Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan dan lakonan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Catatan Pulau Batam-Bintan, Indonesia @ 11-15 Oktober 2025

Pulau Batam dan Bintan terletak di Selat Singapura, satu laluan laut strategik antara Laut Cina Selatan dan Selat Melaka. Sejak dulu2 lagi, kawasan ini menjadi laluan utama perdagangan antarabangsa yang menghubungkan India, Timur Tengah, China dan Kepulauan Melayu. Kedudukan ini menjadikan Batam-Bintan sebagai tempat singgahan kapal dagang dan pusat aktiviti pelaut dan pedagang Melayu. Pada masa ini, Batam berkembang pesat sebagai kawasan industri, pelabuhan, dan bandar moden antarabangsa. Manakala Bintan, pula dikembangkan menjadi pusat pelancongan dan kebudayaan Melayu dengan mengekalkan warisan Islam dan sejarahnya.
Batam memiliki sekitar 1.3 juta penduduk, menjadikannya kota dengan jumlah penduduk terbesar di Kepulauan Riau. Sementara itu, Bintan memiliki populasi sekitar 180,000 orang. Ketika ini menjadi kunjungan popular pelancung dari Malaysia dan Singapura khususnya hujung minggu atau cuti kelepasan.
Destinasi pertama selepas tiba di Terminal Batam dan makan tengahari, Puncak Beliung yang menawarkan perbagai xtvt yang agak mencabar dan mungkin mengujakan khususnya kepada peminat xtvt pasal dan sosmed.
Nama pun Puncak, kenalah hiking sikit nak sampai atas. Habis sakit2 lutut dibuatnya. Orang ramai dan banyak yang kena queue panjang menunggu giliran.
12 Oktober 2025 : Pagi ini bertolak ke Pulau Bintan yang terletak sebelahan, 20 minit dari terminal ferri Pulau Batam.
Dengar sahaja sebelum ini, kali ini betul2 dapat menghayati. Ianya boleh dilihat sebagai tanda kebesaran Allah, bagaimana tanah gersang bekas perlombongan boleh berubah menjadi pemandangan indah yang menarik manusia melihat keajaiban ciptaan-Nya.
Disebut ‘gurun’ kerana lanskapnya gondol dan berpasir luas seperti padang pasir, walaupun ia bukan gurun sebenar.
Disebut ‘tasik biru’ kerana air di bekas lombong itu berwarna biru jernih seperti di kawasan tropika. Gabungan pasir putih kuatrza dan air biru menjadikan tempat ini sangat fotogenik dan unik, seperti gabungan gurun dan oasis.
Hang Nadim ialah anak Hang Jebat yang gugur apabila berlawan dengan Hang Tuah. Setelah Hang Jebat gugur, isterinya melahirkan Hang Nadim, lalu membawa diri ke Bintan atau Riau. Siapakah ibu Hang Nadim ?
Setelah Melaka jatuh kepada Portugis (1511), warisan Melaka diteruskan oleh Kesultanan Johor-Riau dengan memindahkan pusat pemerintahan ke kawasan Bintan, Lingga dan Riau yang dianggap lebih selamat dan strategik. Sultan Mahmud Shah melantik Hang Nadim sebagai panglima muda dan ketua pertahanan laut yang mengetuai serangan2 balas dan pengusiran terhadap Portugis.
Hari ini berkesempatan ziarah kubur Hang Nadim di Pulau Bintan. Masih terjaga elok, walaupun tanpa binaan khas. Sempat juga menyapa Wak Samsudin yang kebetulan ada di situ bersama anak2 kampung.
Wak Samsudin dan keturunannya dikatakan masih belum boleh menjejakki kaki ke tanah Johor kerana ‘sumpahan’ Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Kalau pergi juga, akan muntah darah sebagaimana di alami oleh anaknya yang berkunjung ke Johor minggu lepas. Waullahualam.
Pernah terbaca bahawa Pulau Batam di gelar sebagai ‘Pulau Seribu Masjid’ kerana jumlah masjidnya yang banyak dan tersebar di seluruh pulau ini. Jolokan ini juga menggambarkan kuatnya nilai keagamaan dan identiti Islam dalam kehidupan masyarakat tempatan. Masjid tersebut bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat kegiatan sosial, pendidikan, dan budaya. Semasa berkunjung ke sana, sempat ‘menziarahi’ beberapa masjid, selain berhenti amik foto atau tumpang kencing.
Musollah Al-Amin menjadi tempat singgah solat pertama kami setelah mendarat di Pulau Batam. Lantaran agak lewat dan kepenatan melepasi pemeriksaan Imigresn di terminal tadi, kami langsung solat jamak Zuhor-Asar serta jamak Maghrib-Isyak di sini sahaja. Musolla ni kira macam surau kot kalau kat Malaysia.
Masjid Muhajirin Lagoi Bintan Ketika di Pulau Bintan, kami singgah solat Zuhor-Asar di Masjid Muhajirin Lagoi Bintan. Ia agak unik sebab di-dirikan dengan binaan tanpa dinding di tepi hutan, tanpa penempatan dan kelihatan agak tenang, nyaman dan bersih persekitarannya.
Katanya ia menjadi tumpuan jemaah Jumaat bagi pekerja sekitar resort-resort di Lagoi, Bintan.
Masjid Tanwirun Naja @ Masjid Tanja Terletak dekat Lapangan Terbang Hang Nadim, terkenal kerana reka bentuknya yang unik menyerupai tanjak, iaitu penutup kepala tradisional lelaki Melayu.
Ini menjadikannya salah satu masjid paling ikonik di Batam dari segi seni bina dan simbolik budaya Melayu-Islam. Nama Tanja juga singkatan kepada nama Tanwirun Naja yang berarti “Penerang Keselamatan”. Masjid ini mampu memuatkan seramai 1,200 jemaah.

Masjid Raya Batam (Masjid Raya Sultan Mahmud Riayat Syah)
Ini merupakan masjid terbesar di Pulau Batam, malah katanya yang ke-4 di Indonesia kerana mampu menampung lebih dari 25,000 jemaah. Dirasmikan pada tahun 2019, masjid ini memiliki seni bina yang megah dan moden dengan sentuhan seni Islam klasik serta memiliki payung membran di luar ruang utama yang mirip dengan Masjid Nabawi.
Masjid ini juga menjadi simbol kemegahan dan kemajuan Islam di Batam.

Masjid Agung Raja Hamidah pula mampu menampung sehingga 10,000 jemaah. Sedang mengalami renovasi dan istimewanya ialah boleh nampak perkataan ‘Welcome To Batam’ dari sini untuk bergambar.
Nama Raja Hamidah diambil dari Raja Hamidah binti Raja Haji Fisabilillah, permaisuri kepada Sultan Mahmud Riayat Syah. Beliau dilahirkan pada tahun 1774 dan meninggal dunia di Pulau Penyengat pada 7 Julai 1844. Beliau dikenali kerana jasanya mempertahankan empayar Johor.
Masjid Muhammad Cheng Hoo dengan rekabentuk unik yang menjadi daya tarikan pelancung. Masjid ini dibina oleh seorang saudagar Islam pada tahun 2015, di atas tanah seluas 80×80 Meter.
Dengan luas bangunannya sendiri hanya 20×30 meter dan cukup untuk menampung sekitar 200 jemaah.
Nama diberi bagi memperingati Laksamana Cheng Hoo yang pernah hadir dan singgah di tanah Batam bersama ribuan anak kapalnya.
13 Oktober 2025 : Semasa di Batam-Bintan, kami menginap di hotel 4-bintang, Grand Palace Hotel yang bentuknya jika di lihat daripada luar, nampak bentuknya sebagai sebuah kapal cruise yang besar. Memang kelihatan mewah suasana bilik dan dekorasi dalamannya.
Namun ini berbeza dengan sebuah lagi hotel 5-bintang yang betul-betul asalnya merupakan sebuah kapal yang besar terletak di Pulau Bintan.
Nama asalnya ialah Kapal MV Doulos Phos yang dibina di USA pada tahun 1914, dua tahun setelah tenggelamnya kapal Titanic.
Dengan kemampuan teknologi yang ada pada ketika itu yang mungkin ada kaitannya, kapal tersebut pernah digelar sebagai kapal penumpang tertua di dunia yang masih beroperasi sebelum ia "bersara" pada 2009. Ianya kemudian dibeli oleh sorang towkey Singapore, lalu menukarnya kepada sebuah hotel.
Sekadar lihat dari jauh sahaja, terfikir sejauh mana persamaan teknologi yang diguna pakai oleh kapal Titanic yang dikatakan kurang daripada segi keselamatan berbanding MV Doulos Phos.
14 Oktober 2025 : Semasa menunggu giliran masuk tandas, seorang pemuda lelaki tempatan menegur. ‘Datang dari mana pak’. ‘Malaysia’ jawabku. ‘Sana hari cuti ke hari ini ?’. Jawabku,’ Ya’. Lantas lelaki tadi menjawab, ‘Patutlah ramai orang hari ini, selalu sepi di sini kalau bukan hujung minggu’.
Ternyata, kegiatan ekonomi Batam juga banyak bergantung kepada sejauh mana orang Singapura dan Malaysia datang melancung dan berbelanja. Memang banyak kompleks membeli belah di tengah pusat bandar.
Tambahan matawang Indonesia agak rendah ketika ini. Bayangkan pernah dulu RM300= IND Rupiah 1 juta. Tetapi kini sekitar RM260 sahaja. Kuasa membeli kita tinggi !!
Namun aku tidak menemui apa yang dihajatkan sangat hendak dibeli. Nak beli t-shirt Batam sebagai kenangan, tidak temui yang menarik dan berkualiti. Nak cari buku-buku, tiada pula di kompleks yang disinggahi. Lagipun apabila nak shoping kat kompleks membeli belah, hari dah mulai malam dan terasa kepenatan setelah berjalan siang tadi.
Share:

0 Komen:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.