Ramadhan semakin hampir dan jika Allah panjangkan umur, kita akan menemuinya lagi. Insya’allah. Saban tahun Allah memberikan peluang kita menemui Ramadhan sebelum ini. Namun bagaimana sekiranya kita mengetahui bahawa Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kita, sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, berapa ramai antara kita yang berpuasa tetapi ia tidak memperoleh apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Oleh itu apa persediaan kita menjelang Ramadhan yang semakin hampir supaya amal ibadah serta puasa yang ditunaikan diterima Allah ? Apakah target Ramadhan kali ini ? Apakah strategi yang hendak dipersiapkan bagi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan.
Amat malang jika kita tidak berhasrat merebut peluang untuk menambahkan ketakwaan sepanjang Ramadhan. Ini adalah kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertakwa sebagaimana maksud ayat 183, Surah Al-Baqarah. Ringkasnya takwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, reda dengan sedikit yang ada pada diri dan sentiasa bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah. Namun tanya diri sendiri, apakah nilai takwa bagi diri kita ? Jika tidak merasakan ianya begitu bernilai, maka tiada apalah sangat yang hendak dikejarkan sepanjang Ramadhan ini, selain juadah berbuka puasa dan morey yang menjadi keutamaan serta persiapan menyambut raya.
Salman al-Farisi pernah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w ketika berkhutbah pada akhir bulan Syaaban dengan sabdanya, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya. Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardu, sementara yang melakukan satu perkara fardu (pada bulan Ramadan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardu."
Pernyataan seumpama ini sebenarnya sudah cukup memberikan satu motivasi awal untuk kita sekurang-kurangnya berazam dan bertekad untuk melipatgandakan amalan sepanjang Ramadhan nanti. Malah banyak lagi tawaran ganjaran pahala lain yang Allah sediakan sepanjang Ramadhan ini.
Bagaimana sekiranya diketahu bahawa inilah Ramadhan terakhir, tentu tidak akan disia-siakan walau sesaat yang berlalu. Ambil cuti tanpa gaji,sebulan Ramadhan bermunajat di Masjidil Haram ? Setiap masa tak akan dibiarkan begitu, masa yang terluang dipenuhi dengan amal ibadah, membaca Al-Quran dan berzikir. Manakala malamnya bersolat terawikh, qiamullail dan tahajjud. Namun apakah itu semuanya hanya jika kita mengetahui bahawa Ramadhan ini yang terakhir buat kita. Itupun jika kita yakin tentang nilai taqwa dan yakin tentang pembalasan hari akhirat. Itulah hikmah mengapa Allah berahsia dengan tarikh akhir usia kita yang sebenarnya.
Membetulkan Keimanan & Ikhlaskan Diri
Persiapan pertama ialah memperbetulkan aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar. Tidak diterima dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang sahih.
Ini diikuti dengan memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah swt. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah swt, “Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus”( Al-Baiyinah : 3).
Semak Semula Ilmu & Panduan Ibadah
Ramadhan setahun sekali. Persiapkan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih. Semak menerusi buku, hadiri majlis ilmu atau menyoal para ustaz atau yang alim akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih. Asasnya semak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.
Di samping itu, ketahui juga amal soleh dan amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Perlu juga diketahui fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.
Persiapan Fizikal
Penting juga persiapkan dirin supaya kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa. Jaga kesihatan dan jaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna merupakan satu kewajipan supaya dapat menunaikan hak kepada Allah swt dalam ibadah dengan sempurna dan selesa. Ini termasuklah seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi Ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala
Penting untuk menjaga makan dan minum serta mengurus tidur dan rehat secukupnya supaya tidak nantinya mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah Ramadhan dengan selesa. Bahkan boleh terganggu waktu ibadah kerana kelemahan dan keletihan badan serta tugasan harian dalam mencari rezeki.
Persiapan material
Persiapan meterial bukannya persiapan untuk berbelanja di Bazar Ramadhan atau persiapan raya, tetapi mengambil kesempatan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan Ramadhan. Reserve budget untuk tujuan ini mengikut kemampuan.
Sesungguh golongan yang berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah swt apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.
Daripada Muadz Ibn Jabal ra bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, “Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” ( H.R Tirmidzi, Nasaie danIbn Majah ). Yakinilah bahawa dengan berrsedekah itu tidak mengurangkan harta sebagaimana Rasulullah saw, “tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” ( H.R Tirmidzi). Amalanbersedeqah juga menyucikan harta sebagaimana maksud Firman Allah, “Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka” ( At-Taubah : 103).
Persiapan Dalam Rumah
Walaupun aktiviti malam berterawih di masjid atau surau, namun bagaimana hendak mewujudkan suasana ‘iman’ di rumah. Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah.
Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan boleh tetapkan tetapkan waktu untuk solat bersama. Sediakan VCD kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat. Pastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.
Aturkan Jadual Waktu Harian
Dalam satu blog yang aku baca, ada cadangan agar buat perancangan denganmenyediakan jadual akitiviti kehidupan harian dengan supaya dapat menjalani ibadah puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan.
Ini penting agar waktu rehat, waktu bekerja, waktu beribadah khusus dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Jangan sampai ibadah Ramadhan yang dilakukan menjejaskan aktiviti harian di ofis atau mencari rezeki. Jangan dilihat Ramadhan ialah bulan umat Islam kurang produktif. Zaman nabi pun pernah berlaku peperangan dalam bulan Ramadhan. Antara cadangan jadual tersebut adalah sebagaimana berikut :-
Subuh :
• Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
• Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
• Solat Subuh di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.
Pagi:
• Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Solat Sunat Dhuha
• Bekerja seperti biasa.
Tengah hari:
• Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
• Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
• Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
• Bekerja seperti biasa.
Petang:
• Solat Asar di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran.
• Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
• Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
• Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
• Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
• Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.
Malam:
• Solat Sunat sebelum Isyak
• Solat Isyak.
• Solat Sunat selepas Isyak.
• Solat Sunat Tarawih.
• Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
• Tidur awal untuk bangun awal.
Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid sama ada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.
Rancang Persiapan Raya Sebelum Ramadhan
Hal baju raya, nak fikir tema dan warna apa, tempahan kuih raya, langsir, karpet dan kusyen raya selesaikan sebelum Ramadhan. Lagipun Jualan Malaysia sedang bermula. Jauhi daripada bercampur gaul dan berasak-asak shopping pada saat akhir Ramadhan.
Selain boleh mengurangkan pahala puasa, kita akan lebih tenang dengan amalan Ramadhan. Sibukkan diri dengan amalan Ramadhan, bukan persiapan raya.
Persiapan Masjid & Surau
Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang Ramadhan. Oleh itu AJKnya hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.
Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih.
Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang 'lari' meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumlah rakaat solat Tarawih sama ada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.
Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih. Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.
Pemuda Pas tak tahu apa-apa isu royalti Terengganu
25 minutes ago
2 Komen:
salam tn hj.....selamat menyambut bulan ramadhan kareem...semoga kita berjaya melalui bulan yang penuh dengan ganjaran dan pahala....rindu ler pulak saya nak balik putrajaya dan merasai suasana berpuasa di tanahair....di sini suasana berpuasa amat tidak dirasai.
sekarang dimana Tn ? Bila balik Putrajaya ?
Post a Comment