Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label cetusan. Show all posts
Showing posts with label cetusan. Show all posts

Bagaimana Menyambut Hari Malaysia ?

Sebelum tahun 2010, kita hanya menyambut Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos yang mengambil sempena kepada tarikh kemerdekaan daripada penjajah Inggeris pada 31 Ogos 1957. Mengapa pula kemudiannya timbul 16 September yang disambut sebagai Hari Malaysia dan menjadi hari cuti umum mulai pada 16 September 2010.

Berbalik sejarah, tarikh tersebut merupakan tarikh termeterainya persetujuan lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu yang sebelumnya mendapat tentangan hebat daripada Filipina dan Indonesia. Tetapi mengapa sekarang baru hendak di sambut ?

Keputusan Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008 menunjukkan bahawa tanpa kemenangan parti komponen pemerintah di Sabah dan Sarawak, Malaysia tentunya diperintah oleh parti pembangkang. Begitu juga keputusan dalam PRU13 menunjukkan pola pengundian yang sama. Oleh yang demikian, Sabah dan Sarawak begitu relevant untuk dijaga hatinya, dibelai dan diberikan perhatian khususnya oleh parti pemerintah sekarang. Benarkah begitu ?

Sempena sambutan hari kemerdekaan, selalunya kita sambut dengan acara-acara mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air, agar kita dapat mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia, selain kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita yang secara tidak langsung meningkatkan imej negara kita sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera.

Jadi bagaimana nak disambut Hari Malaysia yang dijadikan hari akhir atau penutup sambutan Hari Kemerdekaan ? Cukupkah sekadar kempen mengibar jalur gemilang untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat ? Dulu-dulu memang meriah dengan kibaran jalur gemilang, namun kini tak meriah seperti duu lagi. Agaknya sebab orang sekarang mengibar jalur gemilang dalam hati sahaja … huhu

Jadi menyambut Hari Kemerdekaan sama sahaja dengan menyambut Hari Malaysia ? Kalau sama sahaja, kenapa sampai perlu cuti dua hari yang berlainan ? Bila cuti, itu yang keesokan hari terpampang berita di dada akhbar tangkapan khalwat di sana sini sama ada anak muda atau orang tua-tua.

Pendek cerita, kalau dulu mungkin kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia disebabkan faktor ekonomi dan keselamatan daripada ancaman komunis, tetapi kini Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada ‘Malaysia’ daripada segi pelancongan disebabkan kepelbagaian kumpulan etnik dan anutan kepercayaan serta keajaiban alam semula jadi yang dapat dipersembahkan kepada dunia.

Hari Malaysia juga mengingatkan kita bahawa kita pernah bermusuh dengan Filipina, malah berhadapan dengan konfrantasi ketenteraan dalam gerakan “Ganyang Malaysia” oleh negara Indonesia. Brunei hampir menyertai Malaysia, tetapi mendapat bantahan oleh rakyatnya yang turun memberontak.
Share:

Mengekalkan Momentum Ramadan

1 Shawal telah berlalu, juga berlalunya Ramadan 1435H yang tidak akan kembali lagi. Tunggu Ramadan tahun depan pulak, itupun jika masih dipanjangkan usia dan diberikan kesempatan Allah s.w.t. Ramadan adalah bulan penghayatan untuk melatih mengendalikan diri menjadi insan bertakwa. Lantaran itu Ramadan dikatakan juga bulan latihan atau madrasah Ramadan dengan tawaran ganjaran lumayan bagi setiap amalan yang dikerjakan sepanjang bulan tersebut.

Kini sejauh mana pula dengan segala amal ibadah serta pantang larang yang dihadapi dapat memberikan kekuatan dalam pertempuran untuk kekal berada dalam ‘fitrah’ dan keredhaan Ilahi dalam melawan nafsu bagi 11 bulan mendatang, sebelum munculnya semula Ramadan tahun hadapan. Apa yang kita perolehi dengan manahan diri daripada berlapar dan dahaga sepanjang Ramadan ?

Malam 1 Shawal
Cabaran bermula pada malam 1 Shawal. Apa perasaan diri pada malam tersebut ? Bergembira kerana selesai azab berpuasa menahan lapar dan dahaga ? Betul ke benar-benar bersedih kerana berlalunya Ramadan yang penoh berkat. Atau bersedih kerana tidak dapat bersama ibubapa serta keluarga tersayang.

Apa pula amalan yang dilakukan ? Memanglah sudah tiada lagi solat terawih. Bagaimana engan amalan-amalan sunat yang lain lantaran saban malam Ramadhan mengaji dan solat witir tidak pernah ketinggalan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barang siapa menghidupkan malam Eid dengan beribadah kepada Allah s.w.t, niscaya hatinya tidak akan mati di hari dimana hati-hati manusia telah mati." ( H.R. Thabrani )

Menghidupkan malam Idul Fitri dengan memperbanyak beribadah kepada Allah, berzikir bertakbir, sholat sunat atau membaca al-Qur'an. Sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh berjemaah. Malam 1 Shawal lalu aku melalui Masjid Kayu Jertih, kedengaran mereka sedang solat sunat tasbih berjemaah.

Puasa 6 Shawal
Mesti dilakukan dalam Shawal, berturut-turut atau tidak asal cukup 6 hari. Nak mula 2 Shawal rasanya macam ‘nak mati aqal’ ? Berbanding puasa Ramadan, puasa 6 dianggap mencabar. Kita berpuasa di kala kebanyakan orang lain tidak beruasa, khususnya apabila jemputan jamuan raya yang tidak putus-putus dan meeting demi meeting. Takkan asyik nak beralasan saya berpuasa, takut riak pulak, nak tunjuk alim sangat ke ?

Kerana itulah ganjarannya lumayan, seumpama berpuasa sepanjang tahun. Berpadananlah dengan cabaran yang mendatang. Puasa ini juga mengajar kita bahawa Shawal bukanlah bulan untuk melantak melepaskan geram dengan pelbagai juadah makanan setelah sebulan tidak berbuat demikian.

Solat Berjemaah
Bukan sekadar tak tinggal solat fardhu 5 kali sehari semalam, tetapi dalam keadaan solat berjemaah. Kita begitu rajin solat berjemaah dalam bulan Ramadan sama ada bagi mendapatkan ganjaran lumayan atau nak buang masa daripada duduk saja atau untuk tunjuk kat orang. Tidak mengapalah, lama kelamaan jadi biasa dan tidak timbul soal ikhlas atau tidak. Jemaah tidak kira sama ada di rumah, pejabat, RnR atau surau masjid. Tetapi yang afdal bagi lelaki ialah di surau masjid, di mana azan kedengaran dilaungkan. Pengekalan kita melakukan solat berjemaah ini dapat menerus kesinambungan perlakuan kita semasa Ramadan.

Solat berjemaah sangat penting khususnya bagi solat Isyak dan Subuh lantaran maksud hadis dari Saidina Uthman bin ‘Affan r.a yang meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam.” ( H.R. Muslim ). Kena usahakan sedaya upaya.

Solat Sunat Rawatib
Ganjaran besar yang diberikan apabila mengerjakan solat sunat yangmengiringi solat fardhu seumpama melaksanakan solat fardhu sepanjang Ramadhan wajar diteruskan dalam bulan-bulan lain. Namun kena dengan ilmu, solat sunat mana yang dibolehkan sebelum atau selepas solat fardhu. Jangan pakai redah sahaja.

Dalam pada itu ada solat yang tinggi darjatnya sebagaimana maksud beberapa hadis-hadis berikut antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah s.w.t akan mengharamkan dirinya dari api neraka” ( H.R. Abu Daud & Tarmizi). Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” ( H.R Ahmad dan Tarmizi)

Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak ada rawatib Ba’diyyah. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah s.w.t akan mengharamkan jasadnya dari api neraka.” ( H.R. Tabrani )

Solat sunat 2 rakaat sebelum Solat Fajr (atau Subuh) itu amat disukai oleh Rasulullah s.a.w dan beliau mengajak umatnya menjadikankan suatu ketetapan atau meruntinkan dalam mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Dari Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua rakaat solat ( sunat ) sebelum Solat Fajr itu lebih baik dari ( nilainya dari nilai ) dunia dan seisinya.” ( H.R Muslim )

Puasa Dan Solat Sunat Lain
Saban malam Ramadan kita solat witir setelah solat Terawikh. Walaupun dah takde solat terawikh, wajarlah diteruskan solat witir tu atas beberapa maksud hadis seperti “Witir itu hak ( benar ). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak, barangsiapa yaang tidak mengerjakannya maka ia bukan dari golongan kita!” ( H.R Ahmad dan Abu Daud )

Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.” ( H.R Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah )

Ditambah lagi dengan amalan sebagaimana sabda Rasululah s.a.w, “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.” ( H.R at-Thabran )

Sabda Rasulullah s.a.w lagi, “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.“ ( H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah )

Membaca Al-Quran
Budaya membaca al-Quran bergitu subur sepanjang Ramadhan. Tidak kira sama ada membaca berseorangan atau secara tadarus ikut program surau masjid. Semunya memasang nekad untuk khatam sekurang-kurangnya sekali dengan hanya membaca 20 muka surat sehari atau 4 muka surat sebelum atau selepas solat fardhu.

Bagaimana selepas 1 Shawal ? Jangan terus ditinggalkan. Kenaah pula upgrade sikit dengan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surat atau ayat-ayat tertentu. Al-Quran adalah mukjizat Allah s.w.t. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu-jemu membacanya. Dengan membacanya, tanpa kita sedari akan berlaku perubahan luar dan dalam diri. Itulah nikmat dan kerja Allah dalam kehidupan kita.

Menghadiri Majlis Ilmu
Ini yang sangat penting. Untuk recaj atau memulihkan semula semangat dengan peringatan dan ilmu yang disampaikan menerusi ceramah atau kuliah agama dari semasa ke semasa. Kebanyakkan majlis tersebut percuma sahaja di masjid-masjid atau surau. Hanya berbekalkan kemahuan serta minyak kenderaan.

Kalau kita mampu melancong ke sana kemari walaupun dengan tambang yang sebenarnya tidaklah berapa murah, tetapi kenapa berat sangat untuk kesana kemari mendapatkan syurga duniawi yang disajikan oleh Allah s.w.t dalam majlis ilmu yang didoakan kebaikan oleh para malaikat? Apabila sering menghadiri majlis ilmu, terhindarlah kita daripada menghadiri majlis-majlis maksiat dan yang tidak berfaedah.

Carilah mana-mana majlis ilmu yang diadakan secara regular. Kalau berpandukan buku atau kitab lagi baik. Apabila sering menghadiri majlis ilmu, timbul keinginan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ini boleh diperolehi menerusi pembacaan buku-buku agama, laman web yang ‘reliable’, mendengar dari CD, MP3, radio TV atau boleh juga dari youtube.

Kenalilah sejarah hidup Rasulullah s.a.w serta para anbiya dan para solihin melalui pembacaan buku khususnya sejarah para sahabat kerana semua ini akan membangkitkan jiwa yang penuh azam dan tinggi cita-cita.

Bersedeqah Jariah
Umpama Rasulullah s.a.w dalam bulan Ramadan, baginda paling banyak bersedeqah membantu orang lan. Ianya wajar kita teruskan dalam bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Biarpun sekadar RM1 atau RM2. Tapi lagi banyak lagi bagus. Apalah sangat boleh dibeli dengan RM1 atau RM2. Orang yang kita hulurkah derma dan sedeqah masih memerlukan sumbangan kita dalam bulan-bulan lain. Dengan sumbangan yang dihulurkan kita boleh mengharapkan penerima mendoakan yang terbaik untuk kita, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan.

Allah juga meletakkan ‘infaq’ atau ‘sedekah’ adalah ciri-ciri seorang muslim. Umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah membenci sifat kedekut. Harta kita setelah kita mati nanti ialah harta yang dapat memberikan manfaat kepada kita setelah kita mati. Oleh yang demikian, selama masih hidup perbanyakkanlah bersedeqah dan menyumbang amal jariah. Usah dihirau sama ada penerima tu ada sendikit, penyelewengan atau salah guna. Insya’allah ada pahalanya.

Rasulullah s.a.w, “Tidaklah ada satu hari pun yang dilalui oleh setiap hamba pada pagi harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun, berkata salah satu dari keduanya: Ya Allah berilah orang yang suka menginfaqkan hartanya berupa ganti ( dari harta yang diinfaqkan tersebut), dan berkata ( malaikat ) yang lain: Ya Allah, berilah orang yang kedekut kebinasaan ( hartanya ).” ( H.R. Bukhari dan Muslim)

Berterusan Bermujahadah Melawan Nafsu
Mujahadah melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara maksiat sepanjang Ramadan sebaiknya diusahakan seperti biasa selepas Ramadan. Bercakap yang tidak baik seperti mengumpat mencaci, mencarut, menfitnah dan yang sewaktu dengannya selain melakukan, menyeru dan mengajak kepada perkara maksiat perlu diusahakan sebaiknya untuk dihindari dan dijauhi sebagaimana kita mampu melakukannya sepanjang Ramadan.

Elok juga sering beristighfar, perbanyakkan berzikir dan sering melaksanakan solat taubat. Di samping itu kita pohon pertolongan Allah supaya kita sentiasa dalam hidayah dan keteguhan iman.

Jauhi Perkara Yang Merosakkan Hati
Hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada perkara boleh merosakkan hati seperti bersahabat dengan orang yang burok akhlaknya, suka berbuat dosa walaupun dosa kecil, suka melemparkan kata-kata kesat dan lucah.

Juga boleh merosakkan hati dengan banyak tidur, makan sehingga terlalu kenyang ( apatah lagi yang tidak halal atau syubhah ) serta banyak angan-angan.

Penutup
Pengekalan momentum amalan yang dilakukan sepanjang tempoh sebulan latihan dalam Madrasah Ramadan perlu diusahakan dan cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kebahagian dunia dan akhirat. Jangan hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam yang apabila tiba Ramadan seperti wali yang beribadat dan beramalan, hampir dan mendekatkan diri kepada Alla. Tetapi apabila Ramadan berlalu ibarat pula syaitan yang bermaharajalela bebas melakukan apa sahaja.

Kita sebenarnya memerlukan sikap dan komitmen yang tinggi untuk terus istaqamah mengekalkan tahap amal dan ketakwaan yang diserlahkan dalam akhlak, sahsiah, ketrampilan diri dan tingkah laku. Apa yang dicatatkan hanyalah sebagai suatu muhasabah bagi memberikan motivasi serta iltizam dalam memastikan agar diri terus berkeupayaan untuk istiqamah dalam mengerjakan amal soleh mengabdikan diri kepada Allah. Moga bermanfaat juga kepada sesiapa yang membacanya.
Share:

Pengajaran Beberapa Kematian 'Terdekat'

Semasa aku berkunjung ke Langkawi pada minggu lalu, terpampang satu baner iklan kuliah Dhuha oleh Al-Ustaz Datuk Dr Haron Din di Perkarangan Kompleks Haji Ismail Group yang baru. Dah lama juga tidak ikuti ceramah beliau secara live. Namun pada hari yang ditunggu, beliau tidak muncul dan sebaliknya digantikan oleh seorang penceramah dari Kolej Universiti Insaniah. Dikhabarkan al-Ustaz dimasukkan IJN bagi menjalani rawatan jantung. Aku serta ratus hadirin mungkin agak kecewa dengan keadaan ini.

Namun pagi keesokannya petang, terima pula berita yang Al-Ustaz Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu setelah berada dalam keadaan koma selama dua hari. Aku agak terkejut lantaran tidak mendengar pun berita yang beliau sakit. Mungkin kerana aku sudah lama tidak mengikuti perkembangan beliau.

Aku pernah beberapa kali ke ‘tempat’ Almarhum Datuk Harun Taib lama dulu-dulu, iaitu di Markas Tarbiyyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu. Beliau merupakan merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu. Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Manir, Terengganu selama tiga penggal daripada sejak pilihan raya 1999 hinggalah 2008. Bagaimanapun beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 tahun lalu dan tempatnya digantikan oleh anaknya yang kemudian memenangi kerusi DUN Manir.

Ketika berada dalam saf kepimpinan Dewan Ulama sehinggalah menjadi Ketuda Dewan Ulama PAS, beliau sering dilihat mengeluarkan banyak kenyataan yang mungkin sama ada kurang disenangi oleh pendokong parti PAS atau mencabar daya pemikiran pendokong PAS, khususnya berkaitan dengan mengkaji semula penglibatan partinya dalam Pakatan Rakyat. Tidak banyak kenyataan berkaitan politik semasa kerana bagiku sifat beliau lebih kepada sebagai murabbi atau pendidik orang ramai.

Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat amatlah banyak. Semoga ruhnya ditempatkan Allah bersama para Syuhada yang turut memperjuangan Aqidah, Iman dan Islam

Dr Abdul Karim Zaidan
Yang terkini pula ialah kematian Sheikh Dr Abd Karim Zaydan pada 27/1/201, pada usia 97 tahun. Beliau merupakan ulama pakar dalam bidang Fiqh, Usul Fiqh dan Usul Dakwah dan dari Iraq yang menetap di Yaman.

Baru aku teringat, pelbagai kitab yang sering menjadi rujukan dalam perbincangan usrah atau kuliah maghrib, antaranya Usul al-Dakwah.

Hassan Basri Jiranku
Namun sebelum itu pada petang 20hb Januari 2014, aku dikejutkan dengan berita kematian jiranku Hassan Basri semasa di Saujana Utama. Katanya sakit kanser perut. Aku memang sudah mendengar berita yang beliau sakit sebelum ini. Namun semasa berkunjung ke rumahnya bagi menghantar kad jemputan akhir tahun lepas, beliau tiada di rumah untuk aku singgah ziarah. Terkilan juga, sebab tidak sempat jumpat sebelum beliau pergi.

Yang agak melucukan ialah Tok Siak Surau Al-Hidayah membuat pengumuman di pembesar suara Surau Al-Hidayah Saujana Utama dengan meyebut namaku sebagai telah meninggal dunia. Nasib baik aku datang menunjukkan diri semasa pengurusan jenazah jiranku itu di Surau Al-Hidayah. Pada kesempatan ini dapatlah bersua dengan kawan-kawan dan jiran lama.

Sempat bertanyakan anak bungsunya yang 'hyperaktif' kekira berusia 7-8 tahun. Siapa tu, sambil tanganku menunjukkan kubur ayahnya. Abah katanya. Tanyaku lagi, "Tak sediah ke ?", dia diam sahaja.

Tn Haji Mahayuddin JPJ
Yang terkini ialah kematian orang pernah rapat denganku ketika bertugas di Pejabatku, iaitu sejak beliau bertugas di Akademi Pengangkutan Jalan Melaka iaitu Tn Hj Mahayuddin, khususnya semasa menjalankan tugas Pengarahnya yang sedang cuti sakit.

Beliau yang baru dinaikkan pangkat, sempat bertugas kembali dari JPJ Kota Bharu di Ibu pejabat selama dua minggu. Beliau merupakan seorang anggota yang sangat baik, berdedikasi dan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Apakah pengajaran bagiku terhadap beberapa kematian tadi. Kematian orang yang dianggap ‘dekat denganku’. Semoga Allah ‘menerima’ mereka dan ditempatkan di kalangan para solehin. Terasa kematian semakin hampir bagiku. Malah sudah disebut pun namaku sebagai telah meninggal dunia !!!! Sering terasa takut, apabila mengenangkan begaimana keadaan dan nasibku di alam barzakh nanti.

Mengapa masih perlu takut, sedangkan selalu diyakini bahawa mati adalah pasti bagi semua mahluk Allah yang hidup. Ia adalah suatu perjalanan kepada kehidupan yang lebih luas dan panjang. Tentunya kerana merasa sentiasa masih belum bersedia atau masih terlalu cintakan dunia ini. Oh Tuhan ...
Share:

Selamat Ulang Tahun Ke-3 TV-Alhijrah

Tiga tahun telah berlalu rupanya. Rasa macam sudah lama. Aku sempat menghadirkan diri ke sambutan ulangtahun ke-3 TV-Alhijrah di Dataran Putrajaya yang diadakan sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa Putrajaya 2013 (PIIACuF2013) 2013. Mungkin mudah nak ingat, 1 Muharram ialah ulang tahun kelahiran TV-Alhijrah, sebuah stesen TV yang berkonsepkan Islam.

Sejauh mana keislamannya, maksudnya sejauh mana konsep Islam berjaya ditonjol dan dikekalkan dalam memastikan siaran TV-Alhijrah terus relevan, dapat bertahan dan mendapat sambutan penonton. Maklumlah kos operasinya tentu tinggi dan sejauh mana kerajaan menerusi JAKIM terus-terusan menjadi penaja utamanya.

Bagiku yang pentingnya, cukuplah sekiranya TV-Alhijrah mampu membawa atau menyiarkan siaran seperti ceramah, kuliah, tazkirah dan forum perbincangan mengenai segala aspek dalam Islam ke dalam rumah menerusi kaca TV. Tidak kiralah sama ada yang diadakan dalam studio, masjid surau dan dewan-dewan kuliah.

Bukan maksudnya sudah tidak perlu lagi ke surau masjid untuk dengar kuliah atau tazkirah, tetapi ianya sebagai alternative. Malah mungkin boleh menarik minat orang ramai khususnya remaja untuk ke surau masjid bagi mengikuti rakaman-rakaman kuliah agama, kot-kot muka masuk TV. Ha.. ha ..

Cuma yang pentingnya, cara, gaya dan suasana persembahan perlulah mampu menarik. Camana agaknya ? Tidak disogokkan dengan perwatakan ustaz yang berterusan serius, sukar hendak senyum dan ceramah yang membosankan.

TV-Alhijrah sebenarnya bersaing dengan siaran TV lain yang sedikit sebanyak, cenderong kepada Islam seperti saluran 119 dan Astro Oasis ( 106 ) dalam menyampaikan mesej Islam. Malahan mungkin kedatangan TV-AlHijrah sebagai media arus perdana berteraskan Islam menjadi pemangkin saluran TV lain untuk sama-sama menerbitkan rancangan agama. Takpe, bersaing demi kebaikan ummah. Islam sebagai ad-din adalah luas, merangkumi segala urusan kehidupan manusia dan masyarakat.

Antara program yang dikatakan popular, 30 Minit Ustaz Don, Reflections, Chef Ammar, Assalamualaikum , Menu Alam, Cinta Ilmu dan Dikir Zikir. Yang juga penting syariah compliance peru diperkukuhkan dalam setiap siaran termasuklah filem dan dramanya. Camana agaknya ? Apakah perlu semua pelakon wanitanya bertudung dan lelakinya berjubah ketayap ? Pelakongnya berimejkan ustaz dan ustazah, berlatar belakangnya sekolah pondok, sekolah agama atau Universiti Islam ?

Penting juga personaliti dan pengacara berakhlak mulia, penampilan Islamik sesuai dengan konsep TV-Alhijrah. Macam Kumpulan nasyid. Hendak menyampaikan dakwah cara baru dan method baru, kena cakap serupa bikin juga.

Selain nasyid-nasyid, menerusi sambutan di Putrajaya itu, penonton berpeluang melihat secara live personaliti TV-Alhijrah serta Mawi dan Siti Norhaliza menyempaikan lagu ketuhanannya. Selamat Maju Jaya TV-Alhijrah dan Selamat Ulang Tahun Ke-3.
Share:

Dulu Pudu Raya Kini UTC Kuala Lumpur

PM pada 22 September lalu telah melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bangunan Pudu Sentral yang dahulunya dikenali sebagai Puduraya dan kini ditukar lagi menjadi Bangunan UTC Kuala Lumpur. Bangunan empat tingkat itu yang merupakan UTC kedua, menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Jun lalu, aku juga hadir pada majlis pelancaran oleh PM, UTC pertama di Jalan Hang Tuah, Melaka yang menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

UTC adalah pusat sehenti yang diperkenalkan dengan hasrat memudahkan masyarakat bandar mendapatkan akses kepada keperluan yang disediakan oleh agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung dan agak menariknya dibuka juga pada hujung minggu selain memanjangkan tempoh perkhidmatan sehingga waktu malam.

Transformasi Pudu Raya
Pudu Raya dulunya dikenali sebagai pusat perhentian bas yang strategik, ditengah bandaraya Kuala Lumpur. Ku kira banyak kenangan di sini masa belajar dulu. Kini bangunan dan rupa dalamnya telah banyak berubah. Kekira transform habis dan jauh beza daripada yang asalnya.

Tetapi hentian bas masih ada, Cuma perhentian teksi yang diubahsuai bagi menempatkan pelbagai pejabat kerajaan dan swasta.

Kedai Buku 1 Malaysia
Malah sempena majlis pelancaran itu PM turut melancarkan Kedai Buku 1Malaysia pertama yang terletak di tingkat 1 bangunan. Meihat buku-buku yang dijual, memang murah berbanding dengan kedai biasa.

Rasanya at least 15% diskaun daripada harga yang dicetak pada buku yang dijual. Boleh terima kad kredit lagi pulak tu.

Aku bertemu semula dengan kartunis Tembakau terbitan barunya iaitu Hartini Kembali. Tembakau masih tinggal di Saujana Utama, Sg Buloh. Katanya sekarang dengan projek filem animasi yang belum diberikan judulnya.

Kedai Kain 1 Malaysia
Bersebelahannya ialah Kedai Kain 1Malaysia. Berebut orang masuk sebaik dirasmikan oleh PM. Aku lihat rega kainnya nampaknya memang murah-murah, tapi aku tidak pasti mengenai kualitinya.

Terdapat juga baju kurung siap, baik untuk lelaki atau wanita. Selain pejabat dan kedai-kedai, di sini terdapat juga Klinik 1Malaysia serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

UTC Seterusnya
Khabarnya UTC akan dibangunkan di setiap bandar utama setiap negeri dan bakal menyusul khabarnya ialah Ipoh, JB dan Penang. Targetnya ialah mendapatkan bangunan yang sesuai untuk diubahsuai supaya belanjanya UTC tidaklah begitu besar.

Kekadang tu jadi keliru juga. Pada saat pihak MAMPU merangka strategi mengurangkan serta memudahkan urusan orang ramai untuk berurusan dengan kerajaan menerusi perkhidmatan on-line, tetapi dalam masa yang sama pembukaan lebih banyak kaunter menerusi pembukaan pejabat di bangunan UTC pula diperluaskan.

Lantaran itu, projek UTC dilihat tidak lebih sekadar untuk menyatakan hasrat serta bukti bahawa kerjaan sentiasa mengotakan jantinya. Sebagaimana didedahkan sendiri oleh PM, pengwujudan UTC adalah merupakan sebahagian daripada Strategi Gelombang Biru iaitu memberi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai balasannya, sokongan kepada parti kerajaan yang berterusan adalah diharapkan, khususnya menjelang PRU13. Kehadiran begitu ramai orang pada majlis tersebut seolah-olah memberikan petunjuk kepada kerajaan.

Bagi kakitangan kerajaaan terlibat khususnya, nak buat camana. Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, kan ?? Kena juga berikan kerjasama untuk pastikan UTC direalisasikan. Untuk UTC Kuala Lumpur dikhabarkan siap dalam masa 6 minggu dengan kos RM24.

Kenalah guna atau 'cekut' kakitangan dari mana-mana cawangan yang sesuai dan pakai mana-mana peralatan, khususnya peralatan ICT mana-mana yang ada dahulu. Kalau menerusi perolehan biasa tentunya tidak mungkin dapat dalam masa 6 minggu.

Nampak mudah sahaja kalau projek ini merupakan projek PM. Teringat aku kepada pejabat cawangan Jabatanku yang kelihatan dhaif, kerusi meja pun tak cukup dan begitu payah nak dapatkan kelulusan serta peruntukan untuk naik taraf atau pindah ke premis lain yang lebih moden.

Rakyat mana yang perlu di utamakan, pencapaian mana yang diutamakan ?
Share:

Natijah Bantahan Filem Innocence of Muslims

Aku kira persoalan menghina Rasulullah s.a.w bukan perkara baru. Sejak diutuskan lagi, Rasulullah s.a.w telah dihina bahkan diperlaku dengan pelbagai perbuatan keji dan kejam. Yang berbeza adalah cara mengikut peredaran zaman dan kini atas hak kebebasan bersuara, penghinaan dibuat sama ada secara serangan pemikiran, menerusi media elektronik dan media cetak.

Kita mungkin masih ingat dengan Salman Rusdie dengan “The Satanic Versus”nya. Mungkin sekiranya umat Islam melaksanakan fatwa Khomeini berkenaan dengan isu hukum bunoh terhadap Salman Rushdie, tentu tidak ada yang berani lagi menghina Rasulullah s.a.w.

Kini Barat sekali lagi telah menyiram api kemarahan umat Islam seluruh dunia dengan penerbitan filem Innocence of Muslims. Aku sebenarnya tidak pernah menonton filem berkenaan, malah dikatakan tidak digalakkan untuk menontonnya menerusi youtube. Khabarnya pula telah disekat. Entah sama ada disekat di negara yang membantah, atau masih boleh ditonton tetapi disekat daripada memberikan komen. Filem tersebut dikatakan mengambarkan betapa orang Islam tidak bermoral dan ganas, manakala Rasulullah s.a.w pula digambarkan sebagai gila perempuan.’

Filem ini dikatakan dihasilkan oleh sekumpulan agama Kristian di USA sempena ulangtahun peristiwa 11/9. Trailer filem ini telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu. Filem ini telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara umat Islam sehingga mengakibatkan ada yang terbunoh.

Beberapa Kes Penghinaan Rasulullah s.a.w
Pada tahun 2002, dimuat artikel tentang Rasulullah s.a.w dan Pertandingan Ratu Cantik Miss World di akhbar Nigeria, memperlekehkan pelaksanaan Syariah Islam salah satu wilayah di Nigeria, Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isterinya". Natijahnya, pejabat akhbar tersebut dibakar oleh rakyat Nigeria.

Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News yang berjudul ‘What Would You Do?’. Wilders telah meletak video-video terrorist untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Geert Wilders juga mendakwa al Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia menyerupai buku Hitler.

Mungkin kita juga masih ingat dengan akhbar terbesar Denmark Morgenavisen Jyllands-Posten yang menyiarkan sebanyak 12 karikatur imej Nabi Muhammad s.a.w pada September 2005.

Peranan YB Ngeh DAP
Aku kira pada peringkat awal ajakan bantahan secara demontrasi di Malaysia berhubung dengan filem Innocence of Muslims seperti agak dingin. Mungkin kerana ketika itu umat Islam sibuk dengan acara Ramadan dan Shawalnya. Namun apabila tersiar hebahan twitter sindiran daripada YB DAP terhadap YB KJ, mulalah isu ini mendapat tempat dalam media masa bagi menunjukkan kebobrokan sikap pemimpin DAP serta betapa Pakatan Rakyat perlu ditolak dalam PRU13 nanti. KJ pun jadi semakin bersemangat untuk meneruskan demonstrasi lantas mengajak PAS untuk join sama.

Tidak tahulah apa maksud sebenar mesej twitter YB Ngeh, sehingga permohonan maafnya pun seperti sukar diterima. Mungkin sekadar sindiran tajam kepada KJ secara peribadi untuk tidak menjadi jaguh dalam isu ini.

Namun elok juga kita merenungi sejenak the positive side of it. Memang demonstrasi yang dilakukan itu sesia dan buang masa bagi setiap individu yang terlibat sekiranya sekadar seronok-seronok, meramaikan majlis, sekadar menurut ajakan rakan-rakan dan sekadar nak tunjuk bahawa kita adalah jaguh dan perihatin terhadap diri Rasulullah s.a.w. Tetapi bagi pandangan luar atau Barat, mungkin ia suatu amaran agar tidak mengulangi lagi penghinaan.

Natijah Demontrasi
Baguslah demonstrasi tersebut sekiranya ia memberikan natijah serta tertanam dalam diri kemudiannya rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w. serta berusaha untuk mempraktikkan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan harian, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sejauh mana Rasulullah s.a.w yang diagung-agungkan dan dipertahankan kemuliannya itu, diamalkan sunnahnya ? Kalau masih juga sunnah Rasulullah s.a.w kita sendiri persendakan, anak isteri dogol tidak menutut aurat, hudud masih di tentang dengan seribu satu alasan, baca al-Quran pun Yasiin seminggu sekali, suboh asyik suboh gajah kat rumah jauh sekali suboh jemaah kat surau … takut kita dikatakan jadi munafik dan tidak tahu entah apa yang di demonstrasikan !!!

Jika demikian, memang membuang masa dan tenaga!! Malah pernah Rasulullah s.a.w bersabda, berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diperolehi hanya berlapar sahaja. Buang masa dan tenaga juga kan ?

Penghinaan Dalam Negara
Kita nampak penghinaan daripada barat, tetapi jangan lupa kenyataan-kenyataan penghinaan ke atas Rasulullah s.a.w dalam negara kita. Jangan kuman di seberang laut kita nampak tetapi gajah depan mata buat-buat tak nampak. Takde pula nak bising-bising apatah lagi nak berdemonstrasi ?

Masih ingat kenyataan-kenyataan berikut ? Sekiranya hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudong tangan. Dalam satu kenyataan lain pula, tujuan menutup aurat adalah kerana pada zaman Nabi, Arab Jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat. Sebelum itu pula ada kenyataan, dia bukan ada Gillette, zaman Nabi ada Gillete ke tak da ? Pisau cukur pun tak da masa ( merujuk kepada sebab nabi berjanggut ).

Banyak kenyataan penghinaan pernah tersiar dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris dalam negara. Antaranya pPada 4 November tahun 2000 sebuah artikel yang bertajuk "Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality" dalam akhbar NST yang ditulis oleh Farish Noor menyebut, ( Terjemahannya ), "Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat kemanusiaan Nabi".

Argh, dulu banyak lagi seperti dari Sister In Islam sehingga Dewan Pemuda Masjid Malaysia, sebuah pertubuhan NGO menfailkan saman pemula terhadap Sis Forum (Malaysia) bagi melarang pertubuhan itu menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan organisasi. Apa kisahnya sekarang ?

Namun seperti tidak ada tindakan hukuman dikenakan. Apakah kerana menjaga kepentingan persaudaraan antara kaum ? Menjaga kepentingan politik parti pemerintah ? Atau disebabkan hubung kait dengan individu VVIP tertentu atau syarikat penerbitan tertentu ? Laporan polis yang dibuat hanya sekadar menebalkan buku laporan polis dan membanyakkan statistik pihak berkuatkuasa.

Jika diteliti daripada sejarah lalu, mereka yang menghina Rasulullah s.a.w sama ada secara individu atau kumpulan dilihat mendapat pembelaan atau perlindungan sewajarnya khususnya oleh pihak Eropah dan Barat.

Di negara kita pula nampaknya sentimen dan survival politik kepartian menjadi faktor penentu bentuk tindakan yang diambil oleh pemerintah khususnya. Parti pemerintah perlu ditonjolkan sebagai juara, sekurang-kurangnya dilihat mendahului yang lain. Suatu ketika dulu pula, mempersoalkan Islam tak sama dosanya dengan mempersoalkan Islam Hadhari.

Semasa kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang, Presiden MCA mempersoalkan keperluan baginya untuk memahami nilai-nilai Islam. Malah beliau mempersendakan ajaran atau perintah agama calon lawannya yang berugama Islam dengan mempersoalkan hal berjabat tangan dan persentuhan kulit lelaki dan perempuan. Sekiranya yang mempersoalkan itu Pengerusi DAP, tentu lain kisahnya.

Walau apapun bentuk penghinaan yang diluahkan, sesungguhnya keagongan, kemuliaan dan kesucian Rasulullah s.a.w kekasih Allah tidak akan tergugat. Ya Rasulullah, berilah syafaat kepada umatmu, kepada mereka yang membela kesucianmu daripada sebarang penghinaan.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.