Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label sarawak. Show all posts
Showing posts with label sarawak. Show all posts

Mengenang Pejuang Rosli Dhoby

Mungkin kalangan generasi X dan Y kenal atau pernah mendengar nama Rosli Dhoby. Kalau tidak, sama ada dia tidak pernah pergi sekolah atau tidur semasa cikgunya mengajar sejarah dalam kelas.

Apabila aku bertanyakan beberapa pemandu teksi Cina yang sudah berumur di Jeti Sibu, masing-masing tidak tahu dimana lokasi Makam Pahlawan Sibu yang menempatkan kubur Rosli Dhoby. Waduh ..

Pertama kali ke Sibu pada Jun 2014, aku tidak mendapat maklumat bahawa kubor Rosli Dhoby terletak di Sibu. Malah rupanya beliau dilahirkan di Kg Pulo, Sibu, Sarawak pada tahun 1932.

Tidak terfikir di bumi yang ketika itu mungkin tiada pengajian pondok, sekolah agama atau tokoh agama, muncul anak muda yang berjiwa agama bangkit menentang penjajahan British di atas wadah Islam.

Sebenarnya beliau tidak bergerak sendirian. Sebelum itu bersama rakan-rakan lain beliau dikatakan menubuhkan Pergerakan Pemuda Rukan 13 yang menjadikan ibadah solat sebagai teras utama dalam perjuangannya. Pada 1946 ketika keluarga Raja Brooke yang memerintah Sarawak menyerahkan kuasa kepada British, berlaku kebangkitan rakyat menentang kemasukan Brirish ke Sarawak. Bibit kebencian Rosli Dhoby terhadap penjajah mulai menebal.

Menerusi rakan pergerakannya yang juga seorang peguam, Awang Rambli Hamit beliau dengan beraninya menulis surat amaran kepada Gabenor Sir Duncan Stewart supaya tidak datang ke Sarawak. Surat amaran tersebut tentu sekali tidak pedulikan.

3 Disember 1949, dengan laungan Allahu Akbar, Rosli Dhoby yang berusia 16 tahun itu meluru ke arah Gabenor British Gabenor Sir Duncan Stewart, membenamkan sepuas-puasnya senjata badik dalam genggamannya ke perut Gabenor itu hingga rebah ke bumi. Bayangkan di usia semuda itu sudah sanggup berkorban nyawa demi kemerdekaan negerinya daripada penjajahan British.

Semua terkejut. Orang ramai bertempiaran lari. Tentera pengiring Gabenor yang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga kemudiannya berjaya menangkap Rosli Dhoby. Gabenor yang parah itu dibawa ke Singapura untuk dirawat. Tetapi mati tiga hari kemudiannya.

Rosli bersama tiga rakannya, beliau ditahan di Penjara Kuching. Kesempatan dalam tahanan beliau mengutus surat kepada ibu bapanya menasihatkan mereka agar bersabar dan berdoa untuk keselamatan dirinya dan rakan di dalam tahanan. Dia juga berpesan agar diadakan solat hajat moga diberi bantuan dari Allah.

Selepas beberapa bulan dalam Penjara Pusat Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Itupun setelah surat beranak yang membuktikan Rosli itu baru berusia 16 tahun dan tidak boleh dihukum mati kerana masih juvana telah dikhianati British dengan mengubahnya supaya melebihi 18 tahun bagi melayakkannya dijatuhkan hukuman mati.

Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Mereka semua dikatakan dikebumikan di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara kerana pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan penjajah. Gerakan anti penjajah kemudiannya lenyap setelah kematian mereka ber-empat.

Selepas kejadian pembunuhan dan semasa perbicaraan, seluruh kampung Melayu di sekitar Kg Pulo, Sibu dan saudara mara yang berkaitan dengan Rosli Dhoby dirundung ketakutan. Polis penjajah berada di rumah-rumah yang tertuduh dan berkawal di setiap jalan di Kg Pulo dan jalan-jalan masuk.

Penjajah sememangnya mahu menghapuskan Rosli Dhoby dan keluarganya. Mereka mencari dan menyiasat dari rumah-ke rumah orang-orang yang berkaitan dengan ahli Pergerakan Rukun 13. Ramai ahli keluarga tertuduh berhijrah ke luar Sibu dan Malaysia atas tekanan.

Sebelum dijatuhkan hukuman mati, Rosli dikatakan sempat mewasiatkan kepada keluarganya menerusi surat terakhirnya supaya sentiasa bersabar, berilah didikan agama kepada anak anak dan jangan lupa perbanyakkan kebajikan dan jangan tinggalkan solat untuk bekalan di hari baqa’.

Selepas dijatuh hukuman mati, mayatnya tak dibenarkan dilihat ahli keluarga. Jasadnya terus berada di Penjara Kuching walau negara sudah merdeka. Dia masih tak dihargai sebagai pejuang. Selepas berbagai desakan, kerajaan membenarkan pusara nya bersama tiga rakan yang lain dipindahkan ke Sibu. Pemindahan itupun dikatakan kerana kerja-kerja pembinaan semula Penjara Kuching.

Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak, berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.

Tetapi ada kejadian aneh berlaku yang menjawab teka teki selama lebih 40 tahun. Pusara Rosli kosong, tiada tulang rangka, gigi, maupun rambut. Berbeza dengan 3 sahabatnya yang ditemui tulang rangka, gigi dan rambut.

Ini seolah-olah membenarlah cerita yang mendakwa, isteri kepada Gabenor yang mati dibunuh sangat berhajat untuk menatap wajah pemuda yang berani membunuh suaminya itu. Rosli dikatakan tidak digantung, tetapi dibawa ke England untuk diperlihatkan kepada isteri Gabenor. Di sana kemungkinan dia disiksa, dibunuh, dicincang atau dicampak ke laut. Waullahu alam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Menurut catatan pada batu nesan di Makam Pahlawan tu pulak, tarikh kematian mereka adalah berbeza. Rosli dan Morshidi Sidek dijatuhkan hukuman mati pada 2 Mac 1950, manakala peguam dan juga mentor beliau Awang Ramli dan Bujang Suntong dijatuhi hukuman pada 23 Mac 1950.

Al-Fatehah untuk Allahyarham Rosli Dhobi, Allahyarham Awang Rambli Amit, Allahyarham Bujang Suntong dan Morshidi Sidek. Mudah mudahan mereka termasuk di kalangan para syuhada yang mati kerana memperjuangkan Islam.
Share:

Sebentar Di Sibu Sarawak

Apabila aku dimaklumkan untuk menjalankan tugas rasmi pejabatku di Sibu, aku agak teruja dan tertanya-tanya apa yang menarik di Sibu. Aku tidak pernah ke sana sebelum ini. Soalan yang sama aku tujukan kepada pemandu kenderaan yang aku naikki dari Lapangan Terbang Sibu menuju ke hotel penginapan. Dijawabnya tidak ada apa-apa, hairan juga. Tak pandai nak promosi tempat sendiri.

Cuba google di internet. Nampak ada yang aku kira tidak kurang menariknya. Namun aku tidak mempunyai banyak masa sangat sebab petang keesokannya perlu berangkat pulang. Mungkin lain kali sahaja. Jadi sebaik sahaja check-in hotel, aku terus jalan-jalan meredah bandar sekitar hotel penginapan.

Sibu terletak di tepian sungai terbesar di Sarawak iaitu Sungai Rajang. Boleh tahan luas juga Bandar Sibu ni. Daripada bilik hotel pengiapanku,nampak padat dengan bangunan walaupun tidaklah tinggi-tinggi.

Patutpun dikatakan merupakan bandar yang ketiga besar selepas Kuching dan Miri di Sarawak. Kiranya Sibu terletak di tengah-tengah antara timur dan barat Sarawak. Bandar ini dikatakan semakin meningkat maju lantaran kemudahan perhubungan jalan raya dan pengangkutan air telah disediakan.

Kebanyakan penduduk adalah bangsa Cina, lantaran usaha yang dilakukan oleh pihak Brook Rajah Ke-II dahulu membawa masuk mereka sebagai pendatang untuk menanam padi. Namun gagal lalu diganti dengan tanaman getah dan lada hitam. Aku tanya pemandu tadi, katanya kegiatan ekonomi utama mereka adalah pembalakan, biar betul ?

Wisma Sanyan
Dengan setinggi 28 tingkat, ia bukan sahaja bangunan tertinggi di Sibu, malahan di Sarawak ( atau mungkin juga Pulau Borneo ) ketika ini. Mula dibuka pada tahun 2001.

Wisma ini menjadi mercu tanda Bandar Sibu dan juga menjadi kebangaan orang Sibu. Selain hotel penginapan, ia juga menempatkan ruang pejabat, termasuk pejabat kerajaan, restoren dan shopping kompleks.

Daripada kapalterbang ketika hendak mendarat tadi sudah jelas kelihatan bangunan ini lantaran bangunan lain sekitarnya tidaklah setingginya. Disebabkan ianya terletak di sebelah hotel penginapanku, maka mudahlah kalau nak beli barang keperluan.

Gempar pada tahun lepas, ada seorang cina terjun membunuh diri dari tingkat 5. Khabarnya gara-gara putus cinta. Apakah bangunan ini spot baik untuk membunuh diri ? Namun siapakah Sanyan ?

Sibu Herritage Centre
Asalnya merupakan petadbiran kerajaan yang dibina pada tahun 1960. Bangunan ini menjadi lambang transformasi bandar Sibu sehingga kepada apa yang ada sekarang.

Nampak kesan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan atau naiktaraf barangkali, sedang dilaksanakan.

Bangunan ini sekarang dijadikan muzium yang ditempatkan di tingkat atas. Ia menempatkan bahan-bahan sejarah dan penceritaan sejarah awal Sibu serta Sarawak.

Manakala di tingkat bawah merupakan kedai-kedai termasuk yang menjual pelbagai souvenir. Pada ketika aku sampai agak petang, tidak banyak kedai yang masih dibuka, manakala muziumnya mungkin dah ditutup.

Pasar Sentral Sibu
Dikatakan bangunannya yang terbesar di Sarawak. Dengan lebih daripada 1,000 gerai tetapi, dikatakan yang terbesar juga di Malaysia. Siap dibina pada tahun 1996 dengan kos RM12 juta.

Besar sangat, aku tengok daripada luar sahaja. Lagipun takde apa sangat aku nak beli, lantaran terbenak dalam hatiku, tentu gerai cina saja yang banyak.

Pasar ini telah menempatkan semula semua penjaja yang menjalankan perniagaan mereka di tebing sungai, di tepi dan di belakang lorong di pusat Bandar.

Jety Sungai Sibu
Bersebelahan pasar terletaknya jety pengangkutan Sungai Rajang di Sibu. Bentuk dan geografi Sarawak menjadi sungai sebagai satu pengangkutan yang penting.

Mungkin kerana kedudukan Sibu yang terletak di tengah-tengah Sarawak serta di tepi Sungai Rajang, bandar Sibu menjadi penting sebagai pusat pemungahan barangan dagangan dari bandar atau pekan-pekan lain di Sarawak.

Jika penting mengapa tidak diurus dengan baik jetinya ? Maksudku sampah yang terdiri dari pokok kayu dan pelbagai lagi yang berkumpul di jeti. Bukankah ia mengundang bahaya atau setidak-tidaknya merosakkan jeti tersebut.

Tua Pek Kong Temple
Kuil dengan 7 tingkat berbentuk pagoda ini dianggap sebagai ikon bagi bandar Sibu. Asal mula dibina pada tahun 1987 dengan bahan binaan dibawa khas dari negeri Cina.

Ia dianggap ajaib oleh penduduk di Sibu kerana apabila berlaku kebakaran besar di bandar Sibu pada tahun 1928, kuil ini tidak terusik langsung. Namun ia telah mengalami kerosakan akibat dibom oleh tentera Jepun semasa perang dunia 1945.

Kuil ini telah mengalami beberap fasa pengubahsuaian sehinggalah kepada yang ada sekarang, yang mula dibuka pada tahun 1989. Kuil ini terletak berdekatan dengan jeti serta Pasar Sentral Sibu.

Dataran Sibu
AKu teruskan perjalanan kakiku sehingga ke Dataran Sibu, bersebelahan Wisma Sanyan dan juga hotel penginapanku. Dengan padang yang luas dan bersih, nampak pelbagai aktiviti riadah di dataran ini.

Apa yang menarik ialah terdapat beberapa patung Swan di sekitar dataran ini. Rupanya Swan ( apa melayunya ? ) merupakan simbol yang telah dipilih untuk bandar Sibu.

Pemilihan ini merujuk kepada sejarah pendatang dahulu yang berasal dari negara Cina. Apabila mereka sampai di Sibu, mereka teringatkan suasananya seakan-akan Sungai Swan di China.

Namun panggilan ini tidak begitu popular memandangkan tiada swan sama ada di Sibu atau Malaysia.

Masjid Lama Sibu
Terletak berdekatan dengan hotel penginapanku. Aku sempat untuk solat isyak di sini. Binaan masjid adalah kayu tetapi lantai ruang solatnya tiles sepenuhynya. Asal binaan pada tahun 1830an dengan hanya beratap daun.

Berdasarkan keterangan, bentuknya tidak banyak berubah dan bumbung tiga lapis yang kelihatan adalah selaras dengan binaan tradisional abad ke-19.

Malangnya subuh hari kedua aku di sana. Tak de sorang pun di masjid berkenaan. Azan pun tidak berkumandang. Apa sudah jadi ?

Aku sebenarnya teringin juga nak ke Masjid Bandar Sibu kerana berdekatan dengnya ialah makam Pahlawan Sarawak, termasuk makam Rosly Dhoby, seorang pejuang Sarawak dalam menentang Inggeris suatu ketika dahulu. Rosli Dhoby dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, tetapi jenazahnya kemudian dipindahkan ke Sibu setelah beberapa tahun ditanam di Penjara Kuching.

Bandung Sibu
Ofismateku kata, Sibu ni bandar Cina. Nak cari makan melayu yang halal tersangatlah susah. Jadi aku membawalah bekal roti dan mee segera cawan. Mungkin ada betulnya juga. Tetapi pada malam hari, aku dibawa ke Kampung Bandung Sibu.

Agaknya sebab ramai orang Bandung menetap di sini dahulu, itu yang dinamakan Bandung. Memang banyak gerai-gerai Melayu di sini.

Gerai-gerai makan di sini dikatakan dibuka sehingga larut malam. Tetapi takdelah macam Bandung Indonesia sangat.

Namun disebabkan melayu ramai di sini, ia menjadi sasaran kepada sama ada DAP atau PR dan BN dalam meraih undi yang menjadi penentu. Sibu ada dua Parlimen, satu DAP dan satu BN ( Cina ).


Share:

Ronda Kuching Lagi

Beberapa kali ke Sarawak sebelum ini tetapi tidak sempat nak berjalan sangat sebab urusan kerja yang ketat. Tetapi kali ini aku berpeluang jalan-jalan sekitar Bandaraya Kuching Sarawak bersama dua orang anakku yang datang pada hari akhir urusan ofisku. Kali ini baru aku tahu rupanya nama Bandaraya ‘Kuching’ tak ada kena mengena dengan binatang kucing.

Antara Kek Lapis, Waterfront, mee kolok, laksa Sarawak, berbagai muzium, Orang Utan Semenggoh, Crocodile Farm, Cultural Village, Santubung, Taman Negara Bako, Serikin dan terubuk. Jenuh memikirkan susunan mana nak pergi dulu dalam masa yang agak terhad.

Tugu Kuching
Terletak berdekatan dengan Hotel Hilton, tempat penginapan. Jalan kaki kekira 10 minit sahaja. Ada orang kata tak sah kalau pertama kali ke sini, tidak mengunjungi atau bergambar dengan Tugu Kuching. Ia yang terdiri daripada kuching dewasa dan beberapa ekor anak kuching yang sedang bermain bergurau senda, diperbuat barangkali daripada batu.

Dari dekat tak adelah gah mana sangat, tapi ianya unik dan rasanya tidak terdapat di tempat lain, khususnya di Malaysia. Dulu aku pernah menginap di hotel yang terletak betul-betul di hadapan bulatan yang menempatkan tugu kuching tersebut.

Muzium Sarawak
Nak jimat masa dan tenaga, naik saja teksi RM12 ke Muzium Sarawak.Sekitar Muzium Sarawak terdapat pelbagai muzium sebenarnya seperti Muzium Seni dan Muzium Alam Semula Jadi.


Walaupun semuanya free, tetapi pengunjungnya tidaklah seberapa. Apakah orang sekarang atau generasi sekarang sudah tidak minat dengan muzium lagi walaupun bangunan muzium tersebut telah lama dibina.

Muzium Sarawak sedikit sebanyak membawa kita menjelajahi alam sejarah lampau warisan Sarawak dan Borneo.

Bahan pameran termasuklah contoh fauna Sarawak, burung, reptelia dan mamalia. Terdapat model rumah panjang kumpulan etnuik Sarawak, kraftangan dan alat musik turut dipamerkan.

Walaupun binaan nampak lama, namun muzium ini kelihatan masih utuh dan setia menerima kunjungan demi kunjungan.

Berdekatan ialah akuarium serta memorial pahlawan Sarawak. Tapi aku hanya sempat keliling akuarium sahaja.

Muzium Islam
Kemudian kami menyeberangi jejantas untuk ke Muzium Islam. Muzium ini yang terletak di Jalan P. Ramlee, dibuka pada tahun 1992 dan dikatakan merupakan muzium Islam pertama di Asia Tenggara.

Aku rasa di Kota Kinabalu pun ada Muzium Islam. Apakah bermaksud agama Islam sudah pupus dantinggal sejarah di Borneo lalu layak diletakkan dalam Muzium sahaja ?

Melihatkan pameran dalam muzium ini, tertanya juga, apa Islam 'yang hendak ditunjukkan ?

Pada tahun 1930, ia merupakan James Brooke Malay College dan pernah menjadi Madrasah Melayu Sarawak untuk melatih lebih ramai guru dalam pendidikan Melayu peringkat tinggi.

Muzium Islam ini memberi gambaran tentang sejarah dan kebudayaan unik komuniti Muslim di Sarawak dan serta seluruh kepulauan Melayu-Indonesia, menjejaki hubung kait pembangunan Islam di seluruh dunia.

Muzium ini mempunyai tujuh galeri yang terletak mengelilingi Central Garden dengan setiap galeri mempunyai temanya tersendiri.

Ini termasuklah budaya dan warisan orngislam di Sarawak, pakaian, sains dan teknologi, senibina Islam, Persenjataan, peralatan harian dan koleksi Al-Quran.

Yang paling menarik ialah pedang replica Rasulullah s.a.w. Sesekali tengok macam teruja, sesekali tu pulak macam takut. Panjang pedangnya ... berwarna perak, ‘bercabang dua’ di penghujungnya. Ia merupakan salah sebuah pedang Rasulullah s.a.w dan yang dipamerkan adalah replica pedang yang dinamakan Dhul Al-Fakar.

Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9.00pagi hingga 4.30 petang. Sayangnya tidak ramai pengunjung walaupun bahan pameran nya agak menarik juga.

Little India
Mungkin sebab terletak di Jalan India ( India Street ) yang dulunya jalan tersebut dipenuhi dengan kedai dan peniaga-peniaga berbangsa India.

Tetapi kini aku lihat, mungkin 50% peniaga kini merupakan orang Cina. Dulu dikatakan tersangat sibuk dengan orang ramai mendapatkan pelbagai pakain dan kain yang diimport daripada serata dunia.

Walaupun itu dulu, namun di Jalan India ini pelbagai barangan khususnya tekstail, pakaian, rempah ratus, cenderahati dan makanan tempatan boleh didapati di sini. Harga pun boleh tahan murah jugak.

Aku difahamkan kebanyakkan kedai di sini dibuka sianghari sahaja dan jam 6 petang mulai ditutup. Tapi jam 6petang sudah gelap disini pun.

Tugu Peringatan Brooke
James Brooke merupakan orang penting dalam sejarah Sarawak. Ia merupakan peguasa Inggeris yang paling lama berkuasa di Sarawak. Untuk itu didirikan memorial peringatannya pada tahun 1924.

Ia terletak di tepi Waterfront dan di hadapan bangunan Mahkamah lama yang juga pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Sarawak.

Tetapi sesekali melihatkan bangunan tersebut, macam terbiar tanpa ada sebarang pengunjung. Nak dekat pun aku terasa malas.

Pada tugu peringatan tersebut, tulisan jawi digunakan, walaupun dalam memperingati seorang ‘tokoh’ Inggeris.

Kuching Waterfront
Jika ke Sarawak elok menginap di hotel berhampiran Waterfront Sarawak sebab dikelilingi dengan pelbagai tempat menarik untuk di kunjungi di Sarawak. Ada banyak hotel di sini yang boleh dipilih mengikut keselesaan memasing.

Deretan kedai-kedai menyeberangi jalan di Waterfront menjual pelbagai cenderamata Sarawak yang untuk dibeli sebagai kenang-kenangan dengan harga yang berpatutuan. Satu daripadanya iaitu 'Bazar Waterfront' dikatakan menjual pada ‘harga borong’.

Pelbagai aktiviti terdapat di sini, selain menikmati pemandangan yang menarik, pelbagai jualan serta juadah di kedai atau kiosk yang disediakan. Ini termasuklah berjogging, menaikki cruise, teksi air dan menikmati persembahan pemuzik jalanan.

Namun disini dikatakan bahaya kalau sejalan sorang-sorang khususnya ketika malam atau menjelang malam.

Selain pukau, dikatakan banyak kes ragut berlaku. Patut pun terdapat beberapa papan amaran mengenai perkara ini serta polis yang berkeliaran membuat rondaan.

Menyeberang Sungai Sarawak
Selepas ‘mengeteh’ menghilangkan penat berjalan, kami menyeberang Sungai Sarawak untuk ke Kg Boyan yang terkenal dengan jualan kek lapisnya.

Kami menyeberang dengan sampan yang menyediakan perkhidmatan berulang alik pada kadar 40 sen sehala sahaja. Cumanya kalau kita berikan syiling 50sen, kalau tidak minta baki kekadang pendayung tu buat dek aje. Nasib baik syiling RM1 dah takde ...

Sampannya simple sahaja, tak perlu pakai life jacket. Agaknya boleh muat sehingga 12 orang. Bergoyang-goyang macam nak terbalik bila tak stabil masa naik dan keluar dari sampan.

Menghidupkan enjin dibelakang sampan pakai ‘automatik’ dengan tali yang dipasang dan tarik dari hadapan pendayung berada.

Kejap 5 minit dah sampai. Berdekatan jetti seberang ada food court yang sentiasa ramai pada sebelah petang.

Kek Lapis Sarawak Kg Boyan
Berdekatan juga surau dan Kedai Kek Mira tidak jauh daripada food court tu, jalan kaki sahaja. Yang sohor dulu ialah Dayang Salhah dan kini Mira mulai popular.

Di Kedai Kek Lapis Mira orang agak ramai. Disediakan juga meja yang menghidangkan potongan kek untuk dirasa oleh pengunjung sebelum membuat keputusan untuk membeli mana yang disukai.

Rasa punya rasa, sebab banyak sangat kot, akhirnya tak tahu mana yang sedap. Ha .. ha ...

Kemudian ke Kedai kek Lapis Dayang Salhah, masih seperti dulu. Cuma dah tak nampak ruang dapor dimana kek lapis disediakan. Atau mungkin sudah lewat sampai, dapor pun dah tutup.

Hari Berikutnya
Kalau semalam banayak brjalan kaki, hari ini berjalan jauh dengan kenderaan. Pepagi sebelum bertolak, cari sarapan di kedai berdekatan yang kelihatan ‘halal’. Payah juga sebenarnya nak cari yang’kelihatan halal’.

Aku mengambil peluang untuk merasa Laksa Sarawak. Makanan ini merupakan mee dengan sup santan berempah yang berasaskan belacan dan yang dihidangkan dengan mi hun, telur, udang, ayam, tauhu goreng, dan kekadangnya kerang.

Takdelah best mana, macam orang dok kata kata. Mungkin ada kedai lain yang lebih sedap kot.

Orang Utan @ Semenggoh Wildlife Centre
Destinasi pertama, kekira sejam perjalanan dari hotel sampailah. Nak masuk kena tiket sekali dengan kenderaan masuk. Lokasi parking terletak kekira 1.3km dari gate masuk dan jalannya pun sempit. Banyak kenderaan mulai berpusu-pusu masuk.

Sampai kira on-time 9.30pagi, lantas terus ke pelantar tinjau yang disediakan. Kena meredah sikit kekira 200m hutan belantara.

Sesampai orang sudah ramai dan keadaannya sunyi sepi kerana menghormati papan tanda supaya jangan membuat bising. Selain senyap, sebenarnya dilarang membawa tripod, dibimbangi dianggap senjata oleh orang hutan.

Semuanya sedang menunggu dengan sabar kemunculan orang hutan di pentas yang disediakan. Ramai juga pelancong luar negara dengan pelbagai jenis kamera yang besar-besar termasuk tripod.

Namun tunggu punya tunggu orang hutan tidak muncul-muncul. Akhirnya kami diberitahu ada di suatu tempat lain. Maka semuanya dibawa meredah masuk jalan dalam hutan lagi. Kekira 100m berjalan, akhirnya nampak dicelahan pokok seekor orang utan yang sedang bergayut-gayut.

Kami diberitahu ada sebanyak 27 ekor orang hutan, tetapi kali ini mereka tidak keluar sebab musim buah di hutan dan mereka telah kenyang memakan buah hutan. Sebab itu tidak keluar ke pentas makanan yang disediakan.

Taman Buaya Jong
Pada asalnya kurang minat nak singgah. Tapi atas nasihat pemandu pelancong maka kami pun singgah. Ke Taman Buaya Jong. Ia dikatakan menjadi kemestian kepada pelancong dari luar Sarawak memandangkan Sarawak agak sinonim dengan buaya.

Bujang Senang ? Pemandu pelancongku ‘temberang’, 90% sungai di Sarawak ada buaya ... Cuma timbul atau tidak, takut atau berani buaya tu menampilkan diri.

Ia merupakan sebuah kawasan persendirian yang menempatkan lebih 1000 ekor buaya dari pelbagai jenis dan saiz dari usia ‘anak sampai ke moyang’ buaya ada di sini. Ia boleh dilawati dengan perjalanan kira kira 45 minit dari bandar Kuching.

Jong Crocodile Farm juga adalah kawasan penternakan, pembiakan dan pemuliharaan buaya yang terbesar di Malaysia. Masa gi Langkawi pun Taman Buaya Langkawi mendakwa seumpamanya .. Awal penubuhan pada tahun 1963, pembukaannya adalah untuk tujuan komersial iaitu untuk memperdagangkan kulit buaya, tetapi kemudiannya ditukar kepada mini zoo yang ada hingga sekarang.

Ini termasuklah spesies unggas, burung, monyet dan binatang eksotik yang lain yang hanya boleh didapati di kepulauan Borneo. Nama Jong ialah sempena pemilik dan pembuka taman ini, iaitu Johnson John yang juga penulis bersama buku ‘Man-eating Crocodiles of Borneo’ bersama James Ricthie.

Buaya buaya di sini ditempatkan mengikut saiz, spesies/jenis dan umur. Buaya yang masih kecil ditempatkan bersama di dalam sangkar yang lebih kecil. Begitu juga buaya yang masih diperingkat ‘remaja’. Manakala buaya dewasa dibiarkan hidup berkumpulan dalam kawasan yang lebih besar.

Waktu yang paling sesuai untuk melawat Jong’s Crocodile Farm ialah pukul 10 pagi dan juga 4 petang kerana waktu ini demonstrasi Crocodile Jumping.

Ingat apa, rupanya buaya melompat untuk menangkap makanan yang di umpan atasnya. Makananya berupa ayam serta organ dalam lembu atau mungkin 'lembu pendek'.

Jam 11 pula member makan ikan Arapaima yang berada dalam sebuah tasik. Nampak ada banyak dan ada yang sebesar orang dewasa saiznya.

Selain daripasa itu, terdapat sudut informasi tentang buaya, fasa kehidupan, rangka awet dan kegunaan yang cukup menarik.

Makan Tengahari Ayam Pansuh
Kami balik ke hotel, checkout dan kemudian makan tengahari. Kali ini merasa Ayam Pansuh yang merupakan makanan kebiasaan orang Iban. Ia merupakan kepingan atau cebisan ayam yang dimasukkan kedalam buluh bersama dengan bahan-bahan seperti cendawan, serai, daun ubi dan dibakar seperti lemang.

Dimakan dengan nasi, rasanya boleh tahan juga. Tapi tak alarat nak menghabiskan hidangan mangkuk bersaiz kecil dengan nasi.

Muzium Kuching
Buat anak-anakku, berbanding dengan Taman Buaya dan Semenggoh, ke Muzium Kuching yang paling digemari sesangat. Mungkin kalau zoo 'kuching hidup' lagi best sebab ianya ‘live’ !!!!!

Muzium ini bukan sahaja merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, malah dikatakan didunia. Ia terletak dalam bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara dan mula dibuka pada tahun 1988.

Dibuka pada setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada hari pertama cuti umum. Masuk percuma, tetapi kalau nak ambil gambar dengan kamera atau handphone berkamera, kena bayar.

Selain patung-patung kuching, dipamerkan segala aspek mengenai kuching seperti penjagaan, pemakanan, kepercayaan, istilah baahasa berkaitan kuching, artifak, lukisan dan gambar mengenai kuching.

Terdapat penceritaan asal usul nama Bandaraya Kuching. Kemunculan banyaknya haiwan kuching suatu masa dulu adalah satu kemungkinan. Tahun 1839 James Brooke menamakan tempat tersebut sebagai Kuchin’ yang bermaksud pelabuhan seperti di Indochina dan India.

Tahun 1876, nama Kuching diberikan setelah terdapat banyak pokok mata kuching di tepi Sungai Sarawak. So, tak ada kena mengena dengan haiwan kuching ?

Gunung Santubung
Terletak kekira 35km dari Bandaraya Kuching sdan terkenal dengan legendanya. Namun cantik pemandangannya jika dilihat daripada jauh.

Dikatakan jika diteliti dan diamati, Gunung Santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai. Entahlah ...

Dalam pergaduhan berhari-hari antara Puteri Santubung dengan Puteri Sejinjang lantara mendakwa memasing lebih cantik dalam menawan Putera Serapi, akibat pukulan yang amat kuat, otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan.

Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan sebelum disumpah Puteri Santubung sebagai Gunung Santubung dan berkecainya otaknya Sejinjang menjadi Pulau Kera, Pulau Talang, Pulau Satang, Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran.

Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi. Entahlah, mungkin sekadar cerita lagenda bagi mempopularkan Gunung Santubung, kata pemandu pelancongku. Tapi masakah ada lagu Puteri Santubung ?

Cultural Village ( Kampung Budaya )
Aku hanya sempat bergambar di hadapan pintu masuk saja. Memang berhajat nak masuk, tapi aanak-anaku kata mahal dan sayang duit RM60 seorang untuk masuk. Katanya boleh buat makan 10 hari !!! Aduss....

Aku sebenarnya tertarik dengan konsep muzium hidup serta tagline ‘Terokai Sarawak dalam masa setengah hari’. So tak payah nak pergi jejauh dan pelbagai tempat untuk mengenali kumpulan etnik dan kaum di Sarawak. Tak mengapalah, lain kali kot ....

Pantai Damai Central
Terletak di hadapan pintu masuk Culture Village. Cuaca agak panas ketika itu, tidak ramai yang bermandi manda. Lagipun dikatakan masa itu air surut.

Pemandangan cantik disini berlatarbelakangkan Gunung Santubung serta kebiruan langit dan keputihan awan.

Selain pantai yang menarik, terdapat kompleks jual-beli disediakan, food court, tandas, surau dan 'pentas' persembahan.

Berehat merasa ‘banana cheese’ ...bukannya apa, pisang goreng letak cheese dan susu pekat sahaja sepinggan RM6.

Pasar Satok
Dalam perjalanan balik menuju Airport Kuching, kami singgah di Pasar Baru Satok yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Pergi dulu tempat lain, kini telah berubah di tempat baru mulai 1 Jan 2013,

Ia terletak bersebelahan dengan Kubah Ria, satu tempat makan yang terkenal di menghadap Sungai Sarawak. Kat sini merasa mee kolok yang sedap. Terlupa pulak nama gerainya. 'Mi kolok' Kuching merupakan mi yang direbus dan kemudian dihidangkan dengan bawang putih, bawang merah, serta hirisan daging.

Pasar ini terkenal dengan kaum perempuan etnik yang membuka gerai-gerai menjual sayur-sayuran dan buah-buahan.

Antara barang jualan yang terdapat disini termasuklah kraftangan, hasil-hasil hutan (termasuk madu hutan), binatang ternakan, bunga orkid, ikan hidup serta pelbagai snek dan hidangan tempatan.

Target aku ialaah ikan terubuk. Cuma konpius. Penjual tu kata dari Myanmar manakala pemandu pelancong kami kata tempatan, tapi jenis peliharaan. Kalau jenis liar, mahal harganya, itupun dalam bulan Jun – Ogos. Entahlah.

Nak Datang Lagi ?
Kemudian terus ke Airport Kuching untuk flight kembali KLIA. Nak jalan lagi, tentunya sebab tak jumpa orang utan di Semenggoh dan tak masuk Cultural Village lagi ... huhu.

Memang orang hutan pernah ku lihat di zoo lain, tapi itu tak ‘sesegar’ seperti yang aku jangkakan seperti di Semenggoh. Serikin memang kuregn minat, nak shopping apa lagi ? Mungkin Taman Negara Bako pulak.

Klick untuk lagi gambar ...
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.