
Al Marhum Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya Al-Islam pernah mengeluarkan kenyataan, Ramadan pada hakikatnya adalah umpama sekolah. Ertinya tempat, masa, suasana dan persekitaran didikan yang khusus lagi istimewa dan tiada bandingannya. Kelebihan dan fadhilatnya adalah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah.
Tidak dapat di nafikan, faktor ganjaran pahala yang disediakan menjadi pendorong untuk kita beribadah kepadaNya sepanjang Ramadhan. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka, lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah. Seseorang boleh makan dan berpura–pura lapar di hadapan manusia, tetapi tidak di hadapan Allah kerana menyedari bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Mengetahui.
Puasa juga mengekang keterlanjuran syahwat dan meringankan pengaruh serta penguasaannya lantaran puasa yang melemahkan gelora nafsu.
Ini adalah sekadar beberapa contoh aktiviti Madrasah Ramadhan. Namun apakah natijahnya sekadar terhenti pada 30 Ramadhan ? Menjadi sia-sia atau buang masa serta wang ringgit, jika mengikuti kursus tetapi selesai kursus, tiada kesan, natijah atau penerusan amalan hasil kursus atau tarbiyah sepanjang berada dalam Madrasah Ramadhan.
Madrasah Ramadhan mengajar kita mengenai waktu dan kegiatan bersesuaian yang harus dijalankan. Ia juga mengajar betapa pentingnya perjuangan, keperihatinan, keikhlasan dan kesabaran. Madrasah yang diikuti oleh umat Islam seluruh dunia ini, memiliki peraturan yang diawasi dan dinilai terus oleh Allah. Jika pada akhir Ramadhan dicetak Sijil Lulusan Madrasah Ramadhan, apakah kelulusan cemerlang atau setakat Sijil Kehadiran sahaja yang diterima ? Marilahkita menilainya bersama.

Sedekah yang paling utama adalah dalam bulan Ramadhan. Semasa Ramadhan, umat Islam menjadi pemurah. Berapa banyak pula sedeqah yang telah kita keluarkan ? Apakah kita dapat mengenang kembali mereka yang tidak berkemampuan. Bagaimana nasib anak yatim, fakir dan miskin yang begitu diraikan sepanjang Ramadhan, tetapi kini sepi setelah berakhirnya Ramadhan. Sumbangan ramai yang mereka harapkan, juga terhenti. Apakah memadai dan cukup sekali sumbangan diberikan kepada mereka untuk ‘cover’ setahun akan datang ?
Sepanjang Ramadhan kita juga diminta menjaga tutur kata daripada berdusta, maki hamun dan mengumpat keji. Namun sejauh mana kita berjaya mengekalkannya sebaik Ramdhan ? Bagaimana adab komunikasi kita dengan ibu bapa, suami, isteri, anak-anak serta orang yang sepatutnya dihormati seperti orang-orang tua, jiran tetangga dan guru-guru.

Sepanjang Ramadhan kita berpusu-pusu untuk pulang ke rumah seawal mungkin dari tempat kerja untuk bersama keluarga makan malam awal ( berbuka puasa ) atau bersahur. Teruskan amalan ini supaya dapat mengeratkan perhubungan di kalangan ahli keluarga.
Begitu juga sepanjang Ramadhan, kita mampu bangkit awal untuk solat Suboh setelah mengambil sahur. Tetapi mengapa begitu payah bangkit awal untuk solat Suboh dalam bulan-bulan lain. Malahan kadang kala kita ‘tersasar’ pulak. Kita begitu ‘punctual’ dengan waktu berbuka puasa, tetapi sejauh mana pula ‘punctual’ dalam melaksanakan solat fardhu lima kali sehari serta melaksanakan tugas rutin seharian di pejabat ?
Bertadarrus atau banyakkan mengaji sepanjang Ramadhan merupakan sunah Rasulullah. Amalan ini perlu diteruskan sepanjang masa. Peruntukkanlah waktu untuk menatap dan membaca Al-Quran setiap hari walaupun sekadar beberapa ayat.
Pertingkatkan diri memahami isi kandungan Al-Quran sama ada dengan menghadiri kuliah-kuliah tafsir atau menerusi kitab Tafsir Al-Quran. Al-Qur’an adalah pegangan kita. Meninggalkan Al-Quran bererti hilanglah Al-Quran daripada pegangan kita dan semakin jauh dan sesatlah kita daripada mendapat petunjuk Allah.
Sering-seringlah berkunjung ke surau untuk menunaikan solat berjemaah. Selain mendapat kelebihan 27 darjah berbanding solat sendirian, ia merapatkan silaturrahim di kalangan ahli masyarakat serta membolehkan kita mengetahui perkembangan hal ehwal kariah. Ini seterusnya dapat mendorong kepada aktiviti lain yang dapat membina perpaduan, kesepakatan dan saling bantu membantu serta hormat menghormati di kalangan ahli kariah.
Sepanjang Ramadhan kita sering mengikuti tazkirah yang diadakan di surau-surau atau masjid. Adalah diharapkan agar walaupun ringkas, namun tazkirah tersebut menjadi suatu pencetus untuk kita sering hadir dalam majlis ilmu Islam, ceramah atau kuliah yang sering diadakan sama ada di surau, masjid, pejabat atau di mana sahaja.
Ibubapa kita di kampong kini kesyunyian semula setelah anak-anak serta cucu kembali semula ke perantauan. Jesteru, sering-seringlah menghubungi mereka sama ada menerusi telefon, sms atau e-mail, selain pulang sekali-sekala menziarahi mereka apabila mempunyai kesempatan waktu. Teruskan bakti kepada ibubapa kita selama mereka masih ada. Sejauh mana kita berbakti kepada mereka akan menjadi tauladan kepada anak anak kita dan sejauh itulah yang mungkin akan kita terima apabila kita sudah tua dan anak-anak meningkat dewasa.
Apa yang paling penting sebagai natijah daripada Madrasah Ramadhan ialah sejauh mana kita terus konsisten atau istiqamah dalam memastikan diri tidak melaksanakan maksiat dan dosa, serta sejauhmana mana kita tetap berada di atas landasan Islam. Sepanjang Ramadhan kita begitu cekal, tabah dan sabar dalam memastikan tiada maksiat dan dosa yang dilakukan demi memelihara ibadah Puasa yang ditunaikan. Itulah bentuk latihan amali sepanjang Ramadhan yang sewajarnya menjadi amalan setelah berakhirnya Ramadhan. Mengapa kita mampu menghindar diri dari dosa dan maksiat sepanjang Ramadhan, tetapi sebaliknya bertukar menjadi ahli maksiat sebaik selesai Ramadhan ?
Marilah kita bermuhasabah diri.
0 Komen:
Post a Comment