



Peristiwa Hijrah Dan Bulan Muharram ?
Muharram bukanlah bulan berlakunya penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Tetapi ia adalah bulan pertama yang dipilih dalam dalam kalendar tahunan Islam. Hanya tahun penghijrahan Rasulullah s.a.w dipilih sebagai tahun pertama. Terdapat pendapat pengkaji sirah menyatakan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi Rasul. Baginda kemudian memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal.
Hari Asyura atau 10 Muharram
Hari ke 10 Muharram disebut juga sebagai Hari Asyura. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Bagi masyarakat kita, lekat nama Bubur Asyura yang diambil sempena bubur masakan mereka yang terselamat bersama Nabi Nuh, keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan dengan bah besar.
Akhirnya, hadits yang Ketiga, Dari Ibnu Abbas r.a.beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila (usia)ku sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” ( H.R. Muslim ) Ini adalah lantaran orang Yahudi juga membesarkan 10 Muharram ketika itu. Jadi puasa 9 Muharram bagi membezakannya dengan orang Islam. Namun Rasulullah s.a.w tidak sempat melaksanakannya kerana wafat tahun berikutnya.
Abu Musa al-Madani pula meriwayatkan dari Ibnu Abas, “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah baginya bersedekah setahun” ( H.R Al-Bazzar )
Daripada Ibnu Mas'ud, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda, "Sesiapa yang memperluaskan makanan ke atas keluarganya pada hari Asyura, akan sentiasa berada salam keadaan diperluaskan rezekinya sepanjang tahun itu" ( H.R al-Tabrani )
Peristiwa Besar Muharram
Berbanding dengan hal 1 Muharram, nampaknya 10 Muharram lebih besar peristiwanya. Berdasarkan kisah yang dicatatkan dalam pelbagai media, terdapat pelbagai kejadian besar berlaku ketika 10 Muharram, antaranya seperti berikut :-
• Hari pertama Allah menciptakan alam.
• Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan 'Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.
• Nabi Adam a.s. dicipta.
• Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
• Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
• Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
• Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
• Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
• Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
• Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
• Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
• Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
• Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
• Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
• Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.
Kepentingan Hijrah
Memang kita akui akan kepentingan Hijrah Rasulullah s.a.w untuk kita hayati sempena Maal Hijrah. Jika tidak bersempena dengan Maal Hijrah 1 Muharram, bila lagi hendak diperingati ? Rasulullah s.a.w dan para sahabat berhijrah untuk menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Mereka berhijrah meninggalkan semua harta setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka.
Intipati peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasad, tetapi antara tujuan yang penting ialah untuk membimbing dan mendidik para Sahabat yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit.
Hijrah Meninggalkan Maksiat
Dari sudut bahasa, Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah, hijrah adalah meinggalkan sesuatu yang dilarang. Ini adalah berdasarkan hadis bahawa Rasulullah s.a.w, "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya" ( H.R Ahmad )
Makna yang luasnya, hijrah difahami sebagi perpindahan dari suatu keadaan tidak baik atau kurang baik kepada keadaan yang lebih baik dan tentunya yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Nota : Dipublish semula, pertama kali pada SATURDAY, DECEMBER 11, 2010 dengan sedikit penyesuaian. Kemudian pada 27 November 2011 dan pada hari ini sempena 1 Muharram 1434H.
0 Komen:
Post a Comment