Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Pergolakan Dunia Arab : Pengajaran & Harapan

Belumpun sempat aku mengetahui lebih lanjut tentang pergolakan yang berlaku di Tunisia, tiba-tba kedengaran kisah pergolakan berlaku di Mesir. Rakyat bangkit mengadakan protes, memberontak dan membuat demontrasi dijalanan sehingga melumpuhkan pentadbiran negara selain mendesak pemimpinnya meletakkan jawatan. Puncanya dikatakan hampir sama, peningkatan kadar pengangguran, korupsi, kemiskinan, rakyat hidup susah serta tidak mempunyai pekerjaan sedangkan pimpinan tertinggi serta kerabat keluarganya terus hidup dalam kemewahan.

Mungkin tidak banyak diberitakan dalam media massa di negara kita. Sekonyong-konyong kedengaran rusuhan menuntut Presiden Tunisia Zine el-Abidine Ben Ali ( agaknya kalau di Malaysia, Zainal Abidin bin Ali) meletakkan jawatan. Bantahan rakyat menyeluruh di seluruh negara Tunisia yang mempunyai penduduk sebanyak 12 juta. Kebangkitan rakyat telah digerakkan melalui internet, Facebook, Blog dan laman web sosial yang lain sehinggakan ada rakyat Tunisia yang bekerja di luar negara, pulang untuk menyertai demonstrasi apabila mendapat maklumat dari Facebook dan Blog.

Keadaan di Tunisia ditambah dengan keserakahan isteri Presiden Tunisia Leila Trabelsi, 52 tahun. Leila bekas pereka rambut berumur 20 tahun lebih muda dari Zine el-Abidine, sangat cintakan kekayaan dan kemewahan hidup sehingga beliau disamakan dengan Imelda Marcos Arab. Rakyat sudah jijik dengan keserakahan isteri beliau.

Akhirnya Ben Ali yang telah bertahta di Tunisia selama 23 tahun lari mendapatkan perlindungan di Arab Saudi, manakala isterinya dikatakan bersembunyi di Dubai, bandaraya mewah untuk beliau terus shopping. Dua anak perempuan mereka melarikan diri ke Hotel Disneyland di Paris, di mana mereka bersembunyi di suite-suite VIP. Malah dikatakan hasil korup keluarga ini dianggarkan sebanyak £3.5billion telah disimpan di Peranchis bekas penjajah Tunisia.

Jenayah Ben Ali tidak setakat itu sahaja. Ben Ali dikatakan memerintah secara diktator. Beliau benar-benar berusaha terus 'membuang' Islam dari tubuh negeri yang pernah berjasa menyebarluaskan Islam ke seantero Afrika dan Eropah. Kebangkitan rakyat Tunisia dalam menumbangkan Ben Ali menimbulkan keresahan negara lain yang berhampiran. Semangat kebangkitan rakyat dibimbangi menular kepada negara lain khususnya di Utara Afrika dan Dunia Arab Asia Barat. Terbaru selain Mesir ialah Algeria dan Yaman.

Ini suatu iktibar buat pemerintah supaya mengingati tentang amanah yang diberikan oleh rakyat, supaya tidak lupa diri dan bongkak dengan anggapan kuasa dimilikki sepenuhnya oleh pemerintah. Namun alangkah baiknya sekiranya kebangkitan ini menggantikan pemerintahan sedia ada dengan bangkitnya kembali semangat melaksanakan syariat dalam pemerintahan.

Bagiku satu jenayah bagi Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir ialah tindakan beliau membina tembok di sempadan Mesir-Palestine di Rafah yang menghalang daripada orang Palestine daripada menyeberang masuk mendapatkan keperluan harian, bantuan dan menyelamatkan diri angkara keganasan Israel. Malah kehadiran misi Live Line For Gaza terpaksa melalui jalan laut lantaran tidak dibenarkan oleh Mesir untuk menjadi laluan dalam memberikan bantuan masuk ke Gaza. Sempadan Rafah ditutup 'rapat' sebaik Hamas menang di Palestine atas kebimbangan hubungan baik Hamas dengan parti pembangkang Mesir Ikhwanul Muslimin.

Hosni Mubarak juga dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi. Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu AS$2 ( RM6.11 ) sehari. Negara itu juga dikatakan mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah. Tetapi benarkah begitu ? Ramai pelajar Malaysia di sana khususnya Universiti Al-Azhar dan Iskandariah termasuk dalam bidang perubatan.

Mesir dan Israel telah menamatkan konflik antara mereka dengan menandatangani satu perjanjian damai semasa Anwar Sadat dan diwarisi oleh Hosni Mubarak. Walaupun perjanjian 'perdamaian yang dingin', ia merupakan kerjasama strategik Israel paling penting di Timur Tengah. Keadaan ‘selamat’ itu memberi peluang kepada Israel untuk menumpukan aspek ketenteraan di perbatasan sebelah utara serta membolehkan Israel memotong peruntukan pertahanan, yang sekaligus membantu membangunkan ekonomi.

Orang-orang di Mesir kini dikepung kerajaan rejim Mubarak yang melarang Facebook, Twitter, dan semua laman web popular yang lain. Internet benar-benar disekat di Mesir. Seterusnya rangkaian telefon bimbit disekat yang akan diikuti dengan sambungan telefon rumah telefon dipotong untuk mengelakkan agensi berita mengetahui dan menyiarkan apa yang sedang berlaku disana.

Sejauh mana perubahan akan berlaku di Mesir ? Sejauh mana ianya memberi kesan terhadap hubungannya dengan Israel. Apakah Israel kini tidak senang duduk apabila sekutunya bergolak ? Apakah Israel akan bertindak mencari sekutu baru ? Negara mana pula yang akan menjadi mangsa. Semoga Allah akan memberikan cahaya kesedaran untuk kebangkitan Islam di dunia Arab dan pergolakan yang berlaku menguntungkan Islam.
Share:

0 Komen:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah