Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Jika Masa Lalu Bisa Diputar Kembali ..

10 Februari 2019 : Singgah sekadar nak ambil gambar.

Kenangan Kembara Korban Kemboja 2019

Berpeluang Menyembelih Sendiri Lembu Korban ..

Singgah ambil angin segar

2 Februari 2019 ...

Tugasan Baru penghujung 2019

Balik2 cuti panjang, dapat tugasan baru musim2 tengkujoh ni ..

Ronda-ronda Dataran Putra, Putrajaya

Sekali-sekala ambil angin malam.

Yang Menjengkelkan Di Surau Masjid

Ke surau atau masjid untuk solat berjemaah atas tuntutan serta syiar selain mengharapkan kesempurnaan solat serta lipat gandaan pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. Jika solat kita tidak sempurna, tidak khusyuk, mungkin dapat ditampung oleh orang lain yang lebih baik solatnya daripada kita. Itulah sebagaimana dikhabarkan oleh tok-tok guru dan para ustaz. Malah terdapat ancaman bagi mereka yang tidak solat di surau masjid sekiranya kedengaran azan dilaungkan kediaman kita.

Upgrade sikit, apakah sekadar datang saja solat, ikut imam berwirid dan kemudian balik. Tak tunggu tazkirah atau kuliah-kuliah yang disampaikan oleh para ustaz atau penceramah. Namun apabila ke surau masjid, sering kelihatan suasana yang agak serabut serta menjengkelkan mata memandang. Ini yang aku nak coretkan sedikit berdasarkan apa yang aku tahu dan maaf atau tegurlah kalau tersilap daripada segi nas, hadis dan al-Qur’an.

Shaf Tidak Lurus
Pertamanya tentang shaf yang Lurus. Ia adalah perkara terpenting dalam kesempurnaan solat berjemaah. Jika tidak sempurna, maka kuranglah pahala berjemaah, agaknya. Ingatan imam sama ada dalam bahasa melayu atau arab sebelum solat untuk meluruskan shaf berlalu begitu sahaja. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Shaf masih tetapi tidak lurus.

Tidak kiralah sama ada yang datang solat tu pengunjung tetap, pengunjung bermusim, berjubah serban, bersamping songkok atau berpakaian t-shirt jean sahaja. Malahan kekadanag pak Imam pun dua kali lima apabila mereka jadi makmum. Patutpun shaf tak pernah lurus.

Terlampau khusyuk sangat kot sampai tidak menghiraukan orang di kiri kanan untuk membentuk shaf yang lurus. Apakah ini juga menjadi lambang ketidaksepaduan umat Islam ketika ini.

Corak Garisan Shaf Yang Mengelirukan
Atau mungkin makmum memerlukan panduan, bagaimana saf yang lurus. Sering ada garisan dengan berbagai corak di kebanyakan lantai ruang solat di surau masjid sekarang. Namun ianya sekadar hiasan sahaja dan tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk membentuk saf yang lurus.

Apakah tidak tahu bagaimana menggunakan garisan tersebut, degil, sombong atau sudah terlalu khusyuk. Atau nak salahkan corak garisan yang tidak jelas ? Imam Masjid Besi Putrajaya sering mengingatkan sebelum solat, masalah saf sebenarnya adalah masalah hati. Betullah masalah hati. Tetapi hati mesti berpandu.

Asas pembinaan adalah samakan tumit kaki dengan bahagian belakang garisan atau sesuatu yang berbentuk garisan di permukaan permaidani ruang solat. Tak kira sama ada kaki panjang atau pendek, yang penting tumit kaki. Selalunya jarak antara hujung dua garisan adalah 4 kaki.

Jika berpegang kepada panduan ini, makmum yang masbuk pun boleh mudah menyambung shaf, tanpa menunggu makmum lain bangkit semuala. Atau masih tidak tahu apa yang dinamakan garisan ? Lihat contoh-contoh permaidani surau seperti berikut ....

Macamana ? Ada juga jenis orang yang tidak tetap kakinya. Selepas bangkit rekaat pertama, tumit kebelakang garisan. Rekaat ke dua lagi kebelakang ... Nasib baik maksimum 4 sahaja.

Berjabat Tangan Sebelum Solat
Mengapa perlu berjabat tangan dengan makmum di sebelah kiri dan kanan sebelum solat berjemaah. Bukankah ini boleh mengganggu kita atau mereka yang sedang bersiap-siap memberikan fokus untuk ‘memisahkan’ diri dengan duniawi ?

Kebiasaan serta adat kita di Malaysia, lepas selesai wirid dan doa barulah bersalaman dan berjabat tangan. Maknanya setelah selesai urusan dengan Allah. Walaupun ini masih dipertikaikan yang dikaitkan juga dengan bida’ah. Kalau nak menanamkan sifat ukhuwah sesama Islam dengan bersalaman, bilakah sepatutnya dilakukan. Sebelum solat atau selepas solat ? Kalau nak juga bersalaman sebelum solat, salamlah sebelum menuju kepada shaf.

Setelah selesai solat yang barangkali Allah s.w.t mengampunkan dosa kita, bersalamanlah antara muslimin dan mengambil pengajaran dari hadis Rasullullah s.a.w yang bermasksud, ‘Tiada seorang Muslim yang bersalaman antara keduanya, kecuali Allah akan mengampunkan keduanya sebelum ia berpisa’" ( Riwayat Abu Daud, Tirmidzi , Hadith Hasan)

Lintas Depan Orang Sedang Solat
Sama ada sebab tidak sabar nak keluar dari surau masjid, atau ada urusan penting atau hajat kena pastikan tidak melintas depan orang lain yang sedang solat. Sebabnya ? Dosa kesalahannya ?

Maksud hadith, ‘Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.’ ( H.R Bukhari dan Muslim ) Namun ianya sering berlaku. Pakai redah sahaja.

Imam Maghrib Baca Surah Panjang Sedangkan Ada Kuliah Maghrib Selepas Solat
Baca surah panjang atau wirid panjang. Nak tunjuk kemampuan boleh baca surah yang panjang ? Maklumlah selain kepada penceramah mungkin nak show kepada ramai jemaah yang hadir nak dengar kuliah maghrib.

Berilah peluang seluas-luasnya kepada penceramah dalam memberikan ilmu dan peringatan tentang agama kita. Lainlah kalau penceramah tu lajak terus memberikan kuliahnya walaupun telah masuk waktu isyak.

Pak Imam Baca Panjang Masa Solat Jumaat
Pak Imam tengok-tengoklah. Kalau makmum melimpah ruah sampai berpanas berhujan di luar surau Jumaat atau masjid bacalah surah yang pendek-pendek sahaja. Tidak kiralah sama ada pak Imam merupakan seorang hafiz atau qari wakil daerah atau negeri.

Janganlah pulak nak bertaranum dengan ayat atau surah yang panjang-panjang. Nanti ada yang pitam susah. Sudahlah sebelum ini mendengar khutbah dalam keadaan yang sama.

Makmum Sujud Lama
Tahulah yang masa sujud tu dikatakan saat ketika paling dekat dengan Allah s.w.t. Jadi kesempatan tersebut diambil untuk berdoa panjang sikit agar lebih diterima Allah s.w.t. Namun apakah perlu dilakukan ketika solat berjemaah. Orang lain telah bangkit, kita masih sujud lagi.

Ini boleh menimbulkan perasaan kurang selsesa atau tertanya-tanya bagi makmum sebelah. Berjemaahkan kena ikut Imam. Kalau nak sujud panjang tu, buatlah ketika solat di rumah atau ketika solat-solat sunat bersendirian yang lain. Macam nak menunjuk-nunjuk pulak. Entah-entah kalau kat rumah, tumakninah pun takde ... ???

Baca Surah Sajadah Suboh Jumaat
Tidak dinafikan ianya sunat sebagaimana sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun ianya bukanlah yang wajib atau sunat yang teramat dituntut. Kekadang tu, selagi tidak datang imam yang boleh baca surah Sajadah pada Suboh Jumaat, selagi itulah solat tidak akan dimulakan. Bila makmum saling menolak antara satu sama lain untuk menjadi imam, memasing enggan dengan alas an, ‘Saya tak hafal surah al-Sajadah’.

Malah pernah berlaku imam yang sedang membaca surah al-Sajadah tersangkut di tengah-tengah atau penghujung sebelum sujud dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya, Imam mengulangi semula surah al-Sajadah dari awal sekali lagi.

Imam Baca Panjang Dan Terlupa
Yealah dia ustaz, atau hafiz al-Quran, takkan nak baca surah-surah lazim dalam Juzuk Amma saja. Apa kelas kan ? Maka dibacalah yang panjang panjang atau petikan tengah-tengah surah. Aku lebih selesa kalau imam baca surah yang lengkap, atau sekurang-kurangnya dari ayat pertama surah yang panjang-panjang.

Kalau Imam nak baca panjang pun biarlah restu pihak surau masjid seperti sempena Ramadhan, di pusat tahfiz al-quran atau di belakangnya ada juga para hafiz. Sekurang-kurangnya jika tersangkut, tidaklah resah orang dibelakang untuk menegur membetulkannya. Kekadang yang nak menegur tu berada jauh di saf ketiga atau ke empat.

Malah berlaku imam yang terpaksa ulang surah yang sama walaupun beberapakali tersangkut bacaannya disebabkan lupa. Aduh ... Batal ke solat kalau tukar bacaan kepada surah lain ?

Imam Baca Surah Al-Qadar
Tapi kalau baca surah pendek, aku cukup tidak selesa kalau imam baca surah Al-Qadar ketika bulan selain Ramadhan.

Tahu ke maksud surah al-Qadar tu ? Untuk apa diperingatkan tentang kelebihan Lailatur Qadar di luar Ramadhan ? Teringat Ramadhan atau tak sabar nak jumpa Ramadhan lagi ? Banyak surah lain boleh dibaca.

Berbual Atau BerSMS Semasa Khutbah Jumaat Dibaca
Jika berbual atau berkata-kata memang ada hadis direct mengingatkannya. Sering kelihatan yang sedang dalam perjalanan diperkarangan surau Jumaat dan masjid, masih rancak berbual sedangkan khatib sedang berkhutbah.

Bukan setakat bercakap-cakap sahaja yang dilarang, membaca al-Quran pun tidak digalakkan. Malah menjawab salam dan mengucap Tashmit keatas orang yang bersin pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang berkhutbah.

Tidak dinafikan sekarang, penggunaan gadjet seperti smartphone yang meluas. Masing-masing nak sentiasa get connected bagi membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan serta perhubungan sesame keluarga atau sedara mara. Namun tumpuan kena diberikan kepada khatib yang sedang berkhutbah, walaupun menggunakan bahasa yang tidak kita fahami. Inikah pula jika berSMS atau berwasap mengenai hal keduniaan ?

Yang melalaikan adalah tercela, sama ada juga seperti tulis surat, main anak kunci atau melayari internet/facebook. Berilah masa kejap untuk dengar khutbah. Tak boleh kah tunggu atau tahan-tahan sikit ?

Solat Sendiri-Sendiri di RnR
Bukan setakat di RnR, kalau singgah disurau masjid ketika bermusafir pun sama juga. Kekadang tu memang sukar nak membina solat berjemaah. Malahan pernah aku terlihat ‘pakar motivasi islamik’ pun gagal. Hanya berani dan bersemangat ketika dalam bilik kuliah atau seminar sahaja.

Isunya mungkin tidak benar-benar faham, ragu atau tidak yakin bagaimana sepatutnya dilakukan. Nak qasar takut yang nak dijadikan imam solat penuh atau takut jadi imam. Akibatnya memasing membawa haluan memasing. Hodoh sangat terasa apabila mata melihatnya. Kalau bersorak bola masuk gol boleh bersatu pulak.

Wanita Keseorangan Ke Surau Masjid
Dibimbangi menimbulkan fitnah. Atau sekurang-kurangnya menimbulkan tanda tanya kepada jemaah lelaki yang ke surau masjid. Mengapa dia keseorangan ? Masih bujang lagi ke ? Rajinnya dia, sudah berpunya ke ? Mana suaminya ? Dalam surau masjid memang berasingan ruang solat, tetapi masa keluar masuk surau masjid ?

Bukankah lebih baik solat di rumah daripada nak mendapat kelebihan 27 kali gandaan pahala atau darjat ? Kalau teringin sangat, bawalah teman semahram sejantina. Atau solat jemaah sahaj dengan kawan sejantina tersebut di rumah. Kalau pergi melancung atau shopping boleh bersama, mengapa tidak diajak sama semasa ke surau masjid ? Kawannya period kot ?

Ada lagi ?
Memang ada lagi, cerite lain kali kot. Yang bawak anak tapi sama ada tidak boleh berenggang atau gagal mengawal kelincahan pergerakannya. Tidak boleh berenggang sehingga berada di celahan shaf dan memutuskan shaf. Berlari-lari dicelahan atau lorong shaf atau membuat bising.

Memang niat bagus untuk 'mengajar' anak, tapi kalau sehingga boleh menimbulkan suasana yang mengganggu jemaah lain, mana lebih berat dosanya ? Maaflah kalau apa yang dicoretkan ini tak betul atau dianggap terlalu remah. Kelemahan diri sendiri.

Bacaan Cadangan
1. Sempurnkanlah Solatmu : 400 Kesalahan Dalam Solat, Mahmud Al-Misri, Al-Hidayah Publisher, 2014
2. Panduan Lengkap : ormula Solat Sempurna, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Telaga Biru, 2012
3. Indahnya Solat Berjemaah, Ustaz Mohd Haidzir Hussin, Telaga Biru, 2014
Share:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah