Pada 9 – 10 Mel 2011 lalu, aku berkesempatan ke Miri Sarawak lagi. Aku pernah ke sana dua kali sebelum ini atas urusan kerja. Walaupun agak penuh dengan jadual harian, sempat juga menyinggah beberapa lokasi yang dapat ku catatkan di sini. Mungkin dua kali kunjungan sebelum ini, belum wujud lagi teknologi internet atau blog seperti ini. Jadi, tak adalah catatan.
Miri dikatakan mendapat namanya daripada suku kaum Miriek yang merupakan penduduk bumiputra Miri pada abad ke-16. Miri asalnya merupakan sebuah perkampungan tempat nelayan mendapat perlindungan semasa mengharungi ombak besar dan angin kencang. Apabila minyak dijumpai, ini telah menarik perhatian peneroka minyak untuk datang ke sini. Orang Eropah yang datang untuk mencari gali minyak di bandar ini secara tidak sengaja menukar nama Miriek menjadi Miri dan kekal nama Miri hingga ke hari ini.
Bandaraya ini terletak di bahagian Utara Sarawak, dikelilingi oleh laut di bahagian timur dan bersempadan dengan Brunei Darussalam. Walaupun mempunyai penduduk sekitar 280,000 orang, Miri diiktiraf sebagai bandaraya pada Mei 2005 dan merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, selepas Kuching.
Miri membangun kerana industri minyak. Selain daripada itu Miri mempunyai beberapa tempat menarik serta menjadi tumpuan pelancong serata dunia. Antaranya ialah Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu dan Taman Buaya
Grand Old Lady
Miri merupakan tempat lahirnya industri petroleum bagi Sarawak dan juga Malaysia. Industri ini masih wujud sebagai industri utama di Miri. Telaga minyak pertama telah dikorek oleh Syarikat Shell dan diusahakan secara komersial pada tahun 1910.
Telaga ini namakan juga sebagai Miri Well No. 1 serta The Grand Old Lady. Telaga ini telah ditutup pada Oktober 1972 dan di tempat tersebut telah didirikan Muzium Petroleum mulai 2005.
Beberapa peralatan mengorek dan mendapatkan petroleum yang asal masih terdapat di luar Muzium sebagai tarikan pelancong. Namun telaga ini menjadi saksi kepada perubahan Miri yang asalanya merupakan sebuah perkampungan nelayan, kepada bandar pelancongan yang moden
Hairannya, telaga ini berada di atas bukit yang dinamakan Bukit Kanada. Camana penemuannya dulu ? Nama tersebut diberikan bersempena dengan seorang warga Kanada yang pernah menetap di bukit tersebut, yang bertugas untuk menguruskan pekerja dalam industri petroleum. Bukit ini telah ditukar namanya kepada Bukit Telaga Minyak pada 2005.
Taman Negara Bukit Lambir
Pertama kali aku mendengarnya, Taman Negara Bukit Lambir rupanya bukan sebarangan. Ia dikatakan sangat popular di kalangan ahli ekologi dan para penyelidik.
Taman negara yang terletak kekira 30 minit perjalanan dari Miri ini, begitu luas serta mengandungi pelbagai spesis pokok dan serangga, termasuk yang masih belum dikenali. Bukan itu sahaja, ungka, kera, monyet, babi dan malahan rimau pun dikatakan ada.
Aku tiba sudah agak lewat petang, namun sempat melalui laluan trek khas hutan ini, termasuk jambatan kayu dan jambatan gantung serta mengalami sendiri pemandangan hutan. Berdasarkan papan tanda nama pokok yang diletakkan, pengunjung dapat belajar mengenali spesis pokok-pokok besar yang terdapat di sepanjang laluan seperti Kapur Paji, Peler Kambing, Engkabang Jantong dan Tampar Hantu
Dikatakan terdapat sekurang-kurangnya 7 air terjun dalam perjalanan menuju ke puncak Bukit Lambir. Namun kami sempat sampai ke dua air terjun sahaja. Salah satunya dinamakan Air Terjun Latak.
Walaupun tidaklah banyak air yang terjun, tapi nampak agak menarik juga. Tak dimaklum lebih awal, kalau tidak tentu aku bawak sekali persiapan untuk mandi.
Pasar Tamu Muhibbah
Pasar ini dikatakan antara yang terkenal terkenal bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga pelancong dalam dan luar negara. Pasar tamu ini telah berusia 25 tahun dan terletak di tengah-tengah bandar raya Miri.
Ia dibuka dengan rasminya pada 30 Ogos 1986 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Patinggi Haji Taib Mahmud.
Pasar ini agak unik kerana peniaganya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Mereka menjual pelbagai hasil sayuran dan buah-buahan, termasuk yang dibawa dari pendalaman sekitar daerah ini.
Singgah ingatkan nak cari makanan atau buah-buahan yang special. Nampaknya hampa sahaja. Mungkin bukan musimnya ?
Pantai Luak Esplanade Miri
Pantai Luak Esplanade Miri terletak agak jauh juga dari Bandaraya Miri. Nampak cantik, luas, rata dan bersih juga. Terbentang luas dihadapan ialan Laut Cina Selatan. Luak juga bermaksud ‘bay’ bagi orang Sarawak, so cukuplah kalau dipanggil Esplanade Miri.
Tapi tak berapa ada orang mandi. Mungkin pantainya kurang sesuai atau sebab hari biasa, bukan hujung minggu. Kelihatan ada juga orang turun memukat di pantai ini selain pasangan yang ‘merendek’. Agaknya kalau weekend ramai orang di sini.
Masjid Jamek Miri
Masjid ini terletak betul-betul di hadapan hotel penginapanku. Agak pelik juga, persekitaran masjid penuh dengan pejabat dan juga kedai-kedai, tak nampak ada perumahan atau kampong. Aku kira ini masjid lama lantaran tidak berbentuk moden. Selain masjid terdapat juga bangunan sekolah agama dalam kawasan masjid.
Aku difahamkan,masjid ini didirikan di atas tanah wakaf. Itu yang payah nak diusik. Dulu memang banyak kampong penempatan di sekitar, tetapi sudah ‘hilang’ ditolak pembangunan. Barangkali jemaahnya bergantung kepada pekerja sekitar serta penghuni hotel dimana aku menginap ?
Bagus juga, kedengaran azan dan dapat juga singgah berjemaah. Semasa kusolat di sana, imamnya sudah agak berusia. Berbanding dengan tenmpat lain, di sini kalau selepas azan Maghrib, terus iqamat untuk solat. Apakah semua di Sarawak macam ini. Tetapi persoalannya kini, berapa lamakah masjid ini akan dapat bertahan ?
Lapangan Terbang Miri
Berbanding dengan kunjungan sebelum ini, jauh benar bezanya. Nampaknya lapangan terbang ini telah diupgrade sebegitu rupa bagi menampung keperluan yang bertambah. Malah dianggap kedua tersibuk di Malaysia selepas KLIA dan Kota Kinabalu.
Daripad segi saiz bangunan, tak adalah besar jika nak dibandingkan dengan Alor Star, Langkawi atau Senai Johor Baru. Cuma mungkin sibuk daripada segi bilangan penumpang turun naik kot. Ramai yang berkaitan dengan minyak kot, atau nak ke Brunei atau tempat pelancongan.
Klik untuk lagi gambar
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
13 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment