Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Kenangan Kembara Korban Kemboja 2019

Berpeluang Menyembelih Sendiri Lembu Korban ..

Singgah ambil angin segar

2 Februari 2019 ...

Tugasan Baru penghujung 2019

Balik2 cuti panjang, dapat tugasan baru musim2 tengkujoh ni ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

PPSMI : Apa Masalah Sebenarnya ?

Masa mula nak perkenalkan PPSMI tahun 2003 dahulu, ‘giler’. Itulah detik hatiku. Tetapi aku kira bukan aku keseorangan. Lantas terkenangkan anak-anak ku. Boleh ke mereka mengikutinya ? Tapi bagaimana anak Melayu keseluruhannya. Sedangkan sebelum ini pelajar Melayu sering dikaitkan dengan lemah dalam Sains & Matematik. Inikan pula hendak diajar dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka ? Lantas dengan kudrat dan jawatan yang ada, aku anjurkan kelas malam bahasa Inggeris ( BI ) untuk so-called ‘anak bangsaku’. Sambutannya cukup memberangsangkan. Ini petanda risauan para ibubapa terhadap anak masing-masing apabila mengikut Sains dan Matematik dalam BI.

Keputusan yang diambil begitu drastik sekali, hasil keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang diumumkan oleh Che Det, tanpa sebarang kajian menyeluruh terlebih dahulu. Mungkin senang aje katanya masa itu, just translate silibus kepada BI then gunakan computer dan LCD projector sebagi ganti atau membantu guru dalam P&P. Gampang benar !!! Yang kayanya pengedar notebook dan LCD projektor. Guru masuk kelas dengan kedua-dua tangan membawa notebook dan LCD projektor yang bernilai hampir RM10K masa tu ...

Saban tahun statistik menunjukkan peningkatan pencapai pelajar dalam Sains dan Matematik yang diajar dalam BI. Ah ! Aku sendiri kurang yakin dengan statistik tu sebab aku pernah kerja di Lembaga Peperiksaan dan hal data markah ini dulu ‘mainan aku’ aje …ops ! Nanti kena OSA kang ? Hasil kajian yang dilakukan, UNESCO sendiri telah menetapkan bahawa Sains dan Matematik hendaklah diajar dalam bahasa ibunda sesebuah negara.

Tidak dinafikan kepentingan BI. Tetapi masalahnya sekarang nak kuasai BI atau nak kuasai sains dan matematik. Kalau dikatakan semua buku-buku sains dan teknologi dalam BI, macamana nak faham membacanya kalau BI pun tak lepas ? Mudah aje congakkannya … nak pandai BI, kena cari jalan bagaimana boleh kuasai BI, buat modul supaya boleh cepat cakap BI, cepat tulis dan cepat faham BI. Bukan nak pandai BI kena belajar matematik atau belajar sains dalam BI. Kenapa pula tidak BI kan subjek seperti sivik, muzik dan kajian tempatan ?

Demontrasi Bantah PPSMI
Demontrasi himpunan 100K rakyat diadakan di Masjid Negara pada 7 Mac 2009 mulai 2.00 petang. Mereka bukan bantah mata pelajaran BI, tapi bantah penggunaan BI dalam pengajaran Sains dan Matematik. Jangan keliru dalam hal ini. Ajar Sains dan Matematik dalam BM pun udah pening-pening, inikan dalam media bahasa yang kita masih belum mampu menguasainya. Harapnya perhimpunan tersebut cukup bagi memberikan isyarat kepada pimpinan pemerintah untuk mengkaji semula pelaksanaan PPSMI.


Masalah Kemampuan Guru
Ini belum ambil kira kemampuan guru Sains dan Matematik untuk mengajar dalam BI. Sejauh mana mereka juga fasih berBI ? Irtu belumabilkira kekurangan guru di kawasan pendalaman khususnya. Walaupun kursus demi kursus diadakan, tapi kalau dah lidah keras tu. Paah juga. Guru yang memang mengajar BI pulak, sama ada mereka tak boleh faham Sains dan Matemetik atau mengatakan yang itu masalah Sains dan Matematik, bukan masalah BI.

Isteriku yang menanda kertas jawapan Sains SPM pun kata banyak sekolah yang calonnya jawab dalam BM. Tapi Tetapi agaknya cikgunya mengajar macamana ? Sedangkan semua buku teks Sains dalam BI. Tidak dinafikan, mungkin kena lihat secara menyeluruh.

Disiplin pelajar
Aku rasa, pelajar yang banyak menimbulkan masalah disiplin dalam kelas ialah pelajar yang tidak faham apa yang dipelajari semasa dalam kelas dan tidak dapat memahami apa yang diajar oleh guru. Mulalah mereka akan merasa bosan dan tertekan. Kerana itu perasaan mereka mula memberontak dan akhirnya mereka mudah terjerumus dengan masalah disiplin.

Oleh itu, sebaik PPSMI dilaksanakan, bilangan pelajar yang tidak faham dalam bilik darjah telah meningkat dengan ketara sekali dan seterusnya aku kira masalah disiplin dalam kelas juga akan meningkat dengan mendadak. Kesan daripada itu, di pihak guru-guru juga akan mengalami masalah sampingan yang memeningkan kepala mereka. Ini kerana mereka tiada kemampuan untuk mengawal pelajar-pelajar lagi. Akhirnya agaknya guru mengambil mudah dan hanya mengajar mana yang mereka mampu sahaja.

Budaya Menghafal
Aku tanya anak-anakku, bagaimana PPSMI sebab sering juga mereka dapat A dalam subjek Sains dan Matematik. Entah abah, tak faham. Main hafal saja. Begitulah kata mereka. Maknanya mereka yang boleh berjaya dalam UPSR/PMR/SPM sekarang ini ialah mereka yang berjaya menghafal. Lebih banyak yang dihafal, dianggap lebih berjaya dalam pelajarannya. Inikah yang mahu dilahirkan dalam sistem pendidikan kita ? Sistem pendidikan sekolah semakin bersifat 'keperempuanan' dan tidak hairanlah jika yang banyak berjaya serta capai keputusan terbaik dalam UPSR/PMR/SPM ni ramai orang perempuan.

Menteri Pelajaran bebaru ni kata, kerajaan tidak akan terburu-buru dan akan membuat kajian menyeluruh sama ada untuk menarik balik pelaksanaan PPSMI. Dulu kata tunggu keputusan UPSR 2008 yang diumumkan akhir November 2008. Masa hendak laksana dulu, tiada kajian dibuat. Tetapi sekarang perlu tunggu kajian menyeluruh siap dilaksanakan.


Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong
Gerakan Mansuh PPSMI


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan. Iklan

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato? Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah. _


Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah