Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Selamat Maju Jaya KIDaS

Pada 17 Januari 2010 yang lalu, aku berkesempatan menghadiri Program Motivasi KIDaS yang diadakan di Hotel De Palma Kuala Selangor. Program telah dirasmikan oleh Ustaz Kahfi Ngiso, Penyelaras KAFA Kuala Selangor. Program seumpama ini memang menjadi acara tahunan anjuran AJK Pengurus KIDaS dalam usaha menjadikan KIDaS terus cemerlang.


Sejak aku berpindah ke Putrajaya, walaupun perletakan jawatan belum dibuat secara rasmi, namun segala perjalanan KIDaS nampaknya diurus dengan baik oleh AJK Pengurus yang tinggal. Alhamdulillah dan memang aku yakin akan kemampuan serta dedikasinya mereka.

KIDaS bermula pada sesi sekolah tahun 2002 dengan menyewa rumah tiga bilik yang juga digunakan sebagai surau sementara. Kemudian disebabkan murid yang semakin ramai, berpindah pula di deretan rumah kedai. Kemudian KIDaS berjaya menumpang di premis SK Saujana Utama pada tahun 2004. Kemudian KIDaS kembali ke rumah kedai yang disewa pada tahun 2005 dan sebahagian kelas di SMK Saujana Utama pada tahun 2005.

Pada tahun 2005 juga suatu sejarah dicatat apabila sebahagian murid KIDaS terpaksa belajar dalam kontena. Ini kenangan yang menarik sehingga aku serta AJK ku masuk TV beberapa kali atas isu ini. 5 unit kontena bersaiz 10 X 40 yang tiap satunya menempatkan 2 kelas dengan pelajar serami 20 - 25 orang setiap kelas.

Akhirnya atas usaha bersama, bangunan KIDaS dua tingkat dengan 10 bilik darjah dapat dibangunkan di dalam kawasan surau. Malahan kelulusan tidak rasmi juga baru diterima iaitu permohonan KIDaS untuk mendapatkan tanah tambahan di sebelah Surau Al-Hidayah telah diperolehi. Selari dengan pagar sekarang, terus tegak sehingga ke kebun tebu. Luas memang luas, berbanding cadangan asal iaitu sekadar 40 kaki dari pagar sekarang sahaja. Alhamdulillah ... usaha yang dilakukan akhirnya berhasil.

Mengapa aku serta AJK yang lain bersusah payah melakukan semua ini. Sudahlah pening dengan cabaraan dan kesibukan kerja-kerja di pejabat, balik rumah kena fikir pulak hal KIDaS serta Surau. Bukan setakat tiada elaun sebagai AJK, malahan kena keluar pulak duit poket sendiri untuk duit minyak ke sana kemari. Bukankah lebih baik rehat luangkan masa bersama keluarga, khususnya pada hujung minggu.

Aku kira walaupun usaha yang dilakukan ini hanyalah sekelumit perjuangan dalam menegakkan agama Allah, namun harapan meninggi agar ianya menjadi amal jariah yang diterima Allah sebagai bekalan pada hari akhirat nanti. Inilah yang memotivasikan diri. Walaupun pelbagai cabaran dan rintangaan di tempuhi, aku yakin akan janji-janji Allah bahawa atas setiap kebaikan yang dilakukan, akan ada balasannya di sisi Allah. Kalaupun tidak di dunia ini, balasan yang lebih abadi di akhirat nanti.

Sekurang-kurangnya ada 3 doa khususku tentang Surau Al-Hidayah dan KIDaS semasa aku di Mekah dan Masjidil Haram tahun lepas, iaitu memohon pengekalan solat Jumaat di Surau Al-Hidayah, kelulusan permohonan mendapatkan tanah untuk KIDaS dan doa agar semua AJK, tenaga pengajar dan pengerak Al-Hidayah dan KIDaS akan mendapat kerahmatan Allah, kekuatan, kesejahteraan, diperluaskan rezeki dan keberkatan hidup. Aku yakin sebagaimana juga kata maksud sebuah lagu, 'what you give, you get back'. Sekiranya kita ikhlas pasti balasan daripada Allah akan diterima dalam pelbagai bentuk yang tidak kita sangka-sangka.

Untuk barisan peneraju KIDaS seterusnya, Selamat Maju Jaya. Teruskan perjuangan untuk mencari keredhaan Allah. Maaf atas segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan. Tahniah dan terima kasih kerana membantu para ibubapa mendidik anak-anak dengan asas Al-Quran dan Fardhu Ain.


Share:

Tg Piai : Penghujung Benua Asia

Semasa kecil malah sebelum-sebelum ini aku macam tidak pernah dengar nama Tanjung Piai. Tetapi entah kenapa tetiba nama tersebut menjelma dan menjadi keinginan untuk aku berkunjung ke sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apakah keistimewaan Tanjung Piai ini ? Memang istimewa dan alhamdulillah, akhirnya aku berkesempatan ke sana pada 10 Januari 2009 yang lalu.

Sebagaimana maklum, Malaysia terletak dalam benua Asia iaitu benua terbesar di dunia. Tanah paling selatan bagi benua Asia adalah terletak di sebuah tanjung yang dinamakan Tanjung Piai ( Tg Piai ). Nama Piai dikatakan diambil bersempena dengan sejenis paku pakis iaitu Paku Piai Raya. Tumbuhan ini dikatakan dahuluinya banyak tumbuh melata di celahan pokok bakau kawasan ini. Semasa kunjungan aku ke sana, macam tak berapa nampak aje.

Tg Piai terletak berdekatan dengan Kukup, Pontian Johor. Ia boleh diakses dengan mudah menggunakan jalan besar Johor Bahru-Pontian. Pernah kedengaran suatu ketika dahulu hendak dibina highway dari Taiping ke Tg Piai. Agaknya sekitar 2003/2004. Tetapi entahlah apa jadi kini.

Bakau di sini dikatakan digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau di Johor serta diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Bakau tersebut juga digazetkan sebagai Taman Negara dan tapak RAMSAR oleh Kerajaan Negeri Johor diuruskan oleh Johor National Parks Corporation (JNPC). Apakah itu RAMSAR ? Ramsar sebenarnya nama sebuah pekan di Iran dimana termeterainya perjanjian pelindungan Wetland sedunia. Maksudnya Taman Negara Tg Piai termasuk sebagai kawasan perlindungan Ramsar.

Kunjungan bermula di Kompleks Pelawat yang baru dibuka pada 16 September 2001. Bangunan ini mempunyai Galeri Infomasi, pejabat taman dan surau. Tiket masuk boleh diperolehi di bahagian depan pintu masuk. Pengunjung juga boleh membuat pertanyaan mengenai lawatan berpandu dan kemudahan taman di sini. Untuk masuk ke kawasan ini, tiket RM5 untuk dewasa dikenakan dan RM3 untuk pelajar sekolah serta kanak-kanak. Parking pula RM3 juga. Hanya ada satu kedai makan dibuka masa aku ke sana.

Masuk kawasan saja ada galeri penerangan mengenai keistimewaan dan habitan Tg Piai. Terdapat juga tugu besar Tg Piai yang ku kira agak menarik di kawasan pintu masuk.

Oleh kerana kawasannya agak luas, aku memilih untuk ke tanah penghujung sahaja. Jalan dibina untuk memudahkan pengunjung sampai. Perjalanan melalui hutan paya bakau dengan tanahnya yang lembut berselut tetapi terdapat pelbagai habitat seperti siput ketam dan ikan belacak ( I quess ). Tetapi yang agak menakutkan ialah monyet-monyet juga ada berkeliaran mencari makanan.

Setelah kira-kira 600meter berjalan, sampailah di kawasan penghunjung benua. Di sana deck pelawat disediakan. Terdapat globe serta beberapa papan tanda pada kayu dengan tulisan yang agak menarik. Suasana yang agak redup dengan tiupan angin laut ketika itu begitu nyaman sekali dirasakan.

Dari situ kelihatan banyak kapal dagang yang besar di tengah-tengah laut. Mungkin itu sudah masuk kawasan Singapura agaknya. Malangnya kawasan pantainya semakin pupus akibat hakisan. Kelihatan berbagai kesan hakisan serta batas penghalang atau penghadang ombak dibina di kawasan pantai atau laut. Aku percaya kawasan Tg Piai sudah semakin mengecil.

So sekurang-kurangnya aku telah sampai di tanah besar paling selatan benua asia. Itu sahaja istimewanya.



Share:

SKSJ Bersama Tunku Mahkota Johor

Alhamdulillah, setelah sekian lama bertugas di jabatanku sekarang, akhirnya aku berkesempatan juga untuk mengikuti program jabatanku dengan rakyat. Dahulunya dianggil jabatanku bersama rakyat atau JBR, tetapi kini sudah ditukar kepada Satu Komuniti Satu Jabatanku atau SKSJ. Ini adalah program bagi jabatanku memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat tanpa memerlukan mereka ke pejabatku.

Tetapi yang lebih menariknya dalam program yang aku hadiri ini pada 8 hingga 10 Januari yang lalu di Dewan Orang Ramai Gelang Patah, Johor ialah kehadiran Tunku Mahkota Johor. Aku hanya sempat menghadiri perasmian penutup yang dilakukan oleh DYAM Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor ( TMJ ) pada 10 Januari 2010. Khabarnya pertama kali dirasmikan oleh sultan atau kerabat diraja.

Memang tumpuan pada pagi tersebut ialah kehadiran TMJ. Kalau bersama Kembara Mahkota Johor ( KMJ ) tentunya baginda datang menaiki motosikal berkuasa besarnya. Tetapi kali ini datang seorang dengan kenderaan rasmi istana.

Mungkin bagi urusetia serta yang terlibat dalam majlis ini mengalami pengalaman menarik kerana menjayakan program bersama kerabat diraja yang selalunya kita agak sukar atau kekok dengan protokol raja atau sultan dalam sesuatu majlis rasmi.

Agak ramai juga orang yang hadir pada 10 Januari lalu. Pada hari tersebut seramai 610 warga emas serta orang asli telah menerima lesen P motorsikal, hasil ujian khas yang dilaksanakan. Untung mereka, tak perlu susah-payah ikuti sekolah memandu yang memakan masa dan wang ringgit. Hanya perlu hadir mengikuti ceramah Kurikulum Pendidikan Pemandu dan latihan di litar ujian yang dibuat khas oleh Jabatanku di kampung masing-masing sebelum ini. Penyerahan secara simbolik kepada wakil kalangan calon yang berjaya dilakukan sendiri oleh TMJ.

Sebagai tanda kenang-kenangan serta penghargaan kepada TMJ, jabatanku menghadiahkan sebuah motosikal lama dengan nombor plet pendaftaran J1001. Agak simbolik serta bermakna pemberian tersebut.

Selepas perasmian, TMJ serta para hadirin dipersembahkan dengan persembahan kumpulan pancaragam Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru yang diadakan di atas padang.

Dalam perjalanan keluar dari dewan ke padang, ramai yang ambil kesempatan bersalaman dengan TMJ. Tidak kira tua muda, lelaki pompuan, remaja dan kanak-kanak. Aku pun tumpang sekaki.

Turut diadakan ialah pembukaan gerai-gerai jualan selain kaunter perkhidmatan JPJ yang menawarkan transaksi atau urusniaga pendaftaran kenderaan, pembaharuan lesen memandu dan kereta serta pembayaran saman. Tetapi biasalah, tidak ramai orang yang mengambil kesempatan membuat transaksi ketika ini. Yang utama ialah promosi kepada rakyat. Suatu ketika dahulu aku difahamkan, program seumpamanya ini disertakan dengan tawaran diskaun sehingga 30% ke atas saman-saman yang dikeluarkan oleh jabatanku.

Difahamkan juga majlis ini mendapat liputan menerusi siaran langsung dalam salah sebuah stesen radio di selatan tanah air. Selain itu pelbagai acara diadakan sebelum ini seperti gotong royong, pelbagai pertandingan seperti mewarna, memasak, kuiz serta pertunjukan daripada Bomba Penyelamat dan Polis Johor.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.