Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikan pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, pahit, indah, muram, genting & gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Menjamu Mata Di Bukit Keluang

3 Februari 2019 : Photobooth baru sebagai tarikan pengunjung ke Bukit Keluang, Besut.

Singgah di Pasat Siti Khadijah, Kota Bharu

4 Februari 2017 : Kenangan Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Masjid Selat Melaka

Destinasi wajib kunjungi jika ke Melaka sambil rehat dan solat ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Antara Labuan Dan Langkawi

Bebaru ini aku berkesempatan ke Labuan dan selang 2 minggu, ke Langkawi pula. Berbanding ke Langkawi yang entah berapa kali, tapi ke Labuan itulah yang pertama kali. Akupun sebenarnya tidak sempat explore Labuan, hanya sempat jalan-jalan kejap di kedai berhampiran hotel penginapanku setelah selesai tugasan rasmiku. Apa istimewanya Labuan ? Apa keistimewaannya berbanding Langkawi ?
Pulau Langkawi dan Pulau Labuan adalah merupakan Pulau Bebas Cukai, sebagai satu usaha kerajaan untuk mengalakkan industri perdagangan dan pelancongan. Atau senang sikit, nak ‘majukan’ pulau berkenaan. Barangan bebas cukai ialah semua, kecuali petroleum serta barangan petroleum. Mungkin ada barangan lain tapi, itu tak pastilah. Bagi menikmati pengecualian cukai tersebut, pengunjung atau pelancong ke pulau-pulau tersebut perlu berada sekurang-kurangnya 24 jam di Labuan dan 48 jam di Langkawi.
Yang dibenarkan pun ada syarat had-had tertentu, umpamanya kain batik tidak melebih 3 helai setiap orang. Kalau beli kereta pula memang murah, tetapi nak bawak balik ke Semenanjung atau tanah besar, ada syarat-syaratnya. Tapi kalau melewati Pegawai Kastam kat airport atau jetty lalu di tanya "Banyak barang encik borong?". Jawab aje, ‘Semua guna sendiri, bukan nak jual, bagi adik beradik sedara mara serta jiran’. Rezeki baik selamat tanpa cukai. Kalau kena pun mintalah tawar reganya. Pulau Labuan merupakan merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan atau di sebut juga sebagai Wilayah Persekutuan Labuan. Ia merangkumi keseluruhan pulau yang mempunyai keluasan 98 km persegi sahaja berbanding Langkawi, 528km persegi.
Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba terutamanya pulau yang berhampiran. Terdapat 5 pulau sekitar Labuan, berbanding Langkawi mempunyai 99 pulau ketika air pasang dan 109 ketika air surut.
Namun Labuan lebih ditonjolkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) sejak 1990 manakala Langkawi lebih kepada industri pelancongan dan ditambah dengan mitos serta lagenda Mahsuri. Labuan dikatakan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan". Orang sini kata, kalau orang Semenanjung datang sini, yang selalu dibeli ialah cokelat, rokok dan kain-baju. Arak pun dan minyak wangi pun dikatakan murah, macam di Langkawi. Dalam aku jalan pusing-pusing memang ternampak banyak barangan tersebut di jual di kedai-kedai, kecuali kain yang tidak sempat ku jumpa. Tetapi jika dibandingkan dengan Langkawi, harga di Labuan lebih mahal sekitar 20%. Barangan pinggan mangkuk kaca serbaguna tahan panas pun sekitar 10-15% lebih mahal. Tetapi kedai di sini sekitar 6 petang sudah banyak yang tutup dan jalan jadi agak lenggang. 6.30 petang sudah gelap dan masuk Maghrib, berbanding 4.55 pagi sudah masuk subuh dan 6.10 pagi sudah terbit matahari.
Aku rasa tidak terfikir untuk ke sini lagi, berbanding dengan sudah tentunya Langkawi !!!!
Share:

Meet & Greet With Maher Zain - Forgive Me

Mungkin ramai yang tidak tahu, album antarabangsa atau album 'artis' luar negara yang paling laris atau mencatat jualan tertinggi di Malaysia adalah Album Thank You Allah oleh Maher Zain. Angkanya, dikatakan mencecah 250,000 unit. Apakah itu betul-betul daripada album pertama atau dicampurkan dengan jualan album 'kedua' yang menampilkan lagu Isya'allah Versi Melayu.

Tetapi Maher Zain telah mencetuskan satu fenomena baru di Malaysia dann aku juga telah berkesempatan mengikuti konsertnya di Malaysia tahun lepas. Malah baru-baru ini aku berkesempatan menemui beliau dalam satu majlis yang dinamakan Meet & Greet Maher Zain di sebuah kompleks membeli belah di Serdang pada 3.30 petang, 8 April 2012.

Bukan pelancaran album barunya yang berjodol Forgive Me. Just meet and greet, ucapan ringkas dan nyanyi sebahagian lagu tanpa muzik serta tandatangan autograph. Peluang ini aku ambil untuk hadir dalam majlis berkenaan untuk bertemu, bersalaman serta memberikan salam. Kena beratur panjang, naik ke pentas seorang demi seorang. Tetapi keadaan agak terkawal dan bukannya ramai sangat nak naik pentas mendapatkan tandatangan dan bersalaman dengannya.

Ada beberapa wanita ( macam Melayu Islam tapi dogol pulak tu ) kelihatan cuba menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Maher zain, tetapi nampaknya ditolak dengan baik. Apa yang difahami daripasda lagu Maher Zain ?

Pada ahkir majlis beliau mengucapkan terima kasih kepada hadirin dan mengumumkan konsert beliau pada 16 Jun nanti. Since sudah pernah menyaksikan beliau di atas pentas konsert, maka aku kira tidak berminat untuk menyaksikannya.

Bercakap mengenai album barunya, ada dua lagu Melayu selain 12 lagu bukan Melayu. Aku rasanya lagunya boleh tahan sodap-sodap dan aku juga yakin popularity beliau akan terus meningkat dengan kehadiran album barunya ini.

Apa yang menarik dalam albul ini, beliau sendiri banyak terlibat sama ada mencipta lagu atau liriknya. Jika beliau sendiri yang menciptanya liriknya, tentunya lebih 'umphhh' kerana lahir dari nalurinya sendiri.

Tahniah dan selamat maju jaya untuk Bro Maher Zain.
Share:

Anugerah Nasyeed.Com Semarak Semula Nasyid

Berbanding dengan irama lain, irama nasyid kelihatan agak terpinggir. Mungkin benar kerana ianya terpinggir daripada mendapat tempat di corong radio serta TV. Kebergantungan irama nasyid kini adalah terhadap media Islamik seperti TV Al-Hijrah, IKIM.fm, Oasis dan seumpamanya. Itulah saluran bagi mereka untuk terus bernafas, sesuai semangat dan roh nasyid itu sendiri. Radio lain pun kalau nak mainkan lagu nasyid, sebelum dan selepas azan sahaja. Itu pun kalau ada siaran azan. Agaknya …


Suatu ketika dahulu, irama nasyid pernah mencapai kemuncaknya dengan pencapaian kumpulan seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan In-Team.Mereka juga sering kedengaran menerusi radio. Malah ada anugerah khas kepada kumpulan nasyid dalam anugerah yang agak polular diadakan saban tahun di negara kita. Industri nasyid jarang diberi penghargaan secara khusus seperti Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Juara Lagu.

Jualan album Raihan masih mengungguli daripada segi jualan tertinggi sebuah album tempatan di Malaysia. Malah rekod jualan album Maher Zain Thank You Allah yang mencapai 250,000 unit masih yang tertinggi dari kalangan album artis luar negara. Maknanya irama nasyid masih mencipta rekod dan punyai keistimewaan tersendiri sehingga mencapai tahap tersebut.

Pada hakikatnya, walaupun kelihatan semakin dipinggirkan namun kelompok peminat nasyid masih ramai. Di peringkat sekolah serta IPTA, irama ini masih mendapat tempat serta dijadikan acara atau aktiviti yang sihat dalam membentuk peribadi mulia. Malah album baru serta beberapa kumpulan baru yang bagus terus muncul dari semasa ke semasa, yang juga boleh diikuti menerusi youtube.

Kini Nasyeed.Com mengorak langkah menganjurkan Anugerah Nasyeed.Com yang akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2012 ini. Acara yang julung kali diadakan ini berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam. Sebelum ini pernah ada anugerah Carta IKIM untuk lagu nasyid anjuran IKIM.FM, namun telah tidak diadakan sejak 2/3 tahun lalu, barangkali ketiadaan penaja.

Nasyeed.com hanya berbekalkan komunikasi menerusi jaringan social face.book. Nak harap siapa lagi bagi menghargai penggiat nasyid? Nasyeed.com berasa bertanggungjawab untuk memartabatkan kembali nasyid, lantaran samburtan yang diterima amat mengalakkan sehingga nasyeed.com dikatakan mempunyai pengikut lebih 1 juta orang.

Berbalik kepada Anugerah Nasyeed.com, aku tidak kisahlah bagaimana pemilihan pemenang akan dilakukan serta apa kategorinya. Yang pentingnya agar hasrat anugerah yang julung kali diadakan dapat mengangkat kembali martabat nasyid seiring industri muzik. Aku difahamkan yang bertanding adalah terbitan antara 2000 hingga 2010 dan undian awal dibuat menerusi facebook. Orang yang ada facebook saja yang boleh terlibat kalau begini ?

Alhamdulillah, aku mendapat 4 tiket masuk ke salah satu acara yanag dianjurkan oleh Nasyeed.com, iaitu Konsert Anugerah pada 14 April nanti.

Tiket masuk ini aku perolehi semasa mengikuti salah satu daripada roadshow mereka yang diadakan di Wangsa Walk pada 7 April yang lalu setelah mendapat jawab soalan yang dikemukakan oleh Kumpulan Saujana.

Turut membuat persembahan ialah Kumpulan Du'a, iaitu kumpulan baru yang ahlinya terdiri daripasda warga Saujana Utama yang aku kenali mereka. Semoga berjaya dalam mempertaruhkan lagu Sahaja Aku Mencintaimu. yang juga buat pertama kalinya jadi Juara carta IKIM.fm pada 8 April 20102lalu.

Dalam akhir majlis tersebut dapat juga bergambar dengan Mawi yang merupakan finalis anugerah.

Untuk keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi beberapa sumber link berikut.
a. Nasyeed.com
b. Munsyeed.com
Share:

Perhimpunan Warga Agama Qaryah Wilayah Persekutuan

Pada 6 April 2012, lepas solat Jumaat aku terus bergegas ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi menghadiri Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan, mewakili Surau Jumaat qaryahku. Dewan yang pada mulanya hanya dipenuhi dengan sebahagian kecil wanita, dengan sekejap sahaja penuh sesak dengan orang ramai. Peliknya kenapa dinamakan Perhimpunan Warga Agama / Qaryah ? Bukan perhimpunan semua penganut agama satu Malaysia ?

Dalam majlis perhimpunan tersebut, pelbagai sumbangan daripada kerajaan diumumkan mengikut beberapa kategori seperti termasuk guru-guru KAFA, Sekolah rendah Agama (SRA), para imam, guru-gurutakmir, Ahli Jawatankuasa Masjid, Surau Jumaat, dan Surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) yang semuanya berjumlah sebanyak RM 211,658,600.

Sebagai AJK Surau Jumaat pun ada imbuhan, berapa agaknya ? Lumayan tak ? Jika jumlah sumbangan kepada AJK Surau Jumaat yang berjumlah RM 821,000 di bahagikan kepada 10 orang bagi setiap Masjid dan Surau Jumaat yang mungkin berjumlah 160 buah, maknanya dapat sekitar RM500 sorang !!!

Apa pun yang jelas mesej yang hendak disampaikan ialah bagaimana kemampuan pihak kerajaaan selain menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat, juga memberikan pelbagai sumbangan dan imbuhan ialah disebabkan kebijaksanaan serta kemampuan pihak kerajaan dalam mentadbir negara ini.

Oleh itu, kerajaan yang ada perlu dikekalkan. Senang cakap sokong, pilih dan undilah kerajaan sedia ada yang sudah elok dikekalkan. Ternyata PRU13 semakin dekat.

Disebalik nyanyian lagu 1Malaysia pada awal majlis, para hadirin juga diminta mengebarkan bendera Malaysia. Entahlah, di sebalik semangat tinggi yang cuba disentuh atau diusik oleh Datuk Jamil Khair dalam ucapan aluannya, aku lihat sebenarnya ramai yang tidak mengibarkan bendera dan tidak juga menyanyikan lagu tersebut. Mengapa ini berlaku ? Protes ? Tak tahu ? Kalau tidak suka kenapa datang juga ke majlis begini.

Apakah apabila ada pengumuman tentang imbuhan atau sumbangan akan disampaikan, lalu ramai yang hadir bagi menyatakann rasa kesyukuran dan kegembiraan tersebut. Ini jauh berbeza dengan majlis Seminar Gagasan 1Malaysia dan Pengertian Wassatiyah yang aku hadir beberapa minggu lalu, dimana daripada anggaran 400 peserta akan hadir, tetapi sebaliknya tidak sampai 40 yang hadir.

Klik untuk maklumat lebih lanjut mengenai sumbangan peruntukan yang diluluskan.
Share:

Rumah Terbalik Sabah

Pada 1 April 2012 yang lalu, aku berkesempatan mengunjungi apa yang dianggap sebagai satu tarikan baru Kota Kinabalu, Sabah iaitu Rumah Terbalik. Ia dikatakan satu-satunya rumah terbalik ketika ini di Malaysia, malah dikatakan yang pertama di Asia Tenggara. Malaysia Book of Records dikatakan telah mengesahkan rumah itu adalah satu-satunya seumpamanya di negara ini. Namun rumah tersebut bukanlah untuk didiami, sebaliknya sebagai tarikan kunjungan pelancongan.

Rumah itu dibina dengan kos sebanyak RM500,000 oleh seorang usahawan Alexander Yee, yang juga mengusahakan sebuah lodge pelancongan di Sabah. Kos keseluruhan kompleks termasuk pagar, kantin dan kedai cenderamata dikatakan mencecah RM1.2juta. Rumah Terbalik ini mulai dibuka pada 1 Februari 2012 antara jam 8 pagi hingga 8 malam dan mendapat sambutan dan kunjungan yang ramai. Tiket masuk RM18 bagi dewasa pelancong luar negara, manakala rakyat Malaysia hanya RM10.


Apa istimewanya rumah ini selain kelihatan terbalik dari bumbung ke lantai, termasuk sebuah kereta Kancil yang diletakkan di garaj? Rumah yang kecil sahaja, berkeluasan 140 kaki persegi itu direka berdasarkan gaya gabungan etnik Sino-Dusun dan Dusun.

Ada dua bilik tidur, satu bilik air, dapur, ruang tamu serta anjung. Ia turut dilengkapi dengan pelbagai seni kraf dan asli selain kelengkapan rumah seperti peti sejuk dan set sofa di mana semuanya berada dalam keadaan terbalik. Terbalik maksudnya yang dilantai jadi siling dan yang di siling jadi lantai.

Memasukkinya mengikut kumpulan sekitar 8 orang yang dipandu oleh wanita jurupandu. Kami diberitahu tentang 3 pantang larang ketika berada dalam iaitu berjalan di atas karpet merah yang ditentukan sahaja, tidak boleh sentuh barangan dalam rumah serta tidak boleh mengambil gambar. Jika ambil gambar, denda RM100 dan gambarnya akan di delete.

Jurupandu ada cuba menerangkan kenapa ianya dibina terbalik, tetapi tidak berapa jelas kedengaran. Sebelum masuk, salah seorang wakil dalam kumpulan di kehendaki memukul gong yang disediakan dalam perjalanan masuk menuju pintu rumah sebanyak 3 kali dan mengetuk pintu sebelum masuk ke dalam rumah. Itu tradisi katanya.

Berada dalam rumah tersebut terasa agak pening juga lantaran keadaan yang bertentangan daripada biasa. Yalah, kalau biasanya berada di bawah, kita melihatnya pula di atas. Begitulah juga sebaliknya.

Barangan seperti perabot, mesin jahit dan peralatan elektrik dilekatkan dengan menggunakan skru dan pelekat. Terdapat juga dicelahan ‘lantai’ di atas berupa duit siling. Macam real aje … Dikatakan semasa pembikinan, tukang yang bertugas sering menghadapai kesukaran apabila selesai bertugas, khususnya payah nak tidur.

Lawatan hanya sekitar 15-20 minit sahaja. Keluar sahaja terdapat kedai cenderamata yang juga menyediakan jualan makanan.


Mengunjunginya lagi ? Cukuplah sekali sahaja. Mungkin ramai kunjungan ketika ini hanyalah disebabkan ianya baru dibuka. Bagaimana agaknya pengusaha mahu menarik kunjungan kali kedua atau sekurang-kurangnya bertahan jikapun hendak pulang modal ? kalau kos keseluruhan RM 1.2 juta, bermaksud pengusaha perlu menarik sekurang-kurangnya 120,000 pengunjung tempatan. Itu cabaran bagi pengusaha dalam memastikan terus dapat bertahan.


Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah