Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Kendatipun sekadar catatan peribadi, mana yang baik jadikanlah pengajaran. Mana yang kurang sesuai jadikanlah sempadan. Dalam kehidupan ini, ada saat manis, saat pahit, indah, muram, genting dan gembira. Semoga Allah memberkati hidup kita.

Tafsir Surah Ke 113 : Al-Falaq ( Waktu Suboh )

Surat Al-Falaq terdiri daripada 5 ayat dan termasuk dalam golongan Surah Makkiyah ( diturunkan sebelum Hijrah Rasulullah s.a.w ). Surah ini diturunkan bersama dengan Surah An-Nas ( Surah Ke-114 ) dan keduanya disebut sebagai Surah Mu’awwidzatain yang mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai amalan bagi setiap Muslim.

Terjemahannya

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1
 وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِفِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3
(وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,
2. dari kejahatan makhluk-Nya,
3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,
4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,
5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.
Sebab-Sebab Turun ( Asbabun Nuzul )
Ibnu Abbas menyatakan suatau hari Rasulullah s.a.w mengalami sakit tenat. Lalu dua malaikat datang kepadanya. Satu duduk berjampiran kepala dan sati lagi di sii kakinya. Malaikat yang berada di sisi kaki berkata, “Apa yang engkau nampak”, Jawab Malaikat yang berada di kepala, “Guna-guna”. Bertanya lagi, “Apa itu guna-guna ?”,

Lalu di jawab, “Guna-guna itu adalah sihir”. Lalu ditanya lagi, “Sihir siapa ?, dijawabnya “Sihir kepunyaan Labid bin A’sim al-Yahudi. Ditanya lagi, “Di mana ia ? “. Dijawab pula, “Di perigi keluarga fulan, di bawah batu, dalam perigi itu. Pergi ke sana dan perintahkan mereka bagi menimba keluar airnya dan angkat batunya serta ambil gulungan itu, lalu di bakar”.

Keesokan harinya Rasulullah s.a.w mengutus Ammar bin Yasir dengan beberapa orang pergi ke perigi itu. Apabila sampai, mereka didapati airnya merah seperti air inai. Mereka pun menimba keluar airnya, kemudian mengangkat batunya serta mengambil gulungan di bawah batu. Terdapat 11 simpulan benang. Lalu diturunkan ayat dari dua surat, iaitu an-Nas dan al-Falaq. dan setiap kali ayat dibaca, satu demi satu simpulan benang itu terbuka.

Tafsir Ayat Pertama

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,

Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk meminta perlindungan kepada-Nya sebagaimana pada awal Surah al-Falaq dan an-Nas. Perintah untuk Rasulullah s.a.w berarti juga perintah untuk umatnya.

Yang Menguasai suboh adalah Allah. Allah tempat kita berlindung. Kita diperintahkan untuk berlindung dengan Allah agar terlepas daripada sebarang bahaya di hadapan kita yang kita sendiri mungkin tidak tahu dan tidak menyangka bermula sebaik waktu suboh iaitu masa pergantian siang dan malam. Allah juga yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.

Memohon perlindungan daripada Allah merupakan suatu ibadah. Memohon perlindungan kepada selain Allah boleh menjerumuskan diri kepada perbuatan syirik.

Tafsir Ayat Kedua

مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

2. dari kejahatan makhluk-Nya,

Berlindung daripada kejahatan atau musibah daripada seluruh mahluk ciptaan Allah, termasuklah seperti manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, lautan yang luas, gempa bumi, hujan, taufan dan tsunami. Maksud ayat ini juga termasuk meminta perlindungan pada diri sendiri, iaitu nafsu daripada menguasai diri.

Tafsir Ayat Ketiga

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita,

Keadaan malam yang gelap memang menakutkan lantaran di sebalik kegelapan, kemungkinan ada sesuatu yang tidak menyenangkan, tidak diingini dan tidak diduga boleh berlaku. Malam harilah syaitan, manusia dan haiwan suka berbuat kerosakan. Pencuri dan perompak giat beroperasi malam hari. Keghairahan nafsu yang timbul dalam kegelapan semasa seseorang itu kesunyian di tengah malam, sehingga sanggup keluar ke tempat maksiat dan mencari hiburan seperti di Kelab-Kelab Malam atau perjudian.

Binatang berbisa pun seperti ular, kala jengking dan lipan sering keluar waktu malam. Sedang kita nyenyak tidur malam hari, siapalah yang memelihara kita daripada sebarang mara bahaya, kalau tidak Allah ? Kepada Allah sahajalah kita meminta perlindungan dari sebarang kejahatan malam hari.

Tafsir Ayat Keempat

وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,

Walaupun disebutkan diri memohon perlindungan daripada tukang sihir wanita, namun banyak tafsir menyebutkan bahawa ianya juga mencakupi tukang sihir lelaki. Hanya pada ketika dulu, umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita.

Perbuatan menghembus kepada buhul atau simpulan tali adalah tindakan kebiasaan bagi tukang sihir dalam membaca jampi mentera. Maksud di sini ialah mohon berlindung daripada terkena sihir.

Tafsir Ayat Kelima

مِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.

Allah menutup surat ini dengan hasad, sebagai peringatan bahayanya perkara ini. Hasad dengki mula berlaku di langit apabila iblis dengki terhadap penciptaan Nabi Adam. Manakala akibat dengki juga dosa yang mula dibuat atas bumi, iaitu dengki Qabil terhadap Habil.

Hasad adalah berangan-angan hilangnya nikmat baik yang ada pada orang lain agar pindah kepada diri kita. Dengki adalah suatu perbuatan jahat, dendam seorang terhadap orang lain yang menerima nikmat Allah. Ini diiringi dengan keinginan kuat untuk menghapuskan nikmat yang diterima oleh orang itu, dengan melakukan kejahatan terhadap orang yang didengkinya, yang mungkin dilakukan juga dengan tindakan secara fizikal.

Sebagai jalan keluarnya,
a. Bertawakkal pada Allah, iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan.

b. Membaca wirid-wirid atau zikir-zikir yang dapat membentengi dan menjaga dari segala macam kejahatan. Ini yang banyak dilupakan manusia, sama ada waktu pagi, petang dan hendak tidur sedangkan zikir tersebut mudah dihafal atau dibaca.
 

Hubungan Surah al-Falaq dengan Surah an-Nas

Surah al-Falaq dan Surah an-Nas, sama-sama mengajarkan kepada manusia hanya kepada Allah untuk menyerahkan perlindungan diri dari segala kejahatan. 


Surah al-Falaq memerintahkan kita untuk memohon perlindungan dari segala bentuk kejahatan, sedang Surah an-Nas memerintahkan untuk memohon perlindungan secara spesifiknya daripada jin dan manusia.

Fadhilat
a. Surah Pendinding ( Perlindungan )
Gabungan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas yang dipanggil surah Mu’awwidzatain merupakan pendinding terbaik. Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Ingatkanlah dan perhatikanlah, aku ajarkan kalian tentang meminta perlindungan yang paling ampuh”. Ibu Abbas menjawab, “Baik Ya Rasulullah”. Baginda berkata iaitu “Qul’audzu birabbilfalak dan Qul’audzu birabbin Nas”. ( H.R Ahmad )

b. Membacanya Selepas Solat
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku, “Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas merupakan 3 surah yang digunakan untuk memohon perlindungan denganNya. Sesungguhnya tidak dipohon perlindungan ( kepada Allah s.w.t dengan tanpa melalui perantaraan ) seperti ketiga-tiga surah ini, Bacalah surah-surah al-Muawwizat ini setiap kali selepas solat 5 waktu”, lalu Rasulullah s.a.w pun menyebutkan surah-surah al-Mu’awwizat itu ( H.R Ahmad, Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )

c. Baca Sebelum Tidur
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Aisyah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila menuju ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengumpulkan kedua tapak tangannya, kemudian menghembuskan kepada keduanya lalu membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah An-Nas, dan menyapu kedua belah tangannya itu ke kepala, muka dan bahagian depan tubuhnya. Hal ini dilakukannya sebanyak tiga kali.

d. Penawar Gigitan Serangga
Sayyidiah’ Ali r.a. menerangkan bahawa pernah Rasulullah s.a.w. digigit kala, kemudian baginda mengambil air garam. Dibacakan Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu disapukan pada anggota badan yang digigit kala tadi.

Rumusan
Allah memerintahkan kepada kita untuk berlindung kepada-Nya dari malam apabila gelap gelita, dari sihir yang ditiupkan pada buhul-buhul dan dari orang yang hasad apabila dia hasad. Ini adalah kerana ketiga-tiga hal ini adalah perkara yang samar.

Banyak kejadian pada malam hari yang samar yang dapat memberikan bahaya kepada kita. Begitu juga sihir adalah suatu hal yang samar, jarang kita ketahui. Begitu juga hasad dari orang lain, itu adalah hal yang samar. Ketiga-tiga kejahatan ini masuk pada keumuman ayat kedua.

Sumber Rujukan
1. Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran Juz Ke-30, Sayyid Qutb, Perniagaan Jahabersa, 2010, ms 479-504
2. Tafsir Al-Azhar Juzu’ 30, Prof Dr Hamka, Yayasan Latimonjong, 1984, ms 281-292
3. Asbabun Nuzul, Zulkifli Yusoff & Muhammad Mukhlis, PTS, 2012, 872-873
4. 13 Kejaiban Amalan Surah-Surah Pilihan, Fadzli Nuruddin Mohamad, Pustaka Ilmuan, 2010, ms 89-94
5. Amalan Sunnah Selepas Solat & Kelebihannya, Muhammad Subki & Mohd Rifqi, Telaga Biru, 2012, ms 126-127



Nota : Sekadar perkongsian, merupakan teks persediaan untukku dalam pengisian Usrah Penduduk P14B
Share:

0 Komen:

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.