
Tinggalan kesan termasuk candi menunjukkan pengaruh Hindu yang dibawa oleh pedagang India serta menetap di kawasan tersebut. Memang ini menunjukkan pengaruh Hindu lebih awal datang berbanding Islam, tetapi tidak menunjukkan orang Hindu sebagai pribumi asal di Malaysia suatu ketika dahulu.

Sebagai catatan yang agak mudah difahami, berikut disertakan petikan daripada internet untuk melatari gambar-gambar yang sempat kami rakamkan.
Sejarah Awal Lembah Bujang
Catatan dipetik dari http://memori-kedah.net
Lembah Bujang merupakan salah satu tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia kerana mempunyai pelbagai khazanah tinggalan zaman. Kedudukan Lembah Bujang adalah merangkumi kawasan seluas 144 batu persegi dengan pembatasan Bukit Choras di bahagian Utara, Sungai Muda di bahagian Selatan, Selat Melaka di bahagian Timur dan Lebuhraya Utara - Selatan di bahagian Barat. Kedudukan ini dianggap strategik kerana amat sesuai dijadikan destinasi bersejarah.
Ramai pelancong yang datang ke Lembah Bujang tertarik dengan tinggalan sejarah di tapak arkeologi atau carigali seperti runtuhan candi, struktur bandar dan pelabuhan terpendam, ratusan ribu pecahan seramik, kaca dan manik dari China, Asia Barat atau Tanah Arab serta dari India, patung-patung dan arca, batu bersurat serta peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kuno. Penemuan semula semua artifak sejarah ini telah membuktikan bahawa telah wujudnya sebuah petempatan dan kerajaan pada masa yang lampau di Lembah Bujang.
Kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang.







Barang-barang ini sangat diperlukan oleh para pedagang untuk perdagangan mereka, manakala masyarakat tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar, barang pertukangan untuk keperluan harian mereka.

Selain itu, Lembah Bujang juga berkembang sebagai petempatan dan pelaburan disebabkan oleh fungsi Gunung Jerai. Kedudukan Gunung Jerai yang merupakan gunung tertinggi di Barat Semenanjung Tanah Melayu menjadikan kawasan Lembah Bujang sebagai tempat penting.

Bagi pedagang dari India pula tertarik dengan keadaan berdekatan dengan Gunung Jerai terutama Lembah Bujang kerana mempunyai banyak air terjun dan subur untuk pertanian. Menurut ajaran agama Hindu, tempat tinggi seperti Kaki Gunung Jerai adalah tempat suci. Oleh itu, mereka memilih Lembah Bujang untuk mengembangkan Agama Hindu.

Ramai pedagang yang singgah di sini untuk berdagang dan bertukar barang. Pedagang-pedagang China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai "Yeh-po-ti" dan "Chieh Cha".
Pedagang India pula menggelarkan Lembah Bujang sebagai "Kataha", "Katahanagara", "Kidaram", "Kadaram" dan "Kalagam" manakala pedagang dari Arab mengenalinya sebagai "Kalah" atau "Qalha". Lembah Bujang juga terdapat di dalam catatan dan sumber bertulis Barat. Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai "Quedah", "Quedaram", "Kheddah", "Gedda" dan sebagainya.

Lamb (1959) telah mengemukakan beberapa peringkat perkembangan kebudayaan di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya.
1. Peringkat Perkembangan Awal Pengaruh Buddha.
Peringkat ini bermula pada abad ke-4. Kawasannya meliputi Bukit Meriam, Bukit Choras dan sekitar tepi pantai. Agama Buddha di bawa masuk melalui aktiviti perdagangan. Banyak candi dibina dan ditemui di kawasan-kawasan ini.
2. Peringkat Kegemilangan Kerajaan Srivijaya.
Pada abad ke-7 hingga abad ke-9, Lembah Bujang berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang turut berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Hindu di nusantara kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Kerajaan Srivijaya.
3. Peringkat Pengkalan Bujang.
Peringkat ini merangkumi abad ke-10 hingga abad ke-14. Lembah Bujang telah mencapai taraf pelaburan entrepot. Agama Hindu-Buddha telah berkembang ke kawasan Matang Pasir, Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu.
4. Peringkat Kuala Muda.
Peringkat ini berlaku pada abad ke 14. Perubahan muara Sungai Muda telah menyebabkan perkembangan kebudayaan semakin malap. Candi-candi banyak dibina di kawasan pedalaman.
Ahli-ahli sejarah lain pula mengatakan agama Hindu-Buddha dibawa masuk ke Lembah Bujang melalui tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap Buddha awal. Ia berlangsung dari abad ke-4 hingga abad ke-5. Mubaligh-mubaligh agama Buddha telah masuk untuk berdagang bersama pedagang-pedagang India.
Tahap kedua ialah tahap Hindu iaitu penganut Dewa Siva. Tahap ini berlaku dari abad ke-6 hingga abad ke-8. Pada masa ini, Kerajaan Srivijaya ialah pusat penyebaran agama Hindu yang terkenal. Ia sekaligus dibawa ke Lembah Bujang melalui aktiviti penaklukan, perkahwinan dan hubungan diplomatik. Pada masa itu, Lembah Bujang masih berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang seterusnya menjadi pusat agama Hindu menggantikan Srivijaya.
Tahap yang terakhir ialah tahap Buddha aliran Mahayana. Ia bermula pada abad ke-9 hingga abad ke-14. Pada masa ini, penduduk tempatan telah berkemahiran membina candi dan menguasai tulisan India terutamanya tulisan "Pallawa".
Pengaruh Lembah Bujang mula merosot apabila agama Islam dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab dan kemunculan beberapa pelaburan baru seperti Melaka, Acheh, Singapura dan sebagainya. Penduduk sekitar Lembah Bujang mula menganut agama Islam dan menghapuskan bukti-bukti peninggalan agama Hindu-Buddha.
Selain itu, perubahan muara Sungai Muda dan sungai-sungai berdekatan yang semakin cetek menyebabkan pedagang beralih ke pusat perdagangan lain.

Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.

Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.

Terdapat beberapa candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19,21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).
Candi-candi ini menjadi bukti bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pusat penyebaran agama Hindu suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan. Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.
1 Komen:
saya suka Lembah Bujang...begitu indah dan uniknya sejarah lembah bujang.lawatan saya ke sana amat mengembirakan.
Post a Comment