Alhamdulillah, aku berkesempatan solat raya Aidil fitri buat kali pertama diadakan di Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Putrajaya pada pagi 1 Syawal 1430H bersamaan Ahad 20 September 2009. Kira ramai jugalah yang hadir, agaknya sekitar 10K orang.
Awal pagi lagi orang mulai berduyun-duyun tiba. Aku dapat parking kira tidak jauh dari masjid. Pagi tersebut masih dibuka kaunter zakat fitrah dan ramai juga yang mengunjunginya. Tetapi yang menariknya sebelum solat, selain taklimat ringkas solat dalam Bahasa Melayu, dijemput juga wakil Bangladesh untuk memberikan taklimat seumpamanya. Agaknya memang ramai orag Bangladesh kot ?
Agak menarik juga khutbah raya yang dibacakan setelah selesai solat. Antara yang aku masih ingat ialah sejarah bagaimana Takbir Raya dilaungkan. Kalimah-kalimah tersebut pertama kali dilafazkan oleh Rasulullah s.a.w dalam khutbah baginda sesudah menawan Kota Mekah.
Dalam usaha merampas semula Mekah, Rasulullah s.a.w membuat persiapan rapi. Rasulullah s.a.w memimpin 10,000 orang tentera Islam yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar. Tentera Islam bertolak dari Madinah pada tanggal 19 Ramadan tahun ke-8 Hijrah menuju ke Kota Mekah melalui celah-celah pergunungan dan bukit pasir. Dalam perjalanan itu Rasulullah s.a.w bergabung pula dengan setiap kabilah yang baginda temui dan akhirnya memasuki Kota Mekah.
Salah satu tanda yang menjadi bukti kebesaran Allah ialah masuknya tentera Islam ke Kota Mekah tanpa sebarang pertempuran dan pertumpahan darah. Hal ini adalah disebabkan hampir seluruh musuh menyerah diri atau lari meninggalkan Kota Mekah. Sebagai tanda kesyukuran baginda terus menuju ke Kaabah untuk bertawaf sebanyak tujuh pusingan dengan menunggang seekor unta. Setelah selesai bertawaf, baginda masuk ke dalam Kaabah dan berdiri di pintunya sambil berucap kepada kaum muslimin yang sudah berhimpun. Baginda pun memulakan ucapannya dengan kalimah takbir tersebut.
Khutbah juga menyentuh betapa kita dengan segala usaha tetapi mampu bersusah payah menyempurnakan ibadah puasa yang diperintahkan Allah. Semuanya itu mengandungi hikmah yang berguna buat manusia. Begitulah juga dengan perintah dan hukum Allah yang lain, walaupun pada asalnya kelihatan amat sukar dan menyukarkan. Begitulah larangan Allah yang lain seperti larangan merompak, judi, zina dan sebagainya mempunyai faedah untuk manusia.
Kemenangan pelaksanaan hukum Allah menerusi ibadat puasa itu sewajarnya memberi inspirasi dan celik akal kepada umat Islam bahawa hukum Allah boleh dilaksanakan sepenuhnya jika kita bertakwa dan mempunyai keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mematuhi perintah Allah.
Khutbah juga menyentuh tentang isu berkaitan hudud dan Mahkamah Syariah yang banyak diperkatakan ketika ini. Sedangkan merotan telah lama diamalkan kepada pelbagai pesalah di seluruh dunia, tetapi apabila dikaitkan dengan Islam, berduyun-duyun pulak suara-suara dari kalangan penganutnya yang berfikiran Barat, menghina Islam dan Mahkamah Syariah.
Yang menjadi tumpuan setelah selesai solat ialah Tun Mahathir. Agaknya sebab Pak Menteri dan Agung solat di Masjid Negara. Ramai yang mengerumuni beliau untuk berjabat salam. Tidak ketinggalan aku, sempat aku mengucapkan 'Selamat Hari Raya Tun'. Dibalasnya 'Selamat Hari Raya'. Tetapi ramai juga yang beratur panjang untuk bersalaman dengan para Imam dan pegawai Masjid.
Suasana menjadi meriah selepas solat. Mungkin kerana pertama kali solat di sini. Masing-masing mengambil peluang untuk bergambar mengabdikan kenangan.
Di samping itu, pihak masjid menyediakan juadah untuk para jemaah berupa nasi minyak ( masakan mamak kot ), meehoon serta nasi impit. Ramai yang mengambil kesempatan merasai juadah yang disediakan, mungkin terutamanya yang datang dari jauh-jauh, belum sempat sarapan dirumah.
Aku bertemu dengan rakan ku yang tinggal di Kuaters UPM Serdang tetapi beraya di Taman Equine bersama ibubapanya. Ku tanya mengapa jauh solat di sini. Jawabnya, nak merasa solat di majsjid baru ini. Aku kira ini sekadar contoh betapa yang datang ramai yang dari luar Putrajaya.
Hanya satu yang agak pelik, tetapi mungkin disebab tidak menjangka begitu ramai jemaah ialah kedudukan saf perempuan yang bersebelahan dengan lelaki tanapa sebarang sekatan. Agak janggal kelihatannya. Memang sepanjang Ramadhan, tempat itulah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan berterawih. Tetapi sepatutya tidak begitu ketika solat raya.
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
27 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment