Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Sebak Pada Malam Konsert Selawat 1433H

Selalunya dalam menyambut Maulidur Rasul atau kelahiran Rasulullah s.a.w, pengkisahan kelahiran beliau sering menjadi topic utama dalam sambutan yang dilakukan. Ini diikuti dengan pahit getir perjuangan baginda serta nilai yang wajar menjadi teladan kepada umat memandangkan Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam ini.

Namun aku jadi sebak pada Malam Konsert Berselawat 1433H yang aku dan famili hadiri pada 6 Febuari 2012 lalu di AU5C Hulu Kelang. Ustaz Zulkifli Pandan dalam tazkirahnya menceritakan detik-detik kewafatan Rasulullah s.a.w di mana beliau sentiasa mengingati ummatnya walaupun dalam keadaan nyawanya hendak dicabut.

Ini ditambah dengan alunan nasyid yang disampaikan oleh kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di negara kita, Kumpulan Inteam. Kumpulan tersebut menyampaikan lagu Pemergianmu di celahan selawat qasidah berkumpulan bersama Al-Walid dan pelajar Mahad Tahfiz Dar Al-Quran Wal-Hadith.

Sebelum itu, kumpulan nasyid Unic memberikan persembahan mereka. Tetapi tidak satu pun lagu mereka berkaitan dengan tema konsert selawat. Setelah tazkirah oleh Ustaz Zulkifli Pandan, diikuti dengan persembahan bersama Ustaz Zul dengan Sham Kamikaze yang menyampaikan lagu Pelangi Petang dan KepadaMu Kekasih. Boleh tahan juga Ustaz Zul menyanyi.

Sham Kamimaze puntidak ketinggalan memberikan tazkirah kepada orang ramai serta menyampaikan beberapa mesej khusus untuk orang muda pada malam tersebut.

Lagu Pemergianmu sebenarnya bukanlah lagu baru, malah sering aku dengari sebelum ini. Tetapi entah macamana baru aku sedari rupanya lagu tersebut mengkisahkan Pemergian Rasulullah s.a.w. Apabila mendengarkan semula serta mengulang-ulanginya menerusi youtube, terasa ianya menusuk kalbu dan terasa ingin terbang menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi sekarang juga. Mengapa tidak aku menyedarinya sebelum ini, sebelum dua kali kunjungan aku ke Madinah.



Pemergianmu

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya

Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Pemergian Rasulullah s.a.w menyebabkan Bilal enggan mengalunkan azan lantaran begitu sedih. Bilal tidak pernah azan selepas Rasulullah s.a.w wafat, sehinggalah pada suatu hari di mana para sahabat yang selama ini sibuk berjuang dan berjihad menyebarkan Islam ke pelusuk dunia berkumpul di Bukit Golan Baitulmaqdis.

Pada salah satu waktu solat, Umar meminta Bilal mengalunkan azan. Bilal yang tidak pernah azan setelah Rasulullah wafat, tidak dapat menyelesaikan azan lantaran menangis ketika azan dilaungkan. Sebak dan berlinangan air mata para sahabat kerana azan tersebut mengingatkan mereka dengan Rasulullah s.a.w, perjuangan pahit getir serta pengorbanan sehingga menimbulkan kerinduan yang teramat sangat dengan Rasulullah s.a.w, yang walaupun telah agak lama wafat, terasa seperti baru pergi meninggalkan mereka.

Rasulullah s.a.w yang agung telah pergi dan menjadi lumrah setiap manusia, setiap yang hidup pasti akan mati kembali menemui Allah. Ya Rasullullah, terima kami sebagai umatmu, pengikutmu dan menerima syafaatmu di Padang Mahsyar nanti.

Gambar Sekitar Konsert Selawat 1433H

Teringat semasa ke Masjid Nabawi dahulu. Di bawah kubah hijau itulah terletaknya maqam Rasulullah s.a.w.



Share:

Perarakan Maulidur Rasul 1433H

Kekira pertengahan 1990an ( mungkin 1996 ) aku berpeluang mengikuti perbarisan atau perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan. Itulah tahun pertama ianya dihidupkan kembali setelah dihentikan acara berarak untuk entah berapa lama sebelumnya. Tidak dapat dipastikan punca ianya dihentikan. Perarakan ketika itu bermula dari hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur atau Dataran Merdeka dan berakhir di Stadium Negara.

Tahun 2012 atau 1433H kali ini aku turut serta lagi dalam perarakan Maulidur Rasul bagi mewakili Jabatanku. Kali ini perarakan bermula dari hadapan Istana Kehakiman Putrajaya dan berakhir di Masjid Putra dengan jarak kira-kira 2.4km. Apakah perbezaan suasana antara sekarang dengan yang 16 tahun dulu ?

Aku rasa memang tidak salah untuk berarak semasa menyambut Maulidur Rasul, bid’ah hasanah barangkali. Itu juga sebagai usaha menunjukkan atau membangkitkan semangat kita dalam melahirkan rasa cinta, sayang dan kebanggaan kita kepada Rasulullah s.a.w serta apa yang ditinggalkannya kepada kita.

Perbarisan bermula seawal 7.15pagi. Masjid ‘Besi’ waktu Suboh itu dibanjiri dengan jemaah yang juga peserta perarakan. Macam solat Jumaat atau solat raya pula dibuatnya. Maklumlah masing-masing dengan pakaian baru ‘free’ yang ditempah khas serta disumbangkan oleh agensi atau jabatan yang diwakili.

Sebanyak lebih daripada 120 kumpulan perarakan yang terdiri dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, swasta, IPT serta sekolah. Dikatakan jumlah peserta sebanyak 12,000 orang. Bayangkan kalau set pakaian lengkap seorang berjumlah RM200, maka kali 12,000 peserta = RM 2.4 juta !!! Itu belum termasuk sesetangah agensi yang siap sediakan kasut untuk peserta perarakan agensinya.

Sepanjang perarakan, selawat dialunkan bersama pembesar suara yang disediakan oleh van-van Jabatan Penerangan pada jarak antara setiap 300-400 meter. Aku kira sekiranya tiada selawat pembesar suara, tentunya perarakan begitu sunyi lantaran peserta ‘segan’ nak keluarkan suara untuk berselawat, sebagaimana yang pernah aku alami 16 tahun lalu. Selawat dalam hati kot.

Tiba di Masjid Putra, berpeloh juga badan. Ini suatu senaman juga ni, maklumlah 2.4km berjalan kaki. Tiba masjid sahaja, ramai yang terus merehatkan diri sambil menikmati juadah sarapan pagi yang disediakan. Daripada kononnya 12,000 peserta agaknya berapa ramai yang mengambil berkat solat Tahiyatul Masjid setelah memasuki Masjid Putra ? Atau bimbang nanti dikatakan riak pula ?

Majlis terus berjalan apabila DYMM Agung tiba. Bagiku ini majlis rasmi pertama yang sempat aku hadiri bersama DYMM Agung yang baru dilantik. Majlis berjalan agak ringkas dalam suasana masjid yang dingin. Ucapan Aluan Datuk Jamil Khair, DYMM Agung, ceramah 15minit oleh penceramah jemputan dan penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul.

Apakah natijah daripada sambutan Maulidur begini ? Sejauh mana ianya memberikan bekas dalam hati umat Islam yang terlibat tentang Rasulullah s.a.w ? Sejauhmana rakyat atau orang ramai dapat menyemat masuk semua yang disampaikan oleh penceramah serta titah DYMM Agung ?

Namun aku merasakan tidak semua peserta perarakan mengikuti aturcara majlis dalam dewan solat utama Masjid Putra, sebaliknya berehat dan berbual di tepi-tepi atau sekitar masjid, lantas pulang ke rumah. Khemah yang disediakan pun tidak diisi sepenuhynya.

Berbaloikah dengan jutaan RM yang dibelanjakan untuk program sebegini jika para peserta tidak memanfaatkannya ? Apa outcomenya selain mungkin dapat mengurangkan berat badan peserta dalam beberapa ratus gram serta keseronokan peserta dapat baju free yang boleh dipakai untuk raya tahun ini ?? Tepuk dada tanya iman. Yang tambah mengejutkan aku, Jabatanku menang dalam pertandingan perarakan kategori unit beruniform !!!

Apapun tahniah kepada penerima Anugerah Maulidur Rasul kali ini. Melihatkan bidoata mereka, agak teruja juga. Yang mencuri tumpuan selain penerima anugerah perdana ialah pelajar yang walaupun tidak cukup sifat namun berjaya mencapai 9A dalam PMR 2011.

Lagi Gambar
Share:

Keistimewaan Gomeh

Gemas merupakan sebuah bandar di Negeri Sembilan dan berhampiran dengan sempadan Negeri Sembilan-Johor. Seingatanku, tak pernah menjejak kaki ke sana, selain hanya melaluinya kerana menaikki keretapi dari Kajang ke Kluang, masa belajar di UKM dahulu. Masa kecil lagi, ketika belajar geografi diperkenalkan bahawa keistimewaan Gemas ialah ia merupakan pertemuan persimpangan landasan kereta api barat atau ke utara dengan landasan keretapi ke timur Semenanjung Malaysia bermula sejak 1922 lagi.

Mengapa Gemas yang terpilih ? Mungkin kerana kesibukan bandar tersebut berbanding bandar lain ketika itu. Atau mungkin kerana industri perlombongan emas ketika itu. Atau kerana kedudukannya yang dianggap Segi Tiga Emas, antara Pahang, Johor dan Negeri Sembilan ? Nama Gemas dikatakan bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam iaitu Gold dan Omeh, menjadi Gomeh dan dibakukan menjadi Gemas

Dikatakan oleh orang di sini, memang ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ´Gomeh´ atau gua emas. Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas menerusi aktiviti perlombongan logam ini suatu masa dahulu khususnya oleh pelombong Inggeris yang bekerja sama dengan orang tempatan.

Mengikut Wikipedia, nama asal Gemas adalah Ayer Terap sempena nama anak sungai yang mengalir berhampiran dengan Rumah Rehat Gemas. Kalau di lihat sekitarannya, Getah dan Kelap Sawit menjadi industri utama Gemas ketika ini. Banyak ladang Felda dan Risda di sini. Selain daripada itu, apa yang menarik dengan Gemas ?

Pihak Keretapi Tanah Melayu ( KTM ) cuba mempelopori konsep Railways Tourism dengan mengabungkan pengalaman menaikki keretapi serta penginapan ala homestay dengan aktiviti penduduk kampong di sini.

Stesen keretapi Gemas tidak terlepas dengan kerja-kerja peningkatan perkhidmatan keretapi yang kelihatan jelas menerusi kerja-kerja yang sedang dilakukan di stesen yang berhampiran. Aku kitr ini sebahagian daripada projek pembinaan landasan berkembar.

Program SKSJ
Aku ke Gemas bagi menghadiri majlis penutup program SKSJ jabatanku pada 29 Januari 2012. Perjalanan aku ke sana pada mulanya tentu mengambil masa dua atau tiga jam, lantaran melalui jalan-jalan kampung. Rupanya Gemas terletak kira-kira 165km dari Kuala Lumpur, dalam masa dua jam boleh sampai.

Program di adakan di Dewan DUN Gemas, yang terletak kekira 3 kilometer sebelum bandar Gemas. Tampak banyak gerai pameran disedia dan kehadiran pun agak memberangsangkan. Apakah tarikan program ini kepada penduduk sekitar Gemas ?

Perjalanan majlis aku kira seperti biasa sahaja, seperti juga yang dilakukan di tempat-tempat lain. Cuma pada kali ini bezanya di sekalikan dengan beberapa acara anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat serat Pejabat ADUN Gemas yang juga Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Itu yang terasa lama majlis berjalan. Ini termasuklah penyampaian skim yang dikumkna oleh PM dalam pembentangan belanjawan 2012 lalu seperti 1Azam dan BR1M.

Pertunjukan Kereta Hias
Namun satu acara yang mungkin dianggap istimewa dalam program ini ialah pertunjukkan kereta yang dihias dan ditambah dengan pelbagai aksesori yang dikendalikan oleh komuniti yang berkenaan.


Mungkin kelihatan cantek, tetapi sesekali lihat antara kenderaan yang dipamerkan terasa macam tak logic, Nampak serabut dan terasa sesak jika berada di dalamnya.

Tapi persoalannya, apakah pengubahsuaian tersebut memenuhi peraturan JPJ ? Bimbang sekiranya orang ramai terpengaruh, since dianjurkan bersama JPJ, maka pengubahsuaian tersebut adalah dibenarkan.

Lagi Gambar
Share:

Berakhirnya Kuliah Liwat II

9 Januari 2012 telah menjadi hari yang dinanti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia khusus bagi yang mengikuti perkembangan politik negara, perbicaraan kes Liwat II dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Ia diberikan juga jolokan sebagai 901. Sepanjang tempoh perbicaraan, rakyat Malaysia dari pelbagai kaum serta lapisan umur disajikan dengan kuliah Liwat percuma. Budak sekolah tadika pun agaknya kini dah tahu apa tu Liwat, bagaimana perlakuan yang dikatakan liwat, tentang DNA dan air mani. Bagus juga tu !!!

Namun menjelang 901, pelbagai kalau atau andaian orang ramai dibuat di sebalik pihak pemerintah sibuk memperkatakan kekacauan atau kekecohan yang bakal tercetus disebabkan perhimpunan 901 anjuran parti pembangkang di kawasan sekitar Mahkamah. Bagaimana kalau DSAI didapati bersalah dan sebaliknya bagaimana kalau DSAI didapati tidak bersalah.

Ramai yang cuba menjadi Pak Nujum Blalang membuat ramalan bagi mensasikan keputusan yang bakal diumumkan. Bagaimana dengan nasib pakatan pembangkang atau parti DSAI. Siapa yang bakal menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen mnggantikan DSAI ? Siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang PRU-13. Bagiku mudah sahaja, DSAI akan didapati bersalah dan Pilihanraya Umum Ke-13 diadakan pada cuti sekolah Mac 2012. Aku sebenarnya terkejut bsar apabila mahkamah umumkan bahawa DSAI didapati tidak bersalah.

Mungkin lebih ramai yang mengandaikan seperti aku bahawa DSAI didapati bersalah dan dihumban buat kali ke dua di Penjara Sg Buloh, berbanding dibebaskan. Sebaik keputusan diumumkan, penyokong dan yang bersimpati dengan DSAI gembira meraikan keputusan tersebut dengan pelbagai cara sebagai tanda bersyukur. Mungkin sukar nak dapat bayangkan btapa perasaan ahli keluarga serta anak menantu DSAI, khususnya setelah sekian lama terasa diaibkan dan tertekan dengan isu ini.

Bagi pendokong parti pemerintah, jawapan bahawa kputusan ini menunjukkan mahkamah adalah bebas dan keputusan mahkamah tidak dipengaruhi oleh parti pemerintah sekadar nak meredakan dan melayan kekecewaan. Berita arus perdana pun hanya satu hari membuat liputan dan ulasan ekoran keputusan mahkamah tersebut.

Peserta perhimpunan 901 pula digambarkan seolah-olah hanya seramai ratusan orang sahaja. Apakah kalau DSAI dibebaskan, mereka akan berdemo gembira dan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani. Kalau DSAI kalah dan disabitkan kesalahan pula, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah.

Sama ada betul keputusan mahkamah, hendak percaya atau tidak, sama ada perlakuan antara DSAI dengan Saiful benar-benar berlaku atau tidak, hanya kedua-duanya serta Allah s.w.t dan malaikat sahaja yang tahu. Antara pelaku, pemfitnah, hakim, pendakwa, peguambela dan penokok tambah semuanya akan diadili seadil-adilnya di Padang Mahsyar dan menerima hukuman yang pasti adil di hadapan Allah s.w.t.

Memang aku merasai keputusan kes Liwat II ini memberi kesan terhadap PRU13 nanti. Namun tidak pastilah sejauh mana ianya memberikan kelebihan sama ada terhadap parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Apakah kini, PM dan parti pemerintahnya bakal menghadapai masalah besar dalam PRU13 nanti. Apakah kini DSAI dilihat sebagai hero atas 'kemenangan' ini atau sekurang-kurang wajar diberikan undi sebagai tanda sokongan dan simpati?

Namun masih ada masa untuk rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Keluarga Saiful tentu menghendakinya. Apakah Kuliah Liwat II akan disambung semula ?

Share:

Keunikan Sambutan Coundown 2012

Menjelang Tahun Baru Masehi, seringkali pelbagai sambutan dibuat di sana ini yang selalunya juga dikaitkan dengan persembahan artis, joget-joget, sorak-sorak dan diakhiri dengan permainan bunga api. Memang itu kelazimannya, sama ada di barat atau negaraku Malaysia. Malah ia juga dikaitkan dengan gejala berpoya-poya hingga larut malam dan maksiat zina. Tapi entah kenapa pada akhir 2011 lalu, pelbagai iklan sambutan bersempena dengan tahun baru dianjurkan oleh badan-badan Islam aku terima.

Tapi yang menarik perhatianku ialah Sambutan Coundown 2012 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai 6.00 petang 31 Disember 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Program ini menampilkan pelbagai artis naysid, Imam Muda Asyraf, pendakwah bebas Ustaz Syed Nor Hisham serta penceramah agama yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Azhar Idrus dan pelawak Zizan. Lantaran menjangkakan keunikan, kami sekeluarga telah hadir ke sana.

Ternyata sungguh menakjubkan. Sejak maghrib lagi orang ramai telah berpusu-pusu dating memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang terletak antara Muzium Negeri dengan Masjid Negeri. Sebaik solat Maghrib, Ustaz Asyraf bersembang santai dengan pengacara yang mengajak orang-orang muda untuk memanfaat usia muda bagi membentuk ahlak mulia dan berpegang dengan Islam bagi mewarisi generasi akan datang.

Memang aku sedari, kira-kira 80% yang hadir malam itu adalah orang muda. Yealah orang tua lebih suka rehat kat rumah daripada jem, bersesak dan bersejuk tengah padang begitu. Kehadiran orang muda dalam program seumpama itu seolah-olah membayangkan hasrat mulia generasi yang dahagakan hiburan mendidik jiwa dan bakal memikul pembentukan ummah akan datang. Insya’allah.

Apakah ini juga menunjukkan bahawa anak muda mula meminati program-program mendidik, terutama jika ditampilkan dengan cara yang kena gayanya.

Sebaik solat Isyak, orang semakin ramai memenuhi dataran yang mungkin kebanyakkannya dari Masjid Negeri yang berhampiran. Sebaik celoteh pengacara, Shahir AF8 muncul dengan dua lagu, diikuti dengan persembahan bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan serta artis yang dikenali sebagai Dakmie.

Dr Halimah selaku Exco Kerajaan Selangor kemudian melancarkan facebook GeMS 2012, Generasi Idaman Selangor sebagai salah satu usaha dalam membentuk generasi idaman yang bebas daripada gejala sosial, zina dan aktiviti tidak bermoral.

Suasana menjadi gamat apabila Ustaz Azhar Idrus muncul di atas pentas dan diikuti dengan Zizan Raja Lawak. Rupanya memang ramai pengikut Ustaz Azhar terdiri daripada orang-orang muda. Mereka berdua kemudian mengendlikan sesi soal jawab agama dengan soalan-soalan yang kelihatan remeh, tetapi disampai dan dijawab dengan bernas, secara bersahaja dan berjenaka.

Tidak ketinggalan al-Ustaz menunjukkan bakatnya bermain gitar dengan diiringi dengan lagu lawak Zizan. Aku menjangkakan tentu ada kontraversi selepas ini.

Dikhabarkan yang hadir pada malam tersebut kira-kira 80ribu orang. Entahlah. Betulkan kerana aura Ustaz Azhar ? Jika benar, memanghebat. Ini kerana pada mulanya sebelum sampai ke Dataran tersebut, aku menjangkakan sekitar dua tiga ribu sahaja yang hadir. Yang datang pulak bukan sahaja pak lebai, tetapi mat rempit pun ada. Malah yang tidak bertudung pun tidak ketinggalan.

Sebaik sesi soal jawab, diadakan peraduan sepontan tiru gaya Al-Ustaz berceramah dan persembahan oleh Ustaz Akhir Hayy. Cumanya aku tak pasti sama ada orang ramai boleh faham apa yang dibicarakan oleh Zizan dan Ustaz Azhar memandangkan loghat Terengganu yang begitu pekat digunakan. Terasa macam berada di Kuala Terengganu, bukan di Shah Alam.

Dalam menyanyikan lagu HambaMu seorang pononton tampil untuk berduet dengan Akil Hayy seolah-olah menggantikan Mawi. Seterusnya para VIP yang terdiri antaranya Exco Dr Halimah, Yaakob Sapari, MP Shah Alam naik kepentas untuk sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Menjelang 12 tengah malam, secara beramai-ramai mengalunkan Asmaul-Husna. Bukan bedilan meriam, mecum atau bunga api. Sebaik selesai ‘Asmaul-Husna’, bacaan doa oleh Ustaz Azhar Idrus dengan diaminkan oleh orang ramai.

Apa yang aku alami pada malam tersebut merupakan suatu pengalaman kelainan yang unik dan seharusnya membuka mata semua pihak bagaimana menyambut tahun baru masehi dalam lingkungan yang baik. Tahniah kepada pengarah program pada malam tersebut yang begitu kreatif menganjurkan sambutan sebegitu rupa.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.