Pada suatu hari raya, Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a didatangi seorang tetamu. Baginda ketika itu sedang makan sejenis roti yang dianggap oleh orang ramai sangat tidak bermutu dan hanya layak menjadi makanan bagi golongan fakir sahaja. Tetamu itu berasa takjub, lalu menegurnya dengan berkata, ”Hari ini adalah hari raya, mengapakah tuan makan roti ini?”. Baginda pun menjawab, “Hari raya adalah untuk orang yang puasanya diterima, perjalanan hidupnya direstui dan dosanya diampunkan. Memang hari ini adalah hari raya untuk kita. Setiap hari di mana kita tidak melakukan maksiat, maka hari itu adalah hari raya untuk kita”.
Ucapan Khalifah Ali itu memberikan gambaran yang jelas bahawa hari raya hanyalah untuk orang yang bertaqwa saja. Fakta ini memang selaras dengan motif ibadah puasa iaitu untuk mendapatkan sifat taqwa. Allah berfirman, ‘Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan puasa ke atas kamu sebagaimana yang telah di fardhukan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa’. ( Surah Al-Baqarah : 183 )
Orang yang berjaya mencapai sifat taqwa menerusi puasa ialah orang yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh berbuat baik dan menjauhkan kejahatan zahir dan batin, seperti yang disebutkan dalam hadith yang bermaksud ,”Sesiapa yang puasa dengan keadaan ( penuh ) keimanan dan sentiasa mengira-ngira kebaikan dan kejahatan, dosa-dosanya yang lepas diampunkan”.
Berdasarkan fakta ini, dapat difahamkan dengan jelas bahawa hari raya atau Yaum al-aiyd tidaklah ada untuk orang yang tidak mencapai sifat taqwa dalam bulan Ramadhan. Tidaklah ada hari raya bagi mereka yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan maksiat, sama ada yang zahir mahupun yang batin. Tidaklah ada hari raya bagi mereka yang berpuasa cukup sebulan, tetapi solat fardhu lima waktu sehari semalam ditinggalkan. Sedangkan meninggalkan solat lima waktu adalah berdosa besar.
Di samping itu, ucapan Khalifah Ali itu juga menjelaskan bahawa setiap hari dianggap hari raya bagi orang mukmin yang sentiasa bertaqwa dalam hidupnya. Ini adalah kerana mereka sentiasa mendapat kurnia pelbagai rahmat dan nikmat yang melimpah ruah serta jauh daripada kemurkaan Allah.
Berkata Anas bin Malik, “Orang yang beriman mempunyai lima hari raya; Pertama, setiap hari yang dilalui itu tidak ditulis di atasnya dosa, Kedua, hari ia lahir kedunia ini dengan membawa iman, Ketiga, hari dia berjaya menempuh siratulmustaqim, aman daripada huru-hara qiamat, lepas daripada tangan permusuhan dan malaikat Zabaniah, Keempat, hari dia masuk ke dalam syurga dan aman daripada neraka Jahim dan Kelima, hari dia dapat melihat Tuhannya”.
Hari raya adalah hari kegembiraan bagi orang mukmin yang mengandungi dua unsur penting dan sentiasa berkait rapat antara satu sama lain, iaitu sifat taqwa dan kegembiraan zahir dan batin. Kedua-dua unsur itu membentuk konsep hari raya itu sendiri.
Bukanlah hari raya jika hanya ada unsur gembira dan sukaria semata-mata, tanpa taqwa. Sebab itulah Rasullullah s.a.w bersabda, “Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya”.
Kegembiraan pada hari raya termasuk dalam maksud ‘kegembiraan ketika berbuka’ yang disebut dalam hadith itu. Sedang kegembiraan ketika ‘menemui Tuhannya’ meliputi juga kegembiraan dan kesyukuran ketika seseorang mukim itu berzikrullah dan bermuraqabah mendekatkan diri kepadaNya. Sebab ketika itu, ia akan merasa hampir dengan Allah sehingga dapat musyahadah dan bermunajat.
Kegembiraan seperti yang digambarkan oleh hadith itu tentulah hanya akan didapati oleh orang yang benar-benar bertaqwa saja. Memanglah tepat jika dikatakan bahawa bukanlah hari raya itu bagi orang yang berpakaian baru, tetapi hari raya itu adalah bagi orang yang taqwanya tambah bermutu.
Istilah Al-aiyd membayangkan dengan jelas bahawa hari raya adalah untuk orang mukmin yang dapat mencapai sifat taqwa sahaja. Al-aiyd berasal dari kata kerja ada ya’udu yang bererti ia pulang atau kembali ke tempat asalnya. Oleh itu, Yaum al-aiyd secara literal bererti hari, masa kembali atau pulang kepada dirinya sendiri serta Allah.
Kembali kepada hakikat dirinya sendiri bermakna sedar terhadap sifat kehambaannya yang sebenar seperti lemah, hina, jahil, fakir, cuai, lalai dan pelbagai sifat kekurangan dan kehinaan hamba. Kembali kepada Allah bermakna sedar akan keagungan dan kesempurnaan uluhiyyah dan rububiyyah Allah.
Orang mukmin akan sentiasa menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa taatkan Allah dan menyerah kepadaNya. Dengan kata lain, seorang mukmin akan dapat menghayati sifat kehambaan dirinya dan bergantung semata-mata kepada sifat uluhiyyah dan rububiyyah Allah.
Seorang mukmin yang melaksanakan ibadah puasa fardhu bulan Ramadhan dengan penuh keimanan diiringi pula dengan pelbagai amal ibadat yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikrullah dan bermuqarabah, bersedekah, membanyakkan solat sunat, beramal soleh, menjaga tutur kata dan bicara, menjauhkan segala maksiat yang zahir mahupun yang batin, tentulah akan dapat pelbagai kurnia Allah, baik zahir mahupun batin. Inilah proses yang mengembalikan kita kepada fitrah.
Antara kurnia Allah yang penting dalam bulan Ramadhan ialah mengejut dan menyedarkan seseorang mukmin sehingga berjaya mengenal dirinya dan Allah sebagai Tuhannya. Rasa gembira dan penuh syukur kerana menerima kurnia Allah seperti itulah yang dimaksudkan sebagai “bergembira dan sukaria pada hari raya”.
Oleh itu, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa hari raya itu disebutkan dengan istilah al-Aiyd kerana pada 1 Syawal, seseorang yang mengerjakan ibadah puasa dengan penuh iman dan bersih daripada pelbagai dosa sehingga keadaannya seperti ia baru dilahirkan atau di dalam keadaan fitrahnya. Fitrah bersih sebagaimana dilahirkan ke dunia daripada sifat tercela dan unsur syirik.
Kembali seseorang kepada keadaan seperti itu adalah sebagai kurnia Allah yang tidak ada tolok bandingnya dan tidak dapat dinilai dengan apa jua kekayaan di dunia ini. Faktor inilah yang sewajarnya mendorong seseorang mukmin itu berasa gembira dan sukacita pada hari raya.
Jelaslah sekali bahawa orang yang tidak bertaqwa tidak ada bahagiannya pada hari raya. Sekali pun mereka kelihatan lebih gembira, lebih bergaya dengan pakaian baru, makanan yang lazat serta kelihatan hebat. Malah kegembiraan mereka seperti menjauhkan diri daripada rahmat dan nikmat Allah.
Dikhuatiri mereka itu termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Allah, “Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, kami pun membukakan semua pintu kesenangan dunia untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka seperti dimatikan tiba-tiba, maka mereka ketika itu terdiam kebingungan dan putus asa” ( Al-An’am : 44 )
Tentera AS tersilap tembak jet sendiri
56 minutes ago