Kekira pertengahan 1990an ( mungkin 1996 ) aku berpeluang mengikuti perbarisan atau perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan. Itulah tahun pertama ianya dihidupkan kembali setelah dihentikan acara berarak untuk entah berapa lama sebelumnya. Tidak dapat dipastikan punca ianya dihentikan. Perarakan ketika itu bermula dari hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur atau Dataran Merdeka dan berakhir di Stadium Negara.
Tahun 2012 atau 1433H kali ini aku turut serta lagi dalam perarakan Maulidur Rasul bagi mewakili Jabatanku. Kali ini perarakan bermula dari hadapan Istana Kehakiman Putrajaya dan berakhir di Masjid Putra dengan jarak kira-kira 2.4km. Apakah perbezaan suasana antara sekarang dengan yang 16 tahun dulu ?
Aku rasa memang tidak salah untuk berarak semasa menyambut Maulidur Rasul, bid’ah hasanah barangkali. Itu juga sebagai usaha menunjukkan atau membangkitkan semangat kita dalam melahirkan rasa cinta, sayang dan kebanggaan kita kepada Rasulullah s.a.w serta apa yang ditinggalkannya kepada kita.
Perbarisan bermula seawal 7.15pagi. Masjid ‘Besi’ waktu Suboh itu dibanjiri dengan jemaah yang juga peserta perarakan. Macam solat Jumaat atau solat raya pula dibuatnya. Maklumlah masing-masing dengan pakaian baru ‘free’ yang ditempah khas serta disumbangkan oleh agensi atau jabatan yang diwakili.
Sebanyak lebih daripada 120 kumpulan perarakan yang terdiri dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, swasta, IPT serta sekolah. Dikatakan jumlah peserta sebanyak 12,000 orang. Bayangkan kalau set pakaian lengkap seorang berjumlah RM200, maka kali 12,000 peserta = RM 2.4 juta !!! Itu belum termasuk sesetangah agensi yang siap sediakan kasut untuk peserta perarakan agensinya.
Sepanjang perarakan, selawat dialunkan bersama pembesar suara yang disediakan oleh van-van Jabatan Penerangan pada jarak antara setiap 300-400 meter. Aku kira sekiranya tiada selawat pembesar suara, tentunya perarakan begitu sunyi lantaran peserta ‘segan’ nak keluarkan suara untuk berselawat, sebagaimana yang pernah aku alami 16 tahun lalu. Selawat dalam hati kot.
Tiba di Masjid Putra, berpeloh juga badan. Ini suatu senaman juga ni, maklumlah 2.4km berjalan kaki. Tiba masjid sahaja, ramai yang terus merehatkan diri sambil menikmati juadah sarapan pagi yang disediakan. Daripada kononnya 12,000 peserta agaknya berapa ramai yang mengambil berkat solat Tahiyatul Masjid setelah memasuki Masjid Putra ? Atau bimbang nanti dikatakan riak pula ?
Majlis terus berjalan apabila DYMM Agung tiba. Bagiku ini majlis rasmi pertama yang sempat aku hadiri bersama DYMM Agung yang baru dilantik. Majlis berjalan agak ringkas dalam suasana masjid yang dingin. Ucapan Aluan Datuk Jamil Khair, DYMM Agung, ceramah 15minit oleh penceramah jemputan dan penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul.
Apakah natijah daripada sambutan Maulidur begini ? Sejauh mana ianya memberikan bekas dalam hati umat Islam yang terlibat tentang Rasulullah s.a.w ? Sejauhmana rakyat atau orang ramai dapat menyemat masuk semua yang disampaikan oleh penceramah serta titah DYMM Agung ?
Namun aku merasakan tidak semua peserta perarakan mengikuti aturcara majlis dalam dewan solat utama Masjid Putra, sebaliknya berehat dan berbual di tepi-tepi atau sekitar masjid, lantas pulang ke rumah. Khemah yang disediakan pun tidak diisi sepenuhynya.
Berbaloikah dengan jutaan RM yang dibelanjakan untuk program sebegini jika para peserta tidak memanfaatkannya ? Apa outcomenya selain mungkin dapat mengurangkan berat badan peserta dalam beberapa ratus gram serta keseronokan peserta dapat baju free yang boleh dipakai untuk raya tahun ini ?? Tepuk dada tanya iman. Yang tambah mengejutkan aku, Jabatanku menang dalam pertandingan perarakan kategori unit beruniform !!!
Apapun tahniah kepada penerima Anugerah Maulidur Rasul kali ini. Melihatkan bidoata mereka, agak teruja juga. Yang mencuri tumpuan selain penerima anugerah perdana ialah pelajar yang walaupun tidak cukup sifat namun berjaya mencapai 9A dalam PMR 2011.
Lagi Gambar
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
12 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment