Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikan pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, pahit, indah, muram, genting & gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Menjamu Mata Di Bukit Keluang

3 Februari 2019 : Photobooth baru sebagai tarikan pengunjung ke Bukit Keluang, Besut.

Singgah di Pasat Siti Khadijah, Kota Bharu

4 Februari 2017 : Kenangan Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Masjid Selat Melaka

Destinasi wajib kunjungi jika ke Melaka sambil rehat dan solat ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Pengubat Kerinduan Mekah & Madinah

Melihat bakal haji sampai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 26 September 2013 untuk bertolak mengerjakan haji, mengingatkan aku kepada pengalamanku yang pernah sampai ke sana. Ini menimbulkan rasa kerinduan untuk sampai lagi ke sana mendakap bumi haramain. Kerinduan yang menggamit kenangan pada keindahan lantaran terpilih menjadi tetamu Allah. Rindu betapa seronoknya berada di sana, meskipun terpaksa meredah segala kepayahan, meskipun berjauhan daripada rumah, keluarga, kampung halaman dan sanak saudara.

Dalam aku menyaksi dan merakamkan pergerakan mereka, tidak aku sangka apabila aku lihat dalam foto yang aku ambil sebagaimana di atas ( cuba teka ), merupakan seorang Ahli Parlimen Malaysia yang aku kira agak lantang bersuara dan boleh dianggap tersohor kerana kepetahan berbicara dengan fakta dan hujah beraninya.

Mengunjungi Mekah dan Madinah bukan seperti ziarah biasa. Ia merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan juga cuma ulang alik dari Masjid Nabawi ke Hotel penginapan sahaja atau ulangalik Hotel ke Masjidil Haram dan pakai redah sahaja Tawaf, Saie, Wukuf, Mina serta melontar jamrah. Ini kerana setiap perlakuan dalam ziarah, umrah dan haji mempunyai sejarah dan hikmatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, penziarah atau bakal haji sangat digalakkan untuk mengenali dua tempat penting itu iaitu Mekah dan Madinah, agar menjadikan penghayatan serta rasa kyusyu’ yang lebih lagi.

Buku Sejarah Mekah Dan Madinah
Masa pertama kali aku ke tanah suci mengerjakan haji, aku sempat membeli buku di bawah di bumi Madinah sebagai rujukan. Tetapi bahasa Indonesianya agak kelam kabut dan gambarnya agak lama serta banyak gambar hitam putih. Mungkin sekarang sudah tidak dijual di sana atau telah diupgrade mutunya.

Memang masa kursus sebelum ke Mekaqh dan Madinah ada disentuh, tetapi masa tu tumpuan pemahaman lebih kepada tatacara dan aliran kerja ibadah haji dan tawaf. Tak fikir sangat bab ziarah, sedangkan kita ada masa sehingga 45 hari di bumi Madinah-Mekah. Takkan nak ibadat khusus, mengaji, makan dan tidur sahaja. Apabila mengikuti program ziarah aku cuba merujuk kepada buku ini. Walaupun ada pemandu mengiringi kami, namun pengkisahannya adalah terhad. Kalau nasib tak baik, mereka cuma tunjuk itu dan ini sahaja.

Madinah Munawwarah & Mekah – Kelebihan & Sejarah
Dua buku ini aku anggap terbaik, padat dengan info bergambar, lengkap serta menyeluruh dalam menceritakan tentang Mekah dan Madinah sebagai bandar lama yang bersejarah. Gambarnya banyak yang terkini, berwarna dan jelas. Selalunya memang kena ada dua-dua, tentang Madinah dan tentang Mekah. Aku boleh kategorikan buku ini sebagai mesti baca sebelum berangkat ke tanah suci.

Penulisnya pun orang yang pernah tinggal lama di sana semasa belajar di Universiti Madinah daripada peringkat ijazah pertama sehinggalah ke peringkat kedoktoran. Tentulah kajiannya menyeluruh. Aku beli buku ini sebelum berangkat mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun 2011.

Walaupun harganya agak murah berbanding buku lain mengenai Madinah dan Mekah, namun ia mengandungi huraian yang agak terperinci berkenaan tempat-tempat yang ada sekitar Mekah dan Madinah. Turut disertakan nas-nas, kisah Nabi lain yang terlibat serta beberapa tokoh yang terkait dengan tempat-tempat tersebut.

Sejarah Kota Madinah Munawarrah Dan Tempat-Tempat Bersejarahnya
Aku beli buku ini semasa di Mekah. Tetapi aku tidak pasti mengapa hanya tajuk Madinah sahaja, tanpa buku tentang Mekah. Sudah habis stok, tidak cukup duit nak beli atau memang tiada versi Mekah ?

Buku ini dicetak di Arab Saudi tetapi dalam bahasa Indonesia agak standard dan mudah difahami. Aku anggap buku ini sesuai bagi mereka yang pertama kali masuk Madinah sebab penerangannya yang menyeluruh. Murah sahaja SR15.

Destinasi Haji dan Umrah, Travelog Haji Bergambar
Buku ini aku beli masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia hasil atau buah tangan daripada orang yang banyak buat novel Islamik sehingga ada yang difilemkan. Membukanya lembaran demi lembaran yang penuh dengan gambar-gambar yang menarik, terasa syahdu lantas mengingatkan aku kepada pengalaman sama semasa berada di sana.

Bermula daripada persiapan hendak berangkat, pengkisahan beririnagan engan gambar-gambar sampai lah balik semula ke kampong halaman. Yang menariknya ialah perkara di belakang tabir yang kita tidak tahu seperti persiapan pihak berkuasa, kesihatan, pengangkutan dan pasukan keselamatan.

Bayu Kerinduan di Bumi Haramain
Ini merupakan buku terbaru tentang perjalanan Haji Mekah dan Madinah yang aku milikki dan sangat menarik untuk dibaca kepada mereka sebelum berangkat ke tanah suci. Malah bagi yang pernah ke sana, membacanya memberikan bibit-bibit kerinduan untuk berangkat ke tanah suci lagi.

Ini adalah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai warna pengalaman sebenar penulis di Haramain yang turut menyingkap hikmah dan penghayatan setiap peristiwa, penuh dengan pelbagai info dan maklumat yang jarang diketahui umum, termasuk cara kupasan dan penceritaan yang santai. Tentunya ianya merupakan catatan perkongsian penulis yang boleh dianggap sangat berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Catatan Perjalanan Haji & Umrah
Tidak dinafikan aku sering mengimbas kembali perjalanan Haji dan Umrah sebagaimana dipaparkan dalam blog ini, khususnya apabila teringatkan Mekah dan Madinah.

Mungkin gaya bahasanya tidak mempunyai nilai komersial untuk dibukukan sebagaimana buku di atas, namun sekurang-kurangnya cukup untuk aku mengimbau kembali kenangan dan perasaan semasa berada di sana, selain dapat dimanafatkan oleh pengunjung blogku.
Share:

Konsert Pray 4

Pada malam 7 September 2013 yang lalu, aku telah menghadiri Konsert Pray 4 di Stadium Bandar Baru Bangi. Konsert ini dikatakan menghimpunkan lebih daripada 100 orang daripada pelbagai kategori artis, penasyid dan penceramah dengan tujuan untuk menyedarikan orang ramai dalam mengambil perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di 4 buah Negara Umat Islam iaitu Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya. Berbanding dengan promosi yang aku anggap besar-besaran dibuat, bagiku orang tidaklah seramai mana kehadiran. Mungkin sebabkan hujan lebat berselang seli gerimis yang turun sejak waktu asar lagi atau menonton menerusi internet sahaja.

Perlukah konsert sedemikian rupa dalam menyampaikan doa untuk Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya ? Sedang mereka berhadapan dengan tentera dan peluru serta pelbagai penindasan dan kesengsaraan. Kita di sini dengan konsertnya. Apakah betul caranya dan sejauhmana kesannya berbanding objektif untuk menyedarkan orang ramai tentang pergolakan yang tertimpa ke atas umat Islam di sana ?

Khabarnya kutipan sebanyak RM80k telah berjaya dibuat pada malam tersebut untuk disampai kepada 4 wakil negara berkenaan yang diiktiraf. Ada pula yang kata RM31 ribu sahaja.


Mungkin lantaran artis serta yang terlibat menjayakan konsert ini kira free sahaja, bolehkah ada ‘untungnya’. Kelihatan banyak juga persiapan fasiliti disediakan yang semuanya memerlukan kos juga.

Mesir
Antara Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya, aku kira yang terkini dan begitu menyentuh ialah pergolakan semula dI Mesir. Betapa lemahnya kita umat Islam hanya kerana seorang As-Sisi yang lebih teruk dan jahat daripada Israel berbuat angkara yang jelas menguntungkan Israel dan Amerika. Yang ghalatnya banyak Negara umat Islam sekitar pun menyokong Morsi digulingkan. Siap bagi bantuan kewangan lagi.

Selain tidak ambil kisah, di Malaysia pun tidak kurang ada yang menyokong tindakan tentera dan berpendapat tindakan penyokong Morsi membuat demontrasi dan apa yanag dianggap keganasan tu adalah salah di sisi Islam. Habis tu suroh berdoa siang malam dalam Masjid saja dan redha dengan apa yang berlaku ?

Syria
Di Syria, pergolakan telah berlarutan begitu lama. Pergolakan di Syria kini dikaitkan pula dengan isu perselisihan antara Syiah dan Sunni ? Ini adalah lantaran Iran yang kuat berfahaman Syiah, dikatakan banyak membantu Syria. Orang Sunni dizalimi dan dibunuh di Syria. Apakah benar isu Syiah-Sunni merupakan utama di Syria hingga di Malaysia pun gempak dengan ajaran Syiah yang dikatakan menyesatkan, mulai menular dalam masyarakat Malaysia.

Ini menenggelamkan isu asal kebangkitan rakyat yang disebabkan oleh dinasti pemerintahan yang lama, zalim dan ala diktator tetapi bertopengkan demokrasi.

Malahan ada yang mengajak umat Islam Malaysia memboikot serta mengatakan haram makan kurma atau barangan daripada Iran, menggesa Kerajaan Malaysia hentikan import eksport barangan dengan Iran. Ada berani ke ?

So tahun depan jangan jemput Iran menyertai Musabaqah Al-Quran. Jangan benarkan orang Iran masuk Makkah dan Maddinah mengerjakan haji ? Camana ?

Gaza
Bukan setakat Gaza, rasanya merujuk kepada keseluruhan rakat Palestin yang berhadapa denganzionist Israel. Keperihatinan rakyat Malaysia memang telah lama terhadap Palestine. Terdapat pelbagai NGO yang memperjuangkan nasib dan memberi serta menyampaikan bantuan kepada Palestine.

Ini menimbulkan pertanyaan, sejauh mana Negara umat Islam sekitarnya memberikan bantuan selama ini ? Atas nama keselamatan Negara masing-masing, mereka menjalin hubungan strategik dengan Amerika yang sekaligus menguntungkan Israel.

Kemenangan Hamas dan Morsi menerajui Mesir mungkin tidak sempat dikecapi nikmat oeh penduduk Palestine sedang dunia Islam menanti tempias kebaikan yang bakal diterima oleh Palestine.

Rohingya
Berbanding dengan Mesir, Syria dan Gaza, mungkin Rohingnya paling kurang profail. Mungkin kerana tiada badan khas atau NGO yang memperjuangkannya berbanding dengan Palestin. Usah mengharap dan memuji sangat ‘ketokohan’ Aung San Suu Kyi yang dikatakan pejuang demokrasi di Myanmar tetapi membisu terhadap isu penindasan Rohingya.

Malah Suu Kyi pun tidak pasti sama ada Rohingya boleh dianggap sebagai warga Burma atau Myanmar. Apakah kerana mereka minoriti umat Islam ? Bagaimana kalau Keristian atau seugama dengannya ? Beliau pun mungkin rasa wajar etnik Rohingya diketepikan begitu, memandangkan demokrasi memerlukan majority bukannya minority.

Pengisian Konsert
Majlis konsert disikandengan bacaan qasidah, selawat, nasyeed, bacaan puisi, mini orum, tazkirah mini dan diakhiri dengan doa. Sebagai penyiar rasmi, TVIKIM menyiarkan secara langsung majlis ini menerusi laman web tvnya.

Doa yang dibaca dan diaminkan beramai-ramai diakhir majlis sangat menyentuh kalbu dan aku rasa ramai yang menitiskan air dengan harapan sinar baru akhirnya ditemui bagi Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Catatan Rumah Terbuka Rayaku 1434H

Posting ini aku buat sekadar nak meraikan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai, rakan sepejabat dan kenalan yang telah hadir dalam Majlis Kesyukuran dan Open House Aidil Fitri 1434H di kediamanku. Alhamdulillah walaupun terasa penat kemudiannya, tapi rasa seronok sebab ramai yang hadir termasuk yang telah lama tidak ditemui.

Aku sekalikan dengan majlis kesyukuran sebab anakku Nurul Najihah dapat masuk UM dalam jurusan perubatan dan akan mendaftarkan diri dan memulakan pengajian pada 1 September 2013.

Keluarga Adik Beradik
Alhamddulillah semuanya dapat hadir walapun jauh dari Johor dan Melaka. Tetapi memang mereka sentiasa datang setiap tahun setiap kali raya, walaupun aku tak buat rumah terbuka. Terlanjur datang, mereka akan beraya rumah sedara mara tempat lain pulak di Lembah Kelang.

Kali ini mereka aku jemput khas menerusi Group FB Keluarga Maklimah. Mereka juga antara yang terawal datang.

Selain membantu sama ada di dapor serta menyediakan hidangan, kehadiran mereka yang ramai telah memeriahkan suasana dengan keriuhan bocah-bocah anak sedara.

Saudara Mara
Aku kira merupakan kelompok kedua ramai yang hadir, mana-mana yang tinggal di sekitar Lembah Kelang.

Kebanyakan mereka adalah merupakan daripada keluarga sebelah ibuku yang tinggal di Kajang, Beranang dan Kepong.

Che Rauf Shah Alam hadir bersama abangnya yang tinggal di Cheras. Kesian dia, sebab ini merupakan raya pertama tanpa isterinya Che Nah yang meninggal bebaru ini.

Keluarga sebelah bapaku, cuma Mohd Hafis sahaja yang hair. Dia dan keluarga menetap di Pandan ( rasanya ). Tampak isterinya berbual dengan isteri rakannku dari Saujana Utama, macam pernah kenal dulu-dulu.

Teman-Teman Saujana Utama
Ini yang bestnya, daripada ramai-ramai yang aku jemput, ramai juga yang kata 'Insyaallah'. Siap ada yang mohon izin memanjangkan kepada geng-geng AJK Surau lamaku dahulu. Macam ada harapan bahawa ramai yang akan hadir.

Tapi yang hadir ada kekira lapan keluarga sahaja. Takpe, itupun sudah cukup orait dan kira mewakili yang lain.

Mungkin yang lain sibuk beraya di tempat lain. Memang perjalanan musim beraya ni sukar nak diramalkan. Lebih lama perjalanan menempuhi kesesakan jalan raya berbanding masa beraya di tempat tujuan.

Rakan Pengajian Universiti
Kemudian rakan seperjuangan semasa belajar di universiti dahulu. Seronok sebab mereka antara yang sudah lama tidak bersua muka.

Dr Khairuddin dan Pok Loh adalah antara yang terawal sampai. Kebetulan mereka memang berjiran di Bandar Salak Tinggi.

Rusdi dan keluarga masih di Subang tempat lamanya dulu dan masih juga bertugas di Telekom.

Rakan Sekolah Menengah
Aku hanya jemput menerusi Group FB, so hanya sesiapa yang buka saja nampaknya yang tahu. Akibatnya hanya dua keluarga yang hadir. Khabarnya akau patut war-warkan juga dalam e-YahooGroup teman sekolah menengahku.

Tetapi aku tidak kisah sebab aku mungkin tidak sepopular berbanding dengan rakan seangkatan sekolah menegahku.

Rakan Sepejabat
Masa puasa lagi mereka ah tanya, buat open house tak bos raya ni. Tapi seperti biasa, aku tidak mengharap ramai yang hadir. Sekitar 20 orang pun sudah cukup kuat walaupun ada yang kata nak datang dengan bas.

Ok juga, adalah beberapa keluarga yang hadir dan kira melebih daripada jangkaan asalku.

Malah ada yang hadir di penghujung majlis ketika makanan berbaki sedikit dan ada yang lalu ketika aku sedang berkemas.

Berbanding dengan tahun lepas, aku rasa kali ini lebih ramai rakan sepejabatku yang hadir. Alhamulillah. Mereka memuji keenakan masakah Nasi Dagang isteriku. Bodeklah tu ...

Wakil Keluarga Terengganu
Ada juga wakil yang dapat hadir. Tetapi semuanya ari keluarga Abang Mat Kuala Terengganu. Farah anak 'Baba' ada sejak awal membantu persiapan majlis dan sibuk di dapor.

Abu Darda yang bertugas sebagai pensyarah UKM datang lewat sikit dan tak sempat nak bergambar dengannya. Tetapi sempat mencetuskan idea untuk mewujudkan Whatsapp KeluargaHjIsmailAwang.

Yang Lain-Lain
Yang lain tu sama ada cikgu rakan setugas isteriku yang aku tidak berapa kenal sangat, kawan-kawan anak-anakku serta jiran tetangga.

Terima kasih semuanya kerana dapat hadir.


Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah