Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Perjalanan Haji - Solat Jumaat & Rutin Harian

Hari 17 ( Jumaat 6 Nov / 18 Zulkaedah )

Bangkit awal pagi untuk umrah kali ke-7. Terkejut pulak pagi ini sebab tambang van yang dikenakan cuma SR5. Selalunya SR10. Rupanya memang lazimnya SR 5 sahaja. Tawaf dan saie lancar sahaja, 3.45 pagi selesai. Tetapi selepas tawaf, kali ini kami dapat solat dekat pintu Kaabah, berhampiran Multazam.

Nampak ada ruang kami terus masuk. Puas hati dapat solat di situ, kami tak masuk ke Hijir Ismail, lagipun nampak sesak sikit.

Solat Jumaat
Ke MH awal sikit untuk solat Jumaat. Isteriku tidak ikut sebab ada Kuliah Agaa Permasalahan Wanita. Jalan masuk berhampiran MH awal lagi telah ditutup daripada kenderaan masuk.

Jemaah wanita tetap ramai seperti solat zuhor biasa, malahan bercampur juga seperti biasa. Entahlah, agaknya kat negara masing-masing mereka solat Jumaat macam itu juga ke ? Pening aku melihat percampuran jemaah lelaki dan wanita ni. Walaupun panas terik, aku duduk di lantai kaabah.

Aku lindungi muka ku daripada kepanasan dengan tanganku. Sesekali-sekala, orang sebelahku entah kenapa berdiri, mungkin telah jemu dudul atau nak regangkan otot. Apabila berditr, menjadikan teduh wajahku daripada cahaya matahari. Tetapi sekali sekala ditiup angir, terasa nyamannya. Walaupun tidak faham khutbah yang dibaca, namun tetap berhasrat untuk mendengar kerana sedap bunyinya.

Tidak langsung rasa mengantuk, malahan tidak ramai yang tertidur semasa khutbah dibacakan, berbanding di negarta kita. Terasa aku cuba memahami, mungkin berkisar fadhilat dan hikmah haji. Semasa berdoa, agak mendayu-dayu sambil khatib menangis-nangis, begitu juga orang sebelahku.

Masa nak masuk asar, aku duduk sebelah dengan orang Malaysia jemaah KT12, tetapi mengerjakan Haji Qiran. Mak oi … patutlah berpakaian ihram, ingatkan nak buat umrah. Haji Qiran bermaksud mengerjakan haji bersekali atau serentak dengan umrah. Jadi mereka bermiqat dengan pakaianihram ketika masuk sebelum Mekah di Bir Ali . Bayangkan hari ini baru 15 Zulkaedah. Ada hampir sebulan lagi baru boleh tanggalkan ihram dan lepas 13 pantang larang, iaitu selepas haji selesai dilaksanakan. Aku salute dengan orang yang macam ini

Lepas solat asar, aku baca Mathurat di Bukit Marwah, sambil memerhati gelagat orang bersaie.

Kemudian naik ke bumbung atau tingkat atas sekali. Sekali lagi aku serta orang ramai, menikmati pemandangan dan pergerakan orang tawaf mengelilingi Kaabah.

Aku perhatikan sekitar Hajarul Aswad, memang terasa rumit untuk aku memasukkinya. Sesak dan berak-asak. Aku lihat pihak polis terpaksa berkeras dan berkasar untuk clearkan kawasan Hajarul Aswad ketika hampir masuk maghrib. Salah seorang polis yang nampak gempal sikit badannya, memelok bingkai perak Hajarul Aswad bagi menghalang orang ramai yang masih berdegil hendak masuk mencium Hajarul Aswad.

Jemaah semakin ramai di atas bumbung apabila mengetahui ianya dibuka dibuka,dengan pembukaan pintu untuk naik ke atas.

Sebaik solat Isyak, aku menerpa ke hadapan untuk mengambil gambar bagaimana rupa susudan saf yang mengelilingi Kaabah. Memang kelihatan agak menarik saf membulati Kaabah.

Tetapi selain dapat menikmati pemandangan menarik di sekitar Kaabah daripada atas, keadaan di atas agak sejuk berbanding tingkat 1 yang masih berbahang walaupun semasa solat maghrib. Entah macamana sistem ventilationnya, mungkin belum siap lagi ?

Hari 18 ( Sabtu 7 Nov / 19 Zulkaedah )

Bangkit awal untuk qiamullail ke MH 2.30 pagi. Hari ini rehat, tidak mengerjakan umrah setelah target 7 dicapai. Tadi di MH tidak berapa tenang, orang bersebelahanku asyik berborak pepagi buta, bukan terganggu kerana mengaji atau mengatib. Itu yang pentingnya ilmu bagaimana mengisi masa dengan ibadah, bukan sekadar datang awal sebab hendak dapat tempat dalam saf di hadapan Kaabah.

Rutin Harian
Mungkin berbeza sikit rutin harianku di Mekah dengan semasa di Madinah, lantaran jarak yang agak jauh dengan MH. Selalunya bangkit awal pagi. Kalau tidak melaksanakan ke Tanaim bagi melaksanakan umrah, aku terus ke MH. Qiamullail dan mengaji sehingga solat suboh. Then baca Al-Mathurat dan sambung mengaji sehingga masuk waktu Duha. Lepas solat Dhuha baru balik hotel.

Sampai hotel, sarapan pagi dengan apa yang sempat, sama ada di kafetaria atau dibilik. Belilah apa yang patut dalam perjalanan balik. Tetapi aku yang jarang makan mee segera, macam menjadi ketagih pulak di Mekah nie. Mungkin sebab tengok orang lain makam macam sedap aje, lalu akupun ikut sama. Mee segera sini banyak jenama Indon, tetapi dikilangkan di Saudi Arabia.

Lepas sarapan, berehat, basuh baju or tidur. Kekira jam 11.00 mula ke MH untuk solat zuhor. Lepas solat zuhor balik ke hotel untuk makan tengahari dan ke MH semula jam 2.30 petang untuk solat asar. Terus berada di hotel sehingga solat isyak, baru pulang ke hotel untuk makan malam. Lepas makan kekira jam 9.30 dah mula masuk tidur.

Ulang alik ke MH sehari 3 kali. 800m X 6 = 4,800m. Kekiranya satu hari perjalanan dengan berjalan kaki 5km … fuh !!! Kuruslah badan. Kukira walaupun mungkin aku banyak makan, tetapi berbaloi dengan tenaga yang aku gunakan setiap hari.

Aurat Jemaah Wanita India
Berbanding dengan jemaah Indonesia yang agak muda-muda, jemaah India kelihatan ramai yang tua-tua serta agak dhaif sikit. Mungkin taraf hidup disana, dah seusia begitulahlah baru cukup wang untuk belanja mengerjakan haji. Tapi yang sedihnya daripada segi pakaian, khususnya bagi wanita.

Apakah mazhab mereka membenarkan begitu aurat wanitanya. Rambut kekadang terjojol keluar daripada selendang yang pakai lilit kepala sahaja tanpa scarf. Malah seluarnya menutup setakat paras buku lali sahaja. Begitulah juga keadaan mereka ketika solat.

Petang tadi seorang lelaki arab menegur seorang wanita India untuk membetulkan rambutnya yang terkeluar daripada selendangnya.
Share:

Perjalanan Haji - Gelagat Tawaf & Saie

Hari 15 ( Rabu 4 Nov / 16 Zulkaedah )

Bangun 12.30 malam untuk Ke Tanaim bagi mengerjakan umrah kali ke-5. Plan sebab nak cuba masuk solat di Hijir Ismail selepas tawaf, sebagaimana di sunatkan. Satu van dengan group orang yang baru pertama kali umrah dari Tanaim. Alamak, lama menunggu sebab ada yang siap berborak-borak panjang pulak di Masjid Tanaim.

Terkejut apabila sampai di MH, kain kelambu kaabah telah terselak. Kain putih di sebalik kelambu yang hitam terselak ke atas, nampak sexy pulak .. ops !! Kenapa ini dilakukan. Adakah takut kotor kerana tangisan jemaah yang bergayut di bawahnya. Memang saban waktu, sentiasa ada yang bergayut dan menekapkan muka ke kelambu sambil meratap di keliling kaabah. Atau takut ada yang memotongnya untuk dijadikan kenang-kenangan ?

Namun, alhamdulillah. Mula tawaf jam 2.00 pagi dan aku dan isteri dapat masuk dan solat di Hijir Ismail dengan tenang sebab orang tidak begitu ramai untuk berasak-asak. Target tercapai. Isteriku pun dapat menyentuh kaabah. Saie pun lancar, selesai jam 3.45 pagi. Aku teruskan dengan qiamullail. Ketika hampir masuk waktu suboh, masih ramai jemaah wanita yang terkial-kial mahu keluar dari kumpulan tawaf. Entahlah…

Memang jemaah sudah semakin ramai. Ini jelas kelihatan selepas solat suboh. Suasana di lantai Kaabah mulai sibuk dan sesak. Begitujuga di tempat saie. Tetapi agak mengantuk lepas solat suboh. Balik ke hotel terus tidur, tak sempat sarapan. Roomateku pergi ke Tanaim untuk umrah lepas suboh pun kat mudah sebab time 7 hingga 8 pagi, orang kurang kerana sibuk dengan sarapan pagi or sambung tidur !!

Ramai yang mengerjakan tawaf di tingkat satu. Jaraknya memang jauh berganda berbanding dengan di lantai. Aku rasa satu pusingan mahu 1 km. Tapi orang Turki yang ramai. Gagah sungguh mereka walaupun kelihatan sudah berusia lebih tua berbanding aku. tetapi mungkin di sini lebih selesa sebab orang tidak berasakan.

Tapi yang aku musykil ialah tersebut tidak 100% menjadikan kaabah betul-betul berada di bahu kiri, khususnya apabila selekoh. Entahlah, takkan pihak Masjid or Kerajaan tidak sedar perkara ini. Tentu ada fatwanya. Atau mungkin berbalik kepada persoalan asalku sebelum ini, asalkan kaabah ada sebelah kiri sudahlah.

Lepas Isyak, dalam perjalanan balik, aku singgah lihat-lihat ke dalam kedai yang terdapat dikiri dan kanan jalan. Kiranya 'tawaf kedai' lah namanya. Kedai-kedai ini kebanyakkannya sampai pukol 11.00malam dia orang buka. Tetapi ada yang 24 jam, sebab ketika gi Umrah, nampak kedai tersebut telah dibuka.

Hari 16 ( Khamis 5 Nov / 17 Zulkaedah )

Bangun 12.30 malam untuk Ke Tanaim bagi mengerjakan umrah kali ke-6. Terkejut apabila pemandu van nak kenakan caj SR 100 untuk aku dan isteriku ke Tanaim. Giler !! Aku tunggu sekejap dan alhamdulillah, beberapa jemaah yang nak kerjakan umrah pun tiba dan dapat kumpul 12 orang dalam satu van itu. Di Tanaim, kelihatan remaja dan kanak-kanak sekolah bermain-main serta lepak tepi masjid, tak sekolah ke mereka esok ? Budaya lepak ini memang sudah global ke ? Atau Malaysia yang ketinggalan ..

Alhamdulillah seperti semalam, pekerjaan tawaf dan sai kami lancar. Malah aku dan isteri dapat masuk dan solat di Hijir Ismail lagi dengan tenang. Aku rasa lebih selesa tidak beribtiba ( menunjukkan atau mendedahkan sebahagian bahu kanan ketika memakai ihram ) semasa tawaf. Rimas apabila ada tangan-tangan yang menyinggah atas bahu yang terdedah tu, tak kiralah sama ada lelaki atau pompuan.

Gelagat Bersaie
Masa saie, group afrika seperti bernasyid sambil berdoa atau berzikir. Buka group afrika sahaja, jemaah Turki dan Indon pun banyak. Ini betul-betul mengganggu kosentrasi orang lain.

Pelbagai gelagat orang bertawaf. Ada ke jemaah wanita turut berlari anak antara lampu hijau, sedangkan disunatkan untuk lelaki sahaja. Yang disunatkan ialah berlari anak untuk memperbanyakkan langkah, bukan lari macam sprinter 100m.

Ada tu pulak, mula terlondeh pakaian ihram. Si wanita pulak, tak semestinya putih. Tapi berfesyen-fesyen pulak. Memang bukan kesalahan asalkan menutup aurat serta tidak berwangi-wangian.

Selesai saie jam 3.45 pagi, teruskan dengan qiamullail. Balik hotel semua roomate tiada, pergi umrah selepas suboh. Aku sambung tidur saja. Roomate balik sebelum zuhor.

Gelagat Bertawaf
Masa nak asar aku terlewat sikit ke MH, tapi alhamdulillah sempat dapat sampai ke lantai Kaabah. Lepas solat asar, aku lakukan tawaf sunat untuk kali ke-2. Aku kira dapat ku perhatikan beberapa gelagat orang melaksanakan tawaf. Ada yang berangkai-rangkai dengan berpegangan tangan memanjang ke belakang. Mungkin tujuannya supaya tidak terpisah dengan kumpulannya. Persoalannya bahu sudah lagi tidak ke mengiri ke kaabah. Lagipun kaedah ini menghalang orang lain.

Ada yang Istilam, mengucup tangan semasa bertentangan dengan Rukun Yamani. Yang aku dikursuskan serta ikut buku THP, patutnya sekadar lambai tangan sambil bertakbir. Ada pulak sibapa yang mendokong anak, malah ada yang memakai kopiah semasa memakai ihram. Mungkin telah habis bertahallul dan cuma laksanakan tawaf sunat. Mana boleh tutup kepala bagi lelaki semasa berihram, kena dam !!!

Ada juga yang saling berpegangan tangan lelaki dan wanita. Entah mahramnya atau tidak, tetapi mungkin mazhab mereka ok. Malah ada pula yang seakan-akan berpelukan, apabila sang suami ( agaknya ) memaut leher serta bahu pasangannya sambil berjalan semasa tawaf. Tapi mungkin tidak bersentuhan kulit ...

Sabda Rasulullah s.a.w, 'Tujuan utama bertawaf di baitullah, saie antara Safa dan Marwah dan melontar Jamrah ialah untuk mengingati Allah' ( H.R ABu Daud). Oleh kerana itu, eloklah dilakukan dalam keadaan tenang agar lebih kyusyuk semasa beribadah. Yang dibimbangi sekiranya berasak-asak dalam percampuran lelaki perempuan tu, boleh membuka ruang kepada syaitan untuk menggoda sehingga menimbulkan syahwat atau niat yang mungkar.

Syahdunya Pemandangan
Lepas tawaf aku berehat di Bukit Safa lagi sambil baca Al-Mathurat. Lepas solat maghrib, aku naik ke bumbung terbuka yang ketika itu dikhaskan untuk lelaki sahaja. Daripada bumbung ini, selain boleh digunakan untuk solat, dapat melihat suasana orang tawaf mengelilingi kaabah.

Masya’allah, ramainya orang. Pertama kali aku melihatnya aku jadi terkedu. Terasa sesuatu yang menyentuh hatiku. Orang ramai bergerak mengelilingi kaabah dalam suatu tempo atau irama gerakan yang begitu menakjubkan, suatu perasaan yang sukar nak digambarkan. Indah sekali suasananya ditambah dalam keheningan malam.

Share:

Perjalanan Haji - Ziarah Mekah

Hari 14 ( Selasa 3 Nov / 15 Zulkaedah )

Hari ini tidak pergi umrah sebab ada aktiviti Ziarah. Namun seawal 2.30pagi ke MH. Memang suasana di MH tidak kira bila masanya, orang ramai dan semakin ramai. Cahaya lampu limpahnya nampak macam serupa aje sepanjang malam. Sejak awal pagi orang sudah berduyun-duyun ke MH.

Balik terus bersiap untuk naik bas yang dijadualkan bertolak 6.30 pagi. Tapi janji Melayu juga, 7.15 baru jalan, sebab ada yang tidak datang. Setiap peserta ziarah diberikan kotak sarapan, berupa air mineral, air kotak, buah, kek dan roti. Standard begitu !!!

Jabal Thur
Mula-mula singgah sini. Bukit ini terletak 4 km daripada MH. Di sinilah terletaknya Gua Thur yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah s.a.w ketika hendak berhijrah ke Madinah atau Yatrib ketika itu. Untuk sampai ke gua, kita kena mendaki dan memakan masa 1 hingga 1 jam setengah.

Jadi tengok bukit tu dari bawah sahaja. Yang ada di bawah cuma unta hiasan untuk gambar kenang-kenangan. Ada perkhidmatan ambil gambar segera, di atas unta hiasannya, SR10 sahaja.

Bayangkan masa zaman Rasulullah s.a.w dahulu, camana agaknya mereka naik mendaki. Teringatkan juga kepada puteri Abu Bakar, Asma yang menghantar makanan saban hari untuk Rasulullah s.a.w serta ayahandanya semasa persembunyian tersebut. Camana mereka berkorban untuk Islam ketika itu, manjat tinggi-tinggi lagi.

Arafah
Kemudian kami di bawa melihat sekitar padang Arafah yang bakal kami kunjungi semasa wukuf 9 Zulhijjah nanti.

Masih banyak yang kosong, khemah-khemah belum dipasang lagi. Jarak Arafah dengan MH adalah kira-kira 22 km.

Nampak dalam perjalanan, tiang-tiang yang bakal dijadikan jalan bagi sistem pengangkutan seumpama monorail telah dan sedang dibina. Khabarnya syarikat MRCB Malaysia yang membinanya. Dengan sistem tersebut, mungkin perjalanan jemaah dari Mekah nak ke Arafah dan Mina akan menjadi cepat, tidak perlu melalui kesesakan jalan raya.

Jabal Rahmah
Kemudian kami di bawa ke Jabal Rahmah, tempat atau bukit di mana Nabi Adam bertemu semula dengan Hawa setelah diturunkan secara terpisah di muka bumi ini. Banyak sejarahnya tempat ini, seperti di sinilah turunnya ayat yang bermaksud, ‘Pada hari ini telah kusempurnakan untukkamu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat Ku dan telah aku redha Islam menjadi agamamu’, ( Al-Maidah : 3 )

Sempat naik dan cuba nak sampai kepuncak, tapi terasa gayat. Rupanya ada jalan bertangga sebelah lain. Sebab diberi masa 20minit sahaja, tak dapat nak naik kemuncak melihat tiangnya dari dekat. Jabal Rahmah sebagai salah satu tempat mujarab doa. Seorang jemaah menanyakanku, nak doa apa di sini. Ah doa apa sahaja kataku, kata orang doa nak kawin dua pun di sinipun tempatnya ... ha ! ha !

Ditunjukkan juga Masjid Nameera yang boleh menempatkan 350 ribu jemaah, tetapi dibuka hanya setahun sekali, iaitu ketika jemaah wukuf di Arafah.

Apalah pakcik dan makcik nie, tunggu punya tunggu ahli rombongan lain, akhirnya sejam juga di Jabal Rahmah campur masa menunggu dalam bas. Katanya tersesat sebab tak kenal bas mana satu, semua nampak serupa. Memang serupa pakcik makcik oi ... kan ada nombolnya !!!.

Mina & Mudzalifah
Kemudian kami melalui sahaja Mudzalifah, tempat untk berhenti seketika pada malam 10 Zulhijjah sebelum ke Mina dari Arafah nanti. Takde apa-apa, hanya tanah lapang.

Seterusnya lalu di kawasan Mina. Nampaknya khemah-khemah telah tersedia di sana. Kompleks bertingkat tempat melontar hanya dapat lihat daripada jauh sahaja.

Eh! Dalam internet, bukan main cantek kompleks tu, tapi kenapa nampak macam itu sahaja masa melaluinya tadi ? Sabar, kata hatiku.

Masjid Ja'aranah
Di sini merupakan salah satu tempat yang dikatakan paling afdhal untuk melakukan miqat bagi mereka yang berada di dalam Makkah. Ia terletak kira-kira 16km daripada MH. Selepas peperangan Hunain pada 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w telah secara senyap-senyap menunaikan umrah di MH pada malam hari daripada tempat ini. Kiranya miqat di sini.

Di bahagian belakang Masjid Ja'aranah ini terdapat satu telaga yang dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk penyakit-penyakit misteri, dengan izin Allah. Rasulullah s.a.w pernah meludah ke dalam telaga tersebut untuk menjadi penawar setelah kaum Kafir Quraisy menaburkan racun ke dalam telaga tersebut.

Namun telaga tersebut telahpun ditutup dan malangnya, ketika kami berkunjung ke sini, air tiada. Ramai peserta rombongan yang hendak melakukan umrah, pasang niat sahaja di sini.

Jabal Nur
Cuma dapat tengok dari jauh di atas bas. Tak berhentipun. Nak tangkap gambar pun tak sempat. Di atas bukit inilah terletaknya Gua Hira’, tempat dimana Rasulullah s.a.w pertama kalinya menerima wahyu. Namun nak naik, memakan masa sejam pendakian pada ketinggian 280 meter. Bagaimana agaknya Rasulullah s.a.w berulang alik berkhalwat atau menyendiri di sini masa dulu ?

Masjid Jin
Berdekatan Perkuburan Ma’ala. Dinamakan Masjid Jin kerana di sana Rasulullah s.a.w menulis surat untuk menerima rombongan Jin yang hendak berbaiah dengan Rasulullah s.a.w. Bermacam cerita dengar, katanya kalau datang dan berniat nak jumpa jin maka akan ketemulah jin. Entah macamana rupanya, kalau banyak sangat tak larat rasanya ... ha ! ha ! Ada juga yang kata, boleh bawak jin balik Malaysia, entah !!

Perkuburan Ma’ala
Terletak hanya 1km daripada MH, malahan boleh dilihat dari atas bumbung hotel penginapanku. Di sinilah terletaknya jasad Saidatina Khadijah, para sahabat serta ramai ulama besar.

Oleh kerana tiada sebarang tanda dibuat, maka tidak diketahui dan dibuktikan kedudukan sebenar kubur mereka. Namun ada yang mengatakan, kubur Saidatina Khadijah yang ada tumbuh pokok rendang di atasnya.

Argh, tak puas hati aktiviti ziarah ni sebab tak dapat nak lihat Gua Hirak dan Masjid Jin. Terkilan sungguh dan aku berhasrat hendak datang semula nanti. Pemandu pelancong sudahlah tak cerita detail, banyak diam, tidak macam di Madinah dulu. Kalau cerita pun syok sendiri, kata itu dan ini dan main tujuk dengan tangan sendiri. Kita yang duduk di belakang dalam bas, terpingga-pingga, mana satu yang dia cerita dan tunjuk. Cakaplah yang di kiri ke, kanan ke, atas ke …sebagai contohnya !!!

Tetapi ku kira kerajaan Arab Saudi banyak berkorban maintain segala keperluan untuk jemaah haji, namun penggunaannya bermusim iaitu ketika musim haji sahaja. Bayangkan monorail dari Mekah ke Mina & Arafah tu nanti hanya pakai setahun sekali. Tak rasa membazir ke ? Rasa tak adil juga kalau biarkan kerajaan Arab Saudi lakukannya sendiri. Itulah yang mungkin Allah gantikannya dengan hasil bumi minyak serta ‘token’ daripada setiap jemaah.

Sampai hotel hampir zuhor dan terus bersiap ke MH. Agak keletihan hari ini, malam tidur awal, sebab kali ini nak bangit 12.30 pagi untuk kerjakan umrah lebih awal.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.