Setelah tercari cari yang sesuai sebelum ini, akhirnya aku beli kasut baru pada hujung minggu yang lalu di satu dewan yang mengadakan jualan murah. Tapi entah kenapa sejak akhir ini jualan tersebut sering diadakan berdekatan dengan kawasanku. Bukan satu atau dua, tapi entah kenapa aku beli 3 pasang bagi menggantikan kasut-kasut burok ku.
Burok sangat ke kasut lama ku ? Memang kasut kasut tersebut telah lama berjasa kepadaku. Satu daripadanya jenama ‘Crocodile Siam’ telah beberapa kali diperbaiki kerana rosak, tetapi rasanya tidak boleh nak diperbaiki lagi. Aku rasa hampir 10 tahun bersamanya. Memang kalau boleh hendak kekal bersama kerana telah begitu serasi.
Ketika mula memakai kasut baru, memang terasa kelainannya sejak mula mencuba-cuba kesesuaian sebelum membeli. Ia tentunya berbeza dengan kasut kita yang lama. Walaunpun mungkin terasa agak sempit apabila di bawa berjalan, tapi aku yakin lama kelamaan akan rasa selesa dengan kasut berkenaan.
Dahulu mula-mula memakainya, kita turut mengikat dengan kemas dan kejap tali pengikatnya, sesuai sebagai kasut baru. Namun apabila selalu digunakan dan talinya semakin longgar, kita sudah dapat rasai keselesaan yang asal. Selain daripada tali, suatu masa nanti akan terasa seolah-solah telah berkembang mengikut bentuk kaki dan juga mula terasa selesa.
Begitulah mungkin kasut bertoleransi dengan kita dalam memberikan keselesaan dan keserasian kepada pemakainya. Agaknya inilah ciri yang difikirkan oleh pembuat atau tukang kasut. Kasut melonggar dengan sendiri mengikut pergerakan kaki dan kekerapan digunakan. Semakin kerap kasut digunakan semakin ianya memahami keperluan kita dan kita pun semakin selesa dan selesa. Hingga apabila sampai masanya nanti kasut itu hendak dibuang kerana telah rosak, kita tetap berasa sayang kerana bimbang tidak akan dapat kasut yang cukup memahami seperti itu lagi.
Namun itulah kehidupan. Ibarat memakai kasut baru. Mula-mula menempuh alam baru pekerjaan, bimbang dan pelbagai ketidakselesaan dirasai. Tetapi lama-kelamaan, menjadi terbiasa. Perkahwinan juga begitu, lama-lama keserasian datang dan nikmatnya dirasai bersama. Terbiasa kerana kesediaan berhadapan tugasan dan cabaran, adjustkan diri, bersabar dan bertoleransi. Jangan terlalu berkira. Apabila sudah namanya hidup bersama, memang perlu banyak toleransi. Jangan terlalu berkeras, ibarat kasut yang menyakitkan apabila baru dipakai. Bersabar dan bertoleransilah kerana keserasian akan tiba juga. Saling memberi dan menerima pula menjadikan kehidupan yang ditempuh amat menarik.
Begitu juga dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan mengekalkan iman dalam kehidupan. Semuanya juga memang perlu dilalui walau dalam kesakitan, kepayahan, kelaparan, kehausan, tentangan dan pelbagai cabaran yang dihadapi. Yakinlah bahawa akan tiba juga keserasian dalam menempuhinya kerana segala hukum hakam yang Allah tentukan mempunyai hikmah tersendiri serta nikmat yang bakal dinikmati sehingga ada antaranya diluar jangkaan akal fikiran kita.
Semoga aku dapat terus bersabar dengan kasut baruku, lantaran itulah lumrah kehidupan. Terima kasih bebanyak kepada kasut burokku yang telah ku buang. Selamat tinggal.
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
21 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment