Mungkin kalangan generasi X dan Y kenal atau pernah mendengar nama Rosli Dhoby. Kalau tidak, sama ada dia tidak pernah pergi sekolah atau tidur semasa cikgunya mengajar sejarah dalam kelas.
Apabila aku bertanyakan beberapa pemandu teksi Cina yang sudah berumur di Jeti Sibu, masing-masing tidak tahu dimana lokasi Makam Pahlawan Sibu yang menempatkan kubur Rosli Dhoby. Waduh ..
Pertama kali ke Sibu pada Jun 2014, aku tidak mendapat maklumat bahawa kubor Rosli Dhoby terletak di Sibu. Malah rupanya beliau dilahirkan di Kg Pulo, Sibu, Sarawak pada tahun 1932.
Tidak terfikir di bumi yang ketika itu mungkin tiada pengajian pondok, sekolah agama atau tokoh agama, muncul anak muda yang berjiwa agama bangkit menentang penjajahan British di atas wadah Islam.
Sebenarnya beliau tidak bergerak sendirian. Sebelum itu bersama rakan-rakan lain beliau dikatakan menubuhkan Pergerakan Pemuda Rukan 13 yang menjadikan ibadah solat sebagai teras utama dalam perjuangannya. Pada 1946 ketika keluarga Raja Brooke yang memerintah Sarawak menyerahkan kuasa kepada British, berlaku kebangkitan rakyat menentang kemasukan Brirish ke Sarawak. Bibit kebencian Rosli Dhoby terhadap penjajah mulai menebal.
Menerusi rakan pergerakannya yang juga seorang peguam, Awang Rambli Hamit beliau dengan beraninya menulis surat amaran kepada Gabenor Sir Duncan Stewart supaya tidak datang ke Sarawak. Surat amaran tersebut tentu sekali tidak pedulikan.
3 Disember 1949, dengan laungan Allahu Akbar, Rosli Dhoby yang berusia 16 tahun itu meluru ke arah Gabenor British Gabenor Sir Duncan Stewart, membenamkan sepuas-puasnya senjata badik dalam genggamannya ke perut Gabenor itu hingga rebah ke bumi. Bayangkan di usia semuda itu sudah sanggup berkorban nyawa demi kemerdekaan negerinya daripada penjajahan British.
Semua terkejut. Orang ramai bertempiaran lari. Tentera pengiring Gabenor yang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga kemudiannya berjaya menangkap Rosli Dhoby. Gabenor yang parah itu dibawa ke Singapura untuk dirawat. Tetapi mati tiga hari kemudiannya.
Rosli bersama tiga rakannya, beliau ditahan di Penjara Kuching. Kesempatan dalam tahanan beliau mengutus surat kepada ibu bapanya menasihatkan mereka agar bersabar dan berdoa untuk keselamatan dirinya dan rakan di dalam tahanan. Dia juga berpesan agar diadakan solat hajat moga diberi bantuan dari Allah.
Selepas beberapa bulan dalam Penjara Pusat Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Itupun setelah surat beranak yang membuktikan Rosli itu baru berusia 16 tahun dan tidak boleh dihukum mati kerana masih juvana telah dikhianati British dengan mengubahnya supaya melebihi 18 tahun bagi melayakkannya dijatuhkan hukuman mati.
Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Mereka semua dikatakan dikebumikan di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara kerana pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan penjajah. Gerakan anti penjajah kemudiannya lenyap setelah kematian mereka ber-empat.
Selepas kejadian pembunuhan dan semasa perbicaraan, seluruh kampung Melayu di sekitar Kg Pulo, Sibu dan saudara mara yang berkaitan dengan Rosli Dhoby dirundung ketakutan. Polis penjajah berada di rumah-rumah yang tertuduh dan berkawal di setiap jalan di Kg Pulo dan jalan-jalan masuk.
Penjajah sememangnya mahu menghapuskan Rosli Dhoby dan keluarganya. Mereka mencari dan menyiasat dari rumah-ke rumah orang-orang yang berkaitan dengan ahli Pergerakan Rukun 13. Ramai ahli keluarga tertuduh berhijrah ke luar Sibu dan Malaysia atas tekanan.
Sebelum dijatuhkan hukuman mati, Rosli dikatakan sempat mewasiatkan kepada keluarganya menerusi surat terakhirnya supaya sentiasa bersabar, berilah didikan agama kepada anak anak dan jangan lupa perbanyakkan kebajikan dan jangan tinggalkan solat untuk bekalan di hari baqa’.
Selepas dijatuh hukuman mati, mayatnya tak dibenarkan dilihat ahli keluarga. Jasadnya terus berada di Penjara Kuching walau negara sudah merdeka. Dia masih tak dihargai sebagai pejuang. Selepas berbagai desakan, kerajaan membenarkan pusara nya bersama tiga rakan yang lain dipindahkan ke Sibu. Pemindahan itupun dikatakan kerana kerja-kerja pembinaan semula Penjara Kuching.
Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak, berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.
Tetapi ada kejadian aneh berlaku yang menjawab teka teki selama lebih 40 tahun. Pusara Rosli kosong, tiada tulang rangka, gigi, maupun rambut. Berbeza dengan 3 sahabatnya yang ditemui tulang rangka, gigi dan rambut.
Ini seolah-olah membenarlah cerita yang mendakwa, isteri kepada Gabenor yang mati dibunuh sangat berhajat untuk menatap wajah pemuda yang berani membunuh suaminya itu. Rosli dikatakan tidak digantung, tetapi dibawa ke England untuk diperlihatkan kepada isteri Gabenor. Di sana kemungkinan dia disiksa, dibunuh, dicincang atau dicampak ke laut. Waullahu alam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Menurut catatan pada batu nesan di Makam Pahlawan tu pulak, tarikh kematian mereka adalah berbeza. Rosli dan Morshidi Sidek dijatuhkan hukuman mati pada 2 Mac 1950, manakala peguam dan juga mentor beliau Awang Ramli dan Bujang Suntong dijatuhi hukuman pada 23 Mac 1950.
Al-Fatehah untuk Allahyarham Rosli Dhobi, Allahyarham Awang Rambli Amit, Allahyarham Bujang Suntong dan Morshidi Sidek. Mudah mudahan mereka termasuk di kalangan para syuhada yang mati kerana memperjuangkan Islam.
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
5 minutes ago
3 Komen:
Menawarkan Ground Haji VIP dan Umrah 2015 / 1436H
Untuk maklumat lanjut layari www.abkhgc.com
Jumpa disana..
Bagi menghargai pejuangan mereka menentang penjajah, sepatutnya kerajaan menuntut jawapan daripada kerajaan british di manakah Rosli dhobi dihukum dan dikebumikan. Pastinya jasadnya tidak diurus dgn sempurna oleh penjajah british.
Terima kasih atas perkongsian maklumat
Post a Comment