Apabila pulang ke kampong isteriku dI Besut atau berkunjung ke Terengganu, salah satu buah tangan yang sering tidak ketinggalan untuk dibeli dan dibawa balik ialah Kelopok Lekor. Kadang-kadang keropok keping yang kering pun tidak ketinggalan. Kalau keropok kering Pengkalan Setor kira terbaik, walaupun mahal sedikit. Tetapi selalunya tak payah beli kerana sering diberi atau hadiah daripada sedara mara di sana sebagai ole-ole untuk di bawa balik KL.
Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan laut dengan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji sahaja. Kesemua ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang seperti tali dan kemudiannya direbus di dalam periuk yang berisi air panas mendidih.
Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan yang berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat daripada periuknya dan dicicah dengan sos cili. Tapi aku tak lalu makan yang sebegitu, sebaliknya suka yang telah digoreng.
Kalau ditanyakan mana hendak dapatkan keropok lekor terbaik tau yang paling sedap ? Sukar juga nak menjawabnya sebab itu kira selera memasing serta di mana lokasi anda berada dI Terengganu, khususnya di Kuala Terengganu. Sering terdengar keropok Losong yang tersohor daripada segi namanya, tetapi adakah yang tersedap ? Selera orang Terengganu tak sama dengan orang Pantai Barat.
Keropok Sukaramai
Selalunya jika balik kampong aku mengikuti Jalan Pantai daripada Bandaraya Kuala Terengganu. Menerusi jalan tersebut, akan mudah diperolehi kedai-kedai tepi jalan yang menjual keropok lekor.
Yang sering aku singgah ialah dI gerai Keropok Sukaramai di Mengabang Lekar. Pernah singgah untuk mencuba keropok di gerai-gerai lain yang berdekatan, khususnya apabila kelihatan terlalu ramai orang atau kenderaan yang berhenti singgah di gerai tersebut. Tetapi terasa berbeza rasanya.
Keropok Sukaramai juga yang terbaik mengikut selera kami. Selalunya selain membeli keropok, dapat juga melihat bagaimana proses pembuatan keropok lekor dilakukan di situ juga.
Kini mereka telah berkembang maju dan mesin-mesin mula digunakan bagi menghasilkan keropok lekor.
Malangnya gerai di sekitar Mengabang Lekar kebanyakannya tidak menyediakan meja atau tempat kalau nak menikmati keropok lekor yang telah digoreng. Jadi beli dan bawa balik sajalah, atau makan dalam perjalanan.
Cuma masa beli bebaru ni, rasanya sudah kurang menyengat. Tidak seperti dahulu. Adakah kerana sekarang sudah pakai mesin, atau pencipta resepinya sudah tiada atau berkait dengan hal hutang sebagaimana diceritakan di sini ( sila klik ).
Keropok Losong Kak Yah
Keropok Sukaramai terletak agak jauh daripada Bandar. Jika di Bandar, bolehlah singgah di sekitar Losong. Dikatakan keropok lekor berasal daripada Losong. Itu yang jenama Keropok Losong terus tersohor sejak dahulu lagi.
Di sana terdapat pelbagai gerai menjual keropok, sama ada beli untuk di bawa balik atau makan di situ. Yang sering aku singgah ialah kedai Keropok Losong Kak Yah.
Selain merasa keropok yang panas-panas baru digoreng, boleh order makanan atau minuman lain yang turut dijual di sini.
Mudah untuk singgah di sini kerana ia turut menyediakan ruang parking, walaupun hanya untuk beberapa kenderaan. Tapi jika tidak, perking aje di tepi jalan.
Keropok Lekor BTB
BTB adalah singkatan nama Bukit Tok Beng. Ia terletak I jalan antara Lapangan Terbang Kuala Terengganu dengan persimpangan jalan Jambatan Kuala Terengganu-Seberang Takir.
Ada yang mengatakan keropok BTB merupakan yang paling sedap. Masakan tidak ? Disebabkan permintaan yang terlalu tinggi, untuk mendapatkannya terpaksa ambil nombor giliran.
Apabila nombor dipanggil, barulah kita dipanggil untuk menyatakan berapa kuantiti yang hendak dibeli.
Memang tidak dinafikan rasanya yang sedap. Tidak tahulah apa rahsianya. Cuma jarang memperolehi disebabkan masa menunggu yang lama. Aku cuma pernah beberapa kali berjaya mendapatkannya apabila lalu di hadapan kedai tersebut, nampak lengang dan tidak ramai atau banyak kenderaan yang parking bagi menunggu giliran.
Di sinipun boleh melibat bagaimana proses penghasilan keropok lekor dilakukan. Yang menarik perhatian ialah api besar yang kelihatan digunakan bagi merebus keropok lekor.
Tempat Lain
Mungkin ada banyak lagi tempat lain, tetapi aku tidak biasa. Sama ada bukan dalam laluan perjalanan pulang ke kampong atau ke bandaraya Kuala Terengganu. Dalam Pasar Payang pun ada.
Di Besut khususnya antara Kg Raya dengan Pengkalan Nyireh atau Kuala Besut pun ada lokasi deretan gerai menjual keropok lekor, siap claim Kerokok Losong Asli lagi. Namun rasanya tidaklah setanding dengan tiga kedai yang aku sebutkan di atas. Tetapi jika sekadar nak merasa atau makan keropok lekor tu, bolehlah juga.
Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, sekiranya keropok lekor hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat air batu alam peti ais bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampur sedikit garam. Sekiranya tidak, keropok lekor akan berasa tawar.
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
46 seconds ago
0 Komen:
Post a Comment