29 Mei 2011 - Hari Ketibaan
Seawal 4 pagi seolah-olah kedengaran bacaan Tahrim dan azan. Ini kawasan Muslim ke ? Lepas solat, lantas turun ke loby hotel bersama beg barangan. Berdasarkan hiasan dinding denganseni khatnya serta pekerja wanitanya yang bertudung kepala, tidak syak lagi, ciri keislaman hotel ini agak terserlah.
Rupanya ramai jemaah telah turun dan 3 buah bas pun sudah menunggu. Aku dalam kumpulan 40 jemaah terakhir naik bas C. Maka barangan pun disusun teratur mengikut Bas supaya mudah di naikkan ke dalam perut bas.
Dengan dibekalkan roti dan air, bas pun bertolak ke Airport. Hari mulai siang. Baru nampak sikit pemandangan bangunan di Kota Bangkok.
Kira-kira 20 minit kemudian tibalah di lapangan terbang. Kami pun check-in secara perseorangan dengan penerbangan Etihad. Ada satu yang agak berbeza, beg yang dipegang masuk flight pun minta ditimbang semasa check-in, agaknya untuk pastikan tidak melebihi berat tertentu. Kami terus diberikan dua boarding pass, iaitu satu ke Abu Dhabi dan satu dari Abu Dhabi ke Jeddah.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi
Rupanya Lapangan Terbang Suvarnabhumi ( bunyinya su-wan-na-poom ) ini baru siap dibina dan mulai digunakan pada September 2006. Suvarnabhumi bermaksud The Golden Land.
Lapangan terbang ini terletak kira-kira 30 kilometer di timur Bangkok. Memang cantik dan kelihatan baru ruangan perlepasan dan check-in. Bentuk bangunannya membulat dengan cermin kelilinginya, macam konsep Green House pulak.
Orang sudah ramai dan kelihatan agak sibuk. Patutpun dikatakan airport ke-6 paling sibuk di Asia. Manakala lapangan terbang lama iaitu Don Mueng hanya mengendalikan penerbangan dalam negara sahaja. Satu keistimewaan lagi, airport ini mempunyai menara kawalan yang tertinggi di dunia, setinggi 434 kaki atau 132.2 meter.
Masya’allah, untuk melepasi pemeriksaan sebelum menaikki flight, tali-pinggang, jam tangan dan kasut pun kena ditanggalkan. Kamera, laptop dan wallet tu sudah biasalah. Waduh ...
Ke Abu Dhabi Dengan Eitihad
Kemudian kami menaikki flight Eitihad dan bertolak ke Abu Dhabi jam 8.35 pagi. Seperti dalam Thai Airways, nampak agak selesa tempat duduknya yang juga dilengkapi dengan skrin serta panel entertainment.
Rasanya kalau nak flight MAS, agak sempit tempat duduknya. Aku sempat tonton filem Melayu Haq. Ada juga filem dokumentari khas tentang pasukan bola tajaan Eitihad iaitu Manchester City.
Makanan yang disediakan pun sedap-sedap. Kad Menu makanan diberikan terlebih dahulu untuk kita membuat pilihan. Bukan banyak pilihan pun. Tapi yang lucunya dikatakan dalam menu tersebut, penyediaan adalah berdasarkan hukum syariat, tapi ada beberapa jenama minuman keras pulak. Eh, Pak Arab nie ? Biar betul ...
Abu Dhabi International Airport
Kami tiba di Abu Dhabi International Airport kira-kira jam 12.00 waktu Abu Dhabi. Terus keluar ke ruang transit dan masuk semula ke bilik menunggu di hadapan flight yang kami naikki dari Bangkok tadi. Dapat berehat sikit sambil chek blog maklimah.blogspot.com.
Kelihatan kompleks terminal yang kami lalui macam masih baru. Kelihatan bersih, modern dan cantik. Ia merupakan lapangan terbang kedua terbesar di United Arab Emirates ( UAE ) untuk Abu Dhabi yang juga ibu Negara UAE.
Dalam perjalanan ke tempat menunggu, kedengaran azan zuhor berkumandang dalam bangunan terminal. Bagusnya ... kalau kat airport Malaysia tentunya dah kena tegur.
Kemudian kami menaikki semula flight tadi, tapi berubah tempat duduk dan terpisah dari kalangan keluarga. Ini yang tak bestnya. Flight berlepas jam 1.20 tengahari. Atas flight diberi makan lagi, sedap !
Menghampiri Jedah, degan kaedaan cuaca yang terang dan panas, dapat dilihat dengan jelas bandar Jedah dari udara. Tak ada sangat, seperti susunan kotak-kotak sahaja.
Tiba di Airport Jeddah
Jam 3.10 waktu Jeddah, flight mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz. Sampai sana bas menunggu untuk membawa kami ke Terminal Haji. Waduh, agak jauh juga perjalanan, kekira 20-30 minit rasanya.
Masuk ke bangunan terminal, hanya kumpulan kami yang ada. Kemudian kami melepasi pemeriksaan passport imigresen dan seterusnya ke tempat menuntut bagasi untuk mengambil barangan masing-masing.
Keluar dari bangunan terminal terasa kepanasan dan terasing. Sebab hanya kumpulan kami sahaja. Muka wakil agen TA entah dimana untuk memberikan arahan selanjutnya. Kami seperti tidak tahu hala mencari-cari tempat solat yang rupanya berbentuk terbuka.
Lepas solat terus menunggu arahan selanjutnya untuk menaikki bas. Katanya bas telah sampai tapi tak boleh masuk sebab takde tempat nak parking.
Entahlah, aku tampak macam tak ada banyak bas di barisan tempat berhenti bas di luar bangunan terminal. Kemudian dua buah bas dan satu coaster sampai.
Sebelum bertolak kami diperkenalkan oleh Ketua Urusetia ( KU ), Tn Hj Mohamad Damis yang telah berada di Arab Saudi. Dia sedang cuti tanpa gaji untuk berkhidmat dengan TA yang mengendalikan kami. Sambil mengucapkan selamat datang, beliau meminta para jemaah memastikan dan ingat nombor bas yang dinaikki kerana inilah kumpulannya dalam pergerakan menggunakan bas nanti, sama ada semasa ziarah juga ke Makkah.
Beliau juga menyarankan agar setiap orang menyumbang SR1 sebagai saguhati kepada petugas hotel yang akan membawa beg turun dari bas dan meletakkan di tingkat bilik penginapan hotel nanti serta SR1 lagi untuk membawa turun beg ke lobi dan memasukkan dalam bas bagi perjalan ke Makkah nanti.
Terminal Haji King Abdul Aziz Jeddah
Katanya terminal ini baru dibaikpulih semula. Pernah digunakan suatu masa dulu. Kini dibaik pulih khas untuk mengendali jemaah haji serta umrah. Masa aku menunaikan fardhu haji 2009 dahulu, aku tidak melalui terminal ini.
Agak menarik, terbuka dan simple juga rekabentuk. tetapi dengan cuaca panas, para jemaah tidak banyak pilihan selain berhadapan dengan kepanasan tersebut sebelum berjaya masuk ke dalam bangunan terminal
Menuju Madinah Al-Munawwarah
Letih dalam perjalanan tapi tidak sabar untuk sampai ke bumi Madinah. Perjalanan dari Jeddah ke Madinag mengambil masa kira-kira 6 jam. Jauh juga. Kalau terus dari Abu Dhabi masuk Madinahkan bagus, macam aku pergi menunaikan haji 2009 lalu.
Dalam perjalanan kami berheti di suatu tempat macam R & R untuk solat jamak maghrib dan isyak serta menjamu hidangan makan malam yang disediakan secara bungkus.
Kami tiba di hotel penginapan kira-kira jam 10 malam. Sebelum tiba, sudah kelihatan menara Masjid Nabawi yang unik dan mulai mengimbau kenangan lalu.
Berkumpul di tingkat 2 ruang makan untuk taklimat dan pembahagian kunci. Geram betul, sebab pakej yang aku tempah ialah dua bilik, satu untuk dua orang dan satu untuk 4 orang. Tapi yang diberikan ialah dua bilik untuk 3 orang setiap satu. Ada implikasi kos tentunya ... pihak TA ni nampaknya, sejak mula lagi asyik ada yang tidak kena, ada saje tidak mengikut apa yang dijanjikan ..
Hal beg pulak, bagaimana petugas hotel tahu tingkat atau nombor bilik kita sedangkan kami dalam kumpulan yang sama pun berlainan tingkat hotel. Pening, malas nak fikir panjang. Angkat sendiri sajalah.
Sudahlah tu, patutnya ditempatkan di Hotel Jawharat, tapi kini di Hotel Karam. Tak pasti pulak berapa jarak dengan Masjid Nabawi.
Dalam keletihan tak dapat aku nak komplen banyak, cuma ingatkan pihak TA supaya pastikan ianya tidak berulang di Makkah nanti. Letihlah kalau asyik komplen saja ... Apakah kami sedang berhadapan pengurusan jemaah umrah yang tidak cekap ?
Klik Untuk Gambar Hari Ketibaan
Tentera AS tersilap tembak jet sendiri
1 hour ago
0 Komen:
Post a Comment