Satu hari, seorang Yahudi datang menemui Saidina Umar dan berkata, ‘Ya Amirulmukminin, ada satu ayat dalam kitab tuan yang tuan baca, kalaulah ayat itu diturunkan ke atas kami orang-orang Yahudi, nescaya hari turunnya ayat itu kami jadikan hari raya’. Saidina Umar bertanya, “Apakah ayat itu?’. Si Yahudi tadi pun membacakan ayat ke-3 Surah Al-Maidah, yang bermaksud, ‘Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu din ( agama ) kamu dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kemudian telah aku redha Islam itu menjadi din ( agama ) kamu’. Berkata Saidina Umar, ‘Saya tahu benar akan hari dan tempatnya diturunkan ke atas nabi Muhamad, iaitu hari Juma’at semasa di Arafah.
Ayat tadi diturunkan ketika Musim Haji pada tahun ke 10 Hijrah yang dikenali sebagai Haji Wada’ iaitu Haji Perpisahan atau Haji Selamat Tinggal. Ini adalah kerana ia merupakan haji yang terakhir bagi Nabi Muhamad. Petang Jumaat ketika wukuf di Padang ‘Arafah, sedang Nabi Muhamad menaiki unta, datanglah wahyu tersebut menyebabkan lutut kaki unta Nabi Muhamad hampir terperosok ke dalam pasir.
Tidak seperti Aidil Fitri, Aidil Adha tidaklah seglamour sambutannya di kalangan umat Islam di negara kita. Muram dan hambar sahaja, seolah-olah tidak berminat hendak menyambutnya. Tiada budaya berduyun-duyun balik kampung, tambahan cutipun cuma sehari. Suasana hanya terasa pada pagi hari ketika solat Aidil Adha dan diikuti dengan penyembelihan korban. Selepas itu suasana kembali seperti biasa, berbanding Aidil Fitri yang sehingga habis bulan Syawal pun, masih diraikan. Aidil Adha atau Hari Raya Korban yang diraikan setiap tahun pada 10hb Zulhijjah sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri yang mengandungi pengajaran yang baik untuk direnungi dan dihayati bersama.
Hari Raya Aidil Adha adalah hari untuk kita memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail menjalani perintah Allah.
Ini disebutkan dalam Surah As Saffat ( 102 - 103), ”Maka tatkala anak itu sampai ( pada umur sanggup ) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu. Ia menjawab : “Hai ayahku ! kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
Di dalam melaksanakan perintah itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya di dalam melaksanakan perintah Allah. Tetapi Allah telah menghantarkan seekor kibas untuk menggantikan Nabi Ismail yang juga disebutkan di dalam surah As Saffat (106 - 107), “Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
Itulah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail di dalam mentaati perintah Allah di mana kepentingan Allah lebih diutamakan berbanding kecintaan terhadap anak dan keluarga, walaupun perintah tersebut nampak zalim dan tidak logik.
Aidil Adha yang disambut seluruh dunia adalah juga hari untuk kita memperingati akan turunnya ayat tadi. Ayat tersebut merupakan diantara ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah, menunjukkan bahawa Islam telah lengkap sebagai ‘ad-din’. Allah mengistilahkan ‘din’bagi merujuk kepada Islam sebagai suatu cara hidup.
Pengajaran yang telah disampaikannya menerusi Nabi Muhamad s.a.w merupakan suatu tatacara yang merangkumi sekecil-kecil urusan peribadi, keluarga, masyarakat hingga kepada peringkat negara dan perhubungan antarabangsa. Ini termasuklah dalam bidang aqidah, akhlaq, hukum jenayah, ekonomi dan politik. Islam bukan sekadar solat, puasa, zakat, haji serta amalan peribadi perhubungan manusia dengan tuhannya. Secara logik mudahnya, Allah yang menjadikan manusia dan seluruh alam ini serta mengetahui semua yang telah lalu, sekarang dan akan datang, maka ajaran Islam yang disampaikannya melalui Nabi Muhamad s.a.w, sudah tentunya lengkap, sempurna serta serasi dengan hukum dan tabiat fitrah alam ini.
Bagaimanapun apa yang mendukacitakan kini, ajaran Islam yang serba lengkap dan sempurna ini tidak dapat dirasa atau dihayati sepenuhnya dalam kehidupan. Keindahan Islam hanya tinggal dalam buku-buku yang membicarakannya, tetapi tidak dalam realiti kehidupan. Ditambah dengan pemikiran dan perasaan yang masih terjajah, nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan Islam masih terus mengkaburi sikap umat Islam hingga tidak lagi berbangga dengan ajaran Islam yang dianuti, apatah lagi untuk mempertahankannya. Umat sendiri semacam akur dengan tanggapan bahawa hukum Islam tidak lagi sesuai dengan zaman ini, menyekat kebebasan, menyekat kemajuan dan hukum jenayah Islam dianggap kuno dan kejam.
Marilah kita kembali menghayati Islam dan mendalami pengetahuan mengenai Islam. Ini merupakan juga suatu pengorbanan yang seharusnya dilakukan oleh umatIslam. Berusaha dan berkorban untuk mendaulatkan Islam, menterjemahkan keindahan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat bukanlah hanya kewajiban imam, ustaz atau alim ulama. Ini adalah juga tugas setiap individu Muslim. Menegak dan mengarahkan cara hidup kepada yang diredhai Allah menerusi ajaran Islam memerlukan pergorbanan. Pengorbanan melawan hawa nafsu serta kepentingan duniawi, melakukan suruhan Allah dan menjauhi larangannya.
Sambutlah Aidil Adha dengan penuh kesyukuran dengan menegakkan hukum Allah. Kemeriahannya terletak kepada sejauh mana kita dapat mendekatkan diri kita dengan Allah dalam tindak tanduk kita. Banyakkan bertakbir dan bertahmid pada hari tersebut dan dua hari selepasnya sebagai tanda kesyukuran dan membesarkan Allah. Kalimah takbir, tasbih dan tahmid yang dilafazkan seharusnya dihayati akan pengertiannya dengan mendalam. Ia adalah kalimah tauhid yang mengajar kita bahawa sesungguhnya yang Maha Besar hanyalah Allah, yang disembah dan diagungkan. Tiada ketaatan secara mutlak kecuali kepada Allah dan ketaatan kepada makhluknya hanyalah dalam kerangka mentaati Allah.
Apakah ertinya takbir yang dilaungkan jika tidak disertai dengan kepatuhan dan ketundukan kepada Allah serta menunaikan segala titah perintahnya ? Sedangkan sikap Muslim sejati adalah sanggup menyerahkan diri kepada Allah, menerima dan mentaati hukum Allah serta meyakini hanya hukum Allah yang sebaik-baik dan semulia-mulia. Adalah sesuatu yang janggal sekiranya mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya, namun kita masih mencari yang lain daripada jalan-jalan yang telah ditentukan oleh Allah dan Nabi Muhamad. Renungilah peringatan-peringatan berikut,
‘Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan perempuan yang Mukminat, apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka’. (Al-Maidah:36)
‘Barangsiapa yang menghendaki din (agama) selain daripada Islam, maka tiadalah diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk dalam golongan orang termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi’. (Al-Imran:85)
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
26 minutes ago
4 Komen:
i agree your idea ! very nice blog
Post a Comment