Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Perjalanan Haji - Kisah Kak Pah, Maulid Nabi & Air Zamzam

Hari 27 ( Isnin 16 Nov / 28 Zulkaedah )

Bangun 1.00 pagi untuk aku mengerjakan umrah untuk kali ke-12 yang juga aku niatkan untuk allahyarham ayahandaku sekali lagi. Nampaknya aku masih bernasib baik, sebab mudah dapat van dengan hanya SR5 sahaja untuk pergi balik Tanaim ke MH.

Tetapi orang semakin ramai dan umrahku hanya dapat selesaikan pada 4.15pagi, iaitu hampir azan suboh pertama. Mungkin lepas ini aku nak saie di tingkat atas.

Akibat kelewatan ini, aku sukar dapat kedudukan syaf di lantai Kaabah, sebagaimana selalu aku dapat. Namun selepas suboh, aku berjaya selesaikan bacaan al-Quran ku untuk khatam buat kali ke-3.

Semasa sarapan bersama, isteriku buka cerita yang roomatenya tegur salah seorang jemaah Indon yang enggan berpisah daripada saf wanita kumpulannya yang mungkin sedara mara atau taulan. Lalu dijawabnya teguran itu dengan, ‘apa di Malaysia kalau lelaki dekat dengan wanita, jadi kuat terangsang ke ?’ … Aduhai !! Aduhai Wak Kaji, Wak Kaji ….

Kisah Kak Pah Kehilangan Bag Galas
Lepas sarapan, kekira jam 8.00 pagi, jumpa Kak Pah dan Abang Mat di ruang rehat Tingkat 15. Mereka baru balik sidai pakaian yang dibasuh. Memang hanya di tingkat atas sekali sahaja ada tangga untuk ke bumbung hotel yang menyediakan ampaian.

Petang selepas umrah, Kak Pah duduk dalam ruang khas wanita di atas lantai Kaabah. Ketika hampir maghrib, Kak Pah rasa nak buang air lantas meminta jiran dalam safnya untuk pegangkan bag galasnya dan kemudian menuju ke toilet. Tetiba pihak masjid meminta semua wanita dalam kawasan tersebut beredar dan dinding pemisah kawasan wanita dibuka.

Apabila Kak Pah hendak kembali ke saf asalnya, beliau terkejut sebab sudah semuanya lelaki. Di mana bag galas ? Mulailah nakjadi tak tentu arah, dimana orang yang dipesan untuk pegangkan bagnya tu ? Pagi esoknya pergi MH untuk cuba cari semula bag tersebut, maklumlah pelbagai dokumen serta duit tunai ada dalamnya. Solat hajat khas di MH dan berserah kepada Allah sahaja. Terpaksa juga buat semua kad pengenalan jemaah dengan TH. Tetapi apabila balik semula bilik hotel, bag galas yang dicari sudah berada di atas katil. Bagaimana boleh sampai ? Khabarnya ada orang hantar. Memang di Mekah nie semua orang jujur. Berdasarkan nama dan alamat di atas bag galas tu, mungkin orang itu membawanya terus ke bilik Kak Pah. Tetapi siapakah orang itu, apakah memang orang yang diamanahkan atau …?

Tempat Saie Baru
Lepas asar aku naik atas sekali tempat saie yang baru siap agaknya. Wah menarik. Kini ada 4 tingkat untuk bersaie bagi pejalan kaki. Selain ada ruang untuk wheel chair bagi setiap tingkat tersebut, juga dibina laluan khas untuk mereka diantara setiap tingkat.

Kelihatan belum ada orang bersaie di sini, mungkin kerana tidak tahu telah siap, atau kalau tahupun tidak mahu kepanasansan terik matahari pada waktu siang sebab tiada bumbung. Sebaliknya jadi ruanguntuk orang solat dan berehat lepak-lepak sahaja ketika ini.

Bagiku, masih belum perlu naik ke tingkat atas sekali. Kat bawah sekali lagi menarik dan dapat rasa serta kelihatan Bukit Safa dan Marwahnya. Tapi memang fatwa mengizinkan, malahan sehingga tinggi melangit sekalipun, boleh dianggap bersaie dari Bukit Safa ke Marwah.

Namun pemandangan Kaabah dari atas tingkat 3 tempat saie sangat menarik. Pemandangan lebih luas lagi.

Sebelum maghrib dan isyak ada orang minta lelaki kedepan dan wanita ke belakang. Lega … mengurangkan pening kepalaku sebab kedengaran juga dikata tak mengapa percampuran sebab keadaan yang sukar di kawal. Solat di atas nie selesa dan sejuk sikit sebab tiada bahang yang masih terperangkap seperti di tingkat bawah.

Hari 28 ( Selasa 17 Nov / 29 Zulkaedah )

Jam 2.30 pagi aku ke MH untuk qiamullail. Selepas suboh dan solat Dhuha, aku ke bangunan yang hari-hari kelihatan, tapi belum berkesempatan mengunjunginya, iaitu Maktabah Makahtul Mukaramah.

Maulid Nabi
Terletak di hadapan MH, berhampiran dengan pintu pagar yang berdekatan dengan bangunan tandas, terdapat sebuah bangunan yang dikatakan berada di atas tapak asal di mana Rasulullah s.a.w dilahirkan. Bangunan ini dinamakan Maktabah Makahtul Mukaramah atau Perpustakaan Makah Al-Mukarramah. Kiranya banguna perpustakaan. Terdapot boot penerangan di luar pagar kawasan yang turut mengedarkan pelbagai risalah kepada orang ramai.

Nak dikirakan, dekatlah agaknya Rasulullah s.a.w dengan Kaabah. Sekali imbas, bangunan biasa sahaja dan tiada apa yang menarik. Akupun tidak pernah perasan bila perpustakaan tersebut dibuka. Khabarnya apabila tapaknya hendak di’clearkan’ bagi tujuan pembinaan bangunan yang lain, ada saja gangguan yang diperolehi. Seolah-olah ‘keras’ sikit kawasan tersebut. Tetapi suatu ketika dahulu, kawasan tersebut pernah di dirikan masjid, sebelum dirobohkan untuk dibina perpustakaan sebagai mana sekarang.

Ada beberapa kenyataan yang agak pelik bagiku di luar bangunan tersebut. Sesamalah kita fikirkan maksudnya. Mungkin untuk mengelakkan khurafat, sebab khabarnya ada juga orang yang menangis-nangis melekat dipagar atau dinding bangunan tersebut. Tetapi masa aku ke situ, tak ada pulak.

Pusat Pengambilan Air Zam-zam
Berdekatan dengan Maktab Mekah Al-Mukarramah, sentiasa sibuk dengan orang yang ingin mengambil air zam-zam dalam kuantiti yang di kira banyak secara percuma. Orang ramai beratus panjang untuk mendapatkan air zamzam yang diisikan kedalam bekas yang dibawa.

Bekas atau tong untuk mengisi air zam-zam pula turut dijual ini pada kadar SR4 – SR5 setiap satu dengan saiz 5 dan 10 liter.

Selepas disi dengan air zam-zam, mereka boleh seal bekas dengan plastik bagi membolehkan tiada air tumpah keluar sekiranya bekas dalam bag tersebut bocor atau tumpah. Tidak mengira saiz botol, SR5 sekali seal. Kiranya untuk dapatkan 10 liter air zamzam, cuma SR10 belanjanya. Sedangkan di Malaysia, ianya dijual dengan rega RM 100 – 120.

Nampak pelbagai gaya dan cara orang membawa balik tong-tong berisi air zamzam. Akupun pada mulanya ingat nak bawak masuk dalam bagasi kapalterbang nanti. Tapi mengenangkan cuma 30 kilogram dibenarkan, maka tak jadiklah. Habis tu orang ramai yang banyak-banyak ambik, nak bawak balik naik kapal terbang jugak ke ?

Aku rasa air zamzam di Mekah atau yang kedapatan di sekitar MH lebih sedap daripada yang pernah aku rasa di Malaysia. Kenapa agaknya ? Adakah suasana sekitar MH mempengaruhi ?

Berbalas SMS Dengan Azrul
Beberapa kali sepanjang hari ini, aku saling bersms dengan Azrul, Pemangku Pengerusi Surau Al-Hidayah. Pemangku kerana Pengerusi dan Naib Pengerusinya dua-dua pergi Mekah. SMS hal genting berkenaan permohonan nak naik taraf Surau Al-Hidayah menjadi masjid. Bagiku yang pentingnya kekal solat Jumaat dahulu berdasarkan justifikasi yang pernah dibincang dan diputuskan bersama.

Katanya 20hb November ini, solat Jumaat bermula di Masjid Baru Saujana Utama. Apakah solat Jumaat tidak dibenarkan diteruskan di Surau Al-Hidayah ? Tuan Kadhi Kuala Selangor akan membawa isu ini kepada Mesyuarat JK Kariah pada 24 November dan rombongan surau dijangka menemui Exco Agama Selangor iaitu Dato’ Dr Hassan Ali. Ketika ini saluran politik mungkin perlu digunakan. Akhirnya aku sms juga kepada Naib Pengerusi untuk sesama doakan yang terbaik untuk Surau Al-Hidayah di hadapan Kaabah.

Ceramah Agama 3

8.00 malam ada Ceramah Agama 3 khas untuk jemaah KT03 yang memperjelaskan hal berkaitan dengan falsafah perjalanan wukuf di Arafah, Mudzalifah dan Mina nanti. Tetiba aku jadi berdebar dan sesekala tidak sabar nak menanti saat berwukuf.

Sabda Rasulullah, ‘Haji adalah wuquf’. Haji adalah urusan kita dengan Allah. Kerana itu setiap individu yang menunaikan haji, mesti melaksanakan wuquf pada 9 Zulhijjah walau dalam apa keadaan sekalipun.

Inilah masanya umpama kita menerima anugerah yang agung daripada Allah, menerima pengiktirafan daripada Allah akan ibadah haji yang dilaksanakan. Pengiktirafan ini tidak sewajarnya diperolehi secara diwakilkan. Ya Allah, berilah aku peluang untuk sampai ke saat itu !!

Share:

Perjalanan Haji - Pertengkaran & Pengaruh Bola

Hari 25 ( Sabtu 14 Nov / 26 Zulkaedah )

Bangkit 1.30 pagi untuk umrah kali ke-11 dan aku niatkan untuk Mek atau mak mertuaku. Nampaknya van untuk ke Tanaim sudah tidak banyak dan memasing jual mahal semula. Mereka minta tambang SR10. Tapi kami satu van diam aje dan bila sampai ke MH, kami bayar SR5 seorang sahaja. Lagipun berhenti jauh, sebab laluan biasa ke MH telah ditutup.

Aku rasa van sapu dah kena tindakan daripada pihak berkuatkuasa. Tapi kalau mereka tak ada payah juga, teksi bukannya lalu di hotel kami. Lagipun orang semakin ramai. Atau prebet sapu nie cari makan tempat lain yang lebih menguntungkan.

Pegawai Masjid Bertengkar
Selesai tawaf dan saie aku dapat juga ruang di lantai depan Kaabah. Sedang seorang pegawai masjid minta jemaah wanita beredar ke belakang dan tidak bercampour saf dengan lelaki, seorang pegawai masjid lain pulak seperti mengatakan, ‘tidak mengapa, musyaqoh’. Maka berlaku satu pertengkaran kecil antara dua orang pegawai masjid. Ada seorang jemaah lain menyokong tindakan pegawai masjid yang meminta jemaah wanita beredar. Pegawai masjid yang meminta jemaah wanita beredar tu seperti mempersoalkan ‘ada fatwa ke ?’. Akhirnya mereka berdua tidak kelihatan dari pandanganku dan ‘selamat’ wanita tersebut.

Memang sejak dua menjak nie, sudah kurang pegawai masjid meminta jemaah wanita beredar dari saf lelaki di hadapan Kaabah. Namun kejadian ini sekurang-kurangnya meredakan sedikit pening kepalaku. aknanya pihak masjid masih berpendirianperluanya pengasingan lelaki dan wanita dalam saf walaupundi MH.

Jumpa Abang Mat
Dapat maklum abang iparku, Abang Mat dan isteri dari Terengganu telah sampai dan menginap di hotel yang sama. Lepas sarapan pagi cuba cari mereka dibiliknya, tetapi tak ada. Lepas solat asar baru aku jumpa Abang Mat seorang di MH.

Minta Masuk Saf
Kejadian agak aneh, tapi berlaku kepadaku. Sedang aku mengaji tetiba seorang minta ruang saf di sebelahku. Memang ada kekira cukup ruang untuk seorang antaraku dengan orang sebelah kananku. Kami berdua pun anjak sikit untuk memberi ruang. Tetapi lelaki macam minta ruang lagi sebab ada kawannya bersama.

Orang sebelah ku seperti mengatakan di hadapan masih banyak ruang kosong, pergilah dihadapan. Tetapi entahlah, dengan suara yang kuat macam nak jadi pertengkaran, lelaki tersebut enggan berganjak. Lalu aku bangkit dan bergerak kehadapan memberi ruang untuk dua orang tersebut. Ah! Hal begini pun boleh berlaku di MH. Macam tidak pernah solat berjemaah saja.

Lepas solat Asar, aku berehat sambil memandang Kaabah serta gelagat orang bertawaf di tingkat satu, khususnya yang menaiki wheel chair. Tetiba pergerakan arus wheel chair di hadapanku terhenti. Seperti satu pertengkaran kecil berlaku pula apabila wheel chair yang ditolak mengenai atau melanggar orang di hadapan. Sebenarnya memang sakit kalau dilanggar wheel chair tu dari belakang, sebab selalunya ia mengenai bahagian atas tumit kaki kita yang agak lembut. Wanita dibelakang yang duduk atas wheel chair tu cuma kata, 'sabar, sabar'.

Lepas Isyak, Imam membuat pengumuman yang tidak aku fahami. Patutnya pihak TH buatlah translation dan paparkan di hotel penginapan hal pengumuman tadi.

Hari 26 ( Ahad 15 Nov / 27 Zulkaedah )

Awal pagi ke MH jalan kaki sebab van dah takde. My wife tak ikut sebab cuti. Sedang aku bergerak pulang ke hotel, tetiba ada panggilan solat di MH. Rupanya solat minta hujan sebagaimana yang dumumkan semalam. Aku tidak dapat turut serta sebab wuduk telah batal ketika itu. Memang sejak aku tiba di Mekah, malahan sejak tiba di Madinah pun, tidak pernah aku melihat hujan turun.

Pengaruh Bolasepak
Aku rasa orang arab ni giler bolasepak. Orang arab ke orang Islam ? Kerana minatkan sesebuah pasukan bolasepak, mereka pakai jersi pasukan yang diminati, walaupun dimana. Kalau aku sendiri, aku akan hanya pilih mana-mana pakaian tertentu yang aku berkenan hendak dipakai sahaja yang akan ku bawa dari Malaysia, kerana tak nak beratkan bag. Tetapi mereka tetap bawa untuk pakai atau gunakan di MH. Tak nampak pulak kedai jual jersi bola di Mekah nie.

Aku teringat semasa di Madinah, banyak saluran sukan bola dalam siaran TV dalam bilik hotelku. Aku rasa 25 - 30% siaran adalah bola, bola liga Saudi Arabia, Mesir, Afrika serta negara arab lain. Tapi saluran EPL takde pulak.

Ramai yang kelihatan memakai pakaian jersi bolasepak ni di MH. Tidak kira tua dan muda Kiranya die hard fan tu ! Salah ke ? Ah, macam takde pakaian yang lain … tapi lantaran nak tunjukkan betapa minatnya !

Bacaan Imam
Masa solat isyak, imam baca Surah Yasiin. Terkejut aku, tetapi nasib baik sedikit sahaja. Kalau satu surah, mahu pitam rasanya. Maklumlah, masa isyak ni kira sudah lapar sebab sejak asar tidak makan apa-apa. Tetapi imam-imam di MH nie sering baca surat atau ayat pendek-pendek sahaja, tidak sepeti di Madinah. Mungkin hendak memberi peluang orang ramai membuat tawaf dan menyempurnakan saie umrah. Tetapi di Madinah, bacaan imamnya lebih merdu berbanding di Mekah.

Sebelum tidur aku teringat-ingatkan Madinah dan Masjid Nabawi yang aman damai. Di sana lebih teratur jemaahnya, maklumlah ruang besar dan jelas sempadan pemisahan lelaki dan wanita dalam Masjid Nabawi.
Share:

Perjalanan Haji - Demam, Pembangunan Semula & Munajat

Hari 23 ( Khamis 12 Nov / 24 Zulkaedah )
Bangkit 12.30 malam, tetapi macam nak demam dan apabila mandi air panas terasa begitu segar. Hari ini buat umrah untuk kali yang ke-10 dan aku niatkan untuk pak mertuaku yang sering ku panggil Ayoh atau Tok Ki.

Dalam van semasa perjalanan dari Tanaim ke MH, apabila aku bertalbiah, tiada yang menyambutnya atau menyambungnya. Kenapa ? Sombongnya ! Ke suara aku yang tak sedap atau salah lafadz sebutanku. Jadi sorang-sorang ajelah.

Walaupun orang memang ramai awal pagi tersebut, namun dapat aku selesaikan tawaf dan saie ku pada jam 4.00 pagi. Aku rasa badanku semakin panas dan tidak begitu selesa. Mulanya aku pergi ke Klinik selepas zuhor, tetapi rupanya ditutup.

Selepas Isyak baru aku temui doktor di Klinik Rawatan Maktab 77. Doktor tu kata, kena sentiasa pakai mask walaupun di masjid, sebab debu akibat kerja-kerja pembangunan dan pembesaran MH. Doktor juga chek tekanan darahku, ok katanya.

Demam
Memang aku sering batuk-batuk sehingga kekadang sakit perutku. Kata orang itu syarat sah mengerjakan haji di Mekah. Tak batuk-batuk tidak sah. Tapi apabila aku katakan yang aku rasa demam dan pening kepalaku ialah disebabkan melihat gelagat manusia di MH, doktor tu barangkali tidak memahami maksudku. Lantas diberinya ubat demam selsema, batuk dan antibiotik. Tak dapat pulak surat mc untuk skip ibadah di MH .. ha ! ha !

Memang aku pening melihat gelagat orang di MH. Apakah ku perlu buat tidak tahu ? Jangan ambil kisah hal percampuran lelaki wanita dalam saf. Jangan hirau saf yang terputus-putus ? Biarkah jemaah lain yang mementingkan diri mereka sendiri, biarkan arah kiblat mereka nak menghadap ke mana pun. Ikut sukalah.

Aku kira percampuran ini disebabkan tiada ruangan khusus dan jelas untuk memisahkan antara jemaah lelaki dan wanita. Manakala jemaah pula enggan berpisah dengan pasangan atau serta kumpulannya, bimbangkan keselamatan, takut tersesat serta payah nak jumpa semula untuk pulang ke tempat penginapan masing-masing.

Di Madinah dengan caranya, tetapi di MH lain pulak fesyennya. Antara yang memeningkan kepalaku melihat gelagat jemaah dalam MH ialah bagaimana saf mereka. Memang specialnya saf di Kaabah ialah mereka membulat menghadap pusat Kaabah. Ini berbeza dengan tempat lain, yang mana safnya lurus. Namun pihak masjid ada menyediakan beberapa tanda atau panduan tertentu, khususnya garisan bagi membina syaf. Cuba bayangkan, Kaabah depan mata. Garisan sebagai penunjuk arah Kiblat disedia, tetapi ramai juga yang menyimpang.

Apa yang susahnya aduhai umat Islam … memeningkan kepala aku sahaja. Kekadang sebelum solat tu aku tegur juga jemaah di hadapanku atau kiri kananku agar berada dalam syaf. Biasanya sama ada aku betulkan sejadah yang dibawa atau tunjukkan tanda garisan yang ada dan seterusnya tunjukkan tanda arah kiblat dengan tanganku. Nak bercakap, tak faham pulak mereka dengan bahasa jawaku.

Namun tidak dinafikan, sesetengah kawasan, tanda garisan arah kiblat tu tidak selari dengan petak-petak lantai marmar. Tetapi pandai-pandailah kita memikirkannya, macam tak pernah solat jemaah aje … . Ini sekadar contoh dari ratusan malah mungkin ribuan yang berlaku.

Pembangunan Semula Mekah
Sebelum sampai Mekah, memang banyak didengar cerita orang yang ke sini serta dalam internet, tentang pembangunan semula Bandar Mekah di sekitar Masjidil Haram sehingga menjadi Intelligent City.

Banyak hotel-hotel di sekitar Masjidil Haram telah dirobohkan dan dibangunkan semula dengan hotel dan bangunan yang baru dan lebih tersusun. Aku percaya yang pembangunan semula ini antara lain adalah untuk memberikan keselesaan kepada jemaah yang semakin ramai khususnya ketika musim haji dan Ramadhan.

Petang hari ini aku sempat meninjau-ninjau kawasan yang sedang dibangunkan. Sebenarnya memang sering kelihatan sekiranya masuk MH menerusi pintu Fath. 24 jam jentera pemecah batu bekerja. Dahsyat sungguh. Itu yang digalakkan pakai ‘mask’, sebab habuk daripada kerja-kerja tersebut.


Semasa aku ke sana, terpampang perkataan ‘415 day to completion’ di billboard yang memaparkan gambaran rupa sekitar MH apabila siap nanti. Wah, nampak hebat.

Tetapi yang menariknya ialah salah seorang anggota panel arkitek pembinaan ini ialah seorang raykat Malaysia iaitu Prof Dr Ismawi Zen. Beliau bersama-sama dengan beberapa pakar luar negara yang lain akan menilai pembinaan serta pembesaran semula MH dan membawa cadangan pembesaran Masjidil Haram untuk diperakui oleh Raja Abdullah al-Saud.



Hari 24 ( Jumaat 13 Nov / 25 Zulkaedah )

Tiada umrah hari ini, berehat lagi. Lagi pun masih terasa kurang sihat. Tapi tetap ke MH awal pagi. Namun terfikir oleh ku. Segala amalan, segala doa, segala ratapan, rintihan dan rayuanku, apakah hasilnya. Sejauh mana doa-doa serta amalanku sepanjang kunjungan aku ke Tanah Suci Mekah dan Madinah di terima Allah ? Apakah demam serta batuk-batuk yang aku hadapi ini sebagai natijah.

Solat Jumaat hari ini memang jelas semakin ramai orang yang hadir. Masalahnya apabila sampai di pintu masuk MH, jemaah suka buat saf di situ hingga menyebabkan jemaah lain ingat dah penuh, lantas ikut sambung saf di situ. AKu yang selalu masuk mengikut pintu keluar Bukit Marwah tersangkut sebab orang suka buat saf di situ.

Ini menyukarkan kita hendak ke hadapan yang aku yakini masih banyak ruang kosong, khususnya di hadapan Kaabah kerana cahaya matahari yang terik. Lantas aku naik ke tingkat atas sekali iaitu, atas bumbung. Juga masih kosong.

Agak menarik juga gelagat jemaah yang mencari tempat berteduh. Sehingga bayang-bayang tiang lampu yang sedikit itu pun dijadikan tempat berteduh. Apakah ini gambaran, bagaimanakah kita hendak mencari tempat berteduh daripada kepanasan di padang Mahsyar nanti ?

Melompat Hijir Ismail
Sebaik solat jumaat, aku lihat ramai seperti VIP solat dalam kawasan Hijir Ismail yang sememangnya ditutup sebelum solat Jumaat. Juga kelihatan beberapa mayat di atas lantai yang baru disolatkan.

Sebaik sahaja Hijir Ismail dibuka semula, aku lihat ramai yang melompat naik kepenghadang Hijir Ismail tu. Rupanya mereka memang menunggu peluang. Berdasarkan pakaian, mungkin jemaah dari Afrika. Polis yang bertugas nampaknya bukan main marah, lantas menyuruh mereka keluar semula dari tempat dimana mereka melompat masuk.

Bermunajat Di Hadapan Kaabah
Keistimewaan memandang Kaabah ialah tidak timbul langsung rasa jemu memandangnya. Hal ini aku kongsi bersama dengan seorang ahli perniagaan India yang sempat berbual denganku pada suatu petang, ketika aku sedang memerhati Kaabah dan melihat gelagat manusia yang sedang tawaf.

Memandang Kaabah tidak sama dengan pengalaman aku memandang New York World Trade Centre, juga tidak sama dengan memandang Petronas Twin Tower ataupun Singapore Flyer. Memandang Kaabah mengingatkan kepada sejarah pembinaannya yang bermula sejak zaman Nabi Adam lagi. Kaabah adalah Baitullah, iaitu Rumah Allah, walaupun tidak bermaksud di dalamnya Allah tinggal. Tetapi Allah yang memandu manusia menerusi perantaraan Jibrail bagaimana membina, menjaga dan memeliharanya.

Memandang Kaabah sahaja sudah mendapat pahala. Sama ada secara langsung ataupun dikatakan juga gambar-gambar kaabah. Ramai yang ambil kesempatan duduk di tangga sambil berdoa, bermunajat atau sekadar merenung memandang kaabah.

Aku pula rasa tidak puas hati kalau ke MH, duduk di saf yang terlindung pemandanganku dengan Kaabah. Tak nampak semua, nampak sikitpun jadilah. Sambil-sambil mengaji, sesekali merehatkan mata dengan memandang Kaabah. Terasa puas dan nikmatnya.

Pelbagai gaya manusia bermunajat di hadapan Kaabah, sama ada secara berdiri dan duduk. Semuanya mengharapkan agar Allah memperkenankan segala permohonan, mengampunkan segala dosa, meluaskan pintu rezeki, memberikan keselamatan dunia dan akhirat serta dimasukkan ke dalam syurga.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.