Mungkin kerana PRU13 semakin hampir, keperluan untuk memperbanyakkan pusat seperti Urban Transformation Centre atau UTC semakin 'mendesak'. Setelah Melaka, Pudaya raya ( dikenali sebagai UTC Sentral ) dan Ipooh, kini muncul pula UTC Mini Bandar Baru Sentul. Kenapa 'mini' ? Mungkin bagi membeza atau tidak menidakkan peranan UTC Sentral yang pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pada 16 Mac yang lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini pertama bertempat di Kompleks Perniagaan dan Komuniti Bandar Baru Sentul.
Bangunan tiga tingkat yang mula beroperasi sebagai UTC Mini pada 4 Mac lalu itu, menempatkan beberapa jabatan kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pos Malaysia.
Kemudahan lain yang disediakan termasuk perpustakaan awam, klinik kesihatan dan pergigian, pasar basah dan barang kering, gelanggang futsal dan pusat sukan taekwando.
Kompleks itu dipilih sebagai UTC mini kerana keadaan persekitarannya yang mempunyai kapasiti kepadatan penduduk tinggi meliputi kawasan kediaman serta pusat perniagaan selain kemudahan pengangkutan awam. Ia juga sebagai nilai tambah kepada bangunan yersebut yang mungkin sebelum ini kurang dikunjungi selain daripada pasar untuk membeli ikan dan sayur. Sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kompleks itu menjadi UTC mini.
Sebagaimana aku katakan sebelum ini, sejauh mana konsep UTC ini dapat memperkemaskan sistem penyampaian kerajaan supaya rakyat lebih mudah berurusan, menjimatkan masa khususnya pada waktu malam serta hujung minggu. Ini kerana dalam satu segi, MAMPU sendiri menggalakkan penggunaan perhubungan atau urusniaga secara on-line.
Tetapi jika hendak memberikan nilai tambah kepada pusat komuniti tersebut, ada relevannya. Apakah mampu bertahan lama dan apakah benar-benar berbaloi selain daripada memperkukuhkan agenda politik disebalik pengwujudannya kepada parti pemerintah ?
Bagi kementerian serta agensi kerajaan ini merupakan peluang baik dalam mengurangkan kos pembangunan kerajaan untuk membina lebih banyak bangunan pejabat baru. Khabarnya dua lagi UTC mini akan dibangunkan iaitu di Keramat Mall dan Dataran Angkasa Lembah Pantai. Manakala UTC berikutnya adalah di Pahang yang dijangka dibuka awal April nanti.
Petikan dari NST Online
1 Komen:
Alhamdulillah, senang untuk kami warga Sentul. Tak larat la kalau semua benda pun nak lihat thru pandangan politik...yang penting, orang ramai mendapat manfaat. Tak kiralah usaha siapa.
Post a Comment