Asal Usul
Menurut sejarah yang agak mashyur berdasarkan wikipedia dan http://www.fathersdaycelebration.com, Hari Bapa moden diilhamkan oleh seorang wanita, Sonora Smart Dodd dari daerah Spokane, Washington, selepas beliau mendengar syarahan dalam suatu gereja pada tahun 1909 mengenai sambutan Hari Ibu. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang kaum bapa seperti bapanya, William Smart, seorang duda veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Ketika itu Sonora berusia 16 tahun.
Pada hari tersebut anak-anak menghantar kad ucapan tidak setakat kepada kaum bapa, tetapi datuk, pakcik atau sesiapa sahaya yang berperanan sebagai bapa. Ini diikuti dengan trend memberikan hadiah dan yang popularnya seperti tali leher dan bunga rose rasmi Hari Bapa. Warna bunga ros merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia. Kini acara sambutan serta pemberian hadiah menjadi pelbagai.
Kali ke-100 ?
Tarikh sebenar sambutan hari tersebut sebenarnya berbeza-beza mengikut negara berdasarkan persepsi masing-masing. Namun di Malaysia, Hari Bapa disambut pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun. Oleh itu pada tahun 2010, ianya jatuh pada 20 Jun 2010. Jika diambil dari tarikh 19 Jun 1910, bermakna tahun 2010 merupakan sambutan kali ke-100. Tetapi tidak pasti bilakah sambutan Hari Bapa mula diperkenalkan di Malaysia.
Hukum Menyambutnya
Apakah kita boleh berpegang, selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah. Bagi setiap Muslim, sepatutnya paling kurang pun mengingati peranan ibu bapa dengan mendoakan kesejahteraan mereka mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu, di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.
Hari Ibu & Bapa Sepanjang Masa
Apa yang dikhuatiri ialah kempen sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa akan melahirkan generasi akan datang yang hanya mewujudkan perhubungan baik dengan ibu bapa mereka pada masa yang tertentu saja. Selepas itu, dalam jangka masa yang lebih panjang, mereka melupakan ibu bapa mereka. Lama kelamaan, kempen itu akan menjadi suatu faktor keruntuhan institusi keluarga dalam masyarakat Islam. Mungkin dalam kegawatan masyarakat barat sekarang dalam memelihara keutuhan institusi kekeluargaan yang tiada lagi rasa hormat kepada orang tua, sambutan Hari Ibu dan Bapa dilihat ada relevannya.
Muhasabah
Namun sentiasalah para bapa bermushasabah diri, melihat kembali amanah, peranan dan tanggungjawab yang telah di berikan dalam berumahtangga. Ini adalah kerana Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa, selain kerjasama dengan pasangannya yang juga isteri atau ibu. Mungkin ada yang terlepas pandang dan terabai, khususnya dalam dunia modern yang semakin mencabar, berbanding ketika kita kecil suatu masa dahulu.

Alfatihah juga untuk arwah bapaku yang telah pulang ke Rahmatullah, semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Alfatihah.
0 Komen:
Post a Comment