak menunggu dapat pegang tampuk pemerintahan Malaysia baru boleh dilaksanakan semuanya ?


Share:

Amanat Hadi Yang Dikitar Semula

Pilihanraya semakin hampir, hanya beberapa minggu sahaja lagi atau sebulan dua sahaja lagi. Tanda-tanda sudah merata ditunjukkan khususnya apabila timbul isu-isu yang dikitar semula yang biasanya timbul apabila menjelang pilihanraya umum atau pilihanraya kecil. Sasarannya mudah sahaja, bagi mewujudkan kecelaruan, ketidak sefahaman sehingga akhirnya menuju kepada keretakan pakatan parti pembangkang. Bukan hendak mencari penyelesaiannya. Antaranya isunya ialah apa yang dipanggil sebagai Amanat Hadi dan ketidaksepakatan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim.

Sejarah membuktikan bahawa pilihanraya selalunya berlangsung lebih awal berbanding genap tempoh 5 tahun. Mengapa tidak berlaku kepada PRU13. Apakah masih ada kerunsingan atau masalah yang melanda parti pemerintah di sebalik media massa terus mengutarakan isu dan success story yang memberikan imej positif kepada parti pemerintah, tiada masalah, pembangunan rancak dilaksanakan, data petanda kepesatan ekonomi serta mampu mengotakan janji-janji ? Apakah ada janji yang belum ditepati ? Pergolakan politik di Sabah dan Sarawak ? Muncul kembali isu peribadi seperti Altantuya dengan kemunculan tetiba seorang penjual karpet bernama Deepak ?

Kini hangat dengan apa yang dipanggil Amanat Hadi yang telah berusia kekira 30 tahun !!! Pada April tahun 1981, dikatakan seorang yang bernama Umar Khlid telah memetik kata-kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ( TGHH ) dalam satu ceramahnya di Kg Banggol Peradong, Kelantan. Lantas beliau sebar luaskan dalam bentuk poster yang dijual. Ironiknya, Umar Khalid telah keluar daripada Pas dan kemudiannya menyertai UMNO.

Maka pelbagai cendiakawan, agamawan serta politikus termasuk para mufti membuat kenyataan mendesak agar Amanat ini ditarik balik oleh TGHH. Mungkin inilah yang diharapkan, bagi menujukkan kebobrokan TGHH agar imej beliau serta partinya tercalar. Tetapi apabila TGHH menyahut cabaran untuk bermuzakrah serta mohon diberikan 1 jam membuat penjelasan secara langsung dalam TV, nampaknya kendur sikit nada. Ada juga yang bagi alasan, tidak mahu terlibat dalam polemik politik. Habis tu yang memasing bagi kenyataan sebelum cabaran balas TGHH tu apa ?

Dalam pada itu pelbagai helah dan alasan mengapa kemunculan TGHH secara live tak boleh kecuali secara rakaman. Siapa nak percaya rakaman itu bebas 100% daripada sebarang manipulasi ?

Aku sendiri pernah memiliki poster amanat tersebut semasa belajar di universiti dulu sekadar untuk simpanan sendiri, tapi siap gantung di dinding dalam bilik. Kukira aku telah jadikan amanat TGHH dulu sebagai satu azimat atau motivasi untuk bersama turut berusaha dan berjuang bagi memastikan syariat Allah tertegak di muka bumi Malaysia dalam segala segl, bidang dan ruang lingkup kehidupan khususnya bernegara. Tak kiralah parti, organisasi atau sapa yang terlibat ke arah itu. Hukum hakam hendaklah berlandasakan syariat Islam. Jika berdasarkan beberapa petikan ayat Al-Quran serta penafsirannya, ada kebenarannya akan Amanat Hadi itu. Perhatikan maksud sepotong ayat Al-Quran, Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir ( Al-Maidah : 44)

Manakala dalam kitab Mustika Hadis terbitan Jabatan Perdana Menteri ada menyebutkan tentang batas-batas Iman & Kufur dalam membincangkan Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Rosaknya Iman dan Islam dari Kitab Jilid 1, Bab 7, keluaran JAKIM. Kita tidak boleh pandang ringan perkara ini lantaran iman atau Islam boleh gugur hanya dengan kata-kata sebagaimana penceraian.

Teringat juga aku masa ngaji tu dulu walaupun dihebohkan tentang isu takfir, tetapi yang aku fahami ialah bukan isu takfir, tetapi perbahasan dan penjelasan tentang batas-batas Iman & Kufur inilah. Tetapi apabila disebutkan sebagai kafir mengkafir, seolah-olah bermaksud si A kata kafir kepada si B, lantas si B membalasnya dengan mengatakan si A sebagai kafir. Betulkah begitu yang dimaksudkan ? Amanat tersebut membukakan hati kepada hal berkaitan batas-batas Iman & Kufur.

Apakah boleh ditarik balik buku tersebut, atau dibuat semakan agar kandungan buku tersebut dipinda atau dibuang supaya orang ramai pembaca tidak terkeliru juga ? Apakah benar ‘Amanat’ yang telah berusia 30 tahun itu menjadi penyebab tercetusnya amalan kafir mengkafir, solat dua Imam, perpecahan kalangan orang Melayu serta perceraian kerana berbeza politik ?

Aku rasa ucapan TGHH itu kena dilihat dalam konteks pada awal tahun 1980an itu. Waktu itu pemimpin Umno pun sering kata, agama suku politik suku atau politik tidak ada kena-mengena dengan agama Islam dan macam-macam lagi. Namun tidaklah kata orang UMNO atau siapa masuk UMNO jadi kafir !!!

Keadaan mungkin sudah berbeza masa ini dan amanat itu mungkin tidak lagi relevan dan aku kira orang PAS pun sudah tidak mengendahkannya. Persoalannya juga, apakah TGHH sendiri iktiraf itu jadi 'amanat'. Mungkin jika diberikan pelung kepd TGHH berikan ulasan di TV kita boleh faham maksud apa yang tersirat dan tersurat. Atau boleh digunakan untuk beliau menarik balik amanatnya. Ada berani ?

Aku sendiri kalau sudah tahu seorang tu melewati batas Iman dan Kufur, tak sudi aku nak berimamkannya. Kalau tidak solat, tak sudi aku nak makan sembelihannya. Kita kena sedar kenapa timbulkan semula isu amanat ini, khususnya menjelang PRU ?

Share:

Ambang 13 @ Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Sambutan tahun baru 2012 yang aku hadiri tahun lepas yang juga diadakan di Dataran Shah Alam telah mencetuskan satu persepsi baru bagaimana umat Islam boleh menyambut tahun baru Masehi yang juga ulang tahun kelahiran Nabi Isa a.s. Pelbagai hiburan serta dentuman bunga api bukan lagi menjadi kemestian. Pengisian program boleh diaturkan sehingga tidak bertentangan dengan syarak. Makanya pada tahun 2013 ini kerajaan negeri Selangor sekali lagi menganjurkannya dengan Ustaz Azhar Idrus sekali lagi sebagai tarikan utama.

Jika dahulu sembang santai hanya bersama Zizan raja lawak dengan Ustaz Azhar Idrus, tapi kali ini ramai artis atau selebriti yang terlibat, khususnya yang telah berhijrah kepada imej Islamik. Impaknya, kehadiran yang lebih ramai berbanding tahun lepas. Khabarnya 120,000 orang dan keadaan ini sekurang-kurangnya memberikan semangat kepada mereka yang telah berhijrah. Mungkin benar angka tersebut sebab kali ini nampaknya aku amat sukar bergerak ke sana sini untuk ambik gambar.

Aku difahamkan di Shah Alam sahaja pada malam tersebut ada 8 program atau sambutan yang berasingan. Itu yang sesak Bandaraya Shah Alam sejak lewat petang lagi. Sambutan yang sering dilakukan di KLCC berhampiran Twin Tower tajaan sebuah Bank tempatan kali ini dipindahkan ke Putrajaya dan sebaliknya Radio IKIMfm mengadakan program Mahabbah IKIMfM di Masjid As-Sykirin KLCC.

Dalam semangat berlumba-lumba menganjurkan sambutan, yang pentingnya ialah apakah pengisian setiap program dan sejauh mana unsur-unsur lagha masih menjadi tradisi dan ikutan ramai.

Namun sambutan santai Ambang 13 mempunyai maksud tersendiri, bukan sekadar tahun 2013, tetapi menjelangnya Pilihanraya Umum Kali Ke-13 yang pasti berlangsung dalam tahun 2013. Itu yang diseru oleh Dr Halimah yang juga Exco Kerajaan Selangor yang merayu orang ramai memberikan undi kepada Pakatan Rakyat yang menerajui kerajaan Selangor, yang katanya begitu perihatin dalam membela kebajikan bagi pelbagai golongan sejak lahir, sekolah tadika, remaja, masuk universiti dan warga emas.

Subhanallah, sungguh hebat susana malam tersebut di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Suasana yang jarang dilihat dlm smbutn seumpamanya, tidak nampak seorang wanita pun yang tidak menutup aurat. Si kaum Adam pulak majoriti berkopiah bahkan ada yang serban melilit. Tiada pula penari-penari atas pentas walaupun ramai selebriti yang hadir membuat penampilan di atas pentas.

Antara selebriti yang hadir ialah Abby, Diana Amir, Aziz M Osman, Piere Andre, Malik Nor, Wan Zack Haikal serta beberapa lain di samping Ustaz Haslin Baharin, Ustaz Syed MOhd Norisyam dan penampilan paling hebat, kemunculan khas lagi istimewa Ketua Ulama' Syria, Syeikh Ali As-Soubuni dari Syria yang menggesa umat Islam terus istiqamah dalam berpegang kepada ajaran Islam dan memperjuangkannya.

Walaupun telah berusia 80 tahun, tetapi beliau menegaskan ingin hidup lebih lama lagi supaya dapat terus memperjungkan Islam di muka bumi ini. Allahuakbar !!

Carilah dalam youtube pelbagai rakaman pengisian pada malam tersebut, sama ada yang amatur atau profesional.

Namun aku tertarik dengan deklamasi sajak bertajuk Sahabat yang disampikan oleh Diana Amir dalam mengajak rakan-rakan artis lain untuk berhijrah.

Walaupun 12.00 malam telah berlaku, acara sembang santai diteruskan berbanding bacaan asmaul-husna beramai-ramai seperti tahun lepas. Apa istimewanya detik 12.01 mlm ? Sebaliknya bacaan Asmaul Husna dialunkan beramai-ramai jam 12.30 malam, disusuli dengan laungan takbir Alllahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Azhar Idrus.

Harapnya pengisian malam tersebut walaupun pengisian penuh santai, sesambil gelak ketawa, relax-relax tapi memberikan kesan mendalam kepada orang ramai yang hadir sedang pada hakikatnya kita semua khususnya Umat Islam masih mengagungkan sambutan 1 Januari berbanding dengan 1 Muharram.

Secara tidak sedar kita semakin longgar dengan agama kita menerusi penggunaan kalendar masehi dalam menginggati peristiwa penting dalam sejarah Islam atau melaksanakan beberapa ibadah khusus berdasarkan kalendar Hijrah. Nasib baik 1 Muharram cuti umum, kalau tidak ....
Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah