Awal pagi seperti biasa ke MH berjalan kaki. Kelihatan ramai orang tidur di luar pagar hadapan MH. Aku tak pasti sama ada berehat selepas penat melaksanakan umrah, atau tidak balik ke rumah penginapan masing-masing atau memang tidak ada penginapan di mana-mana.
Awal pagi ini duduk sebelah dengan seorang pelajar Perubatan berusia 25 tahun yang kini berada dalam tahun akhir di salah sebuah universiti di Mesir. Terlupa pula nama universitinya, tetapi bukan Al-Azhar. Mereka mendapat cuti untuk melaksanakan haji. Bertuah sungguh, nampak rajin membaca al-Quran.
Sebelum masuk suboh, seorang wanita Indonesia yang berada dalam saf di belakangku diminta oleh Pegawai Masjid untuk beredar ke saf wanita dibelakang. Wanita tersebut nampak berdegil, lantas Pegawai Masjid bertindak menarik bagnya. Tetapi wanita itu masih berkeras sambil bertakbir ‘Allahu Akbar’ sambil memaut bagnya yang ditarik itu. Alahai, begitu sekali.
Masa Zuhor duduk sebelah jemaah KT77 yang baru seminggu sampai di Mekah. Katanya Pengarah JPJ Pahang tu ex-Boss dia. Manakala masa asar duduk sebelah seorang jemaah dari Patani. Beliau melahirkan kerisauannya mengenai jemaah wanita India yang sudahlah kaki tidak bersetokin, sering lalu lalang di hadapan jemaah lelaki. Mungkin maksudnya tidak selesa jika bersentuhan kulit atau kaki.
Berbanding dengan Masjid Nabawi di Madinah, suasana di MH agak berlainan. Maksudnya tidak semeriah seperti di Masjid Nabawi orang membaca al-Quran. Mungkin kerana orang juga sibuk dengan umrah, tawaf sunat, menatap kaabah serta persekitaran di sini agak luas.
Khatam Kali Ke-4
Aku juga dapat mengekalkan kadar kelajuan bacaan al-Qur’anku. Selepas asar hari ini aku berjaya khatam untuk kali ke-4. Aku kira aku mampu khatamkan 30 juzuk dalam masa 8 atau 9 hari. Ada beberapa hari lagi sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Aku plan untuk habiskan bacaan sehingga khatam kali ke-5 sekembalinya dari MH nanti.
Hari 35 ( Selasa 24 Nov / 7 Zulhijjah )
Aku merasa jemaah seperti berkurangan di MH. Jemaah Turki kurang kelihatan. Begitu juga dengan jemaah India dan Indon. Rupanya orang sebelahku yang berasal dari Perak menjelaskan bahawa jemaah Turki dan sebahagian India telah pergi ke Mina. Bagi mereka yang bermazhab hambali, berada di Mina sebelum wukuf adalah wajib, manakala bagi Imam Shafie sunat sahaja.
Berkampung Depan MH
Orang semakin ramai tidur di luar pagar MH. Bergelimpangan manusia. Kulihat bukan lelaki, malahan turut sama wanita dengan keluargaya. Ada juga anak-anak kecik dan remaja ikut sekali. Maksudnya sekeluarga dan tidak semestinya jenis yang merempat. Ramai yang sudah berpakaian ihram. Maksudnya mungkin mereka mengerjakan haji Qiran, iaitu umrah dan haji serentak ataupun haji Ifrad, buat haji dahulu kemudian umrah.
Sumbangan Korperat
Ketika pulang ke hotel, aku lihat orang ramai berbaris panjang untuk mendapatkan sekotak makanan sumbangan sebuah syarikat postal di Saudi Arabia. Aku pun turut sama beratur, sekadar nak turut serta merasai pengalaman begini di negeri orang. Tapi bagus kelihatan semua beratur elok-elok, tak adalah berebut macam orang kelaparan.
Solat Asar Di Hotel
Memang menjadi kebiasaan yang aku tidur lepas zuhor. Tapi hari ini aku terlajak dan sedar-sedar lima mint hendak masuk asar. Lantas aku solat saja di hotel. Perkarangan lif menjadi tempat jemaah tingkat 15 berkumpul untuk solat jemaah asar. Ramai juga rupanya yang turut serta.
SMS daripada Azrul
Terima SMS daripada Azrul, alhamdulillah. Solat Jumaat dibenarkan diteruskan di Surau Al-Hidayah. Aku rasa ramai yang lega dengan perkembangan ini. Aku percaya kepada tindakan AJK Surau Al-Hidayah yang begitu komited dalam memperjuangkan hal ini, walaupun pada saat Pengerusi dan Naibnya tiada. Terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus memperjuangkannya. Namun perlu diperkemaskan organisasi pelaksanaannya. Harap Hj Umar sahaja adalah berbahaya dan tidak adil baginya pulak.
Oh Ramainya Manusia
Walaupun pada mula terasa kurang jemaah dalam MH, tetapi diluar MH lain pula keadaannya. Suasana lepas isyak menunjukkan orang masih ramai di MH. Aku tak tahu sama da jemaah sudah mencapai jutaan ramainya. Walaupun mungkin ada jemaah yang telah bertolak ke Mina, namun yang baru sampai lebih ramai menggantikan mereka. Suasana yang sedang aku lihat sunguh menarik. Segenap ruang MH dipenuhi dengan manusia, khususnya ketika waktu solat.
Lepas makan malam dio hotel, aku keluar kejap nak cari cari bateri kamera sebagai backup. Orang ramai masih shooping, meriah macamlah esok nak raya. Pekedai pula seperti memberikan harga yanag menarik sambil minta pelanggan doalah rezeki yang baik dan meluas semasa di Arafah nanti.
0 Komen:
Post a Comment