Tergolong diantara pulau tercantik di Malaysia, malahan pernah tersenarai sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. Walau apapun tidak pastilah apa kriteria pemilihan tersebut. Keindahan pemandangan, kejernihan air, inrastruktur, batu karang, flora dan fauna ? Walaupun sebelum ini aku pernah berkunjung dan bersnorkeling di Pulau Kapalai Sabah, Pulau Payar Langkawi dan Pulau Manukan Kota Kinabalu, tetapi Pulau Perhentian tengok daripada jauh aje. Sedangkan selalu kalau balik kampong mertuaku di Kg Air Tawar, nampak Pulau Perhentian tu dari jauh.
Baru kali ini berkesempatan ke sana. Kunjungan pada 14 Ogos 2013 bersama famili kali ini merupakan kali dua bagi diriku, tapi ke Pulau Perhentian Besar yang dikatakan menjadi tarikan pelancong kerana keindahan persekitaran, kejernihan air serta mempunyai dasar laut yang pantai dengan batu karang yang sangat menarik.
Pulau Perhentian terdiri daripada dua buah pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Kali terakhir aku ke sana ialah ke Pulau Perhentian Kecil yang kini mempunyai penduduk tetap kira-kira 2,000 orang, sekitar 1985-1986 bersama rombongan kempen pilihanraya dengan menaikki bot nelayan. Bagaimana agaknya pulau ini sekarang jika dibandingkan dengan masa aku ke sana dulu ?
Untuk ke sana kena menaiki bot laju di Jeti Pengkalan Kuala Besut. Pulau Perhentian terletak sekitar 10 batu nautikal (19 km) dari pantai dalam negeri Terengganu, sekitar 40 batu (64 km) selatan dari sempadan Thailand.
Perjalanan bot dari Kuala Besut kekira 45 minit. Bentuk botnya kecik aje, hanya berbumbung dan terbuka tanpa dinding serta boleh memuatkan kekira 10-16 orang. Walaupun dibekalkan dengan live jacket, namun rasa kurang selesa, khususnya apabila melanggar ombak. Terasa tehentak-hentak macam naik kereta melanggar bonggol. Sakit perut dibuatnya.
Aku begitu teruja melihatkan pemandangan sekitar yang indah ketika boat kami menghampiri destinasi boat untuk berlabuh, disertai dengan air yang jernih.
Sampai terus kami bertemu dengan orang yang mengurusakan perjalanan kami seterusnya. Kami diberikan panduan ringkas, alat snorkeling dan tinggalkan barangan di sana. Pakej kami ialah ‘day trip’, maknanya pergi pagi, 3 jam snorkeling dan balik petang tanpa menginap. Aku tidak pasti berapa tiket boat pergi balik sebab kami hanya membayar RM99 seorang untuk pakej ini, tanpa disediakan makan tengahari.
Kemudian kami terus dibawa menaikki bot lain yang lebih kecil dengan pemandunya. Yang bestnya satu bot ni hanya kami sefamili, takde orang lain.
Hentian 1 - Penyu
Kami di bawa jauh menyusuri pulau dan sekaligus dapat menyaksikan keindahan sebahagian pulau. Kemudian kami berhenti di suatu tempat yang dikatakan oleh boatman tu tempat penyu melepak dalam dasar pantai. Wah, tak sabar rasanya. Kami intai dari atas boat.
Masalahnya kami tidak tahupun yang kami dicadangkan untuk snorkeling di sini. Malahan tatacara nak pakai alat snorkeling pun tidak ditanya. Atas pengalaman, aku ajarkan anak-anakku bagaimana nak pakai dan rely dengan life jacket yang mengapungkan kita di permukaan air.
Mengapa terasa belajar perubatan lagi senang daripada nak snorkeling, kata anakku yang akan masuk tahun tiga Perubatan UIAM September ni dan first time nak bersenorkeling !!!
Memang nampak beberapa ekor penyu. Walaupun air jernih, tetapi disebabkan agak jauh dasar, tambahan masih terlindung dengan cahaya matahari, tidak kelihatan jelas rupa bentuknya. Kemudian penyu tersebut beredar dan timbul di permukaan air.
Tapi di hentian ini, kami sebenarnya lebih kepada nak belajar atau belajar semula pemakaian alat snorkeling yang sebaiknya. Keadaan dasar laut yang agak dalam sedikit sebanyak membantutkan pembelajaran kerana bimbang lemas, hanyut dan sebagainya.
Hentian 2 – Pantai Cetek
Kemudian kami di bawa ke tepian pantai yang agak cetek. Baru nampak jelas kejernihan air. Telah ramai orang di sana dan aku rasa kawasan ini paling sesuai untuk kanak-kanak serta mereka yang tidak mahu atau masih takut nak bersnorkeling.
Walaupun airnya cetek, kami tetap bersnorkeling bagi melihat dasar laut dengan batu karangnya sebab bimbang terpijak batu karang tersebut, bukan bimbang merosakkannya tetapi terasa kegelian dan licin di kaki.
Ikan kecil jinak berwarna-warni berlegar-legar di keliling kita, begitu juga yang banyak di dalam air. Cuba nak tangkap tapi mereka lebih cepat melarikan diri. Sesekali terasa ada ikan tersebut mengigit kakiku.
Terdapat kumpulan batu-batu di tepi pantai menjadikan indah pandangan masa itu.
Namun keadaan awan tanpa kepulan tidak berjaya memberikan impak yang baik untuk photo shooting. Matahari semakin naik dan mula terasa lapar.
Patutnya bawa bekalan makanan supaya boleh makan minum sampai lepak-lepak berkelah sambil di kawasan ini. Kelihatan juga bebarapa khemah persendirian didirikan di tepi pantai ini.
Hentian 3 – Kawasan Dalam Batu Karang
Kemudian kami di bawa ake suatu kawasan yang agak dalam berdasarkan warna air. Aku tanya boatman tu, ini kawasan apa pulak. Jawab ringkasnya, batu karang. Kurang memberikan maklumatlah boatman kami ni.
Waduh, kelihatan penuh batu karang tersusun bagaikan hamparan permaidani di dasar laut. Bagaimanapun kelihatan kurang jelas sebab agak dalam dasar tersebut.
Atau mungkin sebab aku terpaksa menanggalkan cermin mataku atau mungkin keadaan tempat snorkeling masih redup. Airnya pun terasa sejuk sahaja.
Aku sudah mula terasa penat dan leher pun sudah mula terasa sakit. Nak naik semula ke dalam boat pun terasa berat dan macam tak larat.
Hentian 4 – Batu Karang
Kawasan seterusnya pun dikatakan kawasan batu karang juga. Lantaran matahari mulai terik, ia membantu untuk melihat dasar laut yang penuh dengan batu karang tersusun cantik pelbagai bentuk bagaikan hamparan permaidani batu karang.
Ditambah dengan ikan-ikan yang cantik berwarna warni berenang-renang berdekatan batu karang, menghiasi keadaan air laut menjadi lebih cantik
Memang terasa puas hati dapat menyaksikan keindahan batu karang di sini, suatu yang tidak pernah aku temui semasa di Kapalai, Payar mahupun Manukan. Sayangnya kami tiada kamera yang boleh mengambil gambar di dasar laut. Mungkin boleh difikirkan sekiranya bercadang nak ke sini lagi, atau snorkeling di tempat lain pulak.
Ikan-ikan juga jinak di sini, ditambah kami dapat bermain dengannya berdekatan permukaan apabila dicampakkan makanan roti yang diberikan semasa kami mendaftar tadi.
Aku tanya boatman, berapa luas kawasan yang dipenuhi dengan batu karang ini. Beliau menunjukkan kawasan sekitar tebing pantai yang tidaklah begitu luas berbanding dengan tempatku bersnorkeling.
Terfikir olehku, bagaimana habitat batu karang ? Bagaimana jika dibandingkan dengan The Great Barrier Reef yang merupakan kawasan batu karang terbesar sehingga membentuk pulau-pulau yang terdapat di pantai timur Australia.
Hentian 5 – Air tawar Di Lata Air Berani
Terasa semakin penat, tapi boatman kata tempat terakhir kami ialah mandi air panas. Teruja mendengarnya kerana kami pun sudah dalam keadaan kesejukan.
Namun sebelum itu kami bermain di air pantai yang jernih. Kami mula tanggalkan jacket keselamatan kami yang mulai terasa berat.
Argh, bukan air panas, rupanya air sejuk tawat di suatu tempat yang dinamakan Lata Berani.
Airnya dikatakan keluar dari tanah ditengah-tengah pulau. Keajaiban ciptaan Allah, air tawar keluar di tengah-tengah air laut yang masin.
Terasa segar benar, sambil bilas diri yang melekit dengan air masin lantaran menyelam di empat lokasi sebelum ini.
Akhirnya kami di bawa kembali ke jeti di mana kami mula bertolak tadi. Terasa lapar dan tak sabar nak makan. Jam dah masuk zuhur, kami bilas di tandas yang disediakan dan solat di surau yang juga terletak bersebelahan.
Menikmati Keindahan Pemandangan
Setelah selesai makan, kami sekadar berehat sambil menantikan boat untuk kembali ke Kuala Besut. Harga makanan bukan main mahal, mungkin sebab pulau.
Set makanan sepinggan sekitar RM9-RM12 berbanding dengan mungkin sekitar RM5-RM6 di Kuala Besut atau Kg Raja.
Yealah, mungkin kena mengambil kita kos pengangkutan dari Kuala Besut selain sesuai dengan status destinasi pelancongan.
Selain menyaksikan keindahan pemandangan, dapat melihat susunan rumah-rumah chalet dan aktiviti lain yang dilakukan oleh pengunjung ke Pulau Perhentian ini.
Harapnya keindahan persekitaran ini akan terpelihara oleh semua pihak bertanggungjawab. Nampak agak bersih juga pantai serta perairannya daripada sebarang sampah-sarap.
Terdapat berbagai chalet penginapan di sini oleh pelbagai pengusaha. Cuma kena booking awal, sebab beberapa hari sebelum nak datang akau dimaklumkan chalert sudah penuh.
Diahamkan juga masa musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Januari, aktiviti pelancongan ditutup . Mungkin sebab itu harga di sini agak mahal, sebab nak cover setahun pun kos operasi.
Pengaruh Sosial
Masalah apabila berkunjung ke pantai mandi manda ialah cara berpakaian yang mendedahkan aurat khususnya bagi kaum hawa. Tetapi yang lelaki pun dua kali lima juga, just seluar dalam sahaja. Namun orang tidak begitu ramai di kawasan tempat aku berada, tiada kelihatan hal pergaulan bebas.
Tetapi bagaimana hendak kawal tabiat mat salleh atau pelancong yang ikut suka mereka berpakaian ke sana sini berpakaian menjolok mata dan mendamparkan diri berjemuran macam dugong di tengah-tengah panas di tepian pantai ?
Sejauh mana pula kesannya kepada penduduk, pengusaha atau mereka yang tinggal di sini ? Mungkin telah biasa bagi orang tempatan, tak terasa apa-apa lantaran sudah jadi kebiasaan sejak kecil lagi. Kebiasaan yang negatif. Mungkin boleh dibuat pengasingan kawasan bagi pelancong luar yang suka melepak begitu.
Sesekali tampak keakraban pelancong asing wanita dengan lelaki tempatan ( barangkali ) dengan keadaan pakaian yang ringkas dan terdedah. Bersangka baik sajelah ?
Asal Usul Nama Pulau Perhentian
Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18, dipercayai oleh Batin Mina dan keluarganya. Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ia dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu.
Di pulau ini juga pernah dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ia telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian iaitu sebagai pulau tempat kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga kini, pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.
Pewartaan Sebagai Taman Negara
Pada tahun 2003 pulau-pulau ini telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara. Jadi kawasan yang kurang daripada 20 batu nortika dari pantai adalah merupakan kawasan larangan untuk apa-apa aktiviti perikanan termasuk mengambil atau memusnahkan batu karang di sekitarnya kecuali untuk aktiviti yang melibatkan penyelidikan.
Aktiviti lain kelihatan di sini adalah seperti pantai lain ialah berkayak dan bola pantai. Tak nampak pulak permainan seperti banana boat, ski air dan waterjet ski. Mungkin ia boleh memusnahkan khazanah batu karang sedia ada
Cadangan Pembaikan Lain
Sebagaimana aku alami, boatman kena lebih banyak bercakap dan memberikan informasi tentang sesuatu aktiviti yang dilakukan. Kami juga orang Malaysia, cakap melayu la …
Sesekali kedengaran bagaimana mereka yang terlibat dalam menguruskan pelancong asing berinteraksi. Bahasa Inggeris mereka bukanlah baik sangat. Bagaimana mereka boleh memberikan informasi dengan lebih tepat ? Argh, kat Mekah pun sama juga !!!
Namun jika dibandingkan dengan pengalaman aku snorkeling di Pulau Kapalai Sabah, Pulau Payar Langkawi dan Pulau Manukan Kota Kinabalu, aku kira pengalaman di Pulau Perhentian jauh lebih menarik, terbaik gitu.
Tapi yang paling penting, keadaan bot laju dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian pergi dan balik. Kebanyakan bot yang aku lihat kecil-kecil sahaja dan sesuai untuk perjalanan dekat-dekat saja. Serik aku menahan kesakitan perut kerana menaiki bot laju apabia berlanggar dengan ombak.
Harap ada yang akan mengusahakan bot yang besar sikit baru terasa nak berkunjung lagi ke Pulau Perhentian. Kalaupun tidak ada lapangan terbang seperti Pulau Redang atau Tioman. Ha x 3
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
4 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment