Hari 7 ( Selasa 26 Okt / 8 Zulkaedah )
Awal pagi tu aku agak mengantuk. Sambil aku paksakan diriku mengaji, tetiba orang sebelah menegur bacaanku. Alamak malunya, terasa terus jadi segar sekejap. Pandangan mataku kepada mukasurat al-Quran pun kelihatan terang. Ku cari-cari di mana kesilapan itu. Ternyata memang benar, agaknya beliau hafidz. Aku menjawab ‘Syukran’. Tapi aku rasa tak perlu malu sangat dengan teguran itu.
Namun aku sebenarnya tidak menyangka, bacaan al-Qur’anku sudah laju jauh melebihi sasaran. Banyak masa dapat aku diperuntukkan untuk membaca al-Quran. Sesekali kulihat juga makna terjemahannya, khususnya antara azan dan iqamat. Aku jangka sebelum ke Mekah, sudah boleh khatam 30 juzuk untuk kali pertama. Balik rumah di Malaysia nanti, kena peruntukakan masa supaya boleh dapat khatam 30 juzuk dalam masa yang pendek.
Kiranya mudah aje matematiknya. Al-Quran ada 600 mukasurat. Kalau nak khatam 30 hari sebulan, so kena baca 20 muka surat sehari. Bahagi dengan 5 waktu solat, kiranya cuma baca 4 mukasurat selepas solat.
Yang pentingnya bagaimana nak menanda mukasurat tempat henti membaca untuk disambung semula nanti. Itu yang aku bawa al-Quran khas yang ku bawa kesana kemari dalam bag galasku ketika ke Masjid Nabawi. Yang pentingnya peruntukkan masa, bukan tunggu masa terluang. Kalau dalam masa 10 hari boleh khatam, maknanya sepanjang aku di Tanah Suci Madinah dan mekah, boleh khatam 4 kali … boleh ke ?
Pelbagai gaya orang mengaji al-Quran dapat dilihat dalam masjid ini. Tak kiralah, asalkan budaya membaca dan menghayati al-Quran subur berjalan dalam masjid ini. Ada yang kuat bacaannya hingga kedengaran ramai dan mengganggu orang lain. Ada yang baca dalam hati dan ada yang lancar serta merangkak-rangkak. Ada juga yang berguru. Tapi seronok melihat suasana begini.
Kelas-kelas mengaji juga terdapat di masjid ini, khususnya untuk orang tempatan dalam semua peringkat, daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kelas ini diadakan pada waktu petang setelah solat asar. Mungkin ada antaranya dalam program tahfidz.
Orang Semakin Ramai
Jemaah semakin bertambah ramai yang hadir ke Masjid Nabawi. Masing-masing memang boleh dikenali indentiti negara menerusi pelbagai tanda pengenalan yang dipakai. Sama ada di baju, songkok, lanyard, bag galas atau scarf.
Jika di luar masjid, kelompok ini kelihatan berkumpul seragam dengan seorang memegang bendera pengenalan. Suasana selepas solat di luar masjid selalunya amat menarik.
Kekadang berkumpul sekeluarga. Kemungkinan sebab tinggal terpisah bilik di hotel masing-masing, itu yang ambil peluang bertemu dan bersembang di luar masjid.
Taklimat Perjalanan Ke Mekah
Lepas Isyak, diadakan ceramah serta taklimat perjalanan ke Mekah di hotel untuk jemaah KT03. Satu KT03 ada kekira 400 orang, tetapi rasanya yang hadir sekitar 200 entah sampai entah tidak. Di mana yang lain ? Apakah sebab tidak cukup ruang atau masih iktikaf di Masjid atau sibuk membeli belah ? Pihak TH tidak seharusnya menyalahkan keadaan ruang yang terhad sebagai alasan. Taklimat ini ku kira amat penting.
Argh !! Macam belum puas di Madinah, sudah cerita nak meninggalkan Madinah. Tapi kena juga menuju ke Mekah kerana kerana itulah kita datang, menunaikan dan menyempurnakan ibadah haji kita. Ya Allah, berilah aku peluang kembali ke bumi Madinah suatu masa nanti, insya'allah.
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
25 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment