Berkunjung ke Port Dickson tidak semestinya hanya berkelah dan mandi-manda di pantainya, khususnya Pantai Telok Kemang. Memang itu tumpuannya pada hujung minggu, khususnya jika ada cuti yang panjang sedikit. Jalan menuju Port Dickson menjadi sesak, apatah lagi jalan-jalan di pesisir pantai. Malahan ruang parking hotel pun jadi tidak mencukupi, menyebabkan kenderaan dipark di tepi jalan sahaja.
Sebenarnya banyak perkara menarik di sekitar Port Dickson. Pada kesempatan Cuti Tahun Baru Cina 2011 yang lalu aku dan keluarga berkunjung ke sana. Bagi mengelakkan kesesakan jalan di Lebuh Raya PLUS, serta susur keluar untuk memasukki Lebuhraya Seremban Port Dickson, kami mengambil keputusan ikut jalan jalan dalam atau jalan kampung. Ok jugak. Daripada Putrajaya ke Sepang, melalui Pekan Lukut sebelum masuk Bandar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Lukut dipercayai dibuka oleh Raja Busu yang memulakan aktiviti perlombongan bijih timah. Pada tahun 1815. Lukut pernah menjadi pusat perlombongan bijih timah yang penting khususnya di Sungai Lukut dan Sungai Ujong ( kini Seremban ). Raja Busu yang berketurunan raja dari Selangor merupakan anak kepada Raja Muhammad, Sultan Selangor ke-3 yang memerintah dari tahun 1826-1858. Di Lukut juga terdapat sebuat kota pertahanan lama yang dipanggil Kota Lukut. Terdapat juga sebuah muzium di sini yang dinamakan Muzium Lukut berhampiran dengan Kota Lukut.
Muzium Lukut
Muzium Lukut secara rasminya telah dibuka kepada orang ramai pada 9 April 1999 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu iaitu Tan Sri Isa Abdul Samad. Objektif kewujudan muzium ini ialah sebagai tanggungjawab bagi memulihara warisan sejarah negara dan memaparkan sejarah Lukut dari kurun ke-19 hingga 1880.
Muzium ini dibuka dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari secara percuma. Segala urusan dan pentadbiran serta program Muzium Lukut telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Muzium Malaysia.
Pelbagai koleksi dan tokoh terbabit dalam sejarah Lukut dijelmakan semula dalam bentuk ilustrasi, gambar, artifak dipamerkan kepada pengunjung. Pastinya sejarah kegemilangan Lukut akan terus diingati dan dikenang dalam sejarah negara.
Kota Lukut
Muzium Lukut ini dibina di Lukut kerana terdapat sebuah kota atau kubu pertahanan yang penting satu ketika dahulu. Kubu ini merupakan monumen sejarah yang dipelihara untuk tatapan generasi akan datang, khusunya bagi menunjukkan bahawa bangsa Melayu pernah mempunyai tamadun yang membanggakan.
Kota ini terletak di Bukit Gajah Mati. Pembinaannya diasaskan oleh juga Raja Busu dalam tahun 1840-an. Kota Lukut dibina dengan ukuran 607 kaki panjang, 505 kaki lebar dengan parit di sekeliling sedalam 15kaki ( belajar dari Perang Khandak ke ? ). Di dalamnya didirikan sebuah istana dan dua buah perigi. Sebuah di bahagian luar dikenali sebagai Perigi Beracun.
Disebabkan Raja Busu mati dibunuh oleh orang-orang Cina dan istananya dibakar dalam satu pergaduhan dalam tahun 1845, peranan beliau di Lukut kemudiannya hilang begitu sahaja. Raja Juma’at lebih dikenali di Lukut kerana ia membina semula kota yang musnah itu dan berjaya memajukan Lukut menjadi sebagai pusat perdagangan yang terkenal pada zaman itu.
Beliau menjadi seorang yang sangat kaya di Selangor kerana kejayaannya menjual hasil jualan bijih timah ke Melaka. Malangnya setelah beliau meninggal dunia, puteranya Raja Bot gagal meneruskan kegemilangan Kota Lukut menyebabkan ianya mundur dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Hasil perjanjian Persempadanan Selangor - Sungei Ujung pada tahun 1878, Lukut kemudiannya bukan lagi sebahagian daripada Selangor.
Asal Usul Port Dickson
Port Dickson mendapat nama dari pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19. Sebelum tempat ini dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di teluk kecil.
Orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang atau Arang oleh kerana berhampiran dengan teluk tersebut terletak sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arangnya.
Akibat kepesatan pembangunan, Sir John Frederick Dickson mewartakan Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan menjadikannya sebagai tempat istirehat untuk pegawai dan peladang British. Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China.
Pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong ( sekarang Seremban ). Ini membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong serta mengembangkan perdagangan untuk mengeksport timah dari lombong di Sungai Ujong.
Sempena dengan perasmian landasan kereta api itu, pihak British telah menukarkan nama tempat tersebut dari Tanjung menjadi Port Dickson dan jadilah sebutan orang ramai di Malaysia malah seluruh dunia.
Muzium Tentera Darat
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah merasmikan yang terletak berdekatan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada 28 Jun 2005. Ilham untuk mengadkan Muzium Tentera Darat ini telah bermula sejak tahun 1989. Tahun 1999, Port Dickson telah dipilih untuk lokasi 'pencarian muzium' ini bersempena dengan kelahiran Tentera Darat yang pertama iaitu pada 1 Mac 1933 di sini.
Konsep muzium ini mendapat perakuan kerajaan pada 31 Disember 2001 dan bermula tarikh tersebut kompleks yang dahulunya merupakan Pusat Latihan Asas Tentera Darat itu bertukar wajah menjadi lokasi strategik pelancongan di negeri dan dalam negara ini.
Sebaik melangkah ke sini, terasa begitu menakjubkan. Patutlah dikatakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia. Dalam muzium ini, pengunjung akan disajikan kisah perjuangan, keringat, darah, nyawa dan air mata tentera darat. Bahan pameran agak menarik dan membuatkan tidak merasa bosan ketika menyingkap kembali pelbagai khazanah, artifak, koleksi dan peralatan ketenteraan.
Tambah menarik lagi dalam muzium ini ialah paparan yang berkonsepkan informatif dan interaktif, sesuai dengan aspirasi masa kini selain persembahan audio visual 'Pepper Ghost' yang dikatakan pertama seumpamanya di Malaysia.
Melihatkan keunikan tersebut, maka tidak hairanlah Muzium Tentera Darat ini pernah merangkul tempat kedua Anugerah Pelancongan Malaysia pada tahun 2006 dalam kategori Tarikan Warisan (National Heritage).
Aku kira kewujudan muzium ini bukan sekadar tarikan pelancongan, tetapi boleh menjadi pusat sumber ilmu dan rujukan kepada generasi akan datang dalam mendekatkan diri kepada bidang ketenteraan khususnya dalam cabang tentera darat. Tetapi yang dipamerkan bukan sekadar Angkatan Tentera Darat zaman modern, tetapi turut memaparkan sejarah sejak Kesultanan Melayu Melaka dahulu serta kesan budaya Melayu, Cina, India, Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris.
Di sini dipaparkan 'Perjanjian Pangkor' pada tahun 1874, sebagai tanda bermulanya dasar campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, yang mana menyaksikan penentangan pahlawan Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak, Tok Janggut di Kelantan, Abdul Rahman Limbung di Terengganu, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang serta Datuk Kelana di Sungai Ujong.
Yang menarik perhatianku ialah perjanjian Pangkor serta banyak perjanjian serta dokumen penting lain ketika itu dibuat dalam jawi. Penjajah masih menghormati tulisan jawi. Apakah kerana ketika itu hanya tulisan jawai yang difahami ? Boleh ikut pulak si penjajah, tentunya boleh djadikan bukti dimahkamah dunia. Tetapi kini, bukan sekadar tulisan jawi, nak cari yang bahasa Melayu pun payah. Nak salahkan siapa ? Keadaan ? Perubahan zaman ?
Dapat juga masuk merasai laluan terowong bawah tanah yang cuba mengambarkan pergerakan bawah tanah dan kegiatan komunis di negara kita suatu masa dahulu.
Muzium ini dibuka secara percuma, setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali hari Isnin dan Selasa. Maklumat lanjut boleh diperolehi di http://www.armymuseumpd.gov.my.
PD Ostrich Show Farm
Kalau nak ikutkan, banyak ladang penternakan burung unta atau burung kasawari atau ostrich di Malaysia. Persoalannya boleh hidupkah mereka. Menyaksikan burung unta di PD Ostrich Show Farm memberikan suatu pengalaman lebih dekat kepada burung ini.
Burung unta adalah yang terbesar dan terberat dari kalangan burung ( tidak termasuk burung Garuda ? ). Walaupun tidak boleh terbang, tetapi ia mampu berlari laju sehingga 70km/jam. Kepaknya digunakan untuk memacu keseimbangan khusunya semasa berlari laju serta komunikasi antara unta jantan untuk mengurat si betina.
Aku rasa ada sekitar 20 ekor burung unta di sini. Burung di sini kebanyakkan dibawa dari benua Afrika. Katanya ada yang lahir di sini. Seekor burung unta boleh hidup sehingga 70 tahun. Lama juga. Dalam setahun seekor brung unta betina boleh bertelur sekitar 60 biji setahun. Besar dan berat juga telurnya, kekira 1kg lebih.
Disini pengunjung berpeluang untuk menaikki burung unta. Tapi melihatkan bentuk badan serta bulunya, terasa kesian serta geli juga. Semua burung unta di sini kurang kemas bulunya dan macama banyak gugur. Kekadang tu rasa tak yakin pulak, boleh ke ?
Dengan membeli makanan berupa jagung kering, kami berpeluang merasaikan pengalaman memberikan makanan kepada burung unta. Burung unta ni juga makan dedaun. Memula rasa takut melihatkan paruhnya yang besar serta lehernya yang panjang. Tetapi baik rupanya haiwan ini.
Selain daripada burung unta, terdapat juga koleksi sampingan lain seperti monyet, ayam itik exotic, iguana serta pengalaman bermain dengan arnab.
Ada juga dijual satay burung unta RM 10 untuk 6 batang. Tapi .. bagaimana sembelihananya ? Ladang ini dibuka setiap hari ( walaupun pada cuti umum ), dari 9 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk RM 8 untuk dewasa dan RM 4 untuk kanak-kanak.
Klik Untuk Lihat Lagi Gambar
Tentera AS tersilap tembak jet sendiri
53 minutes ago
4 Komen:
Salam, ustaz nak tanya pasal eAlim digital al quran. Bagaimana dengan kualiti dan daya tahan produk itu. Adakah berkualiti dan tahan lama tidak rosak. Saya bercadang untuk membelinya dan jika boleh ustaz tolong feedback tentang produk tu. Jzkk.
So far OK kalau setakat untuk mengaji, sebab suara dan tulisannya jelas. Cuma eBooknya sukar sikit nak dibaca sebab susunan format tulisannya 'tak kemas'. eAlim tidak memenuhi expectation saya sbb saya kini suka baca al-Quran yang ada tanda warna tajwid dan ini tak boleh dibuat dgn eAlim. Dah cuba download/copy Al-Quran bertajwid, tapi tak jalan dengan Flash Platyernya.
Anyway, test dulu .. sebab dengan rega RM 1229, macam lebih elok jika beli Ipad ( besarlah sikit ) then install dengan related islamic software ( mungkin ada kos tambahan pulak )
Salam ustaz. terima kasih atas nasihat ustaz. saya bercadang nak gunakan untuk pembelajaran bacaan quran dan perbetulkan tajwid saya. cadangan ustaz untuk beli ipad tu ada juga terlintas di hati tapi ada tak software yang boleh buat recitation ayat demi ayat jika nak semak bacaan kita. Sekali lagi terima kasih ustaz.
ariff.
Ada, cuma kena beli dan kelur duit lagi. Tak pun search aje kat internet or kedai buku Islamic yang besar-besar
Post a Comment