Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Jalan-Jalan Alor Star

Pada 2hb Oktober lalu aku berkesempatan jalan-jalan beberapa lokasi sekitar Alor Star bersempena dengan satu program Jabatanku yang diadakan di Bangunan UTC Alor Star. Sebagaimana biasa kalau di Alor Star, aku menginap di sebuah hotel pilihanku yang terletak bersebelahan Bangunan UTC Alor Star.

Menariknya tempat itu selain terdapat pelbagai kedai untuk membeli, juga terdapat surau yang luas dengan 5 waktu berjemaah. Malangnya surau tersebut masih kelihatan kurang diuruskan, terutama bau karpetnya yang kurang menyenangkan. Mungkin ramai yang tidur dalam surau ini waktu malam.

Nasi Lemak Royale Hijau Kuning
Ini yang dicadangkan oleh jurupandu kami. Kami pergi selepas solat isyak dan ketika itu hujan agak lebat turun sehinggalah sampai destinasi, Restoren Nasi Lemak Royale Hijau Kuning, Lebuhraya Sultan Abdul Halim. Kelihatan orang agak ramai, malah sedang beratur membuat pesanan. Aku pun turut beratur.

Melihat juadah serta lauk pauk yang terhidang untuk dipilih, aku jadi risau. Apa yang hendak dipesan, mana yang sedap. Nasi bukan pulihh nacam nasi lemak, kuning warnanya.

Macamana pulak harganya ? Bimbang terkejut … lagipun malam-malam begini, aku sebenarnya prefer yang ringan-ringan sahaja. Tapi tidak mengapalah, sekadar mahu merasa.

Bila aku rasa, bukan nasi lemak pun. Sama ada rasa, baunya apatah lagi warnya yang bukan putih. Ada yang kata macam nasi kandar. Entah, nasi kandar pun aku bukannya biasa makan. Aku cuma memilih lauk ayam entah masak apa dan sayur kacang bendi.

Bila sudah dicampur dengan pelbagai kuah, macam dah tidak ada rupa nasi. Tapi memang sedap rasanya. Servis menghidang dan menyediakan makanan pun nampak laju. Tak lama beratur pun.

Aku diberitahu kedai ini dibuka mulai petang hingga malam sahaja. Hanya pengusaha ini sahaja yang menjual Nasi Lemak Royale Hijau Kuning di beberapa gerai di Alor Star.

Tetapi yang aku kunjungi ini yang ‘popular’ dan paling sedap. Sebab kesedapannya bergantung juga dengan bagaimana campuran kuah-muah dihasilkan.

Masjid Zahir
Berkesempatan solat Jumaat di sini. Sesampai aku mencari-cari saf pertama. Yang aku bayangkan, yang ada mimbar dekat saf berkenaan.

Tapi tidak kelihatan, lalu aku masuk dalam saf sahaja bila azan telah selesai berkumandang..

Rupanya aku di saf ketiga. Manakala mimbar ada di belakang ku. Baru kutahu rupanya masjid Zahir ini kecil sahaja dan tidak boleh memuat ramai jemaah walaupun sebenrnya, ia adalah Masjid Negeri. Biasanya taraf Masjid Negeri ni besar dan boleh memuatkan ribuan jemaah.

Masjid Zahir pernah ( tidak pastilah sama ada masih kekal sehingga sekarang ) diundi sebagai salah sebuah 10 masjid tercantik di dunia. Ia juga merupakan antara masjid tertua di Malaysia, dibina dalam tahun 1912 di atas tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam tahun 1821.

Laksa Ikan Sekoq Jalan Gangsa Mergong
Walaupun sudah makan sebaik selesai program jabatanku, tapi nak merasa juga apa yang orang dok sebut-sebut. Kedah memang terkenal dengan Laksa.

Termasuk apa yang dikatakan Laksa Ikan Sekoq. Kami dibawa ke salah sebuah kedai yang terletak di Jaalan Gangsa Mergong.

Tengok papan tanda kedai yang begitu catchy tu sahaja sudah mengujakan. Boleh tambah dengan free ? Berapa kali boleh tambah ?

Apa yang bestnya, sebab ikan dia seekor. Itu yang mungkin membangkitkan selera. Seekor ikan yang telah direbus atau stimkan di dalam setiap pinggan. Macam ikan anak kembung sahaja. Aku difahamkan adaa di kedai lain, boleh minta seekor atau beberapa ekor udang pulak.

Habis sepinggan, aku minta tambah lagi. Tapi yang boleh tambah ialah laksa dan kuah. Kalau yang lain, seperti telor dan ikan, kena tambah harga.

Pasar Sementara Pekan Rabu
Aku pernah ke Pasar Rabu bangunan lama. Bukan nak pergi sangat, cuma nak merasai kesohorannya. Pernah aku catatkan dalam entri ku sebelum ini, pada tahun 2010 iaitu di sini.


Namun bangunan lama telah dirobohkan dan peniaga kini dipindahkan sementara di Bangunan Ukir Mall yang terletak agak jauh juga dari bangunan asal. Walaupun sementara, bangunan tu pun gah dan selesa juga.

Kedai-kedai jualan pakaian, jubah, tudung, barangan kraf dan kitab agama masih tetap ada. Pilihanku adalah makanan tradisional sebagai ole-ole untuk bawa balik rumah. Gerai ini terletak di luar bangunan.

Peniaga mula berpindah pada Disember tahun lepas bagi member laluan kepada pembinaan bangunan Pekan Rabu baru 4 tingkat berharga RM55juta. Ia dijangka siap dalam masa 3 tahun.
Share:

Doa Akhir Awal Tahun Hijrah

Setiap kali menjelang tahun baru Hijrah atau 1 Muharram, muncullah polemik mengenai hukum, fadhilat dan kelebihan membaca doa awal dan akhir tahun. Namun acara membaca doa dan akhir tahun hijrah kini sudah menjadi majlis rasmi kerajaan. Malah ramai yang mengunjungi surau masjid pada petang menjelang 1 Muharram kerana hendak mengaminkan doa yang akan dibaca oleh para iman atau ustaz.

Boleh berdoa, namun bolehkah menyandarkan bahawa itu adalah hadis Rasulullah s.a.w sedangkan pemilihan 1 Muharram sebagai tahun permulaan Islam dibuat semasa pemerintahan Khalifah Umar. Takde kena-mengena dengan ibadah khusus. Mungkin ada sandaran daripada para alim ulama dulu-dulu yang rajin beribadah.

Kalau sebelum dan selepas makan ada doanya. Kalau masuk tandas dan keluar tandsa ada doanya. Masuk dan keluar masjid pun ada doanya. Kalau sebelum masuk tidur dan bangkit tidur ada doanya. Takkan masuk tahun baru dan keluar dari tahun lama pun tidak boleh berdoa ?

Dikatakan, "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan 2 malikat memeliharanya pada tahun itu". Juga, “Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.”. Satu lagi, “Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:”Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

Namun bimbang sekiranya termasuk dalam ingatan hadis Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Dusta kerana mengatakan sesuatu daripada Rasulullah s.a.w, tapi yang sebenarnya tidak.

Memang ramai yang berkunjung memenuhi surau masjid untuk berdoa dengan harapan agar sepanjang tahun dihindari daripada gangguan syaitan pada 1 Muharram. Namun belum pun sempat hujung tahun hijrah akan datang, surau masjid kembali seperti biasa akibat penangan syaitan mulai pada hari ke-2 Muharram.
Share:

Suatu Catatan Kuliah Suboh

Pada 9 Oktober lalu, aku berkesempatanhadir mengikuti Kuliah Suboh di Surau Jumaat Al-Manar, Presint 14 Putrajaya yang disampaikan oleh al-Ustaz Dato' Dr. Hj Hamidon ( UIA ). Dalam kuliahnya yang menyentuh tentang amalan mulia hari Jumaat oleh Imam Ghazali, ada beberapa catatan yang memberikan kesan kepada diriku pada suboh berkenaan untuk dikongsikan.

Pertama : Imam Bukhari meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik, katanya, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya ramai di kalangan umatku akan datang bertemu aku di kolam Kautsar, sehingga terlalu hampir denganku, dan aku amat mengenalinya. Tetapi mereka telah dihalau jauh dari Telaga Kautsar oleh malaikat. Ya Rabbi, mengapa mereka diusir dari telagaku sedangkan mereka adalah umatku. Allah s.a.wT menjelaskan kepadaku, memang benar mereka adalah umatmu, tetapi engkau tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh mereka selepas engkau wafat. Mereka itu murtad (berpaling) daripada ajaranmu."

Kedua : Lantaran sering menegur para sahabat dan pemerintah kerana kehidupan yang dilihatnya bermewah melebihi standard Rasulullah s.a.w, Abu Dzar tempatkan oleh Khalifah Utsman di daerah perbukitan Rabadzah, suatu kawasan yang terpencil hingga meninggal di sana. Benarlah Rasulullah s.a.w yang pernah bersabda kepadanya, lantaran Abu Dzar keseorangan terlewat sampai dalam pasukan yang sedang mara ke Medan Tabuk, “Anda berjalan sebatang kara, mati sebatang kara dan dibangkitkan nanti sebatang kara”.

Ketiga : Suatu hari tetiba Rasulullah s.a.w kelihatan menangis. Para sahabat bertanya, "Apa yang membuatmu menangis ya Rasulullah?" Beliau menjawab, "Aku rindu kepada saudara-saudaraku." Mereka berkata, "Bukankah kami adalah saudara-saudaramu ya Rasulullah?" Beliau menjawab, "Bukan, kalian adalah sahabat-sahabatku. Adapun saudara-saudaraku, maka mereka adalah kaum yang datang sesudahku, mereka beriman kepadaku dan tidak melihatku."
Share:

Ke Maritime Experiential Museum and Aquarium Singapura

Aku berpeluang menghadiri IBM Connect 2015 – Executive Xchange di Singapura dari 1hb hingga 3hb September 2015 anjuran syarikat ICT IBM. Pesertanya adalah di kalangan delegasi CIO pengguna sistem atau solution IT IBM sekitar Asean. Topik banyak berlegar di sekitar cabaran dan peluang disebalik kecenderungan manusia sekarang terhadap penggunaan media sosial.

Malah menurut kajian, 80% responden memberi respon bahawa perkara pertama dilakukan sebaik bangkit tidur adalah mendapatkan smartphone memasing. Lantaran itu IBM menjalin kolaborasi dengan Apple, Facebook untuk kekal relevan. Dalam masa yang sama, bagaimana menghadapi expectation pengguna, isu keselamatan, keperluan analytic computing, Big Data dan mengambil manafaat daripada cloud computing.

Sepanjang program, aku ditempatkan di Hotel Hard Rock Singapore. Terasa macam kurang selesa bunyi ‘Hard Rock’. Salah satu tarikan berdekatan penginapanku ini ialah Maritime Experiential Museum and Aquarium. Ia menempatkan Maritime Experiential Museum dan SEA Aquarium yang mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. SEA Aquarium pula dikatakan merupakan aquarium terbesar di dunia.

Maritime Experiential Museum
Bermula dengan Maritime Experiential Museum yang merupakan arkiologi maritime dan kekayaan sejarah penerokaan lautan dan perdagangan Asia suatu ketika dahulu.

Ingat masa belajar sejarah sekolah dahulu perdagangan rempah ratus serta pertukaran barangan dagangan yang menjadi aktiviti utama sehingga penjajahan barat di rantau Asia, termasuk Asia Tenggara dan Malaysia.

Mungkin pameran ini cuba untuk menunjukkan tentang kepentingan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan yang utama suatu masa dahulu sehingga ia merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera.

Kapal Admiral Zheng He
Di tengah-tengah bangunan setelah melepasi pintu masuk, ditunjukkan sebahagian daripada binaan saiz sebenar kapal seorang Admiral bernama Zheng He.

Malah pembinaan muzium ini dikatakan inspirasi daripada Admiral Zheng He who yang dilantik oleh Maharaja semasa pemerintahan Dinasti Ming untuk melayarkan 300 kapal dengan 28,000 kru bagi melaksanakan penerokaan lautan.

Dalam badan kapal Zheng He yang dipamirkan, ditunjukkan juga rempah ratus, barangan kebudayaan yang diperolehi daripada setiap negara yang diterokai.

Jewel Of Muscat
Ia merupakan sebuah kapal pemberian kerajaan Oman kepada negara Singapura. Kapal yang dibina semula tersebut berdasarkan kapal yang sering digunakan dalam kurun ke-9 dengan menggunakan teknik dan bahan binaan tradisional.

Ia dilayarkan dari Oman pada tahun 2010 tanpa sebarang peralatan navigasi canggih dan tiba di Singapura 5 bulan kemudian.

Typhoon Theatre
Dengan tambahan tiket SIN2, kumpulan kami masuk ke satu bilik theatre yang agak besar. Dihadapan pengunjung ada skrin yang besar. Seolah-olah kami berada di atas kapal besar dan dengan bantuan teknologi multimedia, pengunjung seolah-olah berada dalam kapal laut yang sedang belayar.

Aku mula cuak, kot-kot ada kejutan. Kedengaran bunyi guruh dengan tempat duduk kami sesekali turut bergegar, terasa sejuk seperti di tengah-tengah laut. Malangnya pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar dalaam bilik ini.

Diwujudkan suasana seolah-olah kapal kami meredah cuaca buruk, gelora laut, angin dan kilat sabung menyabung. Akhirnya kapal kami karam ke dalam laut bersama-sama dengan lantai kapal yang juga menurun ke tingkat bawah. Bila keluar dari bilik theatre, memang kami telah berada di tingkat bawah berbanding tingkat mula-mula masuk tadi.

Shipwreck Habitat
Keluar terus menuju kepada aquarium besar yang memaparkan habitat sekitar kapal yang karam di dasar laut. Mungkin cuba melanjutkan perasaan tentang apa dialami di bilik theatre tadi.

Namun agak kecewa kerana gagal mengambil foto dengan baik dalam suasana aquarium yang ‘low light’.

Aquarium Lautan Terbuka
Aku rasa ini yang menariknya aquarium di sini. Di Malaysia, setakat di Pusat Sains Negara dan Langkawi tetapi kecil sahaja tangkinya. Di Aquaria KLCC aku belom pernah pergi lagi.

Habitat lautan di sini dapat dilihat dalam aquarium gergasi secara natural. Dikatakan terdapat lebih daripada 100,000 hidupan lautan serta lebih 800 spesis terdapat di sini.

Ini boleh mencetuskan kajian lanjut tentang habitan dan ekosistem mereka. Sebagaimana pengunjung lain, aku mengambil kesempatan untuk duduk sambil berehat dan memerhati dengan sepuas-puasnya mahluk ciptaan Allah yang pelbagai itu.

Ia dikumpulkan mengikut habitat dari serata dunia seperti Laut Cina Selatan, Laut Jawa, Selat Melaka & Laut Andaman, Teluk Bengal, Teluk Parsi & Laut Arab serta Laut Merah.

The Living Fossil
Ia merupakan sebahagian daripad pameran ‘Sea Monsters: Past and Present’ yang kebetulan berlangsung ketika aku ke sana. Living fossil bermaksud organisma yang mengekalkan bentuk yang sama walaupun telah berjuta bertahun serta kurang atau tiada lagi spesis yang seumpamanya.

Agak menarik juga bila mengetahui rupanya aada beberapa yang biasa di temui rupanya termasuk juga sebagai fossil hidup seperti belangkas dan ikan tembakul ( betul ke ? )

Ini sahajalah peluang melencong dari jadual IBM Connect 2015 – Executive Xchange yang agak ketat.

Universal Studio sekadar mampu menjengok pintunya. Tidak ada masa sebenarnya. Selain kadar pertukaran yang tinggi, masuk sorang-sorang sekadar nak berselfie merakam pengalaman tak best la. Lagipun pernah pergi sebelum ini.

Malaysia Food Street sekadar nak merasa makanan halal Malaysian. Menarik juga suasananya. Ku kira pembangunan sekitar Sentosa Resort World ini adalah usaha Singapura dalam menaikkan industri pelancungan yang sekaligus meningkatkan pendapatan negaranya.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.