Floria 2011 Putrajaya telah berlangsung selama 9 hari dari 9 hingga 17 Julai 2011 di kawasan berhampiran Monumen Millinium Presint 2, Putrajaya. Bagiku ini kali kedua berkesempatan ke sana. Namun jika dibandingkan dengan tahun lalu, aku rasa tahun lepas lebih besar saiz pamerannya. Namun satu kelainan serta keistimewaan pada tahun ini pertunjukan atau perarakan bot berhias pada waktu malam yang kemudiannya disusuli dengan pertunjukan bunga api pada setiap malam.
Putrajaya Floria 2011 adalah acara bertaraf antarabangsa yang dihoskan oleh Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Mengunjunginya pasti kita terpesona dengan bunga-bunga dan dedaun yang kemas diatur dan landskap dalam pelbagai gaya dan susunan yang mewujudkan kemeriahan warna-warni. Peminat bunga pasti jadi mabuk dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar mengabadikan kenang-kenangan.
Selain daripada pameran bunga-bungaan, terdapat begitu banyak perkara untuk dilihat dan dilakukan di dalam kawasan seluas 15 ekar ini. Terdapat juga banyak program dan aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.
Floria Putrajaya 2011 membawakan tema “Mawar Untuk Selamanya”. Tidak tahulah mengapa bunga mawar atau ros dipilih. Selalunya bunga mawar memberikan lambang kasih sayang. Apakah ini sebagai tema amat dalam usaha kerajaan mengeratkan perpaduan.
Disamping itu rekaan taman daripada 17 pereka taman dan gubahan bunga dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Taiwan, Thailand, Macau, Kenya, Pakistan, Kanada, dan New Zealand turut diadakan, terutamanya dalam khemah khas yang disediakan.
Istimewanya pada waktu malam, kerana aku berkesempatan melihat perarakan bot serta pertunjukan bunga api setelah selesai menngambil anakku pulang dari kelasnya di Presint 11. Namun agak mencabar untuk mengambil gambar waktu malam, terutamanya ketika pertunjukan bunga api. Bertemakan ‘Magic of the Night’, perarakan itu menampilkan 14 bot yang memaparkan pelbagai jenis flora serta lampu yang berwarna-warni, termasuk dari Brunei.
Sebaik selesai Floria 2011, kedengaran pelbagai cadangan seperti acara ini terus menjadi produk pelancongan bagi orang ramai berkunjung ke Putrajaya serta menjadikan tapak pameran sebagai tapak kekal lanskap yang indah dengan pelbagaitanaman bunga-bungaan.
Dalam salah satu hari kunjungan aku ke sana, aku ketemu dengan bekas Ahli Parlimen Besut Terengganu yang kini sedang mengusahakan tanaman Keladi Tikus secara komersial untuk produk keluarannya untuk merawat dan mencegah kanser. Agak menarik juga.
Lagi Gambar Sekitar Floria Putrajaya 2011
0 Komen:
Post a Comment