Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Umrah Keluarga 2011 : Umrah Ke-3 Dan Panas Giler !!

07 Jun 2011 – Umrah Ke-3 Dan Panas Giler

Bangun awal untuk Umrah kali ke-3. Tetapi hanya tinggal bertiga sahaja. Yang lain keuzuran. Aku ambik keputusan untuk tidak bawa kamera kali ini. Kalau ada apa-apa pun harapkan handphone ku saja. Makumlah, semalam pun sudah kena rampas. Nasib baik dapat semula. Sampai sahaja di bawah hotel, lalu sebuah kereta agak burok menawarkan perkhidmatan taxi untuk ke Tanaim. Tanya berapa rial, dijawabnya dalam bahasa Arab. Yang aku fahami pergi dan balik SR10 sahaja. Yealah kereta buruk macam tu, takkan nak caj mahal. Entah macamana aku setuju dan kami pun naik.

Alamak, bukan main panas dalam kereta. Tingkap tak boleh tutup. Aircond tak ada, kerusi pulak burok sangat. Sungguh tidak selesa. Dalam kereta kami senyap, agaknya senyap kerana menahan kesiksaan naik taxi ini. Sampai sahaja di Tanaim, pemandu tu berkata seolah-olah kami kena bayar SR10 untuk pergi dan SR10 balik setiap seorang. Sudah jadi SR60 semuanya. Ini tidak boleh jadi, kata hatiku. Lalu aku bayar aje SR30 untuk tiga orang dengan harapan kami tidak akan naik semula kereta ini. Tidak padan dengan keadaan kereta !!! Berdasarkan pengalaman, aku tahu ada banyak kenaikan lain boleh didapati di Masjid Aisyah ni untuk kembali ke Masjidil haram.

Lepas solat sunat ihram, aku sapa seorang pemandu yang sedang mencari pelanggan untuk ke Tanaim. Lalu aku tanya berapa rial, memula dijawabnya SR10, tapi aku berikan isyarat tanganku bagi menunjukkan SR5 setiap seorang. Halal halal kata beliau, maka aku pun setuju. Maka kami pun menaiki van lain dari Tanaim kembali ke Masjidil Haram. Aku Nampak kereta burok tadi masih ada, agaknya menunggu kami. Ah, peduli apa.

Van memuatkan kira-kira 10 orang. Kami dihentikan untuk kami turun berdekatan dengan Pintu Umar Abdul Aziz, ok juga. Tidak pernah ikut pintu ini. Aku bayar saja SR 15 untuk 3 orang. Tapi anakku bising merungut, lain kali jangan naik kereta buruk macam itu. Naiklah taxi putih Makkah yang biasa tu.

Masuk Hijir Ismail
Kami dapat selesaikan tawaf dengan lancar seperti biasa. Sebaik selesai pusingan ke-7, kami mengikuti arus ramai sambil mendekat Kaabah dan cuba masuk ke dalam Hijir Ismail. Ia merupakan kawasan di dalam binaan setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Menurut beberapa hadis, solat di dalam kawasannya bermakna solat di dalam Kaabah dan merupakan antara tempat mustajab berdoa.

Orang memang bersesak dalam Hijir Ismail. Kami bertiga berjaya masuk tetapi belum dapat ruang untuk solat. Tetapi makku macam kurang selesa dan tersepit dalam kesempitan asakkan orang ramai. Lalu aku mintanya tunggu di luar tempat masuk tadi.

Akhirnya aku berjaya dapat tempat dan juga anakku. Seorang jemaah yang habis bermunajat, beredar dan memberikan ruang kepada ku tetapi meminta anakku berada di belakang bersama jemaah perempuan lain. Tidak dibenarkan dalam Islam katanya dalam bahasa Inggeris. Betul juga. Tetapi Alhamdulillah, dapat solat sunat dan berdoa dalam Hijir Ismail dalam keadaan yang agak selesa jugak. Tetapi tidak sempat nak baca doa sebagaimana dalam buku yang aku bawa. Semoga Allah menerima doa kami.

Mengusap Rukun Yamani
Keluar dari Hijir Ismail, mak aku sedang menunggu. Kami berpeluang menyentuh kelambu kaabah yang hitam tu. Aku kira sama saja seperti pernah ku sentuh dulu. Kelihatan ramai orang yang sedang meratap dan mendakapi kelambu Kaabah. Tetapi yang kami cari ialah Rukun Yamani yang terletak di bucu terakhir mengikut pusingan tawaf sebelum rukun Hajarul Aswad.

Terdapat hadis yang menyebutkan, ‘Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarul Aswad akan menghapuskan kesalahan ( dosa ) ( H.R Ahmad ).

Manakala dalam sebuah hadis lain, dari Ibn Umar r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w, ‘Sesungguhnya mengusap Hajarul Aswad dan Rukun Yamani menghapuskan dosa-dengan sungguh-sungguh’ ( H.R Bukhari ). Itu yang kami cari dan akhirnya dapat dengan mudah sekali. Tidak ramai orang di sana, sebaliknya tumpuan ramai tetap di Hajarul Aswad.

Anakku tanya, tak mahu cuba ke abah. Lain kalilah. Nak masuk ke Hajarul Aswad dengan berihram, bimbang terlerai pulak kain ihram dari badan. Alhamdulillah dapat masuk Hijir Ismail dan dapat mengusap Rukun Yamani. Apakah ini balasan Allah s.w.t atas kesabaran dengan kesusahan yang dialami semasa menaikki taxi tadi ?

Anakku kata tangannya tersentuh dengan tangan lelaki lain semasa mengusap Rukun Yamani tadi. Jadi nak kena ambik wudhu nampaknya sebaik selesai umrah. Itu tidak menjadi masalah lantaran penghujung umrah nanti ialah di Bukit Marwah dan itu berdekatan dengan bilik air.



Shopping Lagi
Lepas sarapan pagi, kami berjalan ke Makkah dan Safwah Tower untuk melihat-lihat apa lagi yang boleh dibeli di kedai-kedai yang terdapat disana, sambil jalan-jalan. Dah beberapa kali nak ke sini, tapi tergendala sahaja. Kedua-dua tower tersebut mempunyai kompkeks membeli belah selain hotel di atasnya. Nampak agak mewah kedai-kedai di Makkah Tower, tetapi ketika kami di sana masih banyak kedai yang belum dibuka. Masih awal ke ?

Aku berjaya draw duit dengan ATM Bank Ar-Rajhi yang terdapat di sini. Aku sebenarnya perlukan cash. Kebanyakkan kedai-kedai pulak tidak nampak ditampal tanda yang mereka menerima pembayaran menerusi kad kredit.

Kedai-kedai di kompleks Safwa Tower, walaupun banyak kedai telah dibuka, tetapi tidaklah ramai pengunjungnya semasa kami di sana. Boleh survive ke peniaga di sini ? Entahlah, apakah orang belum bangun tidur atau memang kurang pengunjung kerana menjangkakan harga barangannya lebih mahal berbanding daripada tempat lain. Yealah nak cover bayaran sewa yang tentunya mahal berbanding kedai-kedai biasa.

Melihat barangan yang terjual, tidak ketemu pun mana yang buatan Malaysia. Yang banyaknya barang buatan China, Bangladesh, India, Indonesia, Thailand dan Turki. Sedangkan jemaah haji atau umrah dari Malayisa bukan main ramai. Apakah barangan Malaysia tidak mencapai standard atau ada kelas yang tersendiri. Kalau nak ikutkan, barangan China yang terdapat di sini pun walaupun memamg murah tetapi kualitinya tidaklah bagus sangat. Namun umum mengetahui kos buroh di China memang murah. Itu yang jubah-jubah Made in China di sini murah-murah berbanding yang dijahit di Arab Saudi.

Sana sini, asyik kelihatan orang Malaysia saja. Sehingga anakku bertemu dengan ex-classmatenya. Apakah kerana orang Malaysia kita suka shopping ? Atau suka shopping di tempat-tempat seperti di Makkah atau Safwah Tower berbanding kedai-kedai tepi jalan.

Habis shopping kami minum-minum di Restoran D’Saji Felda lagi. Setelah kesejukan berada dalam bangunan Safwa Tower, terasa panas apabila keluar bangunan untuk berjalan pulang ke hotel penginapan.

Wifi Percuma
Beberapa kali sempat aku update blog maklimah.blogspot serta hantar berita dalam www.saujanautama.net menerusi kemudahan internet percuma yang terdapat di lobi hotel sahaja. Mereka menggunakan ‘sekuriti key’. Nak dapat memula dulu bukan main seksa, sebab orang di kaunter hotel tidak faham English, apatah lagi Melayu.

Anak-anakku pun ambik kesempatan sama berkongsi dengan netbook yang dibawa. Sengaja aku bawa netbook untuk memudahkan aku membuat cacatan perjalanan Umrah ini dan save gambar-gambar yang dibawa. Masa aku ke Makkah menunaikan haji dahulu, tiada kemudahan Wifi di hotel penginapan. Mungkin zaman telah berubah, wifi jadi seperti keperluan. Lagi pun masa tu aku belu memiliki netbook.

Tazkirah II
Selepas solat asar, diadakan majlis tazkirah yang disampaikan oleh ustaz yang sama tempohari iaitu Ustaz Adli, pensyarah UTM. Dalam ceramahnya al-Ustaz meminta kita menyemak kembali niat mengapa kita berada di sini, asas serta tanggungjawab utama iaitu penyembahan kepada Allah.

Al-Ustaz juga mengingatkan dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang tempuhi. Walau pakej harga berapa pun, cabaran dan ujian tetap ada. Tidak perlulah datang kesini dengan ego diri. Apa yang perlu ialah sejauh mana kesabaran kita menghadapinya. Selain daripada itu, al-Ustaz memberikan tips bagaimana nak rasa sejuk dengan air-cond di Masjidil haram.

Mengakhiri tazkirah, ustaz menyebutkan beberapa tips untuk mencium Hajarul Aswad. Antaranya solat taubat, solat hajat dulu serta memohon doa kepada Allah sebelum merapati tempat Hajarul Aswad berada, mengikut arus jemaah tawaf. Tanamkan juga keyakinan pada diri. Kata al-Ustaz, jika bernasib baik askar penjaga yang sentiasa berada di sebelah Hajarul Aswad tu akan memberikan peluang kepada jemaah wanita Malaysia yang kelihatan tubuh fizikalnya kecil sedikit untuk masuk mencium. Entahlah, aku sebenarnya macam tak berapa teringin nak kucup Hajarul Aswad. Cukuplah bagi isyarat sahaja.

Tidur Awal
Entah kenapa aku terasa terlalu letih hari ini. Terasa bahang kepanasan yang naik ke muka membakar. Siang tadi ada orangkata suhu mencecah 45, ada yang kata 47 walaupun kat TV macam paparkan 44 Celcius. Mungkin itu dalam ramalan cuaca. Sebaik solat Isyak, aku terus masuk tidur sementara ahli keluargaku lain pergi makan malam.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-11
Share:

Umrah Keluarga 2011 : Ziarah Hudaibiyah

06 Jun 2011 – Ziarah Hudaibiyah

Bersemangat untuk program ziarah lagi hari ini. Sebagaimana diminta, 6.30 telah turun. Tetapi seperti biasa, bas lewat tiba dan naik bas pun pakai naik saja tanpa mengikut kumpulan tertentu sebelum ini. Agaknya bagi TA ini yang mudah. Tidak payah nak fikirkan siapa naik yang mana. Tempat tujuannya sama juga. Syarikat TA yang sama juga. Janji semua dapat pergi dan balik.

Berbanding ziarah Ja’ranah, kami difahamkan perjalanan ke Masjid Hudaibiyah lebih jauh. Aku kira suatu binaan yang agak menakjubkan dan banyak terdapat di Makkah ialah terowong. Walau tidak dinafikan bukit-bukit lain yang dibina terowong juga ditebuk, tetapi melihat bukit batu yang kaw-kaw solid batu terdapat disini, entah berapa lama masa diambil untuk menebuk lubang itu sahaja. Apa teknik dan teknologi yang digunakan ?

Jalan-jalan terowong tentunya banyak membantu dalam sistem penyuraian trafik di sekitar Makkah, khususnya Masjidil Haram. Makkah terletak di sebuah lembah yang dikelilingi dengan bukit-bukit batu. Bayangkan ribuan manusia saban hari mengunjunginya dari serata dunia dan bayangkan jutaan jemaah ketika musim haji. Pembinaan terowong itu juga telah memudahkan dan memendekkan perjalanan dari Makkah ke tempat lain khususnya Mina, Mudzalifah dan Arafah.

Terowong ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan dan kemudahan yang mengambilkira sistem pengudaraan, lampu, generator dan talipon sebagaimana yang kedapatan juga di negara kita. Malah terdapat terowong yang mengasingkan antara khusus untuk pejalankaki dengan terowong kenderaan. Dulu-dulu beberapa kali kita dengar kejadian yang menyebabkan ramai jemaah mati di terowong. Nampaknya sudah tidak kedengaran sekarang kejadian seumpamanya.

Lalu Muzium Dua Masjid Suci
Dalam perjalanan, kami hanya melewati atau melalui di hadapan bangunan Muzium Dua Masjid Suci ( Al-Haram dan Nabawi ). Pemandu pelancong hanya menunjukkan bangunannya dan mengatakan kami tidak akan singgah memasukkinya. Argh, kecewanya. Anakku asyik tertanya-tanya kenapa tidak masuk. Kecewa juga sebab banyak tinggalan asal yang terdapat di Masjid Nabawi dan masjidil Haram terdapat dalam muzium ini seperti kelambu kaabah, pintu masjid, rangka pagar telaga zam zam dan pelbagai lagi.

Aku tanyakan seorang urusetia TA, Tn Hj Nasaruddin, dia kata nak masuk agak susah sebab terhad dan kena dapatkan kebenaran daripada pemerintah.Ada beberapa TA di Malaysia dapat kebenaran tu. Jadi bila aku tanyakan adakah pihak TA ada memohon, katanya tidak. Kalau tiada, kenapa masukkan aktiviti ini dalam jadual program.

Pihak TA telah memberikan harapan yang tinggi kepada jemaah, tetapi kemudiannya memberikan pelbagai alas an, rupanya harapan palsu. Tapi aku pernah dengar dulu ada jemaah yang boleh pergi dengan teksi saja, tak payah minta kebenaran. Apakah zaman sekarang baru kena minta kebenaran ?

Ladang Ternak Unta
Seterusnya kami berhenti di suatu tepi jalan yang agak luas dengan kawasan lapang dan tandus. Rupanya kami singgah di ladang ternak unta. Kami begitu teruja. Wah banyaknya unta, bersih kulitnya dan kelihatan sihat tubuh badannya. Kelihatan bukan sahaja banyak unta di sini, tetapi juga kelihatan dari jauh, penternakan di tempat lain di sebalik padang tandus yang luas itu.

Kami pun mengambil peluang untuk lebih mendekati unta serta bergambar dengannya. Unta memang binatang yang begitu menakjubkan. Kebolehannya untuk tidak makan selama beberapa hari atau minggu serta tahan panas, menjadikannya mahluk yang cukup sesuai untuk hidup di padang pasir seperti di negara Arab. Bonggolan di atas badan menjadi tempat simpanan bekalan air untuknya. Harga seekor unta di sini adalah sekitar SR 3,000.

Namun apa yang turut menjadi tumpuan ramai jemaah ialah susu unta di satu khemah yang disediakan. Promosinya minum percuma, tetapi bawa balik SR5 dikenakan bagi setiap botol tanpa kira saiznya. Pada mulanya tidak dapat nak ku bayangkan bagaimana rupanya susu unta, apatah lagi keinginan untuk merasainya. Tetapi apabila sekali rasa, wau ... sedap lemak berkrim !!!

Tapi susu unta agak sukar didapati di kedai-kedai atau pasaraya sekitar Makkah setakat yang aku pergi. Susu unta dikatakan menguatkan antibodi serta tubuh badan. Agaknya kalau kat Malaysia, nak bagi laku kena buat susu unta campur Tongkat Ali atau Kacip Fatimah ... ha ! ha !

Masjid Hudaibiyah
Dalam bas, al-Ustaz menceritakan tentang Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani oleh Rasulullah s.a.w. Masjid yang kami akan singgah ialah Masjid Hudaibiyah, mengambil sempena dengan perjanjian tersebut. Masjid ini terletak kira-kira 25 km dari Makkah.

Di Hudaibiyah rombongan umrah Rasulullah s.a.w dihalang oleh kafir Quraisy daripada memasuki Makkah. Lantas Saidina Uthman Affan diutus untuk berunding dan kembali dengan butiran cadangan perjanjian gencatan senjata. Antara kandungan cadangan tersebut ialah Rasulullah s.a.w serta orang Islam dibenarkan masuk Makkah tahun depan selama tiga hari dan hanya bawa senjata bersarung serta gencatan senjata selama 10 tahun.

Terkandung juga dalam cadangan tersebut bahawa orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga hendaklah dikembalikan semula, manakala orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

Rasulullah s.a.w menyetujui cadangan berkenaan walaupun ada para sahabat yang tidak senang dengan kandungannya. Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’. Kemudian rombongan Rasulullah s.a.w kembali ke Madinah.

Di sebelah kanan kiblat masjid ini, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam bersimen. Selain dari menjadi tumpuan untuk jemaah umrah bermiqat, sebagaimana biasa suasana jualan pasar terbuka begitu rancak dilakukan di sini seperti di Masjid Ja’ranah.

Pembangunan Sekitar Masjidil Haram
Lepas solat Asar, aku cuba tinjau-tinjau kawasan yang sedang rancak dilaksanakan pembangunan. Pembngunan ini tentunya bertujuan untuk meningkatkan imej Masjidil Haram, selain bagi menampng keperluan jemaah yang semakin bertambah. Satu kawasan adalah di lereng sebahagian daripada bukit yang bertentangan dengan Menara Jam.

Kawasan ini masa akau kerjakan haji memang sedang rancak dengan aktiviti memecahkan batu-batuan. Habuknya masa itu tidak terkira. Tetapi kali ini pintu laluan masuk ke Masjidil Haram daripada kawasan ini nampaknya ditutup. Masa ku ke sini dulu, banyak kedai-kedai sementara di sini.

Satu lagi kawasan ialah seberang jalan sebelah kanannya. Dulu ada tertera berapa hari lagi nak siap projek, tetapi kali ini sudah tak ada. Apakah sudah tidak tercapai target atau ada perubahan dalam perancvangan. Atau rosak jam countdownnya. Apakah rupa Makkah khususnya sekitar Masjidl haram tiga epat tahun akan datang ?

Khatam Al-Quran ?
Aku masuk semula Masjidil Haram agak awal untuk solat Maghrib. Sampai sahaja, terus mencari ruang di lantai Kaabah, di tempat yang sudah redup sedikit. Di sana aku teruskan membaca al-Quran sehinggalah berjaya menghabiskan bacaan hingga suran An-Nas. Bermaknanya akhir ayat dan khatam al-Quran.

Memang hajatku hendak khatam sekurang-kurangnya sekali. Tetapi sebenarnya belum khatam. Aku hanya sambung bacaan setakat mana yang telah aku baca di tanah air dahulu. Silap aku tidak tandakan muka surat mana aku berhenti semasa di Malaysia, tetapi agak-agak sekitar muka surat 250 - 300. Memang agak sukar bagiku nak dapat membaca al-Quran berterusan dalam jangkamasa hususnya masa solat Zuhor dan Asar lantaran cuaca yang panas. Walaupun dalam Masjidil Haram, bahang kepanasan naik kemuka menyukarkan untuk membaca.

Buka Puasa
Entahlah,kenapa aku tidak terfikir untuk berpuasa di Makkah ? Mungkin sebab terasa berat atau kerana cuaca yang panas. Atau kerana terlalu memikirkan amalan lain yang hendak dicapai. Kalau nak kirakan sayang nak tinggalkan makanan yang disajikan oleh TA, tidak jugak.

Tetapi setiap Isnin dan Khamis, suasana persiapan orang hendak berbuka puasa jelas kelihatan. Ini sekurang-kurangnya mengingatkan kami bahawa hari ini adalah sama ada hari Isnin atau Khamis. Petang ini, tiba-tiba sahaja di hadapanku dibentangkan saprah plastik untuk orang berbuka puasa. Wah, rezeki nampaknya. Orang sebelahku ( orang Sabah ), makan saja tanpa tunggu azan maghrib. Yealah, nak juga hormat orang yang berbuka puasa. Maka aku makan saja setakat mana yang kelihatan boleh aku makan. Sesetengah hidangan tu, nampak macam pelik saja.

Sebaik azan berkumandang, mereka berbuka puasa dengan hidangan yang ada. Cepat-cepat makan dan habis azan sahaja, terus digulung saprah plastik dengan sisa hidangan. Tak kisah sama ada habis atau tidak. Tapi aku cepat-cepat tapau dalam plastic kecil, buah kurma yang dihidangkan. Agak sedap rasanya. Lepas tu terus solat sunat maghrib.

Pihak TA maklumkan esok 4.30 petang ada tazkirah di tempat biasa kami makan. Jadual asal tak ada pun program ini. Kami diberitahu ini dibuat lantaran tidak ramai dari kumpulan kami yang menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan semalam di Hotel sebelah, walaupun jemaah dari kumpulan TA kami juga.


Share:

Umrah Keluarga 2011 : Sekitar Masjidil Haram

5 Jun 2011 - Sekitar Masjidil Haram
Sebaik solat Suboh, ada program ziarah. Kami tidak join lawatan ke Rumah Kelahiran Rasulullah bermula 6.30 pagi ini. Rumah tu boleh dilihat dari jauh. Kalau mendekati pun bukan boleh masuk. Mungkin ada maklumat yang disampaikan semasa lawatan tersebut, tapi tidak menarik minat kami. Entahlah, ada ke kumpulan jemaah lain yang buat lawatan berkumpulan ke sana. Atau sekadar agenda tambahan sebagai pengisian dari pihak TA ?

Daripada maklumat yang aku terima daripada mereka yang mengikuti aktiviti berkenaan, tak ada apa pun. Bukan boleh masuk dalam perpustakaan tu, kejap sahaja 30 minit sudah siap semuanya. Sudah aku agak dah.

Pengurusan Jenazah
Seperti di Masjid Nabawi, di Masjidil Haram pun sering dilakukan solat jenazah sebaik selesai solat waktu. Jarang benar kalau tiada solat jenazah lepas solat fardhu. Perkara ini memang dipesankan semasa kursus di tanah air dahulu dan para jemaah diminta mengambil peluang semasa di Masjidil Haram kerana besar ganjarannya, selain gandaan pahala 100,00 kali.

Kami seringkali terserempak jenazah yang sampai dan diusung masuk ke dalam masjid ke tika dalam perjalanan ke Masjidil Haram. Mungkin di situlah pengkalan terdekat untuk membawa jenazah ke dalam masjid untuk disembahyangkan. Selain daripada pegawai yang bertugas, nampaknya orang ramai pun ada yang cuba membantu mengusung jenazah berkenaan.

Jenazah tersebut akan di bawa masuk dan diletakkan di tepi Kaabah. Beruntungnya jenazah yang disolatkan di Masjidil Haram. Mereka mendapat doa dari para jemaah yang beratus ribu, jemaah yang doanya berpotensi untuk dimaqbulkan Allah.

Air Zam-Zam
Memang air Zam Zam sinonim dengan Makkah. Umum mengetahui dari peristiwa wujudnya air ini serta kelebihannya. Merupakan salah satu daripada air mata syurga, diberkati, mengenyangkan, menyempurnakan hasrat peminum dan menyembuhkan penyakit ( dengan izin Allah ). Di Makkah ia begitu mudah didapati dalam bekas-bekas yang disediakan di Masjidil Haram, tetapi dalam kuantiti yang kecil. Boleh pilih sama ada yang sejuk atau biasa. Yang popular tentunya yang sejuk.

Punca dan telaga air zam zam terdapat di bawah Kaabah. Dahulu orang boleh masuk ke bawah Kaabah untuk mendapatkan air zam-zam, malah boleh mandi sekali. Tetapi kini telah ditutup. Air zam zam disedut keluar daripada telaga zam zam. Orang ramai pada asasnya boleh mendapatkannya secara percuma di sekitar Masjidil Haram. Jika hendak ambil dengan kuantiti yang banyak, ada disedia tempat iaitu bersebelahan Perpustakaan Rasulullah s.a.w.

Bagi memastikan pengeluaran dan pengurusan berjalan lancar, pemerintah mewujudkan The Zamzam Studies and Research Center. Pusat ini bertanggungjawab terhadap pembekalan ( daripada segi kualiti dankuantiti ) serta melaksanakan kajian, penyelidikan dan memantau sumber air zam zam dalam memenuhi permintaan sama ada oleh penduduk tempatan atau jemaah haji dan umrah.

Pihak TA ada memberitahu yang setiap jemaah kumpulan kami akan dibekalkan dengan air zam zam sebanyak 10 liter untuk dibawa balik ke tanah air. Mungkin cukup kot untuk kami sekeluarga. Tapi aku berhasrat nak bawak lebih dengan menyelitkan dalam botol-botol kecil ke dalam beg-beg pakaian. Berbeza dengan membawa keluar batu atau tanah dari tanah haram yang tidak dibenarkan dalam mahzab Syafie, memang diharuskan dan dibolehkan membawa keluar air zam zam dari tanah haram kerana airnya yang tidak akan berkurangan atu kehabisan

Suasana Masjid
Pelbagai gelagat jemaah di Masjidl Haram dapat dilihat apabila berada di sana. Ada yang begitu teruja sebaik sampai dan melihatkan Kaabah, barangkali buat pertama kali.

Memang berada di Masjidil Haram, usah dihiraukan sangat apa orang lain sedang lakukan. Selain daripada perbezaan dalam Mazhab, ibadah umrah pula mempunyai tahap dan peringkat pelaksanaannya. Yang penting kita lakukan sendiri dan yakin dengannya, usah tengok orangl ain.

Begitu juga dengan amalan lain seperti mengaji serta mengerjakan solat-solat sunat lain. Kalau tengok orang Syiah, memang pelik solatnya jika dilakukan sendirian. Solat beriringan lelaki perempuan tidak begitu ketara berbanding kalau semasa musim haji.

Di tempat saie aku terperasan juga yang semasa umrah ini ramai jemaah muda-muda mengerjakan umrah. Tenrtunya sama ada mengikut ibubapanya atau saja-saja aje mengikut saja perbuatan ibubapanya.

Ketika menghampiri waktu azan para pegawai Masjidil Haram dengan bantuan pasukan keselamatan memeriksa saf di atas lantai Kaabah supaya tidak ada perempuan. Jika ada, mereka akan diminta beredar dan duduk dengan saf wanita lain yang terletak di belakang.

Orang Histeria Dan Kamera Dirampas
Mungkinah kerana cuaca yang terlalu panas. Beberapa kali kedengaran orang terjerit-jerit seperti kerasukan atau histeria. Dalam Masjidil Haram yang suci begini puin boleh berlaku ? Entahlah. Satu kejadian berlaku berdekatan dengan tempatku berada, seorang lelaki terjerit-jerit meronta-ronta lagak seperti kena rasuk. Ada jemaah lain cuba menenangkannya dengan mencurahkan air zam zam ke atas kepalanya.

Ketika itu aku cuba mengambil gambar, tetapi tiba-tiba kameraku di rampas. Alamak !!! Aku cuba merayu meminta dipulangkan dengan berkata, sorry sory not again. Tetapi Pegawai Masjid yang merampas tu buat tidak tahu sambil berkata sesuatu dalam bahasa Arab tentunya yang aku pun tidak faham. Jadi macam ayam cakap dengan itik pulak.

Pegawai Masjid tersebut mendekati orang yang histeria tersebut dan aku melihat dari jauh sahaja. Aku dekati lagi pegawai masjid yang merampas kameraku tu sambil merayu, ‘please sorry not again’. Akhirnya dipulangkan kameraku. Lega …

Restoran D'Saji Felda
Sebaik solat asar pada hari ini, kami singgah kononnya nak minum teh di Restoran D’Saji yang diusahakan oleh Felda Malaysia. Saja nak merasa sebab sering diperkatakan, macam sohor sangat. Restoran ini terletak di Aras 2, Safwa Tower. Kira tidaklah begitu jauh dengan Masjidil Haram.

Tiba di restoran berkenaan, kelihatan orang beratur begitu panjang untuk mendapatkan roti canai. Cancel !! Cuma beli air dan kuih-kuih yang telah disiap packing. Cari juga makanan di tempat lain sebagai tambahan. Nampaknya ramai orang Malaysia di sini. Banyak restoran lain selain D’Saji di sini.

Jumpa Tn Hj Rashid
Tanpa diduga, aku bertemu dengan Tn Hj Rashid di D’Saji, orang Saujana Utama yang juga ke Mekah tahun 2009. Beliau datang dengan beberapa ahli keluarganya yang gagal untuk dapat tempat menunaikan haji pada tahun 2009, walaupun setelah rayuan dibuat.

Jika pada pertemuan pertama petang tadi isteri beliau tiada, tetapi pada kali kedua isteri beliau turut serta. Kami bertemu ketika sama-sama keluar dari Masjidil Haram selepas solat Isya. Tapi lepas itu, kami tak ketemu-ketemu lagi.

Apa yang menariknya, mereka duduk hotel yang agak dengan dan harganya pun murah berbanding kami, iaitu kurang dari RM 5K. Yang penting hotel dekat dengan masjid, senang nak berulang alik. Kami pun ambil no contact beliau. Kot-kot mana ahu ada rezeki lagi nanti. Rupanya salah seorang ahli keluarga Tn Hj Rashid bertugas dengan sebuah TA lain. Tentunya ada diskaun.

Batal Umrah
Kami bercadang nak ke buat umrah tengah malam nanti, tetiba isteriku mengatakan keuzurannya dan anak bungsuku pula macam demam. Agak panas juga suhu tubuh dan kepalanya. Mungkin kerana suhu yang semakin panas. Jadi kami kena jadualkan semula ibadah umrah kami. Namun malam ini seperti biasa, rancang bangun awal untuk qiamullail sahaja.

Pihak TA maklumkan esok 6.30 pagi kumpul depan hotel untuk program ziarah lagi yangdipanggil Ziarah Hudaibiyah. Aku difahamkan ziarah ini akan ke ladang unta sambil merasa susu unta, muzium dua masjid ( Nabawi dan Masjidil haram ), kilang kelambu Makkah dan bermiqat di Masjid Hudaibiyah.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-9
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.