Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Kembara Cuti CNY2010 - Sungai Petani

Tak sangka, rupanya besaq sungguh Sungai Petani ni. Sebelum ini memang selalu dengar orang sebut Sg Petani, tetapi tak terbayang bagaimana keadaannya. Rupanya bandar yang kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar. Daripada namanya tentu dapat di agak, ‘Farmer’s River’. Mengambil sempena dengan sungai serta petani yang sudah tentunya penanam padi.

Tapi Petani juga pernah dihubungkan dengan Pattani di Thailand sebagai sungai yang menghubungkan keduanya. Itu yang pernah disebut dahulu sebagai ‘Sungei Patani’.

Kemajuan Sg Petani nampaknya boleh dilihat dengan komuniti industri dan perniagaannya. Pelbagai kilang pengeluaran serta pasaraya besar-besar tentunya menjadi tumpuan ramai. Aku kira kepesatan Sg Petani tidak semestinya tempias dari Pulau Pinang. Kawasan atau tempat menarikdi sekitaran untuk dikunjungi juga agak banyak sebagai tarikan pelancong. Hotel-hotel pun tidak kurang banyak di sana.

Menara jam setinggi 12.1 meter yang terletak di Jalan Ibrahim menjadi mercu tanda utama bandar lama Sg Petani. Menara ini mula dibina pada 1936 oleh jutawan Lim Lean Teng bagi meraikan ulangtahun ke-25 perkahwinan King George V dan Queen Mary. Menara tersebut bagaimanapun siap pada tahun 1920, setahun selepas perayaan jubli perak.

Selain daripada Lembah Bujang yang bersejarah, aku juga sempat berkunjung ke Tanjung Dawai yang ketika itu ada Karnival Pantai. Ramai sungguh orang di sana. Tg Dawai pada asalnya memang terkenal dengan hasil lautnya seperti ikan kering, sotong kering, ikan bilis, keropok dan belacan.

Suatu yang begitu mengkagumkan aku ketika di Sg petani ialah melihat dan merasai RFC atau Radix Fried Chicken. RFC merupakan usaha yang dilaku oleh HPA dalam meluaskan penglibatan mereka dalam industri makanan halal. Nampaknya restoran mereka setanding dengan KFC. Siap ada wifi dan taman permainan kanak-kanak.

Ayam gorengnya agak keras sikit, yealah ayam organik. Rempahnya kena improve jika nak berlawan dengan KFC. Manakala kentang putarnya kurang lembu. Tetapi Cola Radix memang mengancam !!! Anyway memang mengkagumkan dan wajar diperluaskan ke kawasan berpendudukan Melayu Islam sebagai satu alternatif.

Bukan itu sahaja, malah berhampiran dengan RFC, turut ada Hotel HPA, Bakery HPA, Radix Orientals Cusine dan stokis HPA. Melihatkan pelbagai restoran makanan segera lain, kedai makan jenama western, mungkin ini saingan yang hebat bagi RFC serta rangkaian HPAnya.

Di Sg Petani aku tinggal di Hotel Seri Malaysia. Nampak rekebentuk lama dan persekitarannya pun kurang menarik. Tetapi dah tak ada pilihan, aku pakai booking saja sebab asalnya nak jalan ke Lembah Bujang.

Sempat singgah ke Juru, menziarahi sepupu yang dipanggil Mek Ton. Agak jauh dari Sg Petani rupanya, ingatkan dekat aje. Tak apelah, sekurang-kurangnya kenal tempat

Share:

Kembara Cuti CNY2010 - Lembah Bujang

Sudah lama anakku Kausar bertanya dan mengajakku berkunjung ke Lembah Bujang. Pada 14 Februari bersempena dengan Cuti Chienese New Year 2010 lalu, kami berkesempatan ke sana. Dari hotel penginapan kami di Hotel Seri Malaysia Sg Petani Kedah, jaraknya kira-kira 19 kilometer sahaja. Agak ramai juga orang yang berkunjung ke Lembah Bujang ketika kami sampai di sana.

Daripada kunjungan tersebut dapat kutahu bahawa kewujudan Lembah Bujang serta tinggalan yang terdapat di sana menjadi penting bagi sejarah Malaysia, khususnya Kedah. Ia menjadi bukti kewujudan penempatan awal di sana serta kegiatan perdagangan yang aktif suatu masa dahulu.

Tinggalan kesan termasuk candi menunjukkan pengaruh Hindu yang dibawa oleh pedagang India serta menetap di kawasan tersebut. Memang ini menunjukkan pengaruh Hindu lebih awal datang berbanding Islam, tetapi tidak menunjukkan orang Hindu sebagai pribumi asal di Malaysia suatu ketika dahulu.

Nampaknya kesan sejarah di sana dijaga dengan baik. Bangunan yang menempatkan pengkisahan sejarah, gambar serta tinggalan orang dulu di simpan dengan baik dalam sebuah bangunan yang didirikan di situ. Candi-candi juga dikawal oleh pengawal yang ditugaskan. Mungkin sama ada hendak mengelakkan pemusnahan atau pemujaan oleh pengunjung. Anyway, melawat Lembah Bujang merupakan suatu pengalaman yang menarik dan berbaloi untuk dikunjungi.

Sebagai catatan yang agak mudah difahami, berikut disertakan petikan daripada internet untuk melatari gambar-gambar yang sempat kami rakamkan.

Sejarah Awal Lembah Bujang
Catatan dipetik dari http://memori-kedah.net

Lembah Bujang merupakan salah satu tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia kerana mempunyai pelbagai khazanah tinggalan zaman. Kedudukan Lembah Bujang adalah merangkumi kawasan seluas 144 batu persegi dengan pembatasan Bukit Choras di bahagian Utara, Sungai Muda di bahagian Selatan, Selat Melaka di bahagian Timur dan Lebuhraya Utara - Selatan di bahagian Barat. Kedudukan ini dianggap strategik kerana amat sesuai dijadikan destinasi bersejarah.

Ramai pelancong yang datang ke Lembah Bujang tertarik dengan tinggalan sejarah di tapak arkeologi atau carigali seperti runtuhan candi, struktur bandar dan pelabuhan terpendam, ratusan ribu pecahan seramik, kaca dan manik dari China, Asia Barat atau Tanah Arab serta dari India, patung-patung dan arca, batu bersurat serta peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kuno. Penemuan semula semua artifak sejarah ini telah membuktikan bahawa telah wujudnya sebuah petempatan dan kerajaan pada masa yang lampau di Lembah Bujang.

Kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang.

Nama Lembah Bujang adalah merujuk kepada perkataan Sanskrit iaitu nama pangkal "Bujang" atau "Bhujangga" yang bermaksud ular atau naga yang melambangkan kemakmuran sesuatu tempat. Kemakmuran Lembah Bujang telah menarik minat ramai pedagang, terutama daripada India, China dan Arab untuk singgah di sini. Manakala perkataan "Bhujangga" diambil daripada perkataan asal iaitu "Phujangga" yang membawa maksud golongan cerdik pandai atau "Brahmin" di dalam sistem kasta Hindu. Dengan erti kata lain, nama Lembah Bujang diambil daripada perkataan Sanskrit yang mempunyai pengaruh Hindu - Buddha.

Lembah bujang berkembang sebagai sebuah petempatan dan pelabuhan kerana mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Kebiasaannya, sesebuah tempat atau kawasan dipilih sebagai petempatan adalah berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya ialah mudah didatangi kerana kemudahan pengangkutan contohnya sungai dan jalan darat yang baik, terlindung daripada bencana semulajadi dan serangan lanun serta bekalan makanan yang mudah didapati.

Keadaan muka bumi Lembah Bujang sangat sesuai sebagai sebuah petempatan kerana mempunyai pantai dan tebing di sepanjang Sungai Merbok yang mudah dimudiki, jalan air semulajadi di sepanjang Sungai Muda dan cerun bukit yang membolehkan pedagang berlindung. Kemudahan jalan air ini dikatakan menarik minat pedagang-pedagang untuk singgah di Lembah Bujang. Pedagang-pedagang terutamanya dari China akan menggunakan jalan air ini sebagai jalan pintas untuk pergi ke pelabuhan kerajaan-kerajaan lain seperti Langkasuka dan Srivijaya. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat yang penting pada abad ke-4 hingga abad ke-11. Antaranya ialah pedagangan yang wujud antara China dengan India.

Pedagang-pedagang dari kedua-dua negara ini memerlukan tempat untuk mereka bertukar-tukar barang dagangan. Selalunya, tempat yang terletak di pertengahan jalan perdagangan kedua-dua negara akan dipilih sebagai pelaburan pertukaran barang. Lembah Bujang dilihat sebagai tempat yang sesuai di kalangan para pedagang untuk dijadikan pelabuhan untuk bertukar dan menyimpan barang-barang.


Pedagang dari China juga menggunakan Sungai Merbok sebagai jalan pintas untuk bertukar barang di pelabuhan kerajaan-kerajaan lain terutamanya Langkasuka. Sungai Merbok digunakan kerana ia dapat menjimatkan masa untuk cepat sampai ke destinasi perdagangan berbanding dengan penggunaan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang memaksa mereka mengelilingi seluruh Kepulauan Melayu.

Lembah Bujang juga berfungsi sebagai tempat menunggu pertukaran angin monsun di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Keadaan laut bergelora serta ribut laut yang berlaku semasa Angin Monsun Barat Daya bertiup di Selat Melaka dan Angin Monsun Timur Laut di Laut China Selatan memaksa pedagang-pedagang mencari tempat untuk berlindung dan Lembah Bujang merupakan tempat yang sesuai untuk pedagang-pedagang berlindung.

Para pedagang juga turut berdagang dengan penduduk-penduduk tempatan di sekitar Lembah Bujang. Menurut H.G Quarith Wales, kawasan Lembah Bujang memang telah sedia didiami oleh masyarakat pribumi yang terdiri daripada Orang Asli dan mengamalkan sistem ekonomi sara diri bergantung kepada pertanian dan hasil hutan seperti damar, rotan dan kayu-kayan.

Barang-barang ini sangat diperlukan oleh para pedagang untuk perdagangan mereka, manakala masyarakat tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar, barang pertukangan untuk keperluan harian mereka.

Masyarakat Asli ini menganuti fahaman animisme dan mudah menerima nilai-nilai baru. Ini memudahkan para pedagang yang membawa bersama mubaligh-mubaligh bagi mengembangkan ajaran agama masing-masing, sebagai contoh Pedagang India telah berjaya mengembangkan agama Hindu dan Buddha pada abad ke-5 di Lembah Bujang. Lembah Bujang seterusnya berkembang menjadi pusat penyebaran agama Hindu - Buddha yang terkenal kerana sikap terbuka penduduknya dan tiada langsung menerima penentangan daripada masyarakat tempatan.

Selain itu, Lembah Bujang juga berkembang sebagai petempatan dan pelaburan disebabkan oleh fungsi Gunung Jerai. Kedudukan Gunung Jerai yang merupakan gunung tertinggi di Barat Semenanjung Tanah Melayu menjadikan kawasan Lembah Bujang sebagai tempat penting.

Pedagang-pedagang telah menjadikan Gunung Jerai sebagai petunjuk arah dan panduan untuk mengelakan mereka sesat terutama pada waktu malam. Puncak Gunung Jerai dapat dilihat dengan jelas dari lautan.

Bagi pedagang dari India pula tertarik dengan keadaan berdekatan dengan Gunung Jerai terutama Lembah Bujang kerana mempunyai banyak air terjun dan subur untuk pertanian. Menurut ajaran agama Hindu, tempat tinggi seperti Kaki Gunung Jerai adalah tempat suci. Oleh itu, mereka memilih Lembah Bujang untuk mengembangkan Agama Hindu.

Abad ke-4 hingga abad ke-11 merupakan zaman kegemilangan Lembah Bujang. Lembah Bujang telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting di antara Laut Mediteranean dan China. Lembah Bujang pernah berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Ini membantu Lembah Bujang menjadi sebuah pelabuhan yang pesat.

Ramai pedagang yang singgah di sini untuk berdagang dan bertukar barang. Pedagang-pedagang China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai "Yeh-po-ti" dan "Chieh Cha".

Pedagang India pula menggelarkan Lembah Bujang sebagai "Kataha", "Katahanagara", "Kidaram", "Kadaram" dan "Kalagam" manakala pedagang dari Arab mengenalinya sebagai "Kalah" atau "Qalha". Lembah Bujang juga terdapat di dalam catatan dan sumber bertulis Barat. Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai "Quedah", "Quedaram", "Kheddah", "Gedda" dan sebagainya.

Peninggalan Agama Hindu - Buddha yang ditemui di Lembah Bujang merupakan kesan daripada proses kemasukan agama Hindu - Buddha melalui perdagangan. Ia juga menunjukkan bahawa "Proses Penghinduan" atau "Indianisasi" berlaku dengan ketaranya di utara Tanah Melayu.

Lamb (1959) telah mengemukakan beberapa peringkat perkembangan kebudayaan di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya.

1. Peringkat Perkembangan Awal Pengaruh Buddha.
Peringkat ini bermula pada abad ke-4. Kawasannya meliputi Bukit Meriam, Bukit Choras dan sekitar tepi pantai. Agama Buddha di bawa masuk melalui aktiviti perdagangan. Banyak candi dibina dan ditemui di kawasan-kawasan ini.

2. Peringkat Kegemilangan Kerajaan Srivijaya.
Pada abad ke-7 hingga abad ke-9, Lembah Bujang berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang turut berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Hindu di nusantara kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Kerajaan Srivijaya.

3. Peringkat Pengkalan Bujang.
Peringkat ini merangkumi abad ke-10 hingga abad ke-14. Lembah Bujang telah mencapai taraf pelaburan entrepot. Agama Hindu-Buddha telah berkembang ke kawasan Matang Pasir, Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu.

4. Peringkat Kuala Muda.
Peringkat ini berlaku pada abad ke 14. Perubahan muara Sungai Muda telah menyebabkan perkembangan kebudayaan semakin malap. Candi-candi banyak dibina di kawasan pedalaman.

Ahli-ahli sejarah lain pula mengatakan agama Hindu-Buddha dibawa masuk ke Lembah Bujang melalui tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap Buddha awal. Ia berlangsung dari abad ke-4 hingga abad ke-5. Mubaligh-mubaligh agama Buddha telah masuk untuk berdagang bersama pedagang-pedagang India.

Tahap kedua ialah tahap Hindu iaitu penganut Dewa Siva. Tahap ini berlaku dari abad ke-6 hingga abad ke-8. Pada masa ini, Kerajaan Srivijaya ialah pusat penyebaran agama Hindu yang terkenal. Ia sekaligus dibawa ke Lembah Bujang melalui aktiviti penaklukan, perkahwinan dan hubungan diplomatik. Pada masa itu, Lembah Bujang masih berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang seterusnya menjadi pusat agama Hindu menggantikan Srivijaya.

Tahap yang terakhir ialah tahap Buddha aliran Mahayana. Ia bermula pada abad ke-9 hingga abad ke-14. Pada masa ini, penduduk tempatan telah berkemahiran membina candi dan menguasai tulisan India terutamanya tulisan "Pallawa".

Pengaruh Lembah Bujang mula merosot apabila agama Islam dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab dan kemunculan beberapa pelaburan baru seperti Melaka, Acheh, Singapura dan sebagainya. Penduduk sekitar Lembah Bujang mula menganut agama Islam dan menghapuskan bukti-bukti peninggalan agama Hindu-Buddha.

Selain itu, perubahan muara Sungai Muda dan sungai-sungai berdekatan yang semakin cetek menyebabkan pedagang beralih ke pusat perdagangan lain.

Penulisan sejarah di Kedah Tua amat bergantung kepada peninggalan-peninggalan arkeologi di Lembah Bujang. Proses carigali adalah salah satu kaedah arkeologi. Penyelidikan terhadap arkeologi di Lembah Bujang telah dimulakan pada sekitar tahun 1840an oleh Kolonel James Low. Penemuan ini menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk membongkar sejarah Kedah Tua.

Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.

Tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah tadi mengandungi pelbagai tinggalan sejarah, seperti struktur atau jumpaan artifak sama ada berkaitan dengan perdagangan atau yang berkaitan dengan artifak keagamaan atau struktur bangunan candi.

Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.

Kebanyakan barang-barang yang ditemui ini dibuat daripada tanah liat. Bahan binaan untuk candi pula terdiri daripada batu bata, batu sungai, mineral laterit dan batu granit.

Terdapat beberapa candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19,21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).

Candi-candi ini menjadi bukti bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pusat penyebaran agama Hindu suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan. Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.
Share:

Di Majlis Bacaan Yasin & Doa Kesyukuran Hari Wilayah 2010

Pada 4 Februari 2010 yang lalu, satu Majlis Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan telah diadakan di Masjid Besi Putrajaya. Aku hadir lantaran diminta oleh gurunya untuk hadir. Memang jelas sekali pada majlis tersebut, majoriti atau ku kira 70% adalah terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah sekitar Putrajaya.

Ini dapat dilihat dengan gaya pakaian mereka. Mereka diangkut dengan pulohan bas Nadi Putra dari sekolah mereka. Tetapi memandangkan jarak antara rumahku dengan Majisd Besi lebih dekat berbanding dengan sekolah anakku, baik aku hantar terus ke masjid sahaja.

Antara VIP yang hadir ialah Menteri Wilayah, Ahli Parlimen Putrajaya dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya. Ku kira sambutan atau ataucara majlis simple sahaja. Dari solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, tahlil dan solat isyak. Kemudian jamuan yang ku kira agak grand juga sebab makan berhidang.

Sedang aku mengikut tahlil, tetiba seorang pelajar lelaki menegurku. “Packik orang Saujana Utama kan ?”, tegur seorang pelajar berbadan kecil, lengkap berbaju dan seluar putih.

“Ya, kenapa ?”, jawabku antara serba salah nak ikut tahlil atau nak layan budak ini.

“Saya orang Saujana juga, tadi nampak pakcik ambil gambar, patutlah macam kenal aje”, sambung pelajar tu. “Sayalah yang nyanyi atas pentas dengan Inteam itu hari”, baru aku dapat agak, ini tentunya pelajar KIDaS.

“Oh begitu, tapi buat apa di sini ?“.

“Saya baru daftar masuk Sekolah Alam Shah Putrajaya seminggu lalu”, balasnya.

“Oh, berapa orang Saujana dapat masuk Alam Shah”. “Saya seorang saja pakcik”.

“Anak siapa ?”, tanyaku balik. “Ayah nama Amir Sham tinggal di Cemara 11”, jawabnya.

“Oh ! yang dekat dengan rumah Cikgu Zamberi tu”, aku cuba mengingatkan kembali.

“Camana sekolah asrama penoh, ok ke ?”, aku cuba menduga lagi.

“Oklah setakat ini”, jawabnya sambil tersenyum-senyum.

“Takpa lah pakcik, saya berundur diri dulu”, sambil dia tunduk hormat dan menghulurkan salam. Pelajar tersebut kemudian beredar ke kumpulan kawan-kawan sekolahnya.

Walaupun detik perbualan dengan pelajar tadi agak singkat, namun aku rasa bersyukur sebab walaupun masih peringkat kanak-akan atau awal remaja, namun agak ‘berjurus’, berani dan tidak sombong untuk menegur ku. Walaupun telah terpisah, namun ingatan ketika berada di Saujana Utama nampaknya masih belum luntur.

Malam itu kebetulan aku menonton Beritam TV1 jam 12.00malam dan berita tentang majlis tersebut turut mendapat liputan. Aku dapat lihat sendiri wajahku muncul dalam TV … ha ! ha ! tetapi kecik dan kejap aje …

Share:

Nota Cinta - Taruhan Terbaru Saujana

The last album nasyid yang aku beli sebelum ini ialah album Azahan, kekira 6 bulan lalu. Malah tahun 2009 menyaksikan tidak banyak album nasyid diterbitkan. Yang banyak ialah kompilasi lagu-lagu lama, alunan zikir serta bacaan tarannum. Apakah industri nasyid negara semakin merudum. Entahlah. Masih terkejut dengan pemergian Ustaz Asri Ibrahim ? Tetapi last week aku kebetulan singgah di kedai menjual cd/kaset, lalu ternampak album baru dari kumpulan nasyid Saujana. Lalu aku cekut satu …

Kukira album terakhir Kumpulan Nasyid Saujana sebelum ini ialah 4 tahun lalu iaitu kolaborasi dengan Kumpulan Nowseeheart dalam satu album. Maknanya setelah 4 tahun, kini Saujana tampil dengan album mereka sendiri di bawah terbitan Hijjaz Records. Ternyata Saujana kini benar-benar mempertaruhkan bukan sekadar yang menjadi judul albumnya, tetapi lagu Nota Cinta yang begitu mengasyikkan. Pertama kali ku dengar lagu Nota Cinta, ku ulang dan ulangi beberapa kali sebelum berpindah ke track ke-2. Ternyata lagu Nota Cinta begitu istimewa dan bakal meletup dalam carta nasyid.

Berkonsepkan irama nasyid progresif, Saujana memilih untuk memuatkan genre muzik seperti pop, samba, inang dan balada, demi menepati kehendak pendengar agaknya. Diterbitkan Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB), album ini diedarkan Warner Music (M) Sdn Bhd dengan kerjasama HRSB. Berbanding dengan 6 album kumpulan Saujana sebelum ini, jarang diselitkan diantara lagu qasidah, doa, selawat atau zikir. Tetapi dalam album ini diselitkan perkara tersebut yang mungkin itu trademark terbitan HRSB.

Jika dalam album sebelum ini, Saujana dianggotai oleh 5 ( Suffian, Hakimi, Azalinor, Faizul dan Idzwan ) tapi dalam album ini Saujana dianggotai oleh Sufian Amrin, 29, Azalinor Abd Rahman, 29, serta dua anggota baru, Zuhaidi Aziz, 31 dan Wan Najran Wan Mohd Noh, 25. Biasalah ahli kumpulan sentiasa berubah. Tetapi suatu ketika Mac last year, kecoh sikit apabila Idzwan yang bertitle Dr dengan nama penuhnya Dr Khairul Idzwan Baharin mencuba nasib dalam audition program reality TV, One In A Millionare ( nak ikut jejak langkah Faizal Tahir from Mirwana kot ) dengan gaya ‘lelaki lembut’.

Dalam album yang memuatkan 14 lagu kali ini, aku menjangkakan lagu seperti Nota Cinta dan Patah Hati yang dicipta Hafiz Hamidun dan lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya ( pengacara TV3 ) akan menjadi pilihan pendengar. Lagu Jika Terakhir Buatku pula begitu mendalam maksud senikatanya.

Lirik Lagu Saujana - Nota Cinta

Andainya dapat ku menulis
Nota-nota cinta buat diri Nya
Inginku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga yang indah berseri

Kusembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke syurga

Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada Nya
Kasehku balas cinta Nya
Setiaku balas kasih Nya
Kasihku kasih yang setia pada yang punya

Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat Nya
Akurku kebesaran Nya
Teragung Maha Suci Nya
Taatku hamba yang hina pada Pencipta

Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasih Nya tak pernah akan musnah
Belas rahmat Nya terus mencurah-curah
Nur hidayah Nya semakin cerah

Sebernarnya apabila menyingkap lagu-lagu nasyid dari kumpulan Saujana ini, lagu berjudul Saujana dengan pengaruh Jepun dalam albumnya sebelum ini mempunyai makna tersendiri bagi ku. Lagu tersebut telah aku jadikan sebagai lagu latar dalam promo rayuan mendapatkan sumbangan bagi mendapatkan dana bagi membina bangunan Kafa Integrasi Darul Syahadah ( KIDaS ) tahun 2006. Promo tersebut juga dimainkan semasa ceramah Israk & Mikraj di Surau Al-Hidayah yang disampaikan oleh Ustaz Akhil Hayy. Klik untuk imbasan promo tersebut.

Teringat bagaimana aku beserta anak-ku Rahman membangunkan promo berkenaan dengan menggunakan teknologi Flash yang ketika itu agak baru lagi. Ramai yang tertarik dengan promo tersebut serta tertanya-tanya siapa yang menyanyikan lagu Saujana. Kebetulan sebenarnya aku tercari-cari apa lagu latarbelakang yang hendak digunakan. Tetiba album baru Saujana diterbitkan dan aku pun tanpa teragak-agak memasukkan lagu Saujana yang istimewa tu sebagai latar belakang.

Sekarang, sekiranya aku terdengar lagu Saujana, pastinya akan mengenangkan ku kembali kepada saat-saat sukar dan mencabar dalam mendapatkan sumbangan bagi mengisi Tabung Pembinaan Bangunan KIDAS. Syukur alhamdulillah, berkat sokongan daripada semua pihak, akhirnya bangunan tersebut berjaya dibangunkan. Terima kasih Saujana dan terima kasih penduduk Saujana Utama.

Share:

Selamat Maju Jaya KIDaS

Pada 17 Januari 2010 yang lalu, aku berkesempatan menghadiri Program Motivasi KIDaS yang diadakan di Hotel De Palma Kuala Selangor. Program telah dirasmikan oleh Ustaz Kahfi Ngiso, Penyelaras KAFA Kuala Selangor. Program seumpama ini memang menjadi acara tahunan anjuran AJK Pengurus KIDaS dalam usaha menjadikan KIDaS terus cemerlang.


Sejak aku berpindah ke Putrajaya, walaupun perletakan jawatan belum dibuat secara rasmi, namun segala perjalanan KIDaS nampaknya diurus dengan baik oleh AJK Pengurus yang tinggal. Alhamdulillah dan memang aku yakin akan kemampuan serta dedikasinya mereka.

KIDaS bermula pada sesi sekolah tahun 2002 dengan menyewa rumah tiga bilik yang juga digunakan sebagai surau sementara. Kemudian disebabkan murid yang semakin ramai, berpindah pula di deretan rumah kedai. Kemudian KIDaS berjaya menumpang di premis SK Saujana Utama pada tahun 2004. Kemudian KIDaS kembali ke rumah kedai yang disewa pada tahun 2005 dan sebahagian kelas di SMK Saujana Utama pada tahun 2005.

Pada tahun 2005 juga suatu sejarah dicatat apabila sebahagian murid KIDaS terpaksa belajar dalam kontena. Ini kenangan yang menarik sehingga aku serta AJK ku masuk TV beberapa kali atas isu ini. 5 unit kontena bersaiz 10 X 40 yang tiap satunya menempatkan 2 kelas dengan pelajar serami 20 - 25 orang setiap kelas.

Akhirnya atas usaha bersama, bangunan KIDaS dua tingkat dengan 10 bilik darjah dapat dibangunkan di dalam kawasan surau. Malahan kelulusan tidak rasmi juga baru diterima iaitu permohonan KIDaS untuk mendapatkan tanah tambahan di sebelah Surau Al-Hidayah telah diperolehi. Selari dengan pagar sekarang, terus tegak sehingga ke kebun tebu. Luas memang luas, berbanding cadangan asal iaitu sekadar 40 kaki dari pagar sekarang sahaja. Alhamdulillah ... usaha yang dilakukan akhirnya berhasil.

Mengapa aku serta AJK yang lain bersusah payah melakukan semua ini. Sudahlah pening dengan cabaraan dan kesibukan kerja-kerja di pejabat, balik rumah kena fikir pulak hal KIDaS serta Surau. Bukan setakat tiada elaun sebagai AJK, malahan kena keluar pulak duit poket sendiri untuk duit minyak ke sana kemari. Bukankah lebih baik rehat luangkan masa bersama keluarga, khususnya pada hujung minggu.

Aku kira walaupun usaha yang dilakukan ini hanyalah sekelumit perjuangan dalam menegakkan agama Allah, namun harapan meninggi agar ianya menjadi amal jariah yang diterima Allah sebagai bekalan pada hari akhirat nanti. Inilah yang memotivasikan diri. Walaupun pelbagai cabaran dan rintangaan di tempuhi, aku yakin akan janji-janji Allah bahawa atas setiap kebaikan yang dilakukan, akan ada balasannya di sisi Allah. Kalaupun tidak di dunia ini, balasan yang lebih abadi di akhirat nanti.

Sekurang-kurangnya ada 3 doa khususku tentang Surau Al-Hidayah dan KIDaS semasa aku di Mekah dan Masjidil Haram tahun lepas, iaitu memohon pengekalan solat Jumaat di Surau Al-Hidayah, kelulusan permohonan mendapatkan tanah untuk KIDaS dan doa agar semua AJK, tenaga pengajar dan pengerak Al-Hidayah dan KIDaS akan mendapat kerahmatan Allah, kekuatan, kesejahteraan, diperluaskan rezeki dan keberkatan hidup. Aku yakin sebagaimana juga kata maksud sebuah lagu, 'what you give, you get back'. Sekiranya kita ikhlas pasti balasan daripada Allah akan diterima dalam pelbagai bentuk yang tidak kita sangka-sangka.

Untuk barisan peneraju KIDaS seterusnya, Selamat Maju Jaya. Teruskan perjuangan untuk mencari keredhaan Allah. Maaf atas segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan. Tahniah dan terima kasih kerana membantu para ibubapa mendidik anak-anak dengan asas Al-Quran dan Fardhu Ain.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.