Semasa aku berkunjung ke Langkawi pada minggu lalu, terpampang satu baner iklan kuliah Dhuha oleh Al-Ustaz Datuk Dr Haron Din di Perkarangan Kompleks Haji Ismail Group yang baru. Dah lama juga tidak ikuti ceramah beliau secara live. Namun pada hari yang ditunggu, beliau tidak muncul dan sebaliknya digantikan oleh seorang penceramah dari Kolej Universiti Insaniah. Dikhabarkan al-Ustaz dimasukkan IJN bagi menjalani rawatan jantung. Aku serta ratus hadirin mungkin agak kecewa dengan keadaan ini.
Namun pagi keesokannya petang, terima pula berita yang Al-Ustaz Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu setelah berada dalam keadaan koma selama dua hari. Aku agak terkejut lantaran tidak mendengar pun berita yang beliau sakit. Mungkin kerana aku sudah lama tidak mengikuti perkembangan beliau.
Aku pernah beberapa kali ke ‘tempat’ Almarhum Datuk Harun Taib lama dulu-dulu, iaitu di Markas Tarbiyyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu. Beliau merupakan merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu. Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Manir, Terengganu selama tiga penggal daripada sejak pilihan raya 1999 hinggalah 2008. Bagaimanapun beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 tahun lalu dan tempatnya digantikan oleh anaknya yang kemudian memenangi kerusi DUN Manir.
Ketika berada dalam saf kepimpinan Dewan Ulama sehinggalah menjadi Ketuda Dewan Ulama PAS, beliau sering dilihat mengeluarkan banyak kenyataan yang mungkin sama ada kurang disenangi oleh pendokong parti PAS atau mencabar daya pemikiran pendokong PAS, khususnya berkaitan dengan mengkaji semula penglibatan partinya dalam Pakatan Rakyat. Tidak banyak kenyataan berkaitan politik semasa kerana bagiku sifat beliau lebih kepada sebagai murabbi atau pendidik orang ramai.
Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat amatlah banyak. Semoga ruhnya ditempatkan Allah bersama para Syuhada yang turut memperjuangan Aqidah, Iman dan Islam
Dr Abdul Karim Zaidan
Yang terkini pula ialah kematian Sheikh Dr Abd Karim Zaydan pada 27/1/201, pada usia 97 tahun. Beliau merupakan ulama pakar dalam bidang Fiqh, Usul Fiqh dan Usul Dakwah dan dari Iraq yang menetap di Yaman.
Baru aku teringat, pelbagai kitab yang sering menjadi rujukan dalam perbincangan usrah atau kuliah maghrib, antaranya Usul al-Dakwah.
Hassan Basri Jiranku
Namun sebelum itu pada petang 20hb Januari 2014, aku dikejutkan dengan berita kematian jiranku Hassan Basri semasa di Saujana Utama. Katanya sakit kanser perut. Aku memang sudah mendengar berita yang beliau sakit sebelum ini. Namun semasa berkunjung ke rumahnya bagi menghantar kad jemputan akhir tahun lepas, beliau tiada di rumah untuk aku singgah ziarah. Terkilan juga, sebab tidak sempat jumpat sebelum beliau pergi.
Yang agak melucukan ialah Tok Siak Surau Al-Hidayah membuat pengumuman di pembesar suara Surau Al-Hidayah Saujana Utama dengan meyebut namaku sebagai telah meninggal dunia. Nasib baik aku datang menunjukkan diri semasa pengurusan jenazah jiranku itu di Surau Al-Hidayah. Pada kesempatan ini dapatlah bersua dengan kawan-kawan dan jiran lama.
Sempat bertanyakan anak bungsunya yang 'hyperaktif' kekira berusia 7-8 tahun. Siapa tu, sambil tanganku menunjukkan kubur ayahnya. Abah katanya. Tanyaku lagi, "Tak sediah ke ?", dia diam sahaja.
Tn Haji Mahayuddin JPJ
Yang terkini ialah kematian orang pernah rapat denganku ketika bertugas di Pejabatku, iaitu sejak beliau bertugas di Akademi Pengangkutan Jalan Melaka iaitu Tn Hj Mahayuddin, khususnya semasa menjalankan tugas Pengarahnya yang sedang cuti sakit.
Beliau yang baru dinaikkan pangkat, sempat bertugas kembali dari JPJ Kota Bharu di Ibu pejabat selama dua minggu. Beliau merupakan seorang anggota yang sangat baik, berdedikasi dan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
Apakah pengajaran bagiku terhadap beberapa kematian tadi. Kematian orang yang dianggap ‘dekat denganku’. Semoga Allah ‘menerima’ mereka dan ditempatkan di kalangan para solehin. Terasa kematian semakin hampir bagiku. Malah sudah disebut pun namaku sebagai telah meninggal dunia !!!! Sering terasa takut, apabila mengenangkan begaimana keadaan dan nasibku di alam barzakh nanti.
Mengapa masih perlu takut, sedangkan selalu diyakini bahawa mati adalah pasti bagi semua mahluk Allah yang hidup. Ia adalah suatu perjalanan kepada kehidupan yang lebih luas dan panjang. Tentunya kerana merasa sentiasa masih belum bersedia atau masih terlalu cintakan dunia ini. Oh Tuhan ...
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
24 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment