Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikan pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, pahit, indah, muram, genting & gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Menjamu Mata Di Bukit Keluang

3 Februari 2019 : Photobooth baru sebagai tarikan pengunjung ke Bukit Keluang, Besut.

Singgah di Pasat Siti Khadijah, Kota Bharu

4 Februari 2017 : Kenangan Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Masjid Selat Melaka

Destinasi wajib kunjungi jika ke Melaka sambil rehat dan solat ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Raya Korban 1433H @ Besut

Aku tidak ingat, bila kali terakhir aku dan keluarga balik beraya Aidil Adha di Besut Terengganu. Maklumlah, cuti pun hanya sehari dua. Tetapi 10 Zulhijjah Aidil Adha 1433H jatuh pada Jumaat. So ambil cuti sehari, kami pun pulang ke Besut sambil berhasrat untuk meraikan serta memenuhi jemputan walimatul urus dan pernikahan anak sedara di Lembah Bidong. Kami bertolak awal 3.30 pagi 9 Zulhijjah. Perjalanan agak lancar walaupun agak sibuk di beberapa kawasan, terutamanya yang menjadi ‘port’ kereta berehat menghilangkan rasa ngantuk agaknya.

Namun perjalan pulang kembali ke Putrajaya sungguh menyeksakan. Masa perjalanan pulang kami menjadi double berbanding dalam perjalan biasa. Semuanya gara-gara kesesakan jalan bermula pada jam 3.30petang kira-kira 10km sebelum Plaza Tol Lanchang di penghujung LPT.

Memang aku sudah agak jalan sesak, tetapi tidak sangka sebegitu dahsyat. Bukan setakat sesak di jalanraya, nak masuk tandas di RnR pun jem jugak !!! Kalau perjalanan biasa boleh sampai jam 4.30 petang, tetapi akhirnya aku sampai rumah sekitar jam 10.00 malam. Kalau tol free pada hari tersebut, mungkin aliran trafik sedikit lancar.

Perbandingan
Sempena Aidil Adha, sering dikatakan meriah suasana di Pantai Timur. Bagiku meriah atau tidak bergantung bagaimana kita meraikannya. Walaupun tiada aktiviti ziarah menziarahi, kalau aktiviti korban tidak dilaksanakan, tidak kelihatan meriahnya. Aku walaupun tidak turut serta melaksanakan korban di tanah air, namun sempat menyibukkan diri membantu aktiviti penyembelihan korban di sana.

Berbanding dikebanyakkan tempat di pantai barat, penyembelihan korban di bawah anjuran surau, masjid atau persatuan penduduk dan dilakukan sama ada di padang, di surau atau masjid. Di pantai timur, nampaknya lebih kepada anjuran individu lantas mengajak atau menawarkan bahagian kepada jejiran untuk turut serta.

Penganjuran oleh persatuan penduduk, surau atau masjid nampak praktikal di kawasan bandar atau taman perumahan lantaran payah hendak mencari atau mengumpulkan orang yang pandai, berkemahiran serta sanggup turun bergotong royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban. Maklumlah, lakukannya setahun sekali.

Jamuan Korban
Setahu aku, disunat dan digalakkan daging sembelihan korban satu pertiga diambil oleh peserta korban, satu pertiga di bahagi kepada orang fakir miskin dan satu pertiga lagi kepada jiran-jiran walaupun mereka merupakan golongan yang berkemampuan. Tentu ada hikmahnya.

Tapi aku perhatikan, daging korban tersebut dibuat jamuan dengan memanggil ahli surau dan masjid. Siap dengan khemah macam majlis walimatul urus. Apakah mereka memang gunakan satu pertiga bahagian untuk mereka dan selebihnya di agigkan kepada yang berkelayakan ?

Kalau berniat korban untuk jamuan serta merasa dagingnya yang fresh dibuat salai atau masak singgang, mungkin telah lari daripada hikmah mengapa penyembelihan korban.

Sejauh Mana Golongan Susah & Miskin Memanfaatkannya
Sejauh mana sekurang-kurangnya satu pertiga bahagian sembelihan korban dapat dimanfaatkan kepada golongan susah, fakir dan miskin ? Kalau diberikan bahagian daging sekadar sekilo dua, tentunya dalam sehari dua habislah dimakan. Bagaimana dengan hari-hari yang lain ?

Seperti ibadah Zakat, mungkin perlu dilihat semula setakat mana daging korban boleh diperlakukan bagi membantu fakir dan miskin khususnya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka ? Memang daging korban yang diagihkan boleh dijual, tetapi berapa RM sahaja diperolehi.

Ini belum diambil kira korban yang dilaksanakn oleh jutaan umat Islam jemaah Haji di Mekah. Kemana daging tersebut di agihkan ? Malahan kalau dilakukan di taman-taman perumahan, kekadangtu diagihkan kepada petugas serta jejiran sahaja pun tidak mencukupi. Apatah lagi kepada golongan susah, fakir dan miskin.

Korban Di Luar Negara
Memang diharuskan melaksanakan korban di luar kawasan kita, luar qariah kita, di tempat yang dikira umat Islam memerlukannya. Aktiviti begini semakin popular di kalangan umat Islam tanah air memandangkan harganya yang lebih murah berbanding dengan korban tempatan serta dipromokan sebagai 'dilakukan ditempat yang memerlukan'.

Jika semuanya hendak dilakukan di luar negara, hilanglah syiar korban di tempat atau dalam kariah kita. Ibadah ini bukan sekadar penyembelihan, tetapi juga melibatkan semangat gotong royong, bekerjasama dan silaturrahim di kalangan peserta, petugas ahli masyarakat di sesuatu tempat.

Di samping itu disunatkan para peserta melihat bagaimana penyembelihan dilakukan. Bayangkan jika kita turut serta korban di luar negara atau di surau masjid, tetapi dalam masa yang sama kita relax bersantai dirumah sambil menonton TV bersama keluarga. Apakah hikmah pengorbanan yang diperolehinya ?

Jika di dalam negara masih tidak nampak bagaimana Ibadah korban dimanfaatkan oleh orang yang memerlukan dalam bentuk jangka panjang, bagaimana juga yang dilakukan di luar Negara ? Terfikir juga kepada organisasi yang meguruskannya, bagaimana mereka boleh ‘untung’ daripada aktiviti ini. Aku rasa suatu masa nanti aku hendak turut serta menyaksikan bagaimana program ini dilakukan seperti di Kemboja.

Larangan Sembelih Bukan Di Rumah Penyembelihan
Tetiba tercetus isu ini beberapa hari sebelum korban, malah semasa hari raya korban. Khabarnya pihak Australia melihat cara penyembelihan di beberapa negara yang mungkin termasuk Malaysia, betapa zalimnya penyembelihan dilakukan. Apa yang dikatakan zalim dan kejamnya tu ?

Tidak dinafikan kekadang seekor lembu tetapi dihempap, pijak dan diduduk atasnya oleh orang ramai ketika sembelihan hendak dilakukan. Kesian tengok lembu tu. Kejamkah begitu ?

Jalan penyelesaian mudahnya, usah sembelih lembu korban dari Australia. Import dari Negara lain seperti Thailand dan India jika perlu. Bayangkan sekiranya semua korban dilakukan di pusat penyembelihan. Pelbagai persoalan timbul. Berapa banyak pusat penyembelihan ada, cukupkah ? Ini boleh meningkatkan harga haiwan korban !

Hilanglah seri, kemeriahan dan syiar ibadah korban. Hilang semangat gotong royong dan permuafakatan dikalangan ahli masyarakat. Bagaimana hendak mengambil manfaat daripada sunat menyaksikan sembelihan korbannya ? Selama inipun tidak pernah terdengar kes korban haiwan ternakan yang memberikan mudharat kepada orang ramai.

Sekarang Sesiapa Pun Boleh Serta Korban
Dalam saat rakyat negara kita pantang nampak jualan murah tiket kapal terbang melancong ke sana sini, masing-masing berebut untuk menggarap peluang dapatkan tiket murah. Bukan murah sangat pun. Duit terasa mudah sahaja keluarkan kalau nak terbang melancong sana sini. Dapat pahala ke ?

Tetapi bagaimana mengeluarkan sedikit wang untuk menyertai ibadah korban ? Nak tunggu apa lagi ? Tunggu bila gaji dah besar nanti ? Bayangkan dengan hanya RM1 sehari, dalam setahun kita boleh dapat RM365, tambah sikit sudah boleh serta mana-mana ibadah korban di negara kita.

Kita semua sebenarnya mampu, cuma keyakinan yang membezakan antara kita. Bimbang jadi fakir kalau keluarkan RM400 untuk sertai korban.

Walaupun merasai pengalaman kesesakan jalan raya yang dahsyat ketika pulang dari beraya, namun aku merasakan berbaloi serta berpuasa hati pulang beraya di Besut tahun ini. Banyak kenangan dalan pengalaman aku perolehi sebagai pengajaran diri. Sekurang-kurangnya sepanjang hari Tasyrik, tak pakai masak untuk makan tengahari dan makan malam.




Share:

Dulu Pudu Raya Kini UTC Kuala Lumpur

PM pada 22 September lalu telah melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bangunan Pudu Sentral yang dahulunya dikenali sebagai Puduraya dan kini ditukar lagi menjadi Bangunan UTC Kuala Lumpur. Bangunan empat tingkat itu yang merupakan UTC kedua, menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Jun lalu, aku juga hadir pada majlis pelancaran oleh PM, UTC pertama di Jalan Hang Tuah, Melaka yang menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

UTC adalah pusat sehenti yang diperkenalkan dengan hasrat memudahkan masyarakat bandar mendapatkan akses kepada keperluan yang disediakan oleh agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung dan agak menariknya dibuka juga pada hujung minggu selain memanjangkan tempoh perkhidmatan sehingga waktu malam.

Transformasi Pudu Raya
Pudu Raya dulunya dikenali sebagai pusat perhentian bas yang strategik, ditengah bandaraya Kuala Lumpur. Ku kira banyak kenangan di sini masa belajar dulu. Kini bangunan dan rupa dalamnya telah banyak berubah. Kekira transform habis dan jauh beza daripada yang asalnya.

Tetapi hentian bas masih ada, Cuma perhentian teksi yang diubahsuai bagi menempatkan pelbagai pejabat kerajaan dan swasta.

Kedai Buku 1 Malaysia
Malah sempena majlis pelancaran itu PM turut melancarkan Kedai Buku 1Malaysia pertama yang terletak di tingkat 1 bangunan. Meihat buku-buku yang dijual, memang murah berbanding dengan kedai biasa.

Rasanya at least 15% diskaun daripada harga yang dicetak pada buku yang dijual. Boleh terima kad kredit lagi pulak tu.

Aku bertemu semula dengan kartunis Tembakau terbitan barunya iaitu Hartini Kembali. Tembakau masih tinggal di Saujana Utama, Sg Buloh. Katanya sekarang dengan projek filem animasi yang belum diberikan judulnya.

Kedai Kain 1 Malaysia
Bersebelahannya ialah Kedai Kain 1Malaysia. Berebut orang masuk sebaik dirasmikan oleh PM. Aku lihat rega kainnya nampaknya memang murah-murah, tapi aku tidak pasti mengenai kualitinya.

Terdapat juga baju kurung siap, baik untuk lelaki atau wanita. Selain pejabat dan kedai-kedai, di sini terdapat juga Klinik 1Malaysia serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

UTC Seterusnya
Khabarnya UTC akan dibangunkan di setiap bandar utama setiap negeri dan bakal menyusul khabarnya ialah Ipoh, JB dan Penang. Targetnya ialah mendapatkan bangunan yang sesuai untuk diubahsuai supaya belanjanya UTC tidaklah begitu besar.

Kekadang tu jadi keliru juga. Pada saat pihak MAMPU merangka strategi mengurangkan serta memudahkan urusan orang ramai untuk berurusan dengan kerajaan menerusi perkhidmatan on-line, tetapi dalam masa yang sama pembukaan lebih banyak kaunter menerusi pembukaan pejabat di bangunan UTC pula diperluaskan.

Lantaran itu, projek UTC dilihat tidak lebih sekadar untuk menyatakan hasrat serta bukti bahawa kerjaan sentiasa mengotakan jantinya. Sebagaimana didedahkan sendiri oleh PM, pengwujudan UTC adalah merupakan sebahagian daripada Strategi Gelombang Biru iaitu memberi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai balasannya, sokongan kepada parti kerajaan yang berterusan adalah diharapkan, khususnya menjelang PRU13. Kehadiran begitu ramai orang pada majlis tersebut seolah-olah memberikan petunjuk kepada kerajaan.

Bagi kakitangan kerajaaan terlibat khususnya, nak buat camana. Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, kan ?? Kena juga berikan kerjasama untuk pastikan UTC direalisasikan. Untuk UTC Kuala Lumpur dikhabarkan siap dalam masa 6 minggu dengan kos RM24.

Kenalah guna atau 'cekut' kakitangan dari mana-mana cawangan yang sesuai dan pakai mana-mana peralatan, khususnya peralatan ICT mana-mana yang ada dahulu. Kalau menerusi perolehan biasa tentunya tidak mungkin dapat dalam masa 6 minggu.

Nampak mudah sahaja kalau projek ini merupakan projek PM. Teringat aku kepada pejabat cawangan Jabatanku yang kelihatan dhaif, kerusi meja pun tak cukup dan begitu payah nak dapatkan kelulusan serta peruntukan untuk naik taraf atau pindah ke premis lain yang lebih moden.

Rakyat mana yang perlu di utamakan, pencapaian mana yang diutamakan ?
Share:

Petunjuk Daripada Pilihanraya Kampus 2012

Berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, nampaknya Pilihanraya Kampus mendapat liputan yang besar di media massa. Secara umumnya calon-calon kumpulan yang di gelar sebagai Pro-Aspirasi telah menang majoriti di kebanyakkan universiti dengan mengalahkan calon kumpulan Pro-Mahasiswa. Kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan kumpulan yang sealiran atau menyokong parti pemerintah sekarang, manakala kumpulan Pro-Mahasiswa dikatakan condong kepada Pakatan Rakyat ( PR ).

Kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan sedikit sebanyak dibantu dengan keterlibatan serta kesungguhan pentadbiran Universiti yang bersikap memilih kasih kepada Pro-Aspirasi dengan menyediakan pelbagai karenah dan halangan yang sengaja diwujudkan. Malah dikatakan ada yang seolah-olah turut berkempen dengan memburuk-burukkan calon Pro-Mahasiswa. Agak mengejutkan juga sampai kedengaran berita serangan calon pada saat hari mengundi serta ugutan bunuh. Tentu hangat suasana kempen dalam universiti berkenaan.

Mengapa pilihanraya kampus kali ini menjadi begitu penting ? Aku difahamkan bahawa keputusan pilihanraya tersebut akan mengambarkan betapa sokongan rakyat terhadap parti pemerintah pimpinan PM sekarang. Benarkah begitu ? Keputusan pilihanraya dikatakan kampus menjadi pentunjuk sokongan orang muda dalam memastikan kemenangan parti pemerintah sekarang dalam PRU13 nanti.


Jika benar, patut pun pentadbir universiti cuba masuk campur, demi kemenangan Pro-Mahasiswa, demi memuaskan kehendak stake holder politik di atas sana, supaya mudah menerima sebarang kemudahan dan penyaluran peruntukan ? Barangkali begitulah. Barangkali ada KPI yang menjadi sasaran dan perlu dipenuhi.

Persoalannya juga, benarkan gelaran kumpulan-kumpulan sama ada Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa itu layak diberikan. Apakah memang terang-terangan mereka mewakili kumpulan tersebut ? Aku tidak tahulah setakat mana, tetapi bagiku sama ada menang atau kalah, aku rasa mereka telah melalui proses tertentu sehingga bakat kepimpinan terserlah lalu dipilih menjadi calon. Mereka sebenar mempunyai prinsip, aspirasi serta bakat kepimpinan dan wajar juga dilantik atau diberikan peranan dalam menentu corak suasana kemahasiswaan dan tradisi keilmuan universiti.

Corak Pengundi Melayu
Keputusan pilihanraya kampus juga dikatakan sebagai petunjuk bagaimana sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 lantaran kampus IPTA kebanyakkan mahasiswanya adalah Melayu. Keputusan pilihanraya tersebut penting setelah anggota Pakatan Rakyat di asak dengan pelbagai isu untuk menunjukkan ketidak sefahaman di kalangan meraka seperti yang tersiar dalam media massa.

Sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 kepada parti pemerintah dianggap penting setelah pengundi Cina dikatakan solid condong kepada PR. Tambahan pula dikatakan bilangan pengundi baru Melayu bertambah lebih ramai berbanding pengundi baru Cina dan India. Daripada 222 kawasan Parlimen, 45 kawasan merupakan kawasan majoriti Cina.

Entahlah, bagiku keputusan pilihan raya kampus tidak semestinya menggambarkan kecenderungan mengundi dalam PRU13 nanti. Aku teringat masa ngaji di universiti dulu, rata-rata kepimpinan kampus dikuasai oleh kumpulan pro-pembangkang. Ketika itu pentadbiran universiti rasanya tidaklah campur tangan sangat, walaupun ada yang merupakan orang kuat parti pemerintah sehingga ada yang letak jawatan untuk bertanding dalam PRU.

Tetapi apabila PRU diadakan, berapa kerat pembangkang menang bagi kerusi parlimen. PAS pun rasanya masa itu hanya diwakili oleh MP Pengkalan Cepa dan Lim Kit Siang dari DAP. Itu dulu. Dulu lain sekarang lain. Mungkin corak pemilihan Generasi X dan Y sekarang tidak seperti zaman aku dulu.

E-Voting
Satu aspek yang agak menarik, pengundian dilaksanakan secara elektronik menerusi e-Voting. Di UIA anehnya, jumlah undi didapati melebihi daripada bilangan yang layak mengundi. AKibatnya undi semula secara manual.

Menerusi e-voting timbul persoalan apakah undi itu rahsia ? Sejauh mana keselamatan data terhindar daripada sebarang manipulasi, dilihat telus adil dan dipercayai ? Bagaimana system e-Voting tersebut telah disahkan bebas daripada sebarang manipulasi ? Siapa pula yang mengesahkannya ? KPT, SIRIM ?
Share:

Natijah Bantahan Filem Innocence of Muslims

Aku kira persoalan menghina Rasulullah s.a.w bukan perkara baru. Sejak diutuskan lagi, Rasulullah s.a.w telah dihina bahkan diperlaku dengan pelbagai perbuatan keji dan kejam. Yang berbeza adalah cara mengikut peredaran zaman dan kini atas hak kebebasan bersuara, penghinaan dibuat sama ada secara serangan pemikiran, menerusi media elektronik dan media cetak.

Kita mungkin masih ingat dengan Salman Rusdie dengan “The Satanic Versus”nya. Mungkin sekiranya umat Islam melaksanakan fatwa Khomeini berkenaan dengan isu hukum bunoh terhadap Salman Rushdie, tentu tidak ada yang berani lagi menghina Rasulullah s.a.w.

Kini Barat sekali lagi telah menyiram api kemarahan umat Islam seluruh dunia dengan penerbitan filem Innocence of Muslims. Aku sebenarnya tidak pernah menonton filem berkenaan, malah dikatakan tidak digalakkan untuk menontonnya menerusi youtube. Khabarnya pula telah disekat. Entah sama ada disekat di negara yang membantah, atau masih boleh ditonton tetapi disekat daripada memberikan komen. Filem tersebut dikatakan mengambarkan betapa orang Islam tidak bermoral dan ganas, manakala Rasulullah s.a.w pula digambarkan sebagai gila perempuan.’

Filem ini dikatakan dihasilkan oleh sekumpulan agama Kristian di USA sempena ulangtahun peristiwa 11/9. Trailer filem ini telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu. Filem ini telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara umat Islam sehingga mengakibatkan ada yang terbunoh.

Beberapa Kes Penghinaan Rasulullah s.a.w
Pada tahun 2002, dimuat artikel tentang Rasulullah s.a.w dan Pertandingan Ratu Cantik Miss World di akhbar Nigeria, memperlekehkan pelaksanaan Syariah Islam salah satu wilayah di Nigeria, Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isterinya". Natijahnya, pejabat akhbar tersebut dibakar oleh rakyat Nigeria.

Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News yang berjudul ‘What Would You Do?’. Wilders telah meletak video-video terrorist untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Geert Wilders juga mendakwa al Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia menyerupai buku Hitler.

Mungkin kita juga masih ingat dengan akhbar terbesar Denmark Morgenavisen Jyllands-Posten yang menyiarkan sebanyak 12 karikatur imej Nabi Muhammad s.a.w pada September 2005.

Peranan YB Ngeh DAP
Aku kira pada peringkat awal ajakan bantahan secara demontrasi di Malaysia berhubung dengan filem Innocence of Muslims seperti agak dingin. Mungkin kerana ketika itu umat Islam sibuk dengan acara Ramadan dan Shawalnya. Namun apabila tersiar hebahan twitter sindiran daripada YB DAP terhadap YB KJ, mulalah isu ini mendapat tempat dalam media masa bagi menunjukkan kebobrokan sikap pemimpin DAP serta betapa Pakatan Rakyat perlu ditolak dalam PRU13 nanti. KJ pun jadi semakin bersemangat untuk meneruskan demonstrasi lantas mengajak PAS untuk join sama.

Tidak tahulah apa maksud sebenar mesej twitter YB Ngeh, sehingga permohonan maafnya pun seperti sukar diterima. Mungkin sekadar sindiran tajam kepada KJ secara peribadi untuk tidak menjadi jaguh dalam isu ini.

Namun elok juga kita merenungi sejenak the positive side of it. Memang demonstrasi yang dilakukan itu sesia dan buang masa bagi setiap individu yang terlibat sekiranya sekadar seronok-seronok, meramaikan majlis, sekadar menurut ajakan rakan-rakan dan sekadar nak tunjuk bahawa kita adalah jaguh dan perihatin terhadap diri Rasulullah s.a.w. Tetapi bagi pandangan luar atau Barat, mungkin ia suatu amaran agar tidak mengulangi lagi penghinaan.

Natijah Demontrasi
Baguslah demonstrasi tersebut sekiranya ia memberikan natijah serta tertanam dalam diri kemudiannya rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w. serta berusaha untuk mempraktikkan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan harian, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sejauh mana Rasulullah s.a.w yang diagung-agungkan dan dipertahankan kemuliannya itu, diamalkan sunnahnya ? Kalau masih juga sunnah Rasulullah s.a.w kita sendiri persendakan, anak isteri dogol tidak menutut aurat, hudud masih di tentang dengan seribu satu alasan, baca al-Quran pun Yasiin seminggu sekali, suboh asyik suboh gajah kat rumah jauh sekali suboh jemaah kat surau … takut kita dikatakan jadi munafik dan tidak tahu entah apa yang di demonstrasikan !!!

Jika demikian, memang membuang masa dan tenaga!! Malah pernah Rasulullah s.a.w bersabda, berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diperolehi hanya berlapar sahaja. Buang masa dan tenaga juga kan ?

Penghinaan Dalam Negara
Kita nampak penghinaan daripada barat, tetapi jangan lupa kenyataan-kenyataan penghinaan ke atas Rasulullah s.a.w dalam negara kita. Jangan kuman di seberang laut kita nampak tetapi gajah depan mata buat-buat tak nampak. Takde pula nak bising-bising apatah lagi nak berdemonstrasi ?

Masih ingat kenyataan-kenyataan berikut ? Sekiranya hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudong tangan. Dalam satu kenyataan lain pula, tujuan menutup aurat adalah kerana pada zaman Nabi, Arab Jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat. Sebelum itu pula ada kenyataan, dia bukan ada Gillette, zaman Nabi ada Gillete ke tak da ? Pisau cukur pun tak da masa ( merujuk kepada sebab nabi berjanggut ).

Banyak kenyataan penghinaan pernah tersiar dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris dalam negara. Antaranya pPada 4 November tahun 2000 sebuah artikel yang bertajuk "Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality" dalam akhbar NST yang ditulis oleh Farish Noor menyebut, ( Terjemahannya ), "Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat kemanusiaan Nabi".

Argh, dulu banyak lagi seperti dari Sister In Islam sehingga Dewan Pemuda Masjid Malaysia, sebuah pertubuhan NGO menfailkan saman pemula terhadap Sis Forum (Malaysia) bagi melarang pertubuhan itu menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan organisasi. Apa kisahnya sekarang ?

Namun seperti tidak ada tindakan hukuman dikenakan. Apakah kerana menjaga kepentingan persaudaraan antara kaum ? Menjaga kepentingan politik parti pemerintah ? Atau disebabkan hubung kait dengan individu VVIP tertentu atau syarikat penerbitan tertentu ? Laporan polis yang dibuat hanya sekadar menebalkan buku laporan polis dan membanyakkan statistik pihak berkuatkuasa.

Jika diteliti daripada sejarah lalu, mereka yang menghina Rasulullah s.a.w sama ada secara individu atau kumpulan dilihat mendapat pembelaan atau perlindungan sewajarnya khususnya oleh pihak Eropah dan Barat.

Di negara kita pula nampaknya sentimen dan survival politik kepartian menjadi faktor penentu bentuk tindakan yang diambil oleh pemerintah khususnya. Parti pemerintah perlu ditonjolkan sebagai juara, sekurang-kurangnya dilihat mendahului yang lain. Suatu ketika dulu pula, mempersoalkan Islam tak sama dosanya dengan mempersoalkan Islam Hadhari.

Semasa kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang, Presiden MCA mempersoalkan keperluan baginya untuk memahami nilai-nilai Islam. Malah beliau mempersendakan ajaran atau perintah agama calon lawannya yang berugama Islam dengan mempersoalkan hal berjabat tangan dan persentuhan kulit lelaki dan perempuan. Sekiranya yang mempersoalkan itu Pengerusi DAP, tentu lain kisahnya.

Walau apapun bentuk penghinaan yang diluahkan, sesungguhnya keagongan, kemuliaan dan kesucian Rasulullah s.a.w kekasih Allah tidak akan tergugat. Ya Rasulullah, berilah syafaat kepada umatmu, kepada mereka yang membela kesucianmu daripada sebarang penghinaan.
Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah