Hari 37 ( Khamis 26 Nov / 9 Zulhijjah )
Tidurku sebenarnya tidak begitu lena, kejap-kejap tersedar. Apakah kerana gangguan gigitan nyamuk atau kerisuauan dengan Hari Wuquf ? Akhirnya bangkit jam 2.30 pagi untuk qiamullail di khemah tempat tidurku sendiri dalam keadaan kegelapan.
Jam 4 pagi baru aku ke musollah untuk qiamullail bersama ustaz TH. Sistem PA masih belum pulih. Akibatnya ramai yang buat jemaah sendiri di khemah-khemah lain, walaupun bersebelahan dengan musolla. Aku rasa janggal dengan keadaan ini, tapi nak buat camana. Jemaah di belakang tidak dengar suara imamnya.
Pagi itu agak mendung. Risau juga kalau hujan turun lagi. Sarapan disediakan seawal 7.00pagi. Tetapi air panas kena ambik sendiri di tempat yang disediakan. Bersesak nampaknya. Paip untuk ambik air panas tu memang banyak, tetapi rapat-rapat sehingga menyebabkan tidak ramai yang boleh menadah air yang keluar serentak.
Aku sempat juga menjenguk ke dapor tempat penyediaan makanan, berdekatan dengan tempat air panas disediakan. Nampaknya mereka sedang bersiap untuk menyediakan hidangan tengahari. Ramai juga pekerjanya.
Gelisah
Waktu wuquf bermula sebaik gelincir matahari zuhor. Aku terus-terusan gelisah. Asyik-asyik ke tandas untuk buang air kecil. Zikir dan mengajiku tersekat-sekat kerana terasa pening mata dan kepala. Itu yang kejap-kejap keluar dari khemah round-round ambil angin. Kekadang aku ke khemah dan panggil isteriku round-round sambil merakamkan kenangan bergambar di Arafah.
Arafah pada asalnya ialah padang yang tiada sebarang tumbuhan. Namun kerajaan Arab Saudi telah menanam beratus ribu pokok untuk menghijau dan menceriakan padang Arafah.
Sejak pagi kedengaran bunyi engin helikopter berlegar-legar rendah di udara. Tak habis minyak ke, entah kenapa aku fikir demikian.
Khutbah Arafah
Menghampiri waktu zuhor, kami mula berkumpul di musolla untuk mendengar khutbah Arafah. Cuaca mulai panas terik. Sistem PA sudah dipulihkan dan dapat di dengar dengan jelas, Imam memberikan penerangan serta khutbah.
Sebaik masuk zuhor, azan berkumandang. Ini diikuti dengan khutbah Arafah. Dalam khutbahnya, antara lain khatib menyentuh tentang kepentingan dan beberapa tanda haji yang mabrur, kemuliaan Wukuf di Arafah serta kelebihan tanah haram.
Khutbah disampaikan begitu menyentuh sanubari. Jika Haji merupakan kemuncak dalam penyempurnaan rukun Islam, maka wukuf adalah kemuncak dalam penyempurnaan haji.
Khatib menyeru jemaah memanfaatkan masa berada di Arafah agar sentiasa berdoa dan memohon keampunan daripada Allah, zikir dan membaca al-Quran. Sebagai tanda haji yang mabrur, jemaah diminta sentiasa berzuhud, memperbaiki diri dan bersedia untuk melaksanakan perubahan diri kepada yang lebih baik.
Seterusnya khatib menyeru agar pertingkatkan kebajikan dan amal ibadah semasa di Tanah Haram lantaran gandaan 1,000 kali pahala. Ini termasuklah solat, zikir, bersedeqah, membaca al-Quran dan khatam al-Quran. Doa dibaca begitu meruntun dan menyayat hati. Hatiku menjadi begitu tersentuh. Airmata mengalir begitu mudah sekali.
Ya Allah, perkenankanlah segala doaku, terimalah hajiku, terimalah segala amal ibadahku, ampunkanlah dosaku, perluaskan rezekiku Ya Allah. Ya Allah, kurniakanlah kebahagian dan keberkatan ke atas aku dan isteriku sekeluarga untuk bersama hingga akhir hayat. Ampunkan dosa ibu bapaku, adik beradik kaum keluarga sedara mara serta teman-teman. Berilah pentunjuk hidayah untuk bersama dalam agamaMU Ya Allah, serta kebahagian dunia dan akhirat. Ya Allah, peliharalah Surau Al-Hidayah dan KIDaS. Sentiasa berilah kekuatan untuk AJK menguruskannya dari semasa ke semasa. Orang sebelahku teresak-esak berdoa memohon Allah satu padukan orang Islam di Malaysia.
Cuaca yang mulanya panas terik, tetiba menjadi redup dan berangin. Suasana terasa begitu hening sekali dan sukar nak digambarkan. Apakah ini tanda malaikat diutus Allah berbondong-bondong turun ke bumi Arafah ? Ya Allah, jangan dikau cabutkan kenangan dan pengalaman syahdu ini daripada diriku. Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi untuk kembali berwuquf di Arafah ini.
Lepas khutbah, kami solat jamak zuhor serta asar secara tamam, iaitu 4 rekaat tiap satu. Ini diikuti dengan solat-solat sunat selepas zuhor dan sebelum asar. Memang agak ganjil atau janggal turutan solat ini. Aku ikut sahaja.
Lepas itu balik ke khemah untuk makan tengahari. Lepas makan, ramai yang menghambil peluang berehat dan berbaring atau tidur di khemah. Namun aku ambil peluang ini untuk menyampaikan dan mengulang-ulangi doa-doa yang dikirimkan kepada ku serta doa-doa sebagaimana yang di sarankan dalam buku doa yang dibekalkan oleh TH. Semoga Allah memperkenankannya. Amin.
Di luar khemah dan di musolla, pelbagai cara orang bermunajat. Berhampiran khemahku, ada dua orang tua yang berlainan keadaannya. Seorang tu terpaksa bergerak menggunakan wheel chair. Beliau ditemani seorang anak muda yang aku kira anaknya. Sungguh mulia anak muda itu dan kelihatan begitu sabar membawa bapanya bergerak ke tandas. Seorang lagi, lelaki tua yang diam sahaja tidak berkata-kata. Walaupun cuba ditegur oleh orang sebelah, tapi nampak macam tidak berapa mahu hendak melayaninya. Sesekali isterinya datang ke tempat tidurnya dan entah apa yang diperkatakan.
Menjelang maghrib, cuaca semakin redup dan masih lagi berangin. Apakah malaikat sedang naik ke langit berbondong-bondong. Aku termenung memandang ke arah matahari jatuh, sekali lagi mengenangkan nikmat kesyahduan Arafah. Ya Allah, perkenankanlah segala doaku, terimalah segala amal ibadahku, ampunkanlah dosaku, perluaskan rezekiku. Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi untuk kembali berwuquf di Arafah ini.
Bersiap Ke Mudzalifah
Bermalam atau Mabit di Mudzalifah adalah pekerjaan wajib haji sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Yang afdalnya ialah berada sepanjang malam hingga terbit fajar dan sekurang-kurangnya seketika selepas separuh malam 10 Zulhijjah.
Seawal 5.30 petang, kumpulan pertama bersedia untuk menaiki bas untuk ke Mudzalifah. Jemaah KT03 adalah kumpulan yang terakhir. Jemaah diminta berkumpul di kandang tempat menunggu bas di tepi jalan berhadapan pejabat Maktab 77 apabila dipanggil mengikut KT, dimana bas akan berhenti mengambil jemaah.
Solat maghrib dan isyak jadi macam kelam kabut. Aku berada dalam khemahku, sedangkan suara imam Maktab 77 dihadapan jelas kedengaran menerusi speaker. Tetapi rupanya aku berimamkan kepada imam lain dalam khemahku. Memasing khemah nampaknya buat jemaah sendiri, tidak ikut imam TH di musolla.
Gilliranku menaiki bas kekira jam 8.00 malam. Ketika itu khemah sudah mulai dibuka atai dirobohkan. Cepat benar dikemaskan. Tahun depan baru pacak semula, maknanya pakai setahun sekali sahaja.
Sampai Mudzalifah
Perjalanan ke Mudzaliffah sekejap saja, kekira 15 minit sudah sampai. Jaraknya lebih kurang 8 km. Sebab aku merupakan kumpulan terakhir, sampai sana orang sudah ramai. Nak cari ruang kosong untuk landing pun payah.
Tapi akhirnya dapat juga di tempat orang sedang sibuk mencari batu. Nampaknya kami terpaksa duduk bersesak-sesak berbumbungkan langit sahaja.
Kutip Batu
Memang di Mudzalifahlah disunatkan kutip 7 anak batu untuk digunakan bagi melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah. Di tempat aku duduk, batu terpaksa diperolehi dengan menggali atau kais-kais permukaan tanah.
Ramai juga yang ambil kesempatan untuk kutip sebanyak mungkin untuk digunakan melontar pada 11 & 12 Zulhijjah. Namun aku ambil setakat untuk 10 Zulhijjah sahaja. Yang lain aku nak kutip di Mina nanti, sebab itupun sunahnya.
Sukarnya ?
Namun duduk bersempit, cahaya lampu yang malap tiada apa yang dapat dilakukan. Nak berdoa dan zikirpun setakat mana yang boleh. Sesekali terpaksa melunjurkan kaki yang lengoh dan senggal-senggal.
Lama menunggu, terasa lapar pulak. Semalaman sedemikian. Sungguh menyeksakan keadaan ini. Aku rasa sewajarnya cukup sekadar lalu saja, berhenti kejap kutip batu kemudian jalan semula ke Mina.
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
6 minutes ago
0 Komen:
Post a Comment