Muzium Kesenian Islam Malaysia terletak bersebelahan dengan Masjid Negara. Ia dikatakan sebagai muzium yang pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara yang dikhususkan bagi kesenian Islam. Muzium ini mula dibuka pada 12 Disember 1998. Yang menariknya bangunan muzium yang bernilai RM 100 juta ini dibina dan diuruskan oleh Yayasan Al-Bukhary, sebuah yayasan yang diterajui oleh jutawan Melayu Islam yang tidak asing lagi iaitu Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bangunan muzium ini direka oleh rakyat Malaysia dan keindahan senibina Islam jelas dilihat menerusi binaan kubahnya. Ilham pembinaannya adalah berikutan kejayaan Pameran Dunia Tamadun Islam yang telah diadakan di Pusat Islam Kuala Lumpur pada tahun 1994, dimana perlunya penubuhan satu pusat pembelajaran dan penyelidikan yang tetap untuk memelihara sejarah, kesenian dan warisan budaya Islam.
Kunjungan aku kali ini bukan yang pertama, pernah lama dahulu aku ke sana. Jika dibandingkan dengan Muzium Negara, mungkin jauh berbeza daripada segi bilangan pengunjungnya. Apakah kerana kurang promosi atau tidak tersenarai dalam senarai muzium di bawah Jabatan Muzium Negara Malaysia. Atau orang tidak minat dengan tema ‘Kesenian Islam’ berbanding dengan tema hantu, keranda seperti yang pernah dilakukan di Muzium Negara. Satu pameran khas bertajuk Al-‘Ilm : Sains Dan Inovasi Dalam Islam sedang berlangsung bermula 25 Februari hingga 29 Mei 2011. Pameran tersebut sepatutnya dirasmikan oleh PM, tetapi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menggantikannya.
Galeri Senibina
Sebaik mendapatkan tiket masuk ( RM 12 dewasa dan pelajar serta kanak-kanak RM6 ) , naik lift untuk ke Galeri Senibina. Di sini terdapat pelbagai model senibina beberapa bangunan yang mempunyai signifikannya dengan tamaddun serta senibina Islam.
Senibina binaan mengambarkan bagaimana penzahiran identiti budaya Islam. Ini antara yang awal dapat dilihat dalam sejarah Antaranya, Masjidil Haram, Taj Mahal dan masjid di sekitar Iran dan Cina.
Sukarnya Memelihara Naskah Al-Quran
Daripada pelbagai bentuk dan jenis naskah dipamerkan, nampaknya macam sukar aje memelihara naskah Al-Quran, sejak zaman Rasulullah s.a.w. Tidak hairanlah kalau ada pehak serta orientalis yang mempertikaikan kesahihan Al-Quran. Bagi mereka, tak mungkin tidak berlaku kesilapan dalam penyusunannya.
Memanglah kalau dibandingkan dengan teknologi masa kini, naskah Al-Quran mudah dikumpul dan diterbitkan dalam pelbagai bentuk. Yang berbeza adalah perubahan teknologi, namun sebagai seorang Islam, keyakinan tinggi bahawa dalam apa keadaan sekalipun Allah s.w.t sentiasa memeliharanya.
Bagaimana Islam Sampai Ke Malaysia ?
Di sudut galeri Dunia Melayu, pelbagai manuskrip serta Al-Quran tulisan tangan dengan pelbagai saiz dipaparkan. Ada al-Quran yang hanya boleh dibaca dengan kanta pembesar. Persoalannya mengapa al-Quran bersaiz kecil dibuat. Bukankan payah nak membaca atau menyemak tulisannya.
Al-Quran bersais kecil dikatakan untuk memudahkan ianya dibawa kemana-mana serta menjadi pelindung daripada godaan syaitan khususnya. Persoalan timbul bagaimana Islam boleh sampai dan mula bertapak di Malayisa suatu ketika dahulu ?
Galeri China
Bagi sudut galeri Cina, kesenian Islam banyak diabadikan dalam pinggang, mangkuk, pedang, kendi etc. Cantik-cantik nampaknya, tapi tentunya susah dan memakan masa yang lama untuk menghasilkannya. Apakah pinggan mangkuk tersebut sebagai hiasan atau digunakan untuk menjamu selera ? Alangkah ‘berkatnya’ makanan tersebut.
Berbanding dengan negara kita, memang Islam lebih awal sampai ke Negara China. Banyak juga naskah Al-Quran tulisan tangan dari negara tersebut dipamerkan. Tulisan kaligraf arab dianggap sebagai elemen seni Islam yang penting dan cepat berkembang bersama dengan perkembangan Islam. Pengaruh Islam dalam tulisan kaligraf Cina begitu ketara. Beberapa skrol berkaitan dipamerkan.
Apakah Kesenian Islam ?
Mengunjungi muzium ini membuka minda yang membawa kepada persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan Kesenian Islam ? Ini kerana muzium ini dikatakan memuatkan sehingga 7 ribu artifak dari seluruh dunia termasuk contoh kerja logam dan seramik Islam. Kalau konsert atau malam kesenian, tentunya dipersembahkan tarian dan nyanyian.
Untuk mengetahui jawapannya, dipamerkan takrifan yang berkaitan iaitu Asal-usul Dan Latar Belakang Kesenian Islam. Tapi aku macam rasa yang lebih sesuai muzium ini dijadikan Muzium Tamaddun Islam.
Al-‘Ilm : Sains Dan Inovasi Dalam Islam
Galeri Khas Al-Ilm mempamerkan betapa inovasi yang pernah dipelopori oleh cendikiawan Islam dahulu telah memberikan pengaruh dan sumbangan sehingga kepada dunia modern kini. Mereka menggunakan pemerhatian dan ujikaji mereka sendiri dalam menjawab segala persoalan tentang dunia sekitar.
Pemerintah Islam ketika itu menjadi pengalak kepada inovasi umat Islam, sama ada dengan mewujudkan perpustakaan, pembinaan balai cerap dan institusi pendidikan. Banyak didedahkan pencapaian inovator Islam dahulu kala dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, pertanian dan senibina.
Cenderahati
Memang menarik. Dua jam di sana rasanya macam tidak cukup hendak menyelami keseluruhan pameran yang menghimpunkan kesenian Islam dari seluruh dunia.
Untuk mengabadikan kenang-kenangan, selain ruang makan disediakan juga kedai yang menjual buku serta cenderahati yang berkaitan dengan apa yang dipamerkan. Reganya dari serendah RM5 sehingga berpuloh ribu RM. Berkunjunglah ke muzium ini, banyak manfaatnya
0 Komen:
Post a Comment