Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Apabila Judi Sukan Dihalalkan ...

Ketika demam bola sepak Piala Dunia 2010 mula melanda, sedang pasukan Piala Thomas Malaysia bertarung dan berjuang berhempas pulas, kita dikejutkan dengan pengumuman satu lagi Judi Sukan dilulus dan di’halalkan’. Ini agak mendukacitakan dan aku kira mencemarkan imej Negara Islam Malaysiaku. Bantahan daripada rakyat mula disuarakan menerusi pelbagai saluran seperti demontrasi dan luahan di media massa, walaupun liputan dan masih dalam saluran terhad. Rakyat nampaknya tidak dapat menerima satu ‘produk halal’ yang bakal muncul bukan sahaja ‘memeriahkan’ lagi temasya sukan empat tahun sekali itu, tetapi akan berterusan untuk sukan-sukan lain selepas ini seperti EPL.

Apa yang menariknya dalam melihat bantahan tersebut ialah penglibatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Pusat , Dr Lee Boon Chye dan lain-lain pimpinan PKR yang bukan beragama Islam dalam melahirkan bantahan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh Perak, Ipoh selepas solat Jumaat 21 Mei lalu. Media massa perdana tidak banyak sentuh tentang bantahan ini, sebalik mempersoalkan keikhlasan mereka kenapa tidak bantah judi serta premis sedia ada yang menjalankan kegiatan judi sekarang ?

Pada ketika ini, aku tertanya-tanya juga, di manakah orang yang pernah bangkit kononnya membela agama dan bangsa membantah penggunaan kalimah Allah olah akhbar The Herald dalam penerbitannya ? Ketika itu, bantahan ramai saban hari mendapat liputan media massa. Ke lain sangat isunya dan tidak berkaitan langsung ? Judi diharamkan dalam Islam dan yang suka berjudi kebanyakkannya orang Cina. Jadi tidak perlu risaukan sangat, biar orang Cina yang akan rosak moral dan menanggung akibat ketagihan judi ? Umat Islam Melayu tidak tergugat dengan lesen judi yang baru diluluskan ?

Pada 11 Mei lalu, Kementerian Kewangan secara rasminya meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 mulai Jun ini kepada Kumpulan Berjaya. Sehubungan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bola sepak Piala Dunia itu bermula nanti di lebih 2,000 premis judi sedia ada yang juga dimilikki oleh kumpulan syarikat itu.

Dikatakan sebenarnya tiada kelulusan lesen judi baru termasuk untuk pertaruhan kejohanan Bola Sepak Piala Dunia kali ini. Menurut sumber Kementerian Kewangan, lesen tersebut ialah lesen yang diluluskan sejak 1987 lagi kepada Ascot Sports Sdn Bhd ( ASCOT ). Lesen tersebut dikembalikan kepada kerajaan pada 1990 dan Ascort akan diberi hak menjadi syarikat pertama mendapatkannya semula jika perlu. Pada tahun 2003, ASCOT mendapat kembali lesennya tetapi tidak menggunakannya sehinggalah dikatakan akan beroperasi untuk kejohanan Piala Dunia akan datang.

ASCOT adalah milik korporat judi terkaya di Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang sekarang memiliki modal saham berbayar RM80 juta dengan nilai harga jualan RM9.37 sesaham. Berjaya Corp Bhd ( Berjaya ) telah mendapat lesen pertaruhan bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, dikatakan bakal memiliki syarikat pertaruhan sukan berlesen pertama di Malaysia apabila menguasai 70 peratus kepentingan dalam ASCOT dengan harga tunai RM525 juta.

Betting adalah Pertaruhan
Bagaimana agaknya judi pertaruhan ini dilakukan ? Betting bermaksud pertaruhan. Asas pertaruhan adalah wang yang dipertaruhkan untuk mendapat sejumlah wang sebagai untung. Keuntungan akan diraih apabila fakta pertaruhan itu berasaskan ramalan bersifat nasib bertukar menjadi realiti. Pihak yang kalah akan mendapat nilai pulangan kosong dan pihak yang menang pula akan mengaut sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh pihak yang kalah. Ini yang biasa difahami. Tapi bertaruh dengan penganjur atau sesama orang lain ?

Menurut sumber CIMB Research (New Straits Times, 14 Mei 2010, hal. 13), bentuk betting boleh dilakukan dalam dua cara, iaitu melalui kaunter jualan atau secara telefon. Melalui kaunter boleh dibuat dengan bayaran minimum RM5 dan melalui telefon dengan bayaran minimum RM20.

Mengawal Untuk Membendung ?
Pemberian lesen judi ini dikatakan untuk mengawal dan memantau kegiatan ini, kerana kegiatan pasaran pertaruhan haram di Malaysia dikatakan mampu mencecah taruhan berpuloh billion setahun. Kawal dan pantau macamana ? Memang ‘lumayan’, tetapi sejauh mana cukai dapat dikutip oleh kerajaan daripada industri baru ini ?

Walau apapun alasan, satu judi baru mula beroperasi Jun 2010 ini. Judi tersebut dibenarkan bagi mengelakkan judi haram yang berleluasa. Jika atas alasan tersebut, apakah lepas ini kegiatan seperti pelacuran akan dihalal dan dilesenkan juga bagi mengawal kegiatan haram yang sedang berlaku ? Tetapi apakah pula jaminan setelah dilesenkan, apakah kegiatan sindiket perjudian tanpa lesen dapat dibendung dan tidak lagi diteruskan ?

Bayangkan juga jika dengan alasan untuk mengawal setelah tidak berupaya membendungnya, lepas ini mencuri, merompak, merempit, buang bayi, membunuh, murtad dan sebagainya, semua ini boleh dibolehkan ? Harapnya alasan tidak masuk akal ini tidak benar-benar dijadikan alasan.

Kelulusan Premis Judi - Hak PBT
Memang benar, lesen judi dikeluarkan oleh peringkat pusat iaitu Kementerian Kewangan. Namun premis judi tertakluk kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh peringkat negeri melalui Pihak Berkuasa tempatan ( PBT ) seperti Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Dalam hal ini aku tertarik dengan tindakan Negeri Kelantan dalam mengharamkan premis judi. Kini tiada premis judi di sana.

Aku rasa di Terengganu pun masih diharamkan ketika PAS memerintah kekira 10 tahun lalu. Pengharaman judi secara undang-undang hanya terlaksana apabila Terengganu diperintah PAS (1999-2004). Itu pun dengan serba kepayahan lantaran suatu tabiat yang telah bersarang dalam masyarakat sejak sekian lama. Menghapuskannya bukanlah tugas yang mudah, sedangkan itu di negeri majoritinya Melayu Islam.

Tuan Guru MB Besar Kelantan ketika ditanya akan kerugian atau kekurangan hasil daripada pungutan cukai akibat pengharaman premis judi di Kelantan, beliau menjawab tidak mengapa asalkan jumlah sedikit yang kerajaan negeri perolehi tu berkat.

Keadaan ini sepatunya dicontohi oleh negeri-negeri lain sekiranya turut membantah penghalalan judi sukan yang baru ini, khususnya PAS yang juga memerintah Kedah atau berkongsi memerintah negeri lain, bagi membuktikan keikhlasan dan kesungguhan dalam menentang judi serta kemungkaran lain. Tidak dapat memerintah dan melaksanakan Islam keseluruhannya serta melaksanakan pengharaman judi secara total, buatlah setakat mana kuasa yang ada.

Teruskan Mood Penentangan
Setakat kenakan larangan untuk umat Islam berjudi atau berada di premis perjudian mungkin belum cukup kuat lagi. Sebelum ini pernah dengar dalam media masa gesaan daripada Pemuda PAS Selangor, antaranya mengenai pengharaman premis judi. Namun apakah tidak dibincangkan dalam penyelarasan tindakan antara parti dalam PR sehingga memaksa gesaan datang daripada luar ? Mungkin tentangan daripada pimpinan DAP dan PKR yang non-Muslim sebelum ini ?

Namun kini dikatakan pemimpin bukan Islam daripada DAP dan PKR sendiri menyokong pengharaman judi sukan yang baru diluluskan. Penglibatan non-Muslim dari pimpinan PKR berdemontrasi menentang judi sukan ini seperti yang berlaku di Masjid Negeri Ipoh Perak patut diambil kesempatan bagi menunjukkan masalah judi bukan sekadar masalah hukum bagi orang Islam dan melayu, tetapi masalah atau memudaratkan masyarakat non-Muslim juga.

Mood penentangan bersama perlu diteruskan sehingga semua bangsa dan lapisan masyarakat akur secara paksa atau rela untuk bertindak, bagi membolehkan kerajaan negeri & PBT setidak-tidaknya menyediakan pelan atau langkah ke arah pengharaman premis judi daripada terus-terusan diberikan lesen untuk beroperasi. Perkara ini boleh juga dibawa ke Dewan Parlimen.

Easier said than done ?
Semasa awal pemerintahan kerajaan baru di Selangor dahulu, aku pernah bertanyakan kepada MP Kuala Selangor yang juga AJK PAS Pusat mengenai kedudukan Kilang Arak yang terseragam di Shah Alam serta pusat-pusat judi yang berselerak dalam negeri ini. Maaflah, aku tidak ingat jawapannnya. Namun mungkin kerana masih baru memegang tampuk pemerintahan, ada keutamaan lain yang perlu dilakukan dahulu agaknya. Namun dua tahun telah berlalu.

Mantan MB Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendesak MB Selangor kini, Tan Sri Khalid Ibrahim agar menutup lebih 4500 tempat perjudian yang kini terdapat di Selangor. Banyak rupanya. Pada zaman siapa premis perjudian tersebut dibina dan diluluskan ? Sejauh mana ianya bertambah semasa kerajaan Selangor sekarang ? Bagaimana hendak membantah sangat kelulusan judi baru ini, sedangkan dalam masa yang sama premis untuk kegiatan judi terus diluluskan dan bertambah satu demi satu.

Betul-betul ramai ke yang terlibat dengan perjudian dan berjudi di Malaysia. Ramai sangat ke orang berjudi di Genting tu sehingga tersohor sebagai yang terbesar di Asia Tenggara sebelum ini ? Namun sejak Singapura mempunyai kasinonya sendiri yang serba canggih, aku rasa jumlah warga Singapura yang nak berjudi naik ke puncak Genting semakin berkurangan.

Apakah akhirnya isu ini ?
Bagi parti pemerintah serta pimpinanya pula seolah-olah mengambil peluang untuk bertindak mempertahankan keputusan kerajaan lantaran negeri yang dikuasai oleh pembangkang pun masih tidak mengharamkan premis judi daripada terus beroperasi. Mereka mendabik dada berhujah, kalau bantah judi sukan yang baru diluluskan, kenapa tak tutup premis judi sedia ada yang dibawah bidang kuasa mereka ? Ini menjadi alasan.

Mungkin masa yang panjang untuk menyelesaikan isu ini. TPM nampaknya memberikan respon baik untuk melihat isu ini. Katanya beliau belum mendapat makluman tentang penentangan rakyat. Pimpinan MCA turut menyuarakan bantahan dan kebimbangan, apatah lagi masalah Along masih menyelubungi masyarakat. Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) juga mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola ini.

Bersama kita berdoa yang terbaik dan sesuatu yang positif akan dilaksana.

Share:

0 Komen:

Blog Tazkirah

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.

Harian Metro

The Star Online

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

kata2