Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Memperingati Kewafatan Rasulullah

Sekalipun 12 Rabiulawal telah berlalu, namun sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad atau Maulidur Rasul masih diadakan di sana-sini. Ambillah kesempatan sempena dengan sambutan ini untuk kita sama-sama menghitung diri kita sama ada sambutan maulidur rasul yang diadakan pada bulan yang lalu, hanya akan berlalu begitu sahaja atau pun sudah nampak disana perubahan pada diri kita dan masyarakat dalam sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan setiap apa yang dibawanya.

Jangan kita jadikan perayaan lalu hanya untuk menyambut dan memuja tubuh Rasulullah s.a.w sahaja sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Beliau telah menyembelih 100 ekor unta kerana kegembiraan di atas kelahiran Rasulullah s.a.w s.a.w. Tetapi akhirnya dialah yang menjadi penghalang dan penentang yang utama terhadap dakwah Rasulullah s.a.w sehingga adanya surah al-Lahab dalam al-Quran yang memberitahu kita semua bagaimana kecelakaan yang besar menimpa Abu Lahab dan isterinya kerana menolak dan mencerca dakwah suci Rasulullah s.a.w.

Kita juga tidak mahu segala sifat mulia Rasulullah s.a.w diketahui dan disebut oleh kita saban hari samada melalui pembacaan buku, pendengaran melalui kuliah atau pun sebutan dalam berzanji dan juga selawat tetapi sekadar menjadi pengetahuan sahaja tanpa ada di sana usaha ke arah mencontohi dan melaksanakan kewajipan yang disuruh. Kita tidak mahu menjadi seperti ahli kitab dari golongan Yahudi dan Krisitian yang mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri tetapi setelah kelahiran Rasulullah s.a.w s.a.w, merekalah yang menjadi musuh utama kepada dakwahnya. Oleh itu marilah kita hendaklah menjadikan sambutan maulidur rasul ialah untuk memuji kemulian tubuh dan sifat Rasulullah s.a.w dan juga untuk melaksanakan segala syariat yang dibawanya.

Dalam kita bergembira dengan mengingati kelahiran Rasulullah s.a.w pada bulan Rabiul Awal, janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam. Mungkin ramai yang tidak menyedari atau sering dilupakan iaitu tarikh 12 Rabiulawal juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. Rencana ini cuba sedikit sebanyak mengingati kembali beberapa peristiwa di sekitar kewafatan Rasulullah s.a.w.

Musim Haji tahun ke 10 Hijrah dikenali juga sebagai Haji Wada', iaitu Haji Perpisahan atau Haji Selamat Tinggal. Ini adalah kerana ia merupakan haji yang terakhir bagi Rasulullah s.a.w. Pada ketika inilah turunnya wahyu daripada Allah ( Surat Al-Maidah, ayat 3) yang bermaksud berikut: ‘Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu din ( agama ) kamu dan aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu dan telah aku reda Islam itu menjadi din ( agama ) kamu’. Setelah itu turun malaikat Jibril a.s. dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.’

Setelah Rasulullah s.a.w mengumpulkan para sahabat, baginda pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: ’Agama kita telah sempuma. Agama kita telah sempurna.’ Tetapi apabila Abu Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar ra. menangis dari pagi hingga ke malam.

Kisah tentang Sayidina Abu Bakar menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Sayidina Abu Bakar dan mereka berkata: ’Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Sepatutnya kamu berasa gembira sebab agama kita telah sempuma.’ Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Sayidina Abu Bakar pun berkata: ”Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesualu perkara itu telah sempuma maka akan kelihatanlah akan kekurangannya.

Dengan turunnya ayat tersebut, ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri nabi menjadi janda.” Selelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Sayidina Abu Bakar, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus beritahu Rasulullah s.a.w. lentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat: ’Ya Rasulullah s.a.w, kami baru balik dari rumah Sayidina Abu Bakar dan kami mendapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau’. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Sayidina Abu Bakar.

Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Sayidina Abu Bakar maka Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya: ’Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?.’ Kemudian Sayidina Ali berkata: ’Ya Rasulullah s.a.w, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?.’ Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: ’Semua yang dikata oleh Abu Bakar r.a. adalah benar, dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat.’
Sebaik sahaja Sayidina Abu Bakar. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Sayidina Ali pula mengeletar seluruh tubuhnya. Para sahabat yang lain menangis dengan sekuat-kuat yang mereka mampu. Apabila berita turunnya ayat tersebut sampai pula kepada Sayidina Umar, beliau menangis. Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, ya Umar ?". Sayidina Umar menjawab, ‘Kami masih mengharapkan adanya tambahan dalam agama kami dan sekiranya ia telah sampai kepada tingkatan yang sempurna, sesungguhnya bila sesuatu itu telah sempurna, maka kemudiannya akan berkuranganlah ia’. Rasulullah s.a.w menjawab, "Benar kata mu".

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah jika Islam telah sempurna dilengkapkan oleh Allah, bererti Rasulullah s.a.w yang membawa agama itu, tidak lama lagi akan berpisah dengan mereka kerana telah selesai tugasnya.

Memang benar apa yang dirasai oleh Sayidina Umar, kerana tidak lama selepas itu, iaitu pada bulan Safar 11H, Rasulullah s.a.w mulai jatuh sakit. Hari demi hari sakitnya semakin tenat, sehingga membimbangkan orang ramai. Apabila, Rasulullah s.a.w tidak dapat menghadirkan diri untuk bersembahyang jemaah disebabkan kesakitan yang amat sangat, baginda melantik Sayidina Abu Bakar memimpin solat menggantikan tempatnya. Orang ramai semakin bimbang dan mereka mulai berhimpun di sekeliling masjid yang memang terletak berhampiran dengan rumah Rasulullah s.a.w.

Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui hal kebimbangan orang ramai, baginda keluar dari rumahnya dengan dibantu oleh Sayidina Ali dan Faizal Abbas menuju ke masjid untuk mententeramkan keadaan. Oleh kerana keadaannya yang sangat lemah, baginda duduk di tangga mimbar yang paling bawah dan memberikan ucapan. Antara kandungan ucapannya:

"Wahai manusia, aku mendengar bahawa kamu bimbang tentang kematian ku. Apakah ada Rasul yang kekal hidup selama-lamanya. Segala urusan dilaksanakan dengan izin Allah. Jika terlambat dalam sesuatu hal, jangan cuba mempercepatkannya. Allah tidak akan mempercepatkan sesuatu disebabkan seseorang. Barang siapa melawan Allah, nescaya Allah akan mengalahkannya Barang siapa menipu Allah, nescaya Allah membalasnya. Dengarlah, aku akan pergi dan kamu juga akan mengikuti aku nanti. Barang siapa yang mengingini datang kepada ku ( di Akhirat ) nanti, hendaklah ia mencegah lidah dan tangannya, kecuali kepada perkara yang sewajarnya ".

Pada suatu waktu yang lain, Rasulullah juga berucap, ‘Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. AKu adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi aku sebelum dituntut pada hari kiamat.”

Lantas bangkit ‘Ukasyah bin Muhshan dan mendakwa telah di pukol oleh Rasulullah s.a.w pada tulang rusuknya semasa Perang Badar. Rasulullah s.a.w merelakan dirinya untuk di qisas ( di balas ), lantas meminta Bilal mengambil tongkat baginda di rumah Fatimah. Ramai para sahabat, termasuk cucu baginda Hassan dan Hussin yang tampil merayu agar Rasulullah tidak diqisaskan, sebaliknya menawarkan diri untuk diqisas.

Namun Rasulullah menolak tawaran itu, sebaliknya berkata kepada ‘Ukasyah, ‘pukollah aku jika kamu mahu’. ‘Ukasyah berkata, ‘Rasulullah memukulku ketika daku tidak memakai baju’. Lantas Rasulullah membuka bajunya dan menangislah hadirin yang lain. Sebaik sahaja melihat tubuh Rasulullah s.a.w, ‘Ukasyah terus mencium dan memelok tuboh Rasulullah sambil berkata, ‘Aku tebus tuan dengan jiwaku, siapakah yang sanggup memukol tuan. Aku lakukan begini sebab aku hendak menyentuh badanmu denganabadanku ya Rasulullah yang dimuliakan Allah’. Lantas Rasulullah s.a.w berkata, ‘Sesiapa yang ingin lihat ahli syurga, inilah orangnya’.

Rasulullah s.a.w memiliki harta tujuh dinar ketika penyakitnya mulai terasa berat. Khuatir apabila baginda meninggal, harta masih di tangan, maka dimintanya supaya wang itu disedekahkan. Tetapi karena kesibukan mereka merawat dan mengurus selama sakitnya, sedangn penyakitnya masih terus memberat, mereka lupa melaksanakan perintah itu. Setelah hari minggunya sebelum hari wafatnya, ketika baru sedar dari pingsannya, Rasulullah s.a.w bertanya, ’Apa yang kamu lakukan dengan ( dinar ) itu ?. Aisyah menjawab, bahwa itu masih ada di tangannya. Rasulullah meminta supaya dibawakan wang tersebut. Apabila wang itu sudah diletakkan di tangan Rasulullah, baginda bersabda, ’Bagaimanakah jawab Muhammad kepada Tuhan, sekiranya ia menghadap Allah, sedang ini masih di tangannya’. Semua wang dinar itu kemudiannya disedekahkan kepada fakir-miskin di kalangan Muslimin.

Awal pagi Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 H, orang ramai melihat wajah keriangan Rasulullah s.a.w yang berdiri di jendela. Mereka menyangka Rasulullah s.a.w telah kembali pulih lalu beredar untuk melaksanakan aktiviti harian dengan perasaan gembira, tanpa menaruh syak apa yang akan terjadi ke atas diri Rasulullah s.a.w.

Rupa-rupanya kehendak Allah telah sampai dan sakit Rasulullah s.a.w datang lagi sehingga baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir, berlepas menuju kepada Allah yang kekal abadi di atas pangkuan Saydatina Aisyah. Suasana di rumah Rasulullah s.a.w bertukar menjadi agak kelam-kabut. Kedengaran tangisan orang ramai yang berada di rumah Rasulullah s.a.w.

Dalam pada itu berita tentang kewafatan Rasulullah s.a.w pun tersebar luas. Terdapat berbagai reaksi daripada orang ramai ketika itu. Ada yang tidak percaya dan ada yang tidak mahu mempercayainya. Ada yang diam membisu menahan perasaan dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Berlainan pula dengan Sayidina Umar. Dengan pedangnya yang terhunus, beliau keluar di khalayak ramai sambil membuat ancaman, ‘Barang siapa yang mengatakan bahawa Muhammad telah mati, akan aku potong lehernya’.

Terdapat berbagai pendapat berhubungan dengan sikap Sayidina Umar ketika itu. Ada yang mengatakan bahawa ia mengandungi hikmat iaitu ajaran Islam yang dibawa oleh Muhammad tetap tidak hilang kerana kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu seolah-olah Rasulullah s.a.w tidak mati. Ini adalah lantaran terdengarnya suara-suara di luar rumah Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa tidak perlu lagi solat, zakat dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w telah wafat. Ada para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Memang sesuatu yang amat sukar diterima jika seseorang yang dicintai telah pergi buat selama-lamanya. Apatah lagi yang pergi merupakan ayah dan ibu, pendidik, pembimbing, tempat rujukan, pejuang dan pemimpin yang banyak jasa selama hayatnya.

Bagaimanapun Sayidina Abu Bakar menerima berita kewafatan Rasulullah s.a.w dengan tenang dan tabah. Setelah menjenguk jenazah Rasulullah s.a.w, beliau keluar menemui orang ramai dan berucap. ‘Wahai manusia, barang siapa yang menyembah Muhammad, maka kini Muhammad telah mati. Barang siapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak mati’.

Seterusnya beliau membacakan firman Allah dari Surah Al-Imran ayat 144, yang bermaksud: ‘Muhammad itu adalah seorang Rasul yang telah datang sebelumnya Rasul-Rasul. Apakah jika ia mati atau terbunuh, kamu akan berbalik kedua tumit mu ke belakang. Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur’. Suasana mulai kembali reda dengan ucapan Sayidina Abu Bakar tadi. Sayidina Umar pula mengatakan kepada Sayidina Abu Bakar, bahawa dia seolah-olah tidak pernah mendengar akan ayat yang dibacakannya tadi.

Rasulullah s.a.w wafat ketika berusia 63 tahun. Sekalipun terdapat pertentangan pendapat berhubung dengan tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w, namun tarikh 12 Rabiulawal 11H diterima umum.

Berbanding dengan sejarah hidup nabi dan rasul lain, sebenarnya sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w adalah yang paling lengkap tercatat dalam sejarah, sejak lahir hinggalah wafat. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa sehinggalah wafat kerana usia tuanya. Baginda tidak mati mengejut kerana penyakit tertentu, dibunuh orang atau gugur di medan perang. Ini memberikan gambaran. bahawa ajaran Islam yang dibawanya adalah lengkap dan sempurna, tiada suatu pun yang tertinggal dan semuanya telah disampaikan untuk dijadikan panduan asas dalam kehidupan seharian untuk seluruh manusia. Ini diperkuatkan lagi dengan turunnya ayat 3 Surah Al-Maidah, 82 hari sebelum kewafatannya.

Jika Rasulullah s.a.w mati mengejut atau dibunuh orang, seolah-olah ada ajaran Islam yang tidak sempat disampaikannya. Sabda Rasulullah s.a.w : ‘Aku tinggalkan kepada mu dua perkara, sekali-kali tidak akan tersesat jika kamu berpegang kepadanya, iaitu Kitab Allah ( Al-Quran ) dan Sunnah Nabi’. Inilah pusaka tinggalan Rasulullah s.a.w untuk kita, sebagai rujukan asas yang perlu dipatuhi untuk keselamatan kita di dunia dan akhirat.

Kita sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya mestilah sentiasa mengikut landasan dan syariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w tanpa mempertikaikannya. Pada waktu sunnah nabi dihina dan dicerca marilah kita sama-sama mempertahan dan menghidupkannya, walau pun apa yang berlaku. Sunnah yang terbesar ialah terdirinya khilafah islamiah itu sendiri. Jika nabi dan para sahabat serta pejuang selepas mereka bersusah payah sehingga mengorbankan harta dan nyawa dalam memastikan Islam tersebar, maka kita yang merasai kemanisan dan keadilan Islam hasil perjuangan suci mereka itu, janganlah merasa mudah dan tidak menghiraukan walau pun Islam diserang dari setiap penjuru.

Rujukan:
1. Tafsir Juzuk 6, Ahmad Sonhadji Mohd, Pustaka Al-Mizan, 1989, ms, 80.
2. Ihya Ulumiddin (B il. 6), Imam Ghazali, C.V. Fahzan, 1980, ms 308, 316-318.
3. Muhammad Pembina Umat, Naeem Siddiqi, Pustaka Salam, 1985, ms 325."
4. Qishashul Anbiya, NYH Hadiyah Salim,Bismi Publisher, 1981, ms 277.
5. Sejarah Hidup Muhammad, Muhammad HusainHaikal, Pustaka jaya, 1980
Share:

3 Komen:

Lan Rambai said...

Saya jadik orang pertama komen kat blog ni.. yahooooo... panjangnya ekekeke

Hassan Masrom said...

actually itu baru testing ... artikel yangakan terbit dalam suara al-hidayah ...

Lan Rambai said...

Sampai bila blog ni nak ada 1 posting je ni... update ahh

Blog Tazkirah

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.

Harian Metro

The Star Online

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

kata2