Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Doa Akhir Awal Tahun Hijrah

Setiap kali menjelang tahun baru Hijrah atau 1 Muharram, muncullah polemik mengenai hukum, fadhilat dan kelebihan membaca doa awal dan akhir tahun. Namun acara membaca doa dan akhir tahun hijrah kini sudah menjadi majlis rasmi kerajaan. Malah ramai yang mengunjungi surau masjid pada petang menjelang 1 Muharram kerana hendak mengaminkan doa yang akan dibaca oleh para iman atau ustaz.

Boleh berdoa, namun bolehkah menyandarkan bahawa itu adalah hadis Rasulullah s.a.w sedangkan pemilihan 1 Muharram sebagai tahun permulaan Islam dibuat semasa pemerintahan Khalifah Umar. Takde kena-mengena dengan ibadah khusus. Mungkin ada sandaran daripada para alim ulama dulu-dulu yang rajin beribadah.

Kalau sebelum dan selepas makan ada doanya. Kalau masuk tandas dan keluar tandsa ada doanya. Masuk dan keluar masjid pun ada doanya. Kalau sebelum masuk tidur dan bangkit tidur ada doanya. Takkan masuk tahun baru dan keluar dari tahun lama pun tidak boleh berdoa ?

Dikatakan, "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan 2 malikat memeliharanya pada tahun itu". Juga, “Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.”. Satu lagi, “Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:”Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

Namun bimbang sekiranya termasuk dalam ingatan hadis Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Dusta kerana mengatakan sesuatu daripada Rasulullah s.a.w, tapi yang sebenarnya tidak.

Memang ramai yang berkunjung memenuhi surau masjid untuk berdoa dengan harapan agar sepanjang tahun dihindari daripada gangguan syaitan pada 1 Muharram. Namun belum pun sempat hujung tahun hijrah akan datang, surau masjid kembali seperti biasa akibat penangan syaitan mulai pada hari ke-2 Muharram.
Share:

Suatu Catatan Kuliah Suboh

Pada 9 Oktober lalu, aku berkesempatanhadir mengikuti Kuliah Suboh di Surau Jumaat Al-Manar, Presint 14 Putrajaya yang disampaikan oleh al-Ustaz Dato' Dr. Hj Hamidon ( UIA ). Dalam kuliahnya yang menyentuh tentang amalan mulia hari Jumaat oleh Imam Ghazali, ada beberapa catatan yang memberikan kesan kepada diriku pada suboh berkenaan untuk dikongsikan.

Pertama : Imam Bukhari meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik, katanya, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya ramai di kalangan umatku akan datang bertemu aku di kolam Kautsar, sehingga terlalu hampir denganku, dan aku amat mengenalinya. Tetapi mereka telah dihalau jauh dari Telaga Kautsar oleh malaikat. Ya Rabbi, mengapa mereka diusir dari telagaku sedangkan mereka adalah umatku. Allah s.a.wT menjelaskan kepadaku, memang benar mereka adalah umatmu, tetapi engkau tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh mereka selepas engkau wafat. Mereka itu murtad (berpaling) daripada ajaranmu."

Kedua : Lantaran sering menegur para sahabat dan pemerintah kerana kehidupan yang dilihatnya bermewah melebihi standard Rasulullah s.a.w, Abu Dzar tempatkan oleh Khalifah Utsman di daerah perbukitan Rabadzah, suatu kawasan yang terpencil hingga meninggal di sana. Benarlah Rasulullah s.a.w yang pernah bersabda kepadanya, lantaran Abu Dzar keseorangan terlewat sampai dalam pasukan yang sedang mara ke Medan Tabuk, “Anda berjalan sebatang kara, mati sebatang kara dan dibangkitkan nanti sebatang kara”.

Ketiga : Suatu hari tetiba Rasulullah s.a.w kelihatan menangis. Para sahabat bertanya, "Apa yang membuatmu menangis ya Rasulullah?" Beliau menjawab, "Aku rindu kepada saudara-saudaraku." Mereka berkata, "Bukankah kami adalah saudara-saudaramu ya Rasulullah?" Beliau menjawab, "Bukan, kalian adalah sahabat-sahabatku. Adapun saudara-saudaraku, maka mereka adalah kaum yang datang sesudahku, mereka beriman kepadaku dan tidak melihatku."
Share:

Ke Maritime Experiential Museum and Aquarium Singapura

Aku berpeluang menghadiri IBM Connect 2015 – Executive Xchange di Singapura dari 1hb hingga 3hb September 2015 anjuran syarikat ICT IBM. Pesertanya adalah di kalangan delegasi CIO pengguna sistem atau solution IT IBM sekitar Asean. Topik banyak berlegar di sekitar cabaran dan peluang disebalik kecenderungan manusia sekarang terhadap penggunaan media sosial.

Malah menurut kajian, 80% responden memberi respon bahawa perkara pertama dilakukan sebaik bangkit tidur adalah mendapatkan smartphone memasing. Lantaran itu IBM menjalin kolaborasi dengan Apple, Facebook untuk kekal relevan. Dalam masa yang sama, bagaimana menghadapi expectation pengguna, isu keselamatan, keperluan analytic computing, Big Data dan mengambil manafaat daripada cloud computing.

Sepanjang program, aku ditempatkan di Hotel Hard Rock Singapore. Terasa macam kurang selesa bunyi ‘Hard Rock’. Salah satu tarikan berdekatan penginapanku ini ialah Maritime Experiential Museum and Aquarium. Ia menempatkan Maritime Experiential Museum dan SEA Aquarium yang mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. SEA Aquarium pula dikatakan merupakan aquarium terbesar di dunia.

Maritime Experiential Museum
Bermula dengan Maritime Experiential Museum yang merupakan arkiologi maritime dan kekayaan sejarah penerokaan lautan dan perdagangan Asia suatu ketika dahulu.

Ingat masa belajar sejarah sekolah dahulu perdagangan rempah ratus serta pertukaran barangan dagangan yang menjadi aktiviti utama sehingga penjajahan barat di rantau Asia, termasuk Asia Tenggara dan Malaysia.

Mungkin pameran ini cuba untuk menunjukkan tentang kepentingan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan yang utama suatu masa dahulu sehingga ia merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera.

Kapal Admiral Zheng He
Di tengah-tengah bangunan setelah melepasi pintu masuk, ditunjukkan sebahagian daripada binaan saiz sebenar kapal seorang Admiral bernama Zheng He.

Malah pembinaan muzium ini dikatakan inspirasi daripada Admiral Zheng He who yang dilantik oleh Maharaja semasa pemerintahan Dinasti Ming untuk melayarkan 300 kapal dengan 28,000 kru bagi melaksanakan penerokaan lautan.

Dalam badan kapal Zheng He yang dipamirkan, ditunjukkan juga rempah ratus, barangan kebudayaan yang diperolehi daripada setiap negara yang diterokai.

Jewel Of Muscat
Ia merupakan sebuah kapal pemberian kerajaan Oman kepada negara Singapura. Kapal yang dibina semula tersebut berdasarkan kapal yang sering digunakan dalam kurun ke-9 dengan menggunakan teknik dan bahan binaan tradisional.

Ia dilayarkan dari Oman pada tahun 2010 tanpa sebarang peralatan navigasi canggih dan tiba di Singapura 5 bulan kemudian.

Typhoon Theatre
Dengan tambahan tiket SIN2, kumpulan kami masuk ke satu bilik theatre yang agak besar. Dihadapan pengunjung ada skrin yang besar. Seolah-olah kami berada di atas kapal besar dan dengan bantuan teknologi multimedia, pengunjung seolah-olah berada dalam kapal laut yang sedang belayar.

Aku mula cuak, kot-kot ada kejutan. Kedengaran bunyi guruh dengan tempat duduk kami sesekali turut bergegar, terasa sejuk seperti di tengah-tengah laut. Malangnya pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar dalaam bilik ini.

Diwujudkan suasana seolah-olah kapal kami meredah cuaca buruk, gelora laut, angin dan kilat sabung menyabung. Akhirnya kapal kami karam ke dalam laut bersama-sama dengan lantai kapal yang juga menurun ke tingkat bawah. Bila keluar dari bilik theatre, memang kami telah berada di tingkat bawah berbanding tingkat mula-mula masuk tadi.

Shipwreck Habitat
Keluar terus menuju kepada aquarium besar yang memaparkan habitat sekitar kapal yang karam di dasar laut. Mungkin cuba melanjutkan perasaan tentang apa dialami di bilik theatre tadi.

Namun agak kecewa kerana gagal mengambil foto dengan baik dalam suasana aquarium yang ‘low light’.

Aquarium Lautan Terbuka
Aku rasa ini yang menariknya aquarium di sini. Di Malaysia, setakat di Pusat Sains Negara dan Langkawi tetapi kecil sahaja tangkinya. Di Aquaria KLCC aku belom pernah pergi lagi.

Habitat lautan di sini dapat dilihat dalam aquarium gergasi secara natural. Dikatakan terdapat lebih daripada 100,000 hidupan lautan serta lebih 800 spesis terdapat di sini.

Ini boleh mencetuskan kajian lanjut tentang habitan dan ekosistem mereka. Sebagaimana pengunjung lain, aku mengambil kesempatan untuk duduk sambil berehat dan memerhati dengan sepuas-puasnya mahluk ciptaan Allah yang pelbagai itu.

Ia dikumpulkan mengikut habitat dari serata dunia seperti Laut Cina Selatan, Laut Jawa, Selat Melaka & Laut Andaman, Teluk Bengal, Teluk Parsi & Laut Arab serta Laut Merah.

The Living Fossil
Ia merupakan sebahagian daripad pameran ‘Sea Monsters: Past and Present’ yang kebetulan berlangsung ketika aku ke sana. Living fossil bermaksud organisma yang mengekalkan bentuk yang sama walaupun telah berjuta bertahun serta kurang atau tiada lagi spesis yang seumpamanya.

Agak menarik juga bila mengetahui rupanya aada beberapa yang biasa di temui rupanya termasuk juga sebagai fossil hidup seperti belangkas dan ikan tembakul ( betul ke ? )

Ini sahajalah peluang melencong dari jadual IBM Connect 2015 – Executive Xchange yang agak ketat.

Universal Studio sekadar mampu menjengok pintunya. Tidak ada masa sebenarnya. Selain kadar pertukaran yang tinggi, masuk sorang-sorang sekadar nak berselfie merakam pengalaman tak best la. Lagipun pernah pergi sebelum ini.

Malaysia Food Street sekadar nak merasa makanan halal Malaysian. Menarik juga suasananya. Ku kira pembangunan sekitar Sentosa Resort World ini adalah usaha Singapura dalam menaikkan industri pelancungan yang sekaligus meningkatkan pendapatan negaranya.
Share:

Bermanja Dengan Penyu Port Dicckson

Mungkin ramai yang tidak tahu, walaupun telah 6 tahun projek dilaksanakan. Kini projek pemeliharaan penyu itu menjadi tarikan pengunjung Glory Beach Resort, Tanjung Gemuk Port Dickson, untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

Bermula pada tahun 2010, penyu karah ( hawksbill turtles ) mendarat di pantai berdekatan untuk bertelor yang kemudiannya menjadi idea kepada pihak hotel atas rasa tanggungjawab sosial, lantas mengeram, menetaskannya dan melepaskan penyu-penyu tersebut semula ke laut.

Dimaklumkan bahawa sejak 2010, sebanyak lebih daripada 6,000 anak penyu telah berjaya dilepaskan semula ke lautan Selat Melaka untuk membesar dengan harapan kembali untuk mendarat kembali ke sini suatu masa nanti. Menarik bunyinya. Malahan di sinilah satu-satunya pusat seumpamanya di Port Dickson.

Dalam dunia difahamkan ada sebanyak 7 jenis penyu dengan 4 daripadanya terdapat di Malaysia. Penyu belimbing yang sinonim dengan Rantau Abang Terengganu sudah semakin pupus dan dikatakan kini jarang mendarat di Pantai Rantau Abang.

Penyu disini adalah jenis Penyu Karah dan Penyu Agar. Tetapi banyak jenis Penyu Karah. Ia juga dikenali sebagai penyu sisik, mudah dikenali dengan susunan kulit badannya yang bertindih menampakkan seperti bersisik dan berwarna coklat tua atau kuning dan coklat.

Bentuk mulutnya seperti paruh burung helang, manakala saiz badannya sederhana dan saiz cengkerangnya antara 70 hingga 90 sentimeter dengan berat badannya boleh mencapai sehingga 75 kilogram.

Pengunjung berpeluang membelai dan memegang penyu-penyu tersebut mengikut masa-masa yang ditetapkan iaitu semasa memberikan penyu makan setiap hari pada jam 11pagi dan 5 petang serta persembahan penyu pada setiap sabtu 8.00 malam di akuarium yang berupa kolam serta pondok ‘Turtle Hut’ yang disediakan.


Jika datang antara Feb hingga Jun, mungkin berpeluang untuk melihat bagaimana penyu naik bertelur pada waktu tengah malam.

Kini projek yang dijalankan telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan Terengganu. Tabung derma juga disediakan bagi membolehkan pengunjung membantu usaha yang dilaksanakan oleh pihak hotel. Bermakna jika berkunjung atau menginap di sini, dapat juga ilmu dan kesedaran tentang penyu yang semakin pupus.

Selain penyu, terdapat juga kolam kura-kura yang merupakan sepesis seumpamanya.
Share:

Disebalik Pemecatan Tan Sri Muhyiddin

Sebaik Tan Sri Muhyiden Yassin ( TSMY ) diumumkan yang dia digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 28 Julai 2015 dalam rombakan cabinet baru, aku jadi terkejut berok. Walaupun PM kata pengguguran tersebut mendapat sokongan 154 Ketua Bahagian dan 3 juta ahli Partinya, tapi ada jutaan lagi warga negara yang juga pengundi berdaftar dan bukan ahli UMNO turut terkejut dan terpingga-pingga.

Akhirnya kalangan pimpinan UMNO, sama ada yang menganggotai kabinet atau tidak, pun jadi senyap to play safe. PM berjaya mengekalkan kuasa eksekutif menerusi rombakan kabinet yang dibentuk. Namun bagaimana di mata khalayak ramai ? Sejauh mana rakyat meyakininya disebalik palitan isu-isu demi isu yang melingkarinya ?

Tambahan membingungkan ialah pemecatan back-dated perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail 27 Julai, dikatakan atas faktor kesihatan. Ada surat doktor ke sedangkan dia bakal bersara wajib Oktober nanti ? Abdul Gani Patail terlibat dalam pasukan penyiasatan dan pemecatannya tentu pembantutkan penyiasatan Pasukan Petugas.

Melengah-lengahkan Isu ?
Pasukan PAC pun tergendala sebab Pengerusinya selain beberapa ahlinya dilantik menganggotai kabinet. Speaker Dewan Rakyat sudah sudah kata yang anggota baru PAC tidak akan dilantik sehingga Dewan bersidang Oktober ini. Bolehkah Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw ( DAP ) meneruskan tugas dengan ahli yang tinggal ? Bimbang nanti tidak mendapat kerjasama pengurusan Parlimen atau hasil siasatan mereka tidak diiktiraf.

Terkini orang SPRM pula menjadi sasaran apabila yang terlibat dengan siasatan ditukarkan kerja ke tempat lain. Bila siasatan mahu ditamatkan, atau sengaja mahu dilengah-lengahkan sehingga rakyat lupa. Maklumlah Melayu mudah lupa ...

Persoalan kini jug apakah ex-PM boleh bertahan lama lagi ? Sejauh mana beliau dan penyokongnya berupaya mengubah keadaan di peringkat atas sama ada dalam Umno atau kerajaan. Atau sebaliknya mereka boleh mengubah persepsi dan sokongan rakyat jelata dan pengundi. Ini yang mungkin dibimbangi dan tidak hairan kalau beliau dilucutkan jawatan Timbalan Presiden atas alasan disiplin dan berhadapan dengan tindakan tata-tertib partinya. Ataupun tunggu 18 bulan lagi untuk UMNO adakah semula pemilihan.

Bak kata Raja Petra Kamaruddin dalam blognya, TSMY dituduh cuba merancang hendak mengulingkan Najib bersama kekuatan pembangkang dan media seperti The Edge dan Sarawak Report menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen. Entahlah, sukar juga nak percaya. Atau sekadar nak reka cerita bagi menyakinkan orang ramai bahawa pemecatan TSMY adalah wajar.

Apapun, tindakan mengugurkan atau memecat TSMY telah menimbulkan pelbagai kebimbangan yang boleh menyebabkan krisis kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan negara. Perkara ini boleh membawa kepada suasana tidak stabil dan menjejaskan perjalanan negara. Nilai RM berbanding matawang lain semakin menyusut.

Persepsi Rakyat
Dalam isu derma RM2.6billion, pelbagai alasan diutarakan untuk menghalal dan menampakan ianya memang halal. Kalaupun halal, bukan jenayah dalam UMNO dan dana lebih selamat diperlakukan begitu, namun bagaimana persepsi rakyat atau ahli UMNO itu sendiri ? Anehnya Timbalan Presiden pun tak tahu. Bagaimana pula dengan Bendahari ?

Tidak dapat tidak, parti pemerintah dan barisan kabinet barunya mesti berusaha memujuk dan meyakinkan kembali rakyat agar mendapat sokongan semula. Jika tidak akan menjadi realitilah kegusaran TSMY bahawa UMNO-BN akan kalah jika esok pilihanraya.

Malangnya my junior seorang masa sekolah menengah yang jadi Timbalan Menteri tu buat lawak antarabangsa, esok tidak pilihanraya. Buat apa gusar lagi … Guru BM dia sama ke dengan guru BM aku dulu ?

Aku ada tanyakan mereka yang hadir dalam jamuan Aidil Fitri di taman kediamanku tadi, MP tak datang ke ? Dulu-dulu beliau sering datang dan membuat ucapan. “UMNO nak runtuh dah. Nak datang macamana, sibuk kehulu hilir dengan mesyuarat Bahagian”, kata salah sorang hadirin. Terkejut aku, "jangan cakap kat sangat", balasku.
Share:

Ramadan 1436H - Selamat Tinggal Mek

Ramadan 1436H telahpun selamat meninggalkan kita. Sebelum menjelangnya Ramadan kita begitu beria-ia agar dipanjangkan umur dan menemui lagi Ramadan tahun ni. Bagaimana Ramadan kali ini, sejauh mana kita bersemangat dan istiqamah dalam beramal ibadah meraih ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t selain memelihara kualiti puasa.

Sekadar peringatan kepada diriku, sejauh mana amalan solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu ( khususnya sebelum Suboh ), solat berjemaah terus diamalkan ( khususnya isyak dan suboh ). Bagaimana dengan solat tahajud, tasbih, witir dan dhuha ? Zikir dan bertasbih, mengikuti kuliah agama @ tazkirah, membaca al-quran dan bersedeqah ?

Ibu Mertuaku Meninggal Dunia
‘Keseronokan’ aku mengharungi Ramadan tahun 1436H @ 2015 ini seolah-olah diragut apabila aku diberitahu yang Ibu Mertuaku yang aku panggil Mek atau nama penuhnya Semek Bte Ahmad meninggal dunia pada pagi 9 Julai 2015. Sebak tak tertahan apabila adik iparku menelefon memberitahu, ketika aku sedang bersiap memulakan tugasan ofis pagi tersebut.

Aku cuba hubungi isteriku tak berjaya, namun akhirnya meninggalkan pesanan sahaja kepada orang di Pejabat sekolah dimana isteriku mengajar. Aku teruskan menempah tiket flight KLIA – Kota Bharu. Dapat tiket 1.30tengahari. Kalau nak drive tentu tidak ‘sempat’ tambahan drive dalam keadaan berpuasa ni. Harapannya kemudian cari kereta sewa dari airport Kota Bharu ke Kg Air Tawar, Besut Terengganu. Anggaran 60 minit lagi perjalanan tu. So, 1.30 tengahari terbang, mendarat 2.30 petang, maka dalam 3.30 petang boleh sampai.

Sempat bermaksud, sempat menatap wajah Mek buat kali terakhir. Sempat juga untuk isteriku turut memandikan jenazah sebagai khidmat terakhir buat ibunya. Sempat juga bersama solat jenazah. Itu yang kami pesan kepada orang di Besut sana, mohon tunggu kami dan kebumikan lepas solat asar.

Kali terakhir menatap wajah hidup Mek ialah pada 5 Julai 2015, iaitu selepas kami adik beradik, ipar duai dan cucu mengadakan Majlis Berbuka Puasa Beramai-Ramai di rumah Mek pada 4 Julai 2015. Ketika itu Mek agak ceria, tidak menunjukkan sebarang petanda serius tentang kesihatannya. Namun beliau lebih memilih untuk berbuka puasa dalam biliknya. Rupanya majlis itu menjadi kenangan manis terakhir bersama arwah.

Berdasarkan cerita-cerita, Mek ‘pergi’ dengan mudah sekali. Cuma sehari dua sebelum itu, dikatakan kurang selera makan. Tiba-tiba pagi tu, rebah ketika duduk di tepi katil dan beberapa kali menarik nafas panjang sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah di bawa ke klinik berdekatan.

Sebagaimana dirancang, flight on-time di KLIA2. Sampai di Airport Kota Baru kemudian ke Besut dengan kereta yang telah disewa @ pinjam oleh anak menantuku yang bertugas di Kota Bharu yang kebetulan isterinya pun sedang bercuti di sana.

Sampai rumah arwah, jenazah sedang dimandikan. Bukan setakat sempat menatap wajah buat kali terakhir, sempat juga isteriku membantu memandikan jenazah. Lepas dikafan, kemudian di bawa ke surau berdekatan kekira jam 5.15 petang. Itupun sudah agak lewat kerana menanti beberapa lagi cucu Mek yang turun dari Lembah Kelang bagi member peluang menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Pelan asal, sebelum masuk asar, jenazah telah dibawa ke surau. Abang iparku yang kedua, mengimamkan solat tersebut. Ramai juga yang menanti di surau. Jenazah kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran dan selesai kira-kira jam 6.00 petang.

Gesaan Kawin Awal
Aku masih ingat pertama kali aku menjejaki rumah lama Mek, beliau mengesa kepada ku untuk melaksanakan perkahwinan secepat mungkin, nak nikah gantung dengan isteriku sekarang pun boleh. Aku agak terkejut, namun tidak menolak akan kemungkinan tersebut.

Aku singgah lantaran mengikuti satu program khidmat bakti mahasiswa di Besut kira-kira tahun 1984. Aku kemudian bernikah secara ‘agak ringkas’ pada tahun 1985, ketika masih seorang mahasiswa tahun ketiga IPTA.

Menumpang Kehidupan
Sebaik graduate, aku agak kesukaran mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusanku lantaran kemelesetan ekonomi ketika itu. Aku tinggal di rumah Mek beberapa tahun sehinggalah mendapat pekerjaan sementara di Kuala Terengganu dan kemudian mengajar sementara di Besut, sebelum kemudiannya ‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur tahun 1988.

Hanya aku dan isteriku, pak mertuaku serta seorang adik iparku tinggal dalam rumah itu. Masa tu juga masih menetap di rumah kayu lama yang kemudiannya terbakar hangus keseluruhannya. Malah sebelum itu, Mek juga yang mengsyorkan sehingga aku membina tambahan binaan kayu berupa bilik, dapur dan ruang tamu yang bersambung dengan rumah Mek yang asal untuk dijadikan sebagai rumahku.

Nazak Tahun 1980an
Tidak dapat dipastikan bila tarikhnya, mungkin antara 1986-1988, satu hari itu Mek tetiba jadi tidak sedarkan diri. Ramai anak cucu, jiran-jiran hadir dan sedara mara terdekat hadir. Dalam pembaringan, Mek telah diletakkan di tengah-tengah ruang tamu.

Bacaan Yasin dibacakan beramai-ramai. Ayah, pak mertuaku berulang kali mengajarkan mek mengucap dan ingat akan Allah. Aku kira saat Mek hendak ‘pergi’ telah tiba, namun rupanya usia Mek masih panjang lagi.

Jarak Perhubungan
Berbanding dengan anak-anak atau adik beradik sedaraku, hanya aku dan isteriku menetap di luar negeri Terengganu. Memandangkan juga jarak yang agak jauh, maka tidaklah selalu kami balik kampong dan berhubungan. Ini sedikit sebanyak menjadikan perhubungan mungkin tidak begitu erat.

Namun apabila balik kampong, layanan baik Mek terhadap aku serta anak-anakku tetapi diberikan. Malah keadang tu bila dengo kami nak balik, adalah pauh @ mangga disimpan untuk kami. Malah beberapa tahun sebelum Mek meninggal dunia, kami balik kampong sama ada sebulan atau dua bulan sekali, khususnya bila ada cuti panjang sikit atau cuti sekolah.

Jika pada mula masalah bahasa membataskan komunikasi termasuk dengan anak-anakku, namun ianya tidak lagi menjadi masalah setelah beberapa tahun menjadi ahli keluarga Mek. Namun beberapa tahun sebelum Mek meninggal, masalah timbul memandangkan pendengaran beliau yang semakin kurang sehingga pertuturan pun kekadang sukar difahami dan selalu juga berlaku salah faham.

Derita Kesakitan
Memang Mek sering mengadu sakit belakangnya, panas badan dan kebas-kebas anggotanya dalam tempoh berapa tahun sebelum meninggal dunia. Derita yang dialaminya menjadi ujian dan cabaran kepada anak cucu dalam menemani atau menjaganya secara bergilir. Bukan setakat menemaninya, kena picit atau urut-urut pula.

Memang benarlah bak kata, seorang ibu mampu menjaga ramai anaknya tetapi ramai anak-anak tidak mampu menjaga seorang ibu. Begitulah agaknya walaupun telah cuba dilakukan oleh kami adak-beradik ipar duai.

Pernah kami hantar ke hospital untuk mengenalpasti punca rasa kebas arwah. Doktor kata ia disebabkan urat sarafnya telah terhimpit dicelahan tulang belakangnya, yang menyekat aliran darahnya. Pernah juga diberikan rawatan DarusSyifa' bagi menghindari gangguan yang tidak diingini.

Berehatlah dan Moga Tenang Disana
Berdasarkan kisah dari isteri serta ipar yang lain, awal kehidupan keluarga Mek adalah susah. Malah menurut cerita, isteriku ketika kecilnya hampir hendak diberikan dan dipelihara oleh orang lain.

Hanya setelah ayah memiliki bot nelayan, berlaku perubahan sehingga mampu membina rumah sendiri, walaupun kemudiannya hangus dijilat api. Mungkin atas kesusahan hidup, Mek agak cermat dan menghargai setiap apa yang diperolehinya, serta disimpan elok-elok agar dapat digunakan sebaiknya apabila diperlukan nanti.

Mek seorang yang istiqamah dalam solat 5 waktunya serta berjilbab, walaupun dalam keadaan sakit. Malah Mek sering bersedekah dan menyertai ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah. Banyak kain-kain yang dipesannya untuk disedekahkah kepada orang ramai setelah peninggalan beliau.

Terima Kasih Mek
Terima kasih Mek kerana menumpang kasih sayang selama ini. Terima kasih atas layanan, nasihat dan keperihatinan yang diberikan. Terima kasih atas segalanya. Moga Mek mengampuni silap salah dan kekurangan diriku ini.

Ya Allah, dikau ampunilah hambamu ini dan kasihanilah ia sebagaimana dia mengasihi anak-anaknya semasa kecilnya dahulu. Dikau rahmati dan berkatilah kehidupannya. Moga Allah menerima segala amal ibadah Mek. Moga Mek juga dikurniakan ketenangan, kebahagian dan perlindungan Allah di sana.

Kini tinggal Ayah @ Pak Mertuaku yang dipanggil TokKi yang perlu diberikan perhatian bersama. Usia semakin lanjut, pengelihatan semakin kabur, namun masih kuat beribadah. Entahlah, bagaimana perasaan Ayoh dengan pemergian Mek ini ? Keesokan hari selepas pengebumian Mek, Ayoh ada kata, Mek kesejukan ( dalam kubor ) agaknya. Mungkin terasa juga kerinduan Ayoh terhadap Mek.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.