Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Pidato Pemimpin : Yb Nik Nazmi Nik Ahmad

Pada 9 Mei 2010 yang lalu, aku berkesempatan mengikuti pgrogram Pidato Pemimpin yang diadakan di Rumah Kelab Saujana Utama. Pemimpin yang dimaksudkan memberikan pidatonya ialah YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor. Aku sebelum ini kurang mengenali beliau, menerusi biografi, agak menarik personaliti YB ini. Pada usia kini 28 tahun, beliau merupakan ADUN termuda bukan sahaja di Selangor, tetapi di negara kita.

Sebenarnya beliau diminta memperkatakan tentang buku beliau bertajuk Mendepani Zaman : Melayu Untuk Abad Ke-21. Sebagai orang muda, beliau menyentuh tentang tentang peranan orang muda dalam melibatkan diri dalam menentukan corak dan halatuju negara, khususnya berdasarkan keputusan Pilhanraya Umum Ke-12 ( PRU12 ). Buku tersebut merupakan hasil renungan intelektual dan penglibatan praktikal beliau dalam politik. Aku begitu tertarik dengan kupasan serta gaya pidato yang kemas dan bernas.

Bagi beliau, keputusan PRU12 membuktikan orang Melayu mulai dapat menerima pendekatan yang menggantikan sistem berasaskan kaum jika disampaikan secara betul dan sejujurnya. Ini adalah kerana, sebelum ini ( malah sekarang pun masih ada ) dalam suatu masa kita bercakap tentang kemajuan bangsa Malaysia, tetapi dalam satu masa lain kita bercakap tentang bangsa kita sendiri sehingga seolah—olah peluang bangsa lain perlu dinafikan.

Berdasarkan pengalaman beliau termasuk semasa belajar di London dahulu, tenaga atau orang muda sekarang banyak diberikan peluang dalam memainkan peranan mereka dalam sesuatu gerak kerja dakwah dan kemasyarakatan. Mereka bukan sekadar diberi peluang pelaksana, tetapi turut terlibat dalam merancang dan memberikan pendapat berkaitan sesuatu polisi dan pelaksanaannya. Maksudnya diberikan peranan penting, bukan sekadar pengedar phamplet dan tukang tampal poster sahaja.

Namun beliau mengakui masih ramai pemuda yang tenggelam dalam duninya sendiri. Menjadi cabaran semua bagaimana hendak libatkan mereka dan membetulkan keadaan. Jangan hanya menyalahkan mereka dan seolah-olah merekalah peruntuh akhlak serta punca dan terlibat dalam gejala sosial ketika ini.

Kira-kira 200 orang telah mengikuti pidato yang turut memberikan peluang kepada hadirin mengemukakan pelbagai persoalan. Peluang ini telah diambil oleh hadirin dalam mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan program, polisi, perancangan serta isu semasa berkaitan dengan pemerintahan kerajaan Selangor sekarang. Berdasarkan jawapan-jawapanyang diberikan, menunjukkan kemampuan beliau walaupun pada usia yang dikira masih muda. Tidak hairanlah beliau diberikan tanggungjawab oleh MB Selangor sebagai Setiausaha Politiknya.

Menyentuh tentang kekalahan Dato Zaid Ibrahim di Hulu Selangor, bagi beliau PR memang masih banyak kelemahan lantaran dikira masih baru. Di sebalik kemenangan demi kemenangan yang dicapai dalam PRK sebelum ini, kekalahan di Hulu Selangor menyedarkan semua tentang kelemahan tersebut, tanpa menyebut apakah kelemahan tersebut.


Biodata Yb Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi Nik Ahmad, 26, telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor pada 8 Mac 2008. Beliau merupakan calon termuda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Sejurus selepas itu beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Nik Nazmi merupakan Setiausaha Sulit kepada Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 2006 sehinggalah pilihan raya umum baru-baru ini. Beliau kini memegang jawatan Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kelana Jaya. Beliau turut mengetuai Biro Kajian dan Penerbitan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat antara 2006-2009. Nik Nazmi telah membantu Keadilan sejak berusia 19 tahun dan menjadi ahli secara rasmi pada tahun 2005.

Nik Nazmi lahir di Kuala Lumpur kepada sepasang kakitangan kerajaan dan suri rumah yang berasal daripada Kelantan. Beliau membesar di Petaling Jaya, Selangor, dan menuntut di SRK La Salle Petaling Jaya sebelum terpilih ke Kolej Melayu Kuala Kangsar antara 1995 hingga 1999. Kemudian beliau mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM. Selepas itu, Nik Nazmi mempelajari undang-undang dan memperoleh ijazah sarjana muda kepujian daripada King’s College, University of London. Hampir setahun selepas tamat pengajian beliau berkhidmat sebagai seorang eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sewaktu di MCKK, Nik Nazmi mewakili Kolej di dalam Perbahasan Bahasa Melayu dan pada 1999 merupakan salah seorang daripada anggota pasukan yang memenangi Piala Dato’ Shukor Abdullah dan Piala Perdana Menteri.

Nik Nazmi dipilih pelajar menjadi Presiden Majlis Pelajar di KYUEM pada 2001. Kemudian beliau dipilih sebagai Presiden Alumni KYUEM antara 2003 hingga 2005. Beliau juga menganggotai Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar.

Sewaktu di London, Nik Nazmi aktif di dalam pertubuhan-pertubuhan pelajar Malaysia dan juga di universiti. Beliau merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia (KPUM) antara 2002-2003, Naib Pengerusi Informasi Majlis Tertinggi Pelajar-Pelajar Malaysia United Kingdom (UKEC) antara 2003-2004 dan Bendahari Labour Students King’s College antara 2003-2004. Pada tahun 2004, beliau bersama sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia menjadi fasilitator Projek Kalsom, sebuah program motivasi untuk pelajar-pelajar tingkatan 4 yang kurang bernasib baik di Besut, Terengganu.

Nik Nazmi turut dipilih mahasiswa menjadi salah seorang perwakilan mereka ke National Union of Students pada 2004, di mana beliau turut serta pelajar-pelajar Muslim lain menerusi Federation of Students Islamic Societies untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin, membantah perang di Iraq, mendapatkan kemudahan lebih baik untuk pelajar-pelajar Muslim di kampus serta pendidikan percuma untuk semua. Beliau turut menjadi Pengarah Eksekutif Open Dialogue Center antara 2007-2008 dan menganjurkan beberapa wacana ekonomi di beberapa institusi pengajian tinggi.

Nik Nazmi kini mempunyai kolum di the Malaysian Insider dan the Edge. Esei-eseinya pernah diterbitkan oleh Malaysiakini, Sinar Harian, the Sun, Tamadun, The Star, Opinion Asia, Suara Keadilan dan Harakah. Nik Nazmi juga pernah muncul di BBC World Service, Channel News Asia, Bernama TV, Radio 24, TV Selangor, Astro Awani dan TV9 untuk memberi pandangan tentang isu-isu semasa. Pada tahun 2001 beliau mengasaskan SuaraAnum.com, sebuah majalah web untuk anak muda.

Buku beliau, Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 telah diterbitkan Marshall Cavendish Editions pada tahun 2009. Buku tersebut turut diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai Moving Forward: Malays for the 21st Century.

Beliau pernah bercakap di pelbagai acara seluruh negara. Di samping itu beliau turut pernah berucap dalam program anjuran KRA di Singapura, British Council dan School of Oriental and African Studies di Britain serta MISG USA, University California Berkeley dan Stamford University di Amerika Syarikat.

Beliau turut mengasaskan Pusat Tuisyen Sukarelawan Desa Mentari pada 2007 dengan seorang bekas pendidik dan sekumpulan profesional muda bagi membimbing pelajar-pelajar sekolah rendah dari flat kos rendah.

Nik Nazmi turut menganggotai Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Selangor 2009-2010 yang bertanggungjawab menguruskan perkembangan sukan dan belia di negeri Selangor. Pada waktu terluang Nik Nazmi gemar membaca buku berkaitan agama, sejarah, politik dan ekonomi serta mendengar lagu pop dan rock khususnya lagu M. Nasir, Hujan dan Damien Rice. Seorang penyokong kuat Liverpool, beliau bertuah berpeluang bekerja di Chelsea FC ketika di London. Beliau mempunyai laman web sejak 1997 dan mula memulakan blognya pada 2001. Nik Nazmi sudahpun berkahwin dan tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya, Selangor.

Dipetik dari http://www.niknazmi.com/wordpress/?page_id=673
Share:

0 Komen:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah