Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikan pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, pahit, indah, muram, genting & gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Menjamu Mata Di Bukit Keluang

3 Februari 2019 : Photobooth baru sebagai tarikan pengunjung ke Bukit Keluang, Besut.

Singgah di Pasat Siti Khadijah, Kota Bharu

4 Februari 2017 : Kenangan Singgah di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Masjid Selat Melaka

Destinasi wajib kunjungi jika ke Melaka sambil rehat dan solat ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Ekspo Buku Islam Ke-6 Putrajaya

Tiada banyak bezanya dengan apa yang diadakan pada tahun lepas iaitu Ekspo Buku Islam Ke-2 Putrajaya. Kalau adapun ialah kedudukan pentas utama yang terletak di salah satu laluan masuk, tidak terperosok seperti tahun lepas. Tetapi apa Islamnya Ekspo Buku Islam Putrajaya Kali Ke-6 yang diadakan di Putrajaya dari 22 hingga 3 Mac 2013 ? Bukunya, penulisnya atau, penerbitnya ? Malah ada jurujualnya pun tidak berpakaian mengikut etika pakaian Islam walaupun mungkin dia orang Islam.

Sebenarnya ia merupakan kali kedua diadakan di Putrajaya dan bukan kali ke-6, tetapi ia merupakan kali ke-6 dianjurkan oleh kelompok penerbit tertentu yang mungkin penerbitnya atau syarikat milik orang Islam ? Hanya beberapa gerai menawarkan diskaun melebihi 10%. Kecewa benar, ditambah hanya satu saja rasanya kedai yang menyediakan perkhidmatan bayaran menggunakan kad kredit.

Mungkin beralasan Islam tidak mengalakkan penggunaan Kad Kredit ? Habis tu kalau nak beli kitab atau buku ratusan atau ribuan ringgit yang berjilid-jilid seperti Tafsir al-Azhar, Fi Zilalul Quran, Fathul Bari dan Ibnu Katsir ?

Sayangnya kurang promosi daripada segi tentative aktiviti daripada internet. Malah laman pihak penganjurnya di http://ekspobukuislam.com pun tidak dikemaskini. Ini kerana aku lebih suka kalau masa pergi ke sana ada aktiviti ulasan buku dan kesempatan bertemu penulis yang diminati.

Dalam kunjungan aku ke sana pada pagi 24 Februari lalu, sempat mengikuti pelancaran promosi oleh syarikat Krangkraf yang turut dihadiri oleh Dr Robiah K Hamzah serta penulis Ramlee Awang Murshid. Dapatlah jugak mendapatkan tandatangan atas buku terbaru Ramlee Awang Murshid serta bergambar dengannya.

Walau bagaimanapun berkunjunglah ke Ekspo Buku Islam ke-6 Putrajaya yang diadakan di Dewan Cempaka ( berhadapan Istana Keadilan ) untuk menyemarakkkan minat membaca diri sendiri serta kalangan ahli keluarga.

Aku sendiri pun tidak menyangka 'terbeli' beberapa produk disebabkan harganya yang 'mengejutkan'. Cubalah google atau search kat mana-mana kedai buku, Tafsir al-Azhar lengkap 30 juzuk berikut boleh diperolehi dengan harga hanya RM220.

Bergantung kepada apa yang dicari, insya'allah akan ditemui buku terbaik untuk diri sebagai melengkapkan lagi koleksi sama ada buku terbitan terbaru atau yang dah lama. Kalau tak cukup cash, pergi saja ke mesin ATM yang terletak di bangunan berhampiran, kekira 'walking distance' sahaja.
Share:

Restoran Ikan Bakar Sri Empangan Putrajaya

Restoran ini baru sahaja dibuka pada akhir tahun lalu. Kedudukannya agak menarik, mungkin kalau waktu senja cantek pemandangannya. Waktu malam bertambah lagi, dengan cahaya lampu 4 buah bangunan yang juga baru siap dibina tahun lepas serta Jambatan Seri Gemilang. Ini menjadikan Restoran Ikan Bakar Sri Empangan yang terletak berhampiran dengan empangan tasik Putrajaya di hadapan PICC begitu strategik untuk menarik perhatian dan kunjungan warga Putrajaya khususnya.

Walau bagaimanapun berdasarkan kunjungan aku serta family ke restoran tersebut, lepas Maghrib pada 23 Februari lalu sangat menghampakan. Aku tidak tahulah kalau mungkin nasib kami sekeluarga yang kurang baik pada malam tersebut, namun ianya tidak seindah suasana dan pemandangan sekitar. Maksudnya harap persekitaran sahaja cantek.

Sebelum nak buat order, tanya mana senarai menu ? Tak ada lagi katanya. Apa yang special, katanya ikan bakar. So kami pun tinjau ikan-ikan yang diletakkan dalam tong tidak jauh daripada tempat kami duduk. Alamak ikannya tidak segar-segar, mata sudah merah semacam. Udang pun layu aje. Agaknya nelayan masih cuti Gong Xi Fa Chai ?

Selain makanan tempahan yang dimasak, terdapat juga lauk-pauk untuk makan nasi campur. Tapi nampak kurang menyelerakan. Mungkin hidangan sejak tengahari tadi. Berdasarkan pekerja, nampaknya semua muka-muka Melayu Islam.

Masa menunggu tidaklah lama, mungkin sebab belum ramai yang tiba masa aku sampai tadi. Makanan tiba satu demi satu bermula dengan air minuman, tomyam campur untuk 4 orang, sayur kalian untuk 4 orang, 4 pinggan nasi, 5 ekor sotong goreng tepung, 8 ekor udang goreng kunyit dan siakap 800gram goreng sambal pedas.

Tak sangka tomyam campur dalam dua mangkuk besar. Order untuk makan dua orang pun sudah cukup. Tetapi rasanya alamak, kureng sedap. Sayurannya pula ada yang macam sudah kureng elok, rasa pun lain.

Sayur kalian pun sama dalam dua pinggan, order satu pun rasa cukup untuk 4 orang. Inilah masalah tidak ada senarai menu. Nak budget pun payah. Tidak mengapalah, yang penting rasanya yang kureng. Macam baru belajar masak aje, atau tukang masaknya masih cuti Tahun Baru Cina.

Diikuti pula dengan sotong goring tepung. Alamak !!! Entah apa-apa rasa tepungnya, berminyak dan tak terasa sangat isinya sebab banyak tepung daripada isi.

Kemudian ikan siakap, rasanya not bad. Boleh dipuji sikit, mungkin sebab digoreng dahulu. Kuah sambalnya kira oraitlah, boleh diterima. Nasib baik, sebab inilah hidangan yang paling mahal.

Akhirnya udang masak kunyit. Tengelam udang di sebalik sayuran lobak, kacang panjang dan bebawang. Kalau tahu begitu banyak sayurannya, tak payah order kalian. Tapi rasa udangnya …. Alamak !!! Tawar dan lembik. Mungkin udang bukan fresh dan dah lama tersimpan.

Sedap tak sedap pun, habis licin juga makan. Maklumlah sudah lapar. Lagipun macam terasa reganya tentu mahal, melihatkan senarai harga tadi. mana boleh tapau bawak balik ?

Sudahlah hampir semuanya tidak memusakan hati, terkejut perut juga masa membayarnya. Semua-semua tu berharga RM133.50. Probably this is first and last. Lebih sedap jika ke Restorann De’Dusun di Pinggiran Putera atau Perantau Hill di Sg Merab. Aku tak tahulah kalau memang boleh dikategorikan harga mahal, sebab nasi lemak seciput atas meaj yang siap sedia tu pun RM2 sebungkus.

Jadi aku tidak rekomen untuk makan dengan juadah sebagaimana kami sekeluarga rasai. Kalau berkunjung lagipun ( sebab pemandangan cantik ) mungkin makanan lain yang kira order biasa sedap-sedap, aku tidak tahulah. Mungkin sudah nasib kami atau bukan rezeki kami.
Share:

Kesan Sambutan Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina atau Raya Cina ? Menyambut Tahun Baru Cina atau merayakan Raya Cina ? Apa bezanya dengan sambutan tahun baru masehi, apatah lagi Tahun Baru Hijrah. Dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, nampaknya sambutan Tahun Baru Cina menampakkan pengaruh yang semakin meresapi kehidupan masyarakat Malaysia keseluruhannya, khususnya orang Melayu sendiri. Mungkin dah lama ianya berlaku. Bunga api, mercun, limau mandarin dan pemberian duit raya dalam sampul khas adalah sebagai contoh.

Mungkin kuih bakul tu tidak mengikut citarasa atau selera orang Melayu Islam walaupun telah disahkan Halal oleh JAKIM, kalau tidak ….. berbakul-bakullah orang Melayu Islam memakannya. Kalau setakat berkumpul sekeluarga dan makan-makan serta kunjung mengujung di kalangan sanak-saudara itupun merupakan tradisi dalam sambutan Raya Aidil Fitri orang Melayu Islam. Tiada sambutan seumpamanya pada sambutan Tahun Baru Hijrah mahupun Raya Korban. Apa pula hukumnya orang Melayu Islam merayakan Tahun Baru Cina bersama orang Cina ? Apakah Tahun Baru Cina merupakan perayaan agama ? Kalau agama, agama apa pulak ? Buddha …??

Tahun Baru Cina merupakan hari pertama dalam kalendar Cina. Ia disambut di negara dan wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina dan Singapura. Juga dilokasi yang kuat pengaruhnya dengan budaya Cina, khususnya di mana-mana China-Town. Ia melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul untuk makan besar dengan masakan tradisi. Rumah dibersihkan dan dihiasi dengan pokok buah limau, manakala mercun dibakar pada malam hari.

Apa signifikannya mercun, bunga api, buah limau dan pokoknya, yee sang dan kuih bakul kepada orang Cina ketika sambutan tahun baru itu. Golongan muda khususnya yang belum kahwin pula selalunya akan menerima wang ang pau daripada golongan tua yang telah berkeluarga dalam sampul merah. Mengapa pemberian dibuat dan mengapa warna merah ? Di sesetengah tempat di adakan pertunjukan tarian naga atau singa, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.

Sejarah & Mitos
Tidak dapat nak buat penyelidikan lanjut, namun dikatakan ianya bermula beribu tahun dahulu, semasa sistem pemerintahan dinasti di negeri China sejak sebelum Masehi lagi. Daripada segi mitosnya menurut legenda pada zaman dahulu, seekor raksaksa yang dinamakan Nian muncul membuat huru hara setiap menjelang tahun baru Cina, memburu mangsa seperti binatang-binatang liar, burung, serangga dan juga manusia. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan.

Ada juga sehingga dikatakan penduduk akan mengosongkan rumah dan pergi ke tempat lain yang aman untuk menyelamatkan diri. Sehinggalah suatu ketika ada seorang tua yang enggan berpindah, sebaliknya melekatkan riben berwarna merah di luar rumah serta membuat bunyi bising.

Ini membuatkan raksaksa tersebut takut dan beredar ke tempat lain. Bunyi bising tersebut digantikan dengan dentuman bunyi mercun serta bunga api. Perayaan Tahun Baru Cina juga berkaitan dengan kejayaan menghalau raksaksa tersebut.

Pemilihan 12 Binatang
Lagenda juga meriwayatkan bahawa suatu masa dahulu Buddha ( ada juga dikatakan Maharaja Cina ) telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru. Ada juga dikatakan berlumba. Namun hanya 12 binatang sahaja yang sampai mengikut turutan iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan akhir sekali khinzir.

Sebagai penghargaan, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Bagaimana tikus boleh sampai dulu berbanding haiwan lain ? Itu tentunya ada mitos tersendiri selain tikus menang bertanding lumba lari dengan arnab. Ada dikatakan sebab tikus tersebut duduk di hidung lembu yang berada di kedudukan kedua.

Dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Sejauh mana masyarakat lain di Malaysia mempercayainya ? Mungkin itu sebagai mitos, tetapi rasanya ada kisah lain yang sebenarnya.

Sesak Balik Kampung
Apakah ini kesan terbesar yang begitu dirasakan sehingga aku lebih suka duduk di rumah berbanding berjalan-jalan, bercuti atau balik kampong semasa cuti Tahun Baru Cina. Apa taknya, jalan-jalan utama serta lebuhraya ke kampong akan sesak dengan kenderaan balik kampong.

Bukan sahaja bagi kaum cina, kaum lain pun mengambil kesempatan daripada cuti yang agak panjang, sekolah pun ambil cuti peristiwa, kilang pun tutup dan pekerja dipaksakan cuti. Ini menyebabkan timbulnya keperluan mencadangkan jadual giliran selain mengetatkan kawalan keselamatan jalan raya, seperti mana yang dijalankan ketika Aidilfitri supaya kurangnya berlaku kemalangan.

Cina Tutup Kedai, Melayu Susah ?
Memandangkan orang Cina merupakan populasi kaum kedua teramai di Malaysia, sedikit sebanyak sambutannya memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam Melayu. Ketika cuti Tahun Baru Cina, banyak kedai atau kilang milik bangsa Cina akan bercuti sehingga dikatakan orang melayu boleh kebulur jika kedai orang Cina cuti panjang.

Tahun ini timbul pula isu Pasar Borong Selangor cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina. Akibatnya peniaga bangsa lain menjalankan aktivitinya di luar bangunan Pasar Borong Selangor. Pelik juga, padahal tertulis perkataan 24jam sehari. Namun di sesetengah tempat, petang hari pertama Tahun Baru Cina, ada kedai runcit orang Cina dah kembali berniaga atau buka kedai.

Itu sekadar kedai runcit atau pasar, bagaimana dengan bisnes lain seperti spare part kereta, barangan elektrik dan bahan binaan ? Sesetengah tempat mungkin terjejas dan sesetengah tempat lain ada alternatifnya daripada kedai orang melayu atau India. Teringat aku sekiranya cuti perayaan yang melibatkan kaum India yang diketahui memonopoli pengedaran akhbar, terpaksa syarikat akhbar pun cuti mencetak akhbar. Patutnya jika kedai Cina tutup, kedai Melayu kenalah buka. Ini nak cuti jugak ?

Makan Besar
Pada malam Tahun Baru, kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Biasanya diadakan di rumah anggota keluarga yang paling tua. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Ini dikatakan juga sebagai simbol bagi memastikan semua ahli keluarga berada bersama dalam keadaan selamat daripada serangan Nian ?

Dalam adat kita pun, maghrib menjelang raya berkumpul semuanya setelah tiba ke kampong menghadap juadah berbuka puasa yang terakhir. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya tidak akan dimakan habis. Ia sebaliknya disimpan bakinya semalaman dengan maksud semoga ada lebihnya setiap tahun.

Buah Limau Mandarin
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Orang Melayu pun tidak melepaskan peluang mendapatkannnya yang banyak dijual secara kotak dengan harga yang agak murah di pasaraya dan pusat membeli belah. Entah-entah makan lebih banyak dari orang Cina, kerana rasanya pun yang sedap.

Buah ini datang kebanyakkannya ( mungkin semuanya ) dari negeri China yang diimpot memang ikut time musim Tahun Baru Cina. Masa-masa lain tak nampak pun limau mandarin dijual di mana-mana.

Rasanya tak ada masalah untuk umat Islam Melayu makan sebanyak mana, asalkan tidak terikut–ikut dengan keyakinan dan kepercayaan orang Cina. Tetapi apa hukumnya menanam pokok buah limau yang rendang tetapi berbuah lebat sebagaimana dilakukan oleh orang Cina sempena Tahun Baru Cina ?

Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina antaranya ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial. Buah limau mandarin melambangkan kesejahteraan dan kemewahan. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki.

Mercun
Apakah jika umat Islam Melayu bermain mercun, juga bermaksud nak menghalau raksaksa Nian daripada membuat huru-hara mencari pemangsa ? Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru bagi orang Cina dan bagi menghalau puaka serta nasib malang. So, bagaimana umat Islam Melayu ?

Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Ini macam merim buluh yang dimainkan oleh orang melayu Islam ketika musim puasa dan raya. Pada zaman moden sikit, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun.

Mercun ini biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.

Walaupun mercun kini dilarang dijual secara komersial dan terbuka atas sebab-sebab keselamatan, namun ianya tetap dimainkan sama ada semasa Tahun Baru Cina atau pun Hari Raya Aidilfitri. Dari mana mereka dapat ? Secara seludup dari Siam ?

Bunga Api
Bagaimana pula dengan bunga api ? Sama juga dilarang atas faktor keselamatan, walaupun ianya kelihatan cantik dan menarik apabila dimainkan sehingga menjadi acara rasmi dalam sesuatu sambutan atau perasmian event tertentu.

Namun dikatakan kebenaran diberikan pada musim perayaan Tahun Baru Cina, selainnya perlu mendapat kebenaran atau dalam kawalan pihak berkuasa,m seperti dalam sambutan tahun baru masehi serta perasmian beberapa kejohanan sukan di Malaysia.

Untuk menghasilkan bunga api yang menarik serta meriah, tentunya kosnya mahal. Jika tidakpun terpengaruh dengan kepercayaan mengusir roh jahat, apa hukumnya membakar mercun dan bunga api sama ada semasa menyambut hari raya serta dalam majis tertentu ? Apakah boleh dikira membazir seperti membakar duit ?

Angpau
Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian 'angpau' atau sampul merah yang berisi duit. Begitu juga anak anak kita ketika menyambut Aidil Fitri untuk dapat ‘duit raya’. Nampaknya budaya ini juga telah sebati dengan umat Melayu Islam. Cuma warna biasanya bukanlah merah dan hanya kanak-kanak yang selalu menerimanya. Semasa sambutan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin tanpa mengira usia bagi melambangkan nasib baik.

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Benarkah RM isi kandungannya bukan sebarang nilai. Dikatakan jumlah wang yang terkandung lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian. Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial ( kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati ) maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah ( kerana sama bunyinya dengan ‘kaya’ ), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau.

Angpau yang membawa maksud 'Tuah Wang', dengan harapan pemberian ini akan dibalas dengan kemakmuran kepada mereka yang menghulurkan.

Ucapan Gong Xi Fa Chai
Gong Xi Fa Chai diterjemah sebagai ‘Tahniah dan semoga mendapat rezeki’. Ia merupakan ucapan paling popular diucapkan, hatta daripada kalangan bukan Cina kepada orang Cina sebagai tanda begitu dekatnya kesan sambutan perayaan terbesar masyarakat kedua terbesar di negara ini. Cumanya ada yang beranggapan ia bermaksud Selamat tahun baru Cina.

Dua aksara pertama ungkapan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan ucapan tahniah atas kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, selain melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk ( di negara China ). Manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh tenang kaya raya dengan harta benda yang begitu penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia.

Gong Xi Fa Chai adalah sambutan bagi orang Cina dan tidak berkait dengan upacara keagamaan seperti Thaipusam, Deepavali dan Krismas. Kerana itu, tidak menjadi halangan untuk orang Melayu Islam turut meraikan bersama kaum Cina dengan ziarah, kunjungan dan memakan hidangan yang disediakan, asalkan halal.


Share:

Al-Fatehah Untuk Azli Paat

Semasa aku tinggal di Saujana Utama dan berulang alik ke tempat kerjaku di Kuala Lumpur sekitar awal 2000, sambil memandu aku sering mengikuti siaran yang membincangkan tentang perkembangan ICT di Radio Malaysia Kuala Lumpur ( RMKL ) yang dikendalikan bersama Sdra Azli Paat. Kemudian entah mulai bila aku mulai hilang daripada mengikuti celoteh beliau di Radio sehinggalah kepada minggu lalu, aku terkejut apabila mendapat berita tentang kematian beliau pada 6 Februari 2013, pada usia 46 tahun setelah beberapa hari mengidap demam panas.

Azli Paat meninggal dunia pada kira-kira jam 7.00 malam di rumahnya di Bukit Segambut. Namun jenazahnya kemudian dikebumikan di Batu Pahat Johor, atas permintaan arwah sendiri. Baruku tahu beliau orang Kampung Pedada Kuning, Batu Pahat rupanya. Dia dulu sekolah di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan merupakan graduan Sains Komputer dari Universiti Iowa USA ( 1982 ).

Azli Paat merupakan CEO dan juga Founder Syarikat Vista dapat Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2000. Rasanya Azli Paat adalah orang Melayu paling awal berceloteh tentang ilmu IT yang berkumandang di corong radio sejak tahun 90 an. Dari beliau menerangkan apa itu IT, bagaimana nak buka akaun email, bagaimana IT dapat membantu masyarakat berinteraksi dan berbagai topik IT. Mungkin cara penyampaian beliau yang mudah difahami oleh orang ramai ketika itu, beliau semakin diminati, semakin dikenali dan sering menjadi panel diberbagai rancangan IT di berbagai saluran Radio dan TV.

Berdasarkan cara perbulan beliau menerusi radio dan beberapa kali pernah aku lihat di kaca TV, aku kira beliau seorang ‘intelligent’ yang jujur, luhur, ikhlas, ceria dan disenangi ramai. Cara penyampaian khususunya dalam Bahasa Melayu agak mudah difahami berbanding orang lain yang kerana kononnya hendak menampakkan ‘pakar; maka pelbagai istilah dan hal teknikal disebutkan.


Walaupun di mana beliau berada, beliau jarang miss dalam slot yang disediakan di Radio untuknya kerana mengunakan pelbagai teknologi ICT bagi membolehkan beliau terus bersiaran.

Terasa benar akan kehilangannya. Antara pencapaian dan sumbangan besar beliau semasa hayatnya adalah memperkenalkan Kod DAPAT (32728) yang digunakan dalam ribuan perkhidmatan, membangunkan sistem Rakan Cop untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mewujudkan sistem mySMS 15888 dengan pihak kerajaan yang membolehkan pesanan tanpa sempadan antara pelbagai syarikat telekomunikasi untuk perkhidmatan awam di Malaysia.

Beliau baru memperkenalkan produk yang dinamakan 'Adacode', yang membolehkan kandungan dihantar ke emel atau SMS dengan hanya membuat panggilan miscall. Pada majlis Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) 2012, allahyarham Azli Paat menerima anugerah Best of the Best Award daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau juga pernah merangkul anugerah Best of e-Inclusion and e-Community Service, MSC Malaysia APICTA (2009) dan Best of Communications Application, MSC Malaysia APICTA (2007).

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Arwah meninggalkan seorang balu, Dr Fadhilah ( Pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan ) dan 10 orang anak ( 6 lelaki dan 4 perempuan ) yang berusia antara 6 tahun hingga ada yang baru memasuki alam pekerjaan. Diberitakan isterinya hanya menyedari setelah mendapati arwah tidak bernafas lagi sebaik pulang ke rumah dari menjemput anak-anak pulang dari sekolah.

Dunia IT negara kehilangan seorang tokoh keusahawanan, pakar inovasi dan pakar teknologi maklumat. Beliau telah membawakan pelbagai inovasi dalam dunia IT dan kandungan mudah-alih di Malaysia. Moga ilmu yang disampaikan arwah menjadi penyuluh beliau di alam barzah sana. Semoga Allah s.w.t menempatkan roh arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan golongan solehin.

Al-Fatehah.
Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah